Bapa Angkat Sokong Anak Angkat. Sudah Pasti!
TAMPA Florida 29 Jan. – Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam memberitahu, beliau akan terus menyokong Israel namun menegaskan, Washington juga perlu memberi perhatian kepada penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin. “Kami sedang berusaha untuk menguatkan keupayaan kedua-dua pihak itu untuk duduk semeja,” kata Obama pada satu pertemuan dewan perbandaran di Tampa, di sini. Usaha pentadbiran Presiden itu untuk memulakan semula rundingan damai yang telah lama terhenti hanya mencapai sedikit kemajuan sejak beliau memerintah setahun lalu. Pengkritik menyifatkan, beliau telah memandang rendah rintangan yang dihadapi. Presiden itu turut menyentuh masalah yang dihadapi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang disifatkan beliau ‘menjalankan usaha untuk mencapai sedikit perkembangan berbanding apa yang diinginkan kerajaan campurannya’.
Kerajaan berhaluan kanan Netanyahu termasuk parti-parti pro peneroka haram Yahudi membantah kuat penyerahan tanah yang diduduki Israel kepada Palestin bagi penubuhan sebuah negara baru. Obama berkata, Presiden Palestin Mahmud Abbas ‘benar-benar mahukan perdamaian’ namun perlu berunding dengan Hamas, sebuah kumpulan pejuang Islam yang enggan mengakui hak kewujudan Israel. Abbas, pemimpin yang pro AS, turut dilemahkan oleh kawalan Hamas terhadap Genting Gaza sementara beliau hanya memerintah Tebing Barat. Mengatakan rakyat Israel dan Palestin kedua-duanya mempunyai ‘hasrat yang sah’, Obama sekali lagi ingin memperlihatkan kemampuan pentadbirannya dengan berperanan sebagai ‘orang tengah’ yang adil. “Israel adalah satu daripada sekutu kuat kami. Ia sangat penting bagi AS dan saya akan terus menjamin keselamatan Israel. “Bagaimanapun, penderitaan yang dialami warga Palestin juga adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Tidak bagus bagi keselamatan AS dan Israel sekiranya terdapat berjuta-juta individu hidup dalam keadaan kecewa,” katanya. – Reuters
Sumber: Utusan Malaysia, 30/01/10
Bapa Angkat Sokong Anak Angkat. Sudah Pasti!
Sesuatu yang tidak mengejutkan langsung apabila Obama mengeluarkan kenyataan untuk terus menyokong Israel. Ini adalah suatu perkara yang sewajarnya berlaku kerana umum mengetahui bahawa Amerika adalah bapa angkat kepada Israel. Dalam erti kata lain, Israel adalah anak angkat yang paling disayangi oleh Amerika. Apa sahaja yang dilakukan oleh Israel selama ini langsung tidak ditegur oleh Amerika malahan sebaliknya diberikan sokongan dan bantuan oleh bapa angkatnya itu. Semuanya di ”ya”kan sahaja. Perlu disedari bahawa Israel yang saat ini begitu berani bertindak samseng dengan membunuh umat Islam di Palestin sewenang-wenangnya mendapat dokongan dan sokongan Amerika dari segenap sudut. Dan kewujudan Israel di Timur Tengah itu adalah sesuatu yang amat-amat diperlukan oleh Amerika agar terus wujud keadaan tidak stabil agar kawasan itu selamanya bergolak. Suasana ini adalah perlu bagi Amerika agar pengaruhnya dapat bertapak dengan kukuh bagi terus menguasai dan memperbodohkan rejim sekular negara-negara Arab yang ada pada hari ini. Perlu diketahui bahawa Timur Tengah adalah kawasan yang cukup strategik dari sudut geografi, sumber tenaga dan ideologi. Wahai umat Islam! Sedarlah bahawa Amerika dan Israel itu adalah ibarat sekeping duit syiling. Ibarat irama dan lagu. Suatu kesatuan dan kewujudan yang tidak boleh dipisahkan. Kedua-dua negara kafir harbi hukman wa fi’lan ini akan terus berganding bahu dan saling bantu membantu untuk terus memerangi umat Islam dari segenap sudut. Firman Allah SWT:
”Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)”. [TMQ Al Baqarah (2) : 120].
Benarlah firman Allah SWT:
”dan orang-orang yang kafir, sebahagiannya menjadi penyokong dan pembela bagi sebahagiannya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar”. [TMQ Al Anfaal (8) : 73].
Sudah saatnya Khilafah itu berdiri bagi memadamkan peta Israel dari bumi Palestin. Ayuh seluruh umat Islam! Apa lagi yang menghalang kalian dari menyahut seruan Allah SWT dan rasulNya?
”Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan rasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”. [TMQ Al Anfaal (8) : 24].