Khilafah hanya 30 tahun?
”Khilafah itu tiga puluh tahun, kemudian setelah itu terdapat al-mulk”. (HR Ahmad)
Hadis Kedua:
”Khilafah Nubuwwah itu tiga puluh tahun, kemudian setelah itu terdapat mulk”. (HR al-Hakim)
Hadis Ketiga:
”Khilafah Nubuwwah itu tiga puluh tahun, kemudian Allah memberikan kekuasaan atau kekuasaanNya kepada orang yang Dia kehendaki”. (HR Abu Dawud)
Hadis-hadis inilah yang dijadikan dalil bahawa tempoh keKhilafahan itu hanyalah selama 30 tahun dan selebihnya adalah berbentuk kerajaan. Lebih dari itu, mereka juga menyatakan bahawa perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah hanyalah perjuangan yang kosong dan khayalan. Ini disebabkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam telah mengatakan dengan jelas bahawa tempoh keKhilafahan itu hanya setakat 30 tahun. Walhasil, keKhilafahan tidak mungkin lagi akan berdiri meskipun diperjuangkan oleh gerakan-gerakan Islam. Walaupun pemerintahan Islam itu kembali berdiri, maka bentuknya bukan lagi Khilafah, tetapi berbentuk kerajaan.
Jadi adakah benar bahawa hadis-hadis di atas dalalahnya menunjukkan bahawa tempoh Khilafah Islamiyyah itu hanya sekadar 30 tahun dan yang selebihnya adalah berbentuk kerajaan?
Sanad Hadis
Hadis Pertama:
Hadis pertama diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari tiga sanad, iaitu: dari Bahzu dan dari Zaid bin al-Hubab, keduanya dari Hamad bin Salamah, dari Said bin Jumhan dari Safinah; dari Abd as-Samad, dari Said bin Jumhan, dari Safinah. Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Assab as-Sunan dan disahihkan oleh Ibn Hibban dan yang lain.
Hadis Kedua:
Al-Hakim dalam Al-Mustadrak meriwayatkannya dari Abu al-’Abbas Muhammad bin Ya’qub, dari Humaid bin ‘Iyasy ar-Ramli, dari al-Muammal bin Ismail, dari Hamad bin Salamah, dari Said bin Jumhan dari Safinah.
Hadis Ketiga:
Abu Dawud meriwayatkan hadis ini dari Sawwar bin Abdillah, dari Abd al-Warits bin Said, dari Said bin Jumhan, dari Safinah; juga dari Amr bin Aun, dari Husyaim, dari Awam bin Hawsyab, dari Said bin Jumhan, dari Safinah
Dalam hampir seluruh sanad hadis di atas, salah satu penuturnya adalah Said bin Jumhan. Para ulama hadis berbeza pendapat tentang Ibn Jumhan ini. Amr bin Abi Asim adh-Dhahak asy-Syaibani berkomentar tentang hadis ini: Hadis ini sahih, sanad-sanadnya hasan, kerana terdapat perbezaan pendapat yang makruf tentang Said bin Jumhan. Jamaah imam hadis menguatkannya.
Adz-Dzahabi dalam Mizan al-I’tidal fi Naqd ar-Rijal menyebutkan: Said bin Jumhan dari Safinah, Ibn Main men-tsiqah-kannya. Abu Hatim berkata: Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah. At-Tirmidzi menilai hadis ini hasan. Abu Dawud berkata: Ia (perawinya) tsiqah. Ibn Hibban dalam Ats-Tsiqah berkata: Jamaah men-tsiqah-kannya.
Makna Hadis
Tempoh tiga puluh tahun itu sebenarnya adalah tempoh bagi Khulafaur Rasyidin dan Hasan bin Ali (Abu Bakar 2 tahun, Umar 10 tahun, Utsman 12 tahun, Ali bin Abi Thalib 5 tahun 6 bulan, dan Hasan bin Ali 6 bulan). Selama tiga puluh tahun itu, hanya ada lima Khalifah.
Jika hadis Safinah tersebut difahami sebagai pembatasan tempoh Khilafah hanya untuk 30 tahun dan setelah itu berbentuk kerajaan, maka makna seperti itu akan bertentangan dengan hadis-hadis sahih yang lain, seperti hadis Hudzaifah tentang akan kembali tertegaknya Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah. Selain itu, jika hadis-hadis tersebut merupakan pembatasan bahawa Khilafah hanya untuk 30 tahun, bagaimana pula halnya tentang hadis-hadis lain berkaitan Khalifah dan baiat? Jika demikian, maka sudah pasti nas berkenaan hal itu (Khalifah dan baiat) menjadi tidak relevan lagi di saat ini, disebabkan tempoh 30 tahun itu telah pun berakhir. Ini menunjukkan bahawa makna seperti itu tidaklah tepat.
Kaedah usul mengatakan: I’mal dalilain aula min ihmal ahadihima (Mengamalkan dua dalil lebih utama daripada mengabaikan salah satunya). Makna hadis di atas akan menjadi jelas dengan menggandingkannya dengan hadis-hadis yang lain.
Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fath al-Bari berkata:
“Yang dimaksudkan dalam hadis Safinah adalah Khilafah Nubuwwah dan tidak membatasi (tempoh) Khilafah.”
Ini juga menjadi pendapat para ulama salaf, di antaranya Qadhi Iyadh, an-Nawawi, Ibn Hibban, as-Suyuthi, Ibn Taimiyah dan yang lain. Bahkan hadis riwayat al-Hakim, al-Baihaqi, dan Abu Dawud secara jelas menyebut tiga puluh tahun itu adalah tempoh Khilafah Nubuwwah. Hadis tersebut tidak menafikan wujudnya Khilafah selepas tempoh 30 tahun tersebut.
Adapun berkenaan kalimat “tsumma yakunu ba’da dzalika al-mulku” (kemudian setelah itu terdapat al-mulk), maka kata al-mulk jika diertikan sebagai negara dalam bentuk kerajaan dan pemerintahan, memang seakan-akan hadis tersebut menyatakan setelah 30 tahun itu tidak ada Khilafah (Khilafah Nubuwwah), dan berubah menjadi kerajaan.
Makna sebegini tidak tepat. Ini adalah kerana, perkataan al-mulk selain bermaksud kerajaan, ia juga boleh bererti al-hukm wa as-sulthan (pemerintahan dan kekuasaan). Makna inilah yang dinyatakan dalam riwayat Abu Dawud di atas, bahawa setelah 30 tahun tempoh Khilafah Nubuwwah, Allah akan memberikan pemerintahan dan kekuasaan kepada orang yang Dia kehendaki.
Setelah 30 tahun Khilafah Nubuwwah, pemerintahan dan kekuasaan beralih ke tangan Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyatakan:
“Adapun Mu’awiyah dan orang sesudahnya, maka keadaan mereka berada di atas jalan para raja, meskipun mereka tetap disebut Khalifah.”
Menurut Qadhi Abu Ya’la yang dikutip Ibn Taimiyah dalam Kutub wa Rasa’il wa Fatawa Ibn Taymiyah fi al-Fiqh, “Mungkin apa yang dimaksudkan adalah Khilafah yang tidak menyerupai negara selepas Rasul sallallahu alaihi wassalam yang berlangsung selama tiga puluh tahun. Begitulah keadaan Khilafah semasa pemerintahan Khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali). Adapun Mu’awiyah, ia telah menyerupai raja, meskipun hal itu tidak menjadikan Khilafahnya cacat.”
Fakta sejarah telah menunjukkan:
Pertama, seluruh kaum Muslimin termasuk para Sahabat yang masih hidup dan para Tabi’in tetap memanggil Mu’awiyah dengan panggilan Khalifah, Amirul Mukminin. Begitu juga dengan para Khalifah sesudahnya.
Kedua, masing-masing (para khalifah) dari mereka menjadi Khalifah setelah diberi baiat oleh kaum Muslimin, bukan kerana wasiat dari Khalifah sebelumnya (bukan seperti sistem monarki).
Ketiga, kedaulatan tetap berada di tangan syariah dan sistemnya tetap sistem Khilafah, walaupun diakui bahawa terdapat berlakunya penyelewengan dan keburukan implementasi (penerapan) yang berlaku di sana sini dalam tempoh tertentu di sepanjang Khilafah itu berdiri.
Penjelasan di atas sudah cukup untuk menyanggah pendapat yang mengatakan bahawa sistem Khilafah Islamiyyah hanya berumur 30 tahun dan selebihnya adalah berbentuk kerajaan. Sistem Khilafah Islamiyyah tetap berlangsung dan terus dipertahankan di sepanjang sejarah Islam sehinggalah ke tahun 1924 Masihi. Meskipun sebahagian besar Khalifah dinasti ‘Abbasiyyah, Umayyah, dan ‘Utsmaniyyah bertingkahlaku seperti seorang raja, namun mereka tetap konsisten dengan sistem pemerintahan dan penerapan hukum yang telah digariskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, yakni Khilafah Islamiyyah.
Tugas kita sekarang adalah berjuang untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah sesuai dengan manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Ini adalah kerana, tertegaknya Khilafah merupakan prasyarat bagi kesempurnaan agama Islam.