Setelah Kenyang Melahap Duit Rakyat Barulah Kerajaan Sekular Berhenti Merompak.

altKutipan tol METRAMAC mansuh

Penutupan plaza tol berkenaan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengguna lebuh raya itu sehari, terutama penduduk Bandar Permaisuri, Bandar Tun Razak dan kawasan sekitar yang perlu membayar tol 50 sen setiap kali melaluinya sejak Ogos 1995.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata berikutan pemansuhan kutipan tol berkenaan, dianggarkan RM180 juta tidak akan dikutip sepanjang tempoh baki konsesi terbabit, manakala kerajaan juga tidak perlu membayar sebarang pampasan atas persetujuan penutupan awal tol itu.

Katanya, langkah itu adalah manifestasi kesungguhan kerajaan mencari penyelesaian berhemah untuk pengguna dalam isu tol. “Hasrat kerajaan ini sudah pun mula direalisasikan menerusi keputusan kerajaan menamatkan kutipan tol di beberapa lebih raya sejak 1993 lagi. “Pengumuman ini juga adalah hadiah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat, khususnya pengguna lebuh raya sempena Hari Wesak yang akan disambut esok (hari ini),” katanya berucap pada majlis pemansuhan kutipan tol di plaza tol arah Cheras dan Petaling Jaya METRAMAC di sini, malam tadi. METRAMAC sepanjang 6.5 kilometer dengan kos pembinaan RM125 juta yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught, mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 Ogos 1995.

Perjanjian konsesi antara kerajaan dan Metramac Corporation Sdn Bhd yang ditandatangani pada 13 Februari 1992, berkuat kuasa untuk tempoh selama 23 tahun dan akan tamat pada 31 Mei 2018. Kadar tol dikenakan di kedua-dua plaza tol berkenaan ialah RM0.50 bagi kelas satu dan lima, RM1 bagi kelas dua dan tiga, serta RM0.30 bagi kelas empat. Pada 28 Januari lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kutipan tol di plaza tol arah Cheras dan Petaling Jaya METRAMAC akan ditamatkan lebih awal berbanding tarikh tamat tempoh konsesinya.

Sumber : Berita Harian: 17/05/11


Setelah Kenyang Melahap Duit Rakyat Barulah Kerajaan Sekular Berhenti Merompak.
Kejahatan kerajaan sekular merompak wang rakyat sejak bermulanya kutipan tol oleh syarikat konsesi METRAMAC pada 1 Ogos 1995 sehingga semalam cuba dipadamkan oleh mereka dengan kata-kata daripada Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Shaziman Abu Mansor: “Pengumuman ini juga adalah hadiah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat, khususnya pengguna lebuh raya sempena Hari Wesak yang akan disambut esok (hari ini),” Kita boleh membayangkan betapa banyak wang hasil rompakan yang dapat dipungut oleh “perompak” tersebut di sepanjang 16 tahun tol itu wujud dan beroperasi di jalan raya tersebut. Untuk itu, rakyat umum dan khususnya umat Islam sewajarnya tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan permainan politik sekular UMNO dan sekutu-sekutunya itu.

Dalam Islam, adalah menjadi kewajiban pemerintah untuk menjaga dan mengurus urusan umat Islam dengan pengaturan yang berlandaskan hukum syara’. Jalan raya adalah salah satu daripada pemilikan umum yang wajib diurus oleh pemerintah bagi kemudahan rakyat dan diberikannya secara percuma. Bukannya seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan sekular hari ini yang mana mereka tidak dapat  memisahkan pemikiran mereka daripada sudut pandangan kapitalisme. Semua perkara yang dilakukan, daripada A hingga ke Z, akan sentiasa dipastikan supaya berpihak kepada mereka dan akan dijamin memberikan pulangan keuntungan semaksimum yang mungkin kepada kerajaan sekular yang berkuasa.  Sedangkan dalam Islam, secara jelas bahawa tol adalah suatu bentuk cukai yang diharamkan oleh Islam.
Lihat: SN151 – TOL: SAMPAI BILA PEMERINTAH MAHU MENANGGUNG DOSA?