‘Skandal Liwat’ Negara Malaysia
Negara dikejutkan sekali lagi dengan peristiwa ‘skandal seks’, iaitu seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang berumur 62 tahun, yang sakit di bahagian tulang belakangnya, juga tengkoknya dan kedaratnya mungkin tidak segagah dulu, telah berjaya ‘meliwat’ seorang anak muda yang berumur 23 tahun, gagah perkasa dan tinggi lampai orangnya. Yang menariknya kejadian ini bukan sekali dua, tetapi berkali-kali, bahkan ada yang pegawai unit-unit tertentu menyebarkan khabar angin bahawa si pemuda yang gagah perkasa ini telah diliwat dengan rakus sekali, dengan orang tua yang kedaratnya mungkin jauh kurang dari mangsanya. Beberapa pihak menjelaskan tentang bagaimana kes ini perlu ditangani, ada yang memberi cadangan supaya dilakukan muhabalah, ada yang kata perlu penghakiman dalam Islam dan ada yang menginginkan kedua-duanya.
Untuk menjawab persolan ini, kami ingin membincangkan hal ini secara sistematik mengikut penghujahan yang sebenarnya dari Fiqh Islam, bukannya Fiqh Sekular yang memisahkan agama dari kehidupan.
Perbezaan Antara Liwat dan Zina
Liwat dengan zina adalah dua perkara yang berbeza, di mana liwat didefinisikan sebagai memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam dubur lelaki yang lain. Manakala zina pula adalah memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam faraj perempuan. Maka dengan itu, hukuman liwat adalah tidak sama dengan hukuman zina, kerana di antara keduanya terdapat perbezaan dari segi fakta dan definisi yang telah disebutkan di atas.
Liwat juga tidak boleh diqiaskan dengan zina, kerana dalil yang menjelaskan tentang zina, tidak mengandungi `illat sama sekali, sama ada `illat dalalah, `llat sharahah, `illat istinbath mahupun `illat qiyas. Sekiranya, sesuatu dalil tidak mengandungi `illat, maka tidak boleh sama sekali kita mencari-cari `illatnya bagi menetapkan sesuatu hukum. Kerana `illat itu, mestilah berdasarkan kepada `illat syar’iyyah, bukannya `illat `aqliyyah iaitu `illat yang berdasarkan `aqal semata-mata dan tidak bersandar kepada nash-nash syara‘ (nusus asy-syar’iyyah) serta tidak mengandungi rukun-rukun qiyas sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama ushul fiqh (ushuliyyun). Kaedah `illat juga menyatakan; “al-`illat taduru ma’a ma’luul wujudan wa `adaman” (`illat itu beredar kepada apa yang di’illati ada atau tidak adanya).
Hukuman Untuk Peliwat dan Orang Yang DiLiwathi
Dengan demikian, telah jelas bahawa liwat tidak sama dengan zina. Sekaligus, hukumannya juga berbeza dengan hukuman zina. Namun, kedua-dua hal tersebut termasuk kategori hudud, bukan jenayah (jinayat), ta’zir mahupun qisas. Apatah lagi mukhalafat. Selain itu, mendatangi wanita pada duburnya, tidak disebut sebagai liwat. Bahkan perbuatan tersebut juga, tidak dinamakan liwat. Ini kerana, perbuatan yang dikategorikan sebagai liwat bukan sekadar memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam dubur, akan tetapi ia adalah hubungan kelamin lelaki dengan lelaki sahaja, tidak perempuan, walaupun seorang lelaki tersebut telah mendatangi seorang wanita melalui dubur. Ia tidak dianggap sebagai meliwat wanita tersebut, kerana liwat hanya melibatkan hubungan kelamin antara lelaki dengan lelaki sahaja. Maka hukuman yang akan dikenakan kepada lelaki yang mendatangi wanita melalui dubur adalah ta’zir, bukannya hukuman hudud sebagaimana hukuman hudud bagi liwat.
Oleh yang demikian, Khalifah atau Qadhi, wajib menjatuhkan hukuman ta’zir kepada pelaku-pelaku yang telah melakukan hal tersebut-(mendatangi wanita melalui dubur)-dengan hukuman yang menyakitkan, sehingga hukuman itu dapat menebus kesalahan yang telah ia lakukan, di samping mencegah pelakunya daripada mengulanginya semula. Ini kerana, fungsi hukuman (`uqubat) dalam Islam adalah sebagai pencegah (zawajir) dan penebus (jawabir).
Islam telah menetapkan bahawa hukuman liwat adalah bunuh, sama ada pelakunya belum berkahwin (ghair muhshan) ataupun yang telah berkahwin (muhshan). Sesiapa saja yang telah terbukti melakukan liwat, maka ianya dihukum bunuh. Dalilnya berdasarkan sunnah dan ijma’ ash-sahabah. Dari Ibnu `Abbas r.a berkata; Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wa Sallam bersabda;
“Barang siapa yang kamu jumpa, yang mana ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah keduanya.” [ HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi]
Inilah dalil yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wa Sallam di dalam hadisnya bahawa hukuman liwat adalah bunuh kedua-duanya. Manakala dalil yang ditunjukkan oleh ijma’ ash-sahabah adalah kesepakatan para sahabat untuk membunuh pelaku liwat, sama ada yang belum berkahwin mahupun yang telah berkahwin. Hukumnya tetap sama iaitu bunuh. Ijma’ Ash-Sahabah juga merupakan dalil syarak sebagaimana Sunnah. Dalil syarak yang disepakati oleh ulama ushul fiqh (ushuliyyun) hanya 4 sahaja iaitu;
1. Al-Quran Al-Karim
2. As-Sunnah An-Nabawiyyah Al-Muthahharah
3. Ijma’ Ash-Sahabah
4. Qiyas Asy-Syar’iyyah
Imam Baihaqi telah mengeluarkan hadis, dari `Ali Bin Abi Thalib r.a bahawa beliau merejam pelaku liwat. Hadis lain yang dikeluarkan oleh Baihaqi, dari Abu Bakar r.a bahawa beliau mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan kes liwat. Di antara para sahabat Rasulullah itu, yang paling tegas pendapatnya adalah `Ali Bin Abi Thalib r.a. Beliau mengatakan;
“Liwat adalah perbuatan dosa yang belum pernah dilakukan oleh umat manusia, kecuali satu umat yakni kaum lut sebagaimana yang telah kamu ketahui. Dengan demikian, pelaku liwat mesti dibakar dengan api.”
Diriwayatkan dari Ja’far bin Muhammad, dari bapanya, dari `Ali Bin Abi Thalib r.a selain dari kisah ini berkata;
“Rejam dan bakarlah dengan api.”
Imam Baihaqi juga mengeluarkan hadis, dari Ibnu `Abbas bahawa beliau ditanya tentang hukum hudud bagi pelaku liwat, maka beliau r.a berkata;
“Jatuhkanlah dari atas bangunan yang paling tinggi di suatu tempat, kemudian hujanilah dengan lemparan batu.”
Diriwayatkan dari `Ali Bin Abi Thalib r.a bahawa beliau membunuh pelaku liwat dengan pedang, kemudian membakarnya, disebabkan besarnya dosa liwat ini. `Umar r.a. dan Othman r.a. berpendapat;
“Pelaku liwat dilempari dengan benda-benda keras sehingga mati.”
Semua ini adalah pendapat dan tindakan para sahabat dalam melaksanakan hukuman bagi pelaku-pelaku liwat iaitu dibunuh, walaupun uslub pembunuhannya berbeza-beza. Namun demikian, hukumannya tetap dibunuh, sama ada direjam, dipancung, dilempar dari bangunan yang tinggi dan berbagai lagi uslub yang boleh digunakan untuk melaksanakan hukum bunuh ke atas pelaku-pelaku liwat.
Pembuktian dalam kes liwat berbeza dengan pembuktian zina. Namun demikian, ia sama seperti halnya pembuktian lain yang terdapat dalam salah satu had dari hukum hudud, kecuali zina. Hakikatnya, liwat tidak boleh disamakan dengan zina. Oleh kerana itu liwat tidak boleh ditetapkan berdasarkan bayyinah (pembuktian) zina. Pembuktian liwat dikategorikan ke dalam dalil hudud yang lain (selain zina).
Liwat terbukti dengan adanya;
1.Pengakuan
2.Kesaksian 2 orang saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagaimana pembuktian (bayyinah) dalam kes pencurian serta kes hudud yang lain
Sekilas mengenai hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinat) dalam Islam, di mana hukum-hukum pembuktian tersebut sama seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, yang merupakan hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat tafshiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da’ur dalam Kitab Ahkaam al-Bayyinat mendefinisikan bukti (al-bayyinat) sebagai semua hal atau perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan. Bukti juga merupakan hujah bagi orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan bahawa bukti itu ada 4 jenis;
1. Pengakuan
2. Sumpah
3. Kesaksian
4. Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan
Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan oleh syarak. Tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak’, melainkan 4 bukti di atas sahaja. Mengenai indikasi (qarinah) pula, ia tidak termasuk sebagai bukti menurut syarak.
Hukuman hudud liwat dapat dijatuhkan dengan syarat kedua-dua pelakunya itu baligh, berakal, rela dengan sendirinya (bukan dipaksa) dan terbukti telah melakukan liwat dengan bukti syar’ie iaitu pengakuan dan dengan kesaksian 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Sekiranya, pelaku liwat adalah kanak-kanak, orang gila atau dipaksa dengan pemaksaan yang sangat, maka ia tidak dijatuhi had liwat. Persoalannya jika seorang itu mendakwa diliwat dengan cara paksa, maka kita perlu mengkaji pengakuannya, adakah pemaksaan yang bersifat mengancam keselamatan anggota atau nyawa (ikrahul mulji‘)? Kalau tidak ini bermakna bahawa dia sebenarnya merelakan dirinya diliwat. Hukum orang yang mengaku liwat ini adalah dibunuh, dan kepada peliwat yang dituduhnya jika dia mengaku maka dia dihukum bunuh juga atau yang diliwat tadi berjaya membuktikan dengan 2 orang saksi mata, sekiranya gagal berbuat demikian, maka tambahan hukuman takzir kepada orang yang mengaku diliwat kerana mencemarkan nama orang lain. Hanya dalam sistem kapitalis sahaja pengakuan seks boleh dijadikan skandal untuk membunuh karier orang lain.