Tunggu bencana baru bersatu dan kerjasama
Antara kebaikan yang terhasil dari banjir besar di pantai timur dua minggu lepas adalah semangat kesatuan dan kerjasama yang terjalin di antara pihak-pihak yang membantu mangsa bencana alam itu, tanpa mengira sempadan, darjat, pangkat dan keturunan. Malah dua seteru politik yang selama ini menjadi musuh tradisi pun boleh bersatu dalam menangani hal ini.
Parti pemerintah dan pembangkang yang selama ini berperang di pentas politik, kini boleh bersalaman dan menunjukkan wajah manis masing-masing kepada rakyat. Masing-masing menyambut baik usaha pihak yang satu lagi dalam membantu mangsa bencana, walhal masing-masing tahu bahawa persoalan undi tetap tidak dapat dipisahkan dari fokus mereka.
Penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir antara kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan dikatakan membuka episod baru dalam hubungan kedua-dua kerajaan itu. Dari satu sudut, memanglah usaha ini perlu disambut baik tanpa banyak soal.
Namun, dari sudut yang lain, sungguh malang apabila semangat penyatuan dan kerjasama itu hanya muncul akibat dari “banjir besar”. Sejak puluhan tahun Kelantan dilanda “banjir biasa” di setiap musim tengkujuh, kerjasama seumpama ini tidak pula pernah difikirkan. Dengan kata lain, kena tunggu bencana besar melanda negara, barulah boleh bersatu. Itu pun sekadar penyatuan dalam konteks menangani masalah yang spesifik sahaja, bukannya penyatuan menyeluruh dalam segenap aspek, yang sebenarnya jauh lebih penting.
Seharusnya penyatuan dan kerjasama yang ingin dijalin hanyalah atas dasar akidah Islam, tidak lain. Umat Islam adalah umat yang satu dan bersaudara dan satu-satunya faktor yang menyatukan setiap Muslim adalah akidah Islam yang mereka miliki, bukan kerana warna kulit, keturunan, bangsa dan lain-lain. Inilah yang menjadi dasar penyatuan, bukan kerana banjir atau ditimpa apa-apa musibah baru nak bersatu atau dijadikan dasar untuk bersatu atau bekerjasama.
Penyatuan atas dasar musibah atau kepentingan tertentu pastinya tidak akan kekal lama, kerana apabila hilang kepentingan tersebut, maka sikap penyatuan tadi pun turut hilang. Apatah lagi dengan lumrah parti politik yang bergelumang dalam demokrasi yang umum sedia maklum, sikapnya adalah perlu memburukkan dan menjatuhkan satu sama lain, sebagai “saham” untuk memenangi pilihan raya. Jadi, “politik kepentingan” selamanya akan menjadi asas kepada parti politik yang terlibat dalam demokrasi. Di mana ada kepentingan, di situ ada kawan. Tidak ada kawan abadi dan tidak ada musuh abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi. Inilah ajaran politik demokrasi.
Jika musibah banjir besar hanya melanda negara di musim tengkujuh sahaja, tetapi musibah demokrasi melanda negara setiap masa dan sejak sekian lama. Pengamal politik demokrasi menjadikan “kepentingan” sebagai ikatan penyatuan yakni selagi ada kepentingan selagi itu mereka boleh bersatu, sedangkan Islam mengajar penyatuan atas dasar akidah Islam yang bersifat wajib tanpa mengira wujud kepentingan atau tidak. Wallahua’lam.