Terleka Dengan Dakwat Terlupa yang Haram
Ketua Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan, berkata ini kerana masih ada ruang untuk manipulasi dan penipuan sekiranya dakwat berbeza ini digunakan. “Penggunaan dakwat yang berbeza masih lagi tidak akan menyelesaikan masalah pengundi yang berganda. “Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menegaskan kepada pihak SPR supaya menggunakan hanya satu warna dakwat kekal saja di dalam pilihan raya umum nanti selain memastikan buku daftar pemilih pengundi diputihkan dan dibersihkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, semalam dilaporkan berkata, SPR membuat keputusan untuk membezakan warna dakwat kekal bagi undian biasa dan undian awal bagi membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya. Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan untuk 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang manakala 10,000 botol dakwat kekal pula adalah untuk pengundi awal termasuk anggota tentera dan polis serta keluarga mereka. – BERNAMA
Isu utamanya adalah penglibatan di dalam sistem demokrasi bukan dakwat
Pilihanraya di dalam sistem demokrasi itu tidak lebih hanyalah suatu perantara untuk memilih wakil. Sekiranya wakil yang dipilih itu menang, ia akan terlibat di dalam proses penggubalan undang-undang. Inilah realiti yang cukup nyata bagi menyatakan sistem demokrasi itu adalah suatu sistem yang bercanggah dengan Islam kerana hakikatnya hak untuk mengubal undang-undang itu hanyalah milik Allah SWT, FirmanNya:
“ Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah”. [TMQ Yusuf (12) : 40].
Perlu diketahui bahawa peranan utama Parlimen atau Dewan Rakyat adalah tasyri’ (membuat hukum/undang-undang), memberi kepercayaan dan ketaatan (kepada pemerintah) dan juga melakukan muhasabah. Padahal, kedaulatan syara’ itu hanyalah milik Allah dan RasulNya sebagai ketentuan wahyu dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Firman Allah SWT;
“Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang hak dan Dia pemberi keputusan yang paling baik” [TMQ al-An’am (6):57].
Manakala di dalam sistem demokrasi, kekuasaan dan kedaulatan itu adalah milik manusia sepenuhnya sedangkan di dalam sistem Islam, kedaulatan itu adalah milik syara’ manakala kekuasaan pula adalah milik umat. Inilah antara perbezaan yang cukup mendasar antara Islam dengan demokrasi. Oleh itu, sudah sewajarnya umat Islam hari ini menolak demokrasi dan bukannya sekadar menolak penggunaan dakwat berbeza.