Elak Politik Di Mekah Merupakan Tindakan Meng’sekularkan’ Islam.
Riyadh beri amaran selepas Khamenei nasihat jemaah protes
RIYADH: Arab Saudi semalam memberi amaran terhadap sebarang cubaan untuk mempolitikkan ibadat haji sambil menyifatkan ia akan mengancam keselamatan lebih dua juta umat Islam yang dijangka menghadiri perhimpunan berkenaan.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi kemudian memberi reaksi dengan menegaskan bahawa negara itu tidak akan membiarkan sesiapa menjejaskan haji.
“Ini termasuk mengganggu keselamatan jemaah dan cubaan untuk memecahbelahkan umat Islam,” kata satu kenyataan Kabinet yang disiarkan media tempatan. Kenyataan itu bagaimanapun tidak merujuk kepada Iran secara langsung. Arab Saudi, sekutu Amerika Syarikat sering tidak sependapat dengan Iran terutama sejak kebangkitan Islam 1979. Bantahan awam dilarang sama sekali di negara itu. Ibadat Haji akhir bulan ini disifatkan sebagai satu perhimpunan besar agama.
Pada 1987, satu perhimpunan jemaah haji menyuarakan kemarahan terhadap Amerika dan Israel mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Arab Saudi menyebabkan 402 kematian, kebanyakan mereka adalah penduduk Iran. Teheran memboikot haji selama tiga tahun selepas kejadian itu.
Pemimpin Iran minggu lalu turut mengkritik ancaman pihak berkuasa Arab Saudi kepada jemaah Syiah. Polis Arab Saudi Februari lalu bertempur dengan jemaah dari kumpulan minoriti Syiah berhampiran makam Nabi Muhamad SAW dan di Madinah. – Reuters
Sumber: Berita Harian: 03/11/09
Elak Politik Di Mekah Merupakan Tindakan Meng’sekularkan’ Islam.
Adalah merupakan suatu tindakan sekular apabila ibadah/Islam tidak boleh dicampurkan dengan politik. Inilah kesimpulan mudah yang kita boleh berikan terhadap kenyataan amaran kerajaan sekular Arab Saudi kepada mana-mana cubaan untuk mempolitikkan ibadah haji. Kita dapat melihat bagaimana begitu sekularnya pemikiran yang dimiliki oleh para pemimpin Arab Saudi yang ada pada hari ini. Mereka bertindak mengikut arahan dan keinginan kufar Barat. Begitu malang bagi umat Islam hari ini apabila para pemimpin yang berkuasa di tanah tempat lahirnya Islam itu mendokong pemikiran seperti ini.
Apakah kita boleh menafikan dan menidakkan hakikat bahawa di Tanah Suci itulah segala aktiviti politik telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam usaha baginda menyebarkan dan menegakkan Islam? Siapakah yang boleh menafikan bahawa ketika Rasulullah SAW melakukan aktiviti dakwah selama 13 tahun di Mekah itu perjuangan baginda itu bukannya perjuangan politik? Apakah para pemimpin Arab Saudi yang sekular itu cuba memadamkan pemikiran politik Islam ini? Bukankah Rasulullah SAW pernah melakukan aktiviti politik dengan mendatangi kabilah-kabilah yang datang mengerjakan haji ke Mekah untuk menyeru mereka memeluk Islam dan memberikan nusrah kepada baginda SAW bagi menegakkan Islam? Terlalu banyak tempat-tempat peninggalan sejarah Islam yang sebenarnya mengingat kita bahawa di Tanah Suci itu telah berlaku pelbagai aktiviti politik. Bukankah jika seseorang melihat Darul Arqam ia akan mengingatkannya tentang tempat pembinaan para sahabat? Bukankah di Tanah Suci itu terletaknya tempat Bilal ra diseksa oleh tuannya kerana mempertahankan aqidah Islam? Di Tanah Suci itu jugalah tempat Khabab al-Arrat disiksa dengan dadanya diletakkan baju besi dan dijemur di tengah gurun di bawah terik panas matahari? Bukankah di Tanah Suci itu turun firman Allah SWT yang menjadi petunjuk bagi seluruh persoalan hidup manusia?
Namun amat menyedihkan apabila kita melihat hari ini para pemimpin sekular Arab Saudi cuba mengsekularkan Islam dengan memisahkan perlaksanaan ibadah haji itu dari sebarang aktiviti politik. Amat buruk sebenarnya apa yang mereka telah lakukan. Firman Allah SWT:
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”. [TMQ At Taubah (9) :32].