Mahkamah Syariah mungkin beroperasi malam
KOTA BHARU 29 Mei — Mahkamah Syariah berkemungkinan akan beroperasi pada waktu malam serta pada cuti umum untuk menyelesaikan kes tertunggak serta mempercepatkan penyelesaian kes berkaitan isu rumah tangga.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, langkah itu akan mampu menyelesaikan banyak perkara walaupun mahkamah pada masa ini mempunyai bilangan hakim yang mencukupi. Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Halal Kelantan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra. — Bernama
Sumber : Utusan Malaysia: 29/05/11
Saranan Mashitah Ternyata Sia-sia
Sebagai seorang muslim, perkara yang sewajarnya difikirkan juga oleh Mashitah adalah persoalan redha dan murka Allah SWT. Adakah Mashitah dan yang seangkatan dengannya pernah terfikir samada apa yang dilakukannya pada hari ini akan mendapat redha atau murka Allah SWT? Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa hukuman bagi kesalahan zina yang termasuk kesalahan hudud secara qathi’ samada dari sudut tsubut mahupun dalalahnya adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin? Lantas bagaimana boleh dikatakan bahawa hukuman yang ada di Mahkamah Syariah di Malaysia saat ini menepati dan mematuhi standard dan ukuran al-Quran dan as-Sunnah? Ternyata tidak! Untuk itu apa yang cuba dilaksanakan dan yang dicadangan Mashitah itu adalah sesuatu yang sia-sia kerana ianya adalah perbuatan yang jauh dari redha Allah SWT malahan yang pastinya, ia mengundang murka Allah SWT!
“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih”. [TMQ An Nuur (24) : 63].