Suara Rakyat Atau Suara Allah Yang Perlu Didengar?

Suara rakyat suara keramat! Inilah antara slogan yang sedang hangat dilaung-laungkan di mana-mana  oleh Pakatan Rakyat, baik sebelum mahupun selepas berakhirnya PRU ke-13. Mereka menganggap bahawa keputusan pilihanraya yang diumumkan baru-baru ini sebagai tidak telus dan penuh dengan penipuan. SPR didakwa telah gagal menguruskan perjalanan pilihanraya dengan adil dan betul dan demokrasi pula dianggap telah mati. Akibatnya, PR yang diketuai oleh Anwar Ibrahim telah menggunakan isu ini untuk melakukan gerakan secara massa di seluruh negara. Rakyat terus menerus disemangatkan dengan kata-kata keramat tersebut. Sekali pandang, kalimat suara keramat ini dilihat seperti kata-kata yang cukup indah dan ideal yang membawa 1001 harapan. Kata-kata ini mengambarkan seolah-olah rakyat adalah segala-galanya. Kuasa rakyat itu digambarkan sebagai satu-satunya kuasa besar yang berupaya untuk melakukan perubahan dan kerajaan didesak supaya sentiasa mendengar suara rakyat. Ini sesuai dengan makna demokrasi yang membawa maksud pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat sepertimana yang diberikan definasinya oleh Abraham Lincoln, bekas Presiden Amerika terdahulu. Tetapi apa yang pastinya, Anwar telah gagal meletakkan “Suara Tuhan” (wahyu) sebagai landasan utama perjuangannya untuk melakukan perubahan ini.

Selagimana perjuangan Anwar hanya sekadar berkisar menuntut agar pilihanraya dalam sistem  demokrasi itu berjalan dengan telus dan sempurna, maka sudah pasti perjuangan tersebut akan terus menemui kegagalan dan kekecewaaan. Apa yang pasti, demokrasi adalah ajaran yang menjadikan manusia sebagai tuhan. Suara rakyat dianggap sebagai penentu mutlak dalam menentukan segala-galanya termasuklah halal haram sesuatu perkara. Dalam demokrasi, suara Tuhan diketepikan dan dipinggirkan serta tidak boleh dicampurkadukkan dalam pemerintahan sama sekali. Inilah demokrasi yang merupakan sampah dan racun kepada masyarakat. Malang sekali masih ramai umat Islam termasuklah gerakan-gerakan Islam yang masih terus tertipu dengan sistem kufur ini. Bagaimanakah kita boleh mengharapkan demokrasi untuk memberikan kebaikan kepada manusia sedangkan demokrasi itu secara jelas lahir daripada akal manusia yang sifatnya terbatas, jahil dan zalim? Secara faktanya telah terbukti di depan mata kita bahawa demokrasi telah menghasilkan kegagalan demi kegagalan dalam mengatur dan menguruskan kehidupan manusia. Justeru, apakah kita masih bergantung harap kepada demokrasi? Sebagai seorang Muslim, adalah tidak sayugia untuk kita ditipu dan tertipu dengan slogan-slogan ‘keramat’ ini. Ketahuilah bahawa ketika mana seseorang melaungkan “Suara Rakyat Suara Keramat”, maka secara sedar ataupun tidak sedar hal ini boleh menjerumuskan seseorang kepada kesyirikan dengan menafikan “Suara Tuhan” (wahyu) sebagai satu-satunya kuasa tertinggi dalam kehidupan seorang manusia. Bukankah kewujudan utama kita di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada  Allah SWT, Rabb yang telah menciptakan manusia, alam semesta dan kehidupan ini? Pada hakikatnya, demokrasi sememangnya telah mati dan Khilafahlah selayaknya sebagai satu-satunya pengganti. Itulah pilihan yang paling tepat bagi umat Islam pada hari ini.

Sumber: Sinarharian, 08/05/13