Hukum Allah Terus Dipermainkan

januk-khirPUTRAJAYA – Kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada di mahkamah sivil. “Kes murtad nanti akan berada di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam. “Jadi, saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin.

Sumber : Kosmo: 23/12/11

Pemerintah Malaysia Terus Menghina Hukum Allah

Mengapakah sampai begitu berani Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak? Seolah-olah hukum Allah ini diletakkan sama taraf dengan undang-undang buatan manusia apabila beliau menyatakan bahawa kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil. Persoalan selanjutnya adalah, mengapa ada di kalangan umat Islam yang tidak merasa bersalah dengan tindakan mereka “mengiktiraf” undang-undang thaghut yang ada di mahkamah sivil ini? Sebagai seorang Islam yang ikhlas, pasti mengetahui bahawa Undang-undang Syariah yang digunapakai di Malaysia saat ini adalah undang-undang yang lahir dari aqidah sekular dan bukannya muncul daripada aqidah Islam. Maka, adalah tidak menghairankan apabila Jamil Khir mengatakan bahawa “Kes murtad nanti akan diletakkan di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana menurutnya jika kes murtad dibicarakan di mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan kerana kes murtad juga membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam”.

Inilah akibatnya apabila umat Islam dipimpin oleh para pemimpin berfikiran sekular seperti apa yang kita saksikan di Malaysia pada ketika ini. Kecelaruan di dalam membuat keputusan dapat dilihat dengan jelas terutama apabila ia membabitkan hukum Allah. Bagaimanakah mungkin hukum Allah dapat dilaksanakan seiring dengan hukum kufur? Ianya adalah mustahil dan hukumnya adalah haram kerana bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah. Hukum bagi pesalah murtad datangnya daripada Allah dan tidak boleh dicampur-adukkan dengan hukum yang lain. Apakah Jamil Khir tidak menyakini hadis nabi SAW ini? Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata, “Dihadapkan kepada Amirul Mukminin Ali karamAllahu wajah orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan beliau berkata ‘Seandainya aku (yang menghukum), maka tidaklah aku akan membakarnya kerana adanya larangan dari Rasulullah SAW di mana baginda bersabda ‘Jangan kalian mengazab dengan azab Allah’. Akan tetapi aku (Ibnu Abbas) pasti akan membunuhnya kerana sabda Nabi SAW ‘Barangsiapa yang menukar agamanya (murtad), hendaklah kamu bunuh akan dia”.

Hadis di atas adalah hadis sahih dan ianya wajib dilaksanakan. Hukuman bagi pesalah murtad ini telah dilaksanakan selama lebih 1400 bermula semasa zaman kenabian sehinggalah Daulah Islam diruntuhkan pada 3hb Mac 1924. Namun, kini masalah murtad yang secara qat’ie adalah merupakan kesalahan yang termasuk di dalam kesalahan hudud nampaknya ingin ditendang ke sana-sini umpama sebiji bola. Inilah nasib dan keadaan hukum Allah SWT di Malaysia.

Kenyataan dan realiti yang berlaku di Malaysia hari ini dan juga di negeri-negeri umat Islam yang lainnya menyaksikan bahawa para pemimpin umat Islam hari ini seolah-olah tidak merasa bersalah atas perbuatan mereka tidak menjalankan hukum Allah. Wahai umat Islam, sudah tiba masanya kita bangkit dan menukar pemerintah-pemerintah seperti ini kerana mereka sanggup menentang dan mempermainkan hukum-hukum Allah SWT. Lihat: SN273 – ADAKAH KITA MEMERLUKAN AKTA MURTAD?