Begini caranya jika sayangkan Hindu
Kecoh di alam maya dengan keluarnya gambar seorang Muslimah bertudung yang memegang placard bertulis “I’m a Muslim, I love Hindus” (saya seorang Muslim, saya sayang Hindu) semasa perayaan Thaipusam beberapa hari lepas.
Kritikan datang bertubi-tubi melalui Facebooks dan juga aplikasi telefon pintar. Tidak kurang yang menyokong apa yang dilakukan oleh Muslimah berkenaan atas alasan Islam adalah agama yang harmoni dan menganjurkan penganutnya berbaik-baik dengan penganut agama lain.
Suara-suara yang menyokong berhujah bahawa perkataan tersebut bukan bermaksud “saya sayangkan agama Hindu” tetapi “saya sayangkan penganut Hindu”, yang dikatakan mempunyai maksud yang berbeza. Apa yang salah ialah jika sayangkan “agama” Hindu tetapi tidak salah, malah digalakkan untuk sayangkan “penganut” agama lain, sesuai dengan tuntutan Islam untuk berbaik-baik sesama manusia. Inilah hujah mereka.
Walaupun identiti Muslimah berkenaan masih belum dikenal pasti (dan mungkin berasal dari Indonesia, berdasarkan perkataan yang tertera di bawah placard), namun apa yang pasti ialah tindakan tersebut dilakukan sempena the World Interfaith Harmony Week (Minggu Keharmonian Antara Agama) anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa the World Interfaith Harmony Week merupakan sambutan tahunan PBB yang ditetapkan di sepanjang minggu pertama bulan Februari setiap tahun. Idea ini tercetus sejak 2007 di bawah inisiatif the Common Word (kalimah yang sama) yang menyeru dialog antara Muslim dan Kristian. The World Interfaith Harmony Week ini dicadangkan oleh Raja Abdullah II Jordan pada 23 September 2010 dan hanya sebulan kemudian yakni pada 20 Oktober 2010 terus diterima oleh PBB secara sebulat suara.
Dialog antara agama sebenarnya mengandungi agenda licik Barat untuk merubah cara berfikir kaum Muslimin, seterusnya melahirkan Muslim yang menerima konsep pluralisme dan liberalisme, dengan menganggap semua agama adalah sama. PBB sebagai badan kufur yang telah menyebabkan banyak malapetaka ke atas umat Islam, sudah pasti tidak meluluskan minggu keharmonian antara agama ini “saja-saja”. Acara tahunan ini, yang disertai kaum Muslimin, menjadi bukti bagaimana pemikiran segelintir kaum Muslimin sudah berjaya dibentuk ke arah yang dimahukan Barat.
Memang benar Islam mengajar penganutnya untuk berbuat baik dengan semua bangsa (asalkan bangsa itu tidak memusuhi Islam), namun ia tidaklah sampai ke tahap menunjukkan sikap senang atau redha kepada agama lain atau membenarkan agama lain. Ini kerana, satu-satunya agama yang benar di sisi Allah ialah Islam, sebagaimana firmanNya,
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19].
Barang siapa yang tidak beragama dengan agama Islam, maka Allah SWT telah menegaskan bahawa tempat kembalinya di akhirat kelak ialah neraka, na’uzubillah min zalik. FirmanNya,
“Sesungguhnya orang-orang kafir yakni Ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk” [TMQ al-Bayyinah (98):6].
“Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah (2):39]
“Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali” [TMQ al-Taghabun (64):10].
Oleh itu, jika benar kita sayangkan penganut agama lain, maka apa yang harus kita lakukan ialah mendakwahkan mereka kepada Islam sehingga mereka memeluk agama Islam (tanpa paksaan), barulah mereka akan terselamat dari neraka Allah. Inilah caranya kalau kita cintakan mereka, yakni kita mengajak mereka menyembah Allah sebagai Satu-satunya Tuhan, kerana kita tidak mahu mereka masuk ke dalam azab/neraka Allah, bukannya dengan hadir dan menunjukkan kecintaan kita kepada mereka tatkala mereka sedang mengadakan acara mensyirikkan Allah secara besar-besaran!