CHOGM: Negara-Negara “Merdeka” Yang Terus Menjadi Hamba Kepada Kapitalis British

altKomanwel masih relevan – Najib

PORT OF SPAIN 30 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) yang berakhir hari ini sebagai satu pertemuan bermakna yang membuktikan badan 53 negara Komanwel itu masih relevan. Beliau yang pertama kali menghadiri mesyuarat dwitahunan itu sebagai Perdana Menteri berkata, CHOGM masih relevan kerana ia merupakan satu badan yang mewakili satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia.  Katanya, keanggotaan CHOGM daripada negara maju, membangun dan negara kecil kepulauan adalah unik yang merupakan satu kelompok yang menunjukkan kepelbagaian.  “Oleh kerana kepelbagaian, maka banyak isu global yang kita bincang dan dapat membentuk pendirian yang mewakili semua kelompok komuniti global.  

“Sehubungan itu, langkah sidang kemuncak ini yang membuat deklarasi yang paling penting iaitu mengenai perubahan iklim dapat menjawab sama ada CHOGM relevan atau tidak,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.   Pada akhir mesyuarat itu, Najib turut dijemput oleh Pengerusi CHOGM, Patrick Manning yang juga Perdana Menteri Trinidad dan Tobago menghadiri sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatan dari New Zealand, Papua New Guinea dan Afrika Selatan.  Najib berkata, empat aspek dalam deklarasi CHOGM mengenai perubahan iklim amat bermakna kerana ia akan menjadi pembuka tirai kepada persetujuan yang diharap dapat dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak di Copenhagen kelak.   Empat aspek dalam deklarasi itu ialah undang-undang yang mengikat, sasaran pengurangan pelepasan karbon terutama di kalangan negara maju, menubuhkan dana permulaan segera dan mengambil kira keperluan negara yang terjejas dengan perubahan iklim.   Selain itu, Najib menjelaskan, CHOGM sebagai institusi telah dapat menekankan sistem nilai seperti demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kebebasan hak asasi. 

“Ini amat penting kepada keamanan dunia dan perkembangan dalaman yang dapat mengelak konflik serta segala yang boleh merosakkan negara bangsa,” katanya.  Beliau menambah, bukti jelas ialah apabila Rwanda , negara yang hampir musnah kerana terjebak dalam perang saudara yang amat dahsyat suatu ketika dulu tetapi pada CHOGM kali ini, diterima sebagai anggota ke-54.   Ia juga, kata Perdana Menteri, bukti Komanwel membantu ke arah pemulihan sesebuah negara, bukan saja dari segi pembangunan tetapi pembentukan sistem nilai.  Najib turut mengalu-alukan penubuhan portal untuk generasi muda oleh sekretariat Komanwel bagi menyalurkan maklumat yang kelompok itu perlukan.  Mengenai diabetis, jantung dan barah yang juga dibincang pada mesyuarat kali ini, beliau berkata, saranan diadakan sidang kemuncak mengenai penyakit itu pada 2001 amat bermakna kerana ramai rakyat Malaysia turut dijangkiti penyakit tersebut. – utusan

Sumber : Utusan Malaysia , 01/12/09

CHOGM: Negara-Negara “Merdeka” Yang Terus Menjadi Hamba Kepada Kapitalis British.

Begitu menghinakan kenyataan Najib ini. Kenyataan beliau  menggambarkan kepada kita inilah bentuk pemikiran seorang pemimpin sekular yang masih gagal memerdekakan mindanya dari cara berfikir sekular. Sebagai seorang pemimpin umat Islam selayaknya dan sewajarnya beliau menjadikan aqidah Islam sebagai qa’idah fikriyyah yang akan memimpin apa jua tindakannya. Malangnya Najib masih terus dijajah pemikirannya.

Samada sedar mahupun tidak, beliau masih setia dan taat untuk menjadi penyambung  kepada mata rantai perjuangan ideologi Kapitalisme. Ini kita sandarkan kepada kenyataan beliau sendiri yang masih lagi bersuara untuk mendakwahkan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kebebasan hak asasi. Apakah beliau sedar bahawa kesemua seruan itu adalah kalimah-kalimah sihir ideologi Kapitalisme yang tidak selayaknya diserukan oleh seorang Muslim? Sebagai seorang Islam sewajibnya Najib menjadi pemimpin yang akan menyeru seluruh manusia, termasuklah pemimpin kufur CHOGM yang beliau temui itu untuk masuk dan tunduk kepada Islam. Inilah tugas yang mulia yang sewajibnya beliau dahulukan. Apakah beliau terlepas pandang dengan firman Allah SWT?

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”
. [TMQ Al-Maaidah (5) : 67].

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [TMQ Fussilat (41) : 33].

Wahai Najib! Carilah kemuliaan dengan Islam dan janganlah meletakkan kehinaan ke atas diri kamu dengan terus memimpin umat Islam menjadi hamba kepada ideologi kufur yang diacukan oleh British melalui pertubuhan seperti CHOGM. Firman Allah SWT:

“..Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.
[TMQ Al-Munaafiquun (63) : 8].