Malaysia Terus Mengundang Azab Allah SWT

6,275 pelacur dari pelbagai negara telah ditahan di Malaysia sepanjang empat bulan pertama tahun 2014. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan mengejutkan. Adakah statistik ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah syurga bagi para pelacur?  Keadaan yang bobrok ini sudah pasti  menimbulkan pelbagai persepsi dari pelbagai pihak. Persoalan demi persoalan, pertikaian demi pertikaian sering bermain di minda umat. Di
manakah perginya peranan dan tanggunjawab negara dalam membendung masalah ini? Apakah benar kerajaan serius dalam usaha untuk menangani masalah ini? Siapakah dalang utama di sebalik bisnes haram ini sehinggakan sarang dan aktiviti pelacuran ini semakin tumbuh bak cendawan? Mereka sedikit pun tidak takut atau serik dalam menjalankan aktiviti haram mereka walaupun telah ditangkap berulang-ulang kali oleh pihak berkuasa. Mereka tahu dan sedar bahawa undang-undang yang ada tidak menggentarkan mereka, malah memberi laluan yang luas lagi mudah bagi meneruskan aktiviti mereka. Keadaan ini  mengambarkan seolah-olah bahawa masyarakat umum di Malaysia sudah rosak dan dapat menerima pelacuran dengan baik.

Sebagai umat Islam, kita perlu menyedari bahawa keadaan ini adalah sesuatu yang pasti akan mengundang azab daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila zahir/nyata perbuatan zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan seksa daripada Allah.” [Hadis riwayat al-Hakim]. Jika kita melihat lebih jauh kepada permasalahan di atas, keadaan yang menjijikkan ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya memeranjatkan kerana inilah kesan daripada penerapan sistem kufur sekular demokrasi yang dilaksanakan oleh negara. Selagi mana sistem kufur ini diterapkan oleh negara maka selagi itulah masalah-masalah seperti ini akan terus muncul dan berleluasa. Sudah sampai saatnya masyarakat dan umat Islam di Malaysia mempunyai kesedaran politik yang terbit daripada akidah Islam dalam melihat dan menilai segala permasalahan yang ada di sekeliling dengan pandangan yang jernih. Betapa perlu dan terdesaknya bagi kita untuk menukar sistem pemerintahan kufur yang ada ini kepada sistem yang terbaik yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta sekelian alam, yang bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada seluruh manusia, bahkan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.  Apakah sistem yang terbaik itu jika bukan sistem Islam? Firman Allah SWT:

“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka inginkan? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin?”
[TMQ Al-Maaidah (5): 50].

Sumber : mstar.com.my