Najib Wajib Terap Islam
mykhilafah.com: APA pendapat ustaz mengenai pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru dan bagaimanakah agaknya corak kepimpinan yang bakal Najib tunjukkan?
Abdul Hakim: SECARA tradisinya siapa jua yang memegang jawatan Presiden UMNO akan menjadi Perdana Menteri. Inilah apa yang terjadi dengan pelantikan Najib. Tidak ada apa yang istimewanya kerana yang nyata, Najib bukan dipilih oleh rakyat sebagai Perdana Menteri, tetapi dia telah menjadi Perdana Menteri “by chance” dan juga “by default”.
Dari segi corak pemerintahan yang bakal beliau tunjukkan, saya sendiri tak dapat nak katakan tetapi yang pastinya, Najib sebagai pengganti kepada Pak Lah hanyalah merupakan anak didik UMNO yang akan terus berjuang atas dasar assabiyah Melayu, bukannya atas dasar Islam. Saya berpendapat Najib akan terus melaksanakan dasar yang sama seperti mana kelima-lima Perdana Menteri sebelum ini iaitu memperjuangkan agenda Melayu dan sekular, bukannya Islam.
Hal ini jelas diperlihatkan Najib sebelum dia menjadi PM lagi di mana beliau mengatakan UMNO perlu berubah, jika tidak UMNO akan rebah. Beliau sangat menekankan perubahan di dalam UMNO, bukannya kepada perubahan sistem yang ada sekarang kepada sistem Islam. Walhal sistem inilah yang menyebabkan rakyat menderita selama lebih 50 tahun di bawah pemerintahan UMNO/BN. Di sini jelas bahawa Najib mementingkan UMNO daripada rakyat. Ya saya setuju UMNO perlu berubah, malah UMNO bukan sahaja perlu berubah, tetapi perlu dihapuskan kerana ia merupakan sebuah parti yang ditubuhkan dan sehingga sekarang masih berjuang atas asas assabiyyah yang diharamkan oleh Islam. Najib sepatutnya membentuk sebuah parti baru yang mana asas perjuangannya adalah Islam dan seterusnya apa yang perlu Najib ubah adalah sistem pemerintahan yang ada pada hari ini dari sekular kepada Islam.
mykhilafah.com: APA komen Ustaz dari segi peribadi Najib sendiri?
Abdul Hakim: (Ketawa kecil) AGAK sukar untuk saya menilainya kerana saya tidak mengenalinya secara dekat, malah tak pernah bersua dengan beliau. Cuma, apa yang kita semua tahu adalah dia dibesarkan di dalam suasana penuh kemewahan kerana bapanya adalah bekas Perdana Menteri Malaysia. Dia adalah seorang yang dibesarkan tanpa pernah mengenal erti kesusahan dan keperitan hidup. Dia juga dibesarkan dan berpeluang menduduki jawatan pemerintahan sejak usia muda lagi dan selama itu, sekularlah yang menjadi teras perjuangan beliau.
Kalau dilihat perkembangannya sejak berada di dalam pemerintahan, apatah lagi perkembangan mutakhir sebelum beliau menjawat Perdana Menteri, Najib dipalitkan dengan pelbagai isu seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, malah pembunuhan Altantuya yang sehingga kini masih belum selesai dan belum dijawab sepenuhnya oleh Najib. Hal ini sememangnya menjatuhkan imej dan kredibilitinya sebagai orang nombor satu negara, di mana kalau kita lihat, perdana menteri-perdana menteri sebelum ini menjawat jawatan tertinggi itu dalam keadaan ‘lebih bersih’ berbanding Najib.
mykhilafah.com: APAKAH Ustaz berpandangan Najib tidak memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin mengikut Islam?
Abdul Hakim: ISLAM adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW utk mengatur hubungan di antara manusia dengan Al-Khaliq, manusia dengan dirinya sendiri dan juga manusia dengan manusia yang lain. Dalam kedudukan ini, urusan kepimpinan adalah urusan di mana manusia mengatur manusia yang lain. Dan siapa lagi yang wajib kita jadikan contoh di dalam bidang kepimpinan jika bukan Rasulullah SAW. Kriteria sebagai seorang pemimpin telah ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita dan juga para Khalifah setelah baginda.
Dalam hal ini, kita mesti ingat bahawa pemimpin tertinggi umat Islam adalah Khalifah. Abu Bakar ialah Khalifah, Umar ialah Khalifah, Utsman dan Ali juga adalah Khalifah. Begitu juga para pemimpin setelah Khulafa’ Rasyidun tersebut, kesemua mereka adalah Khalifah. Inilah pemimpin tertinggi umat Islam dan negara Islam. Namun setelah Daulah Khilafah diruntuhkan pada 3 Mac 1924, tiada lagi Khalifah yang memimpin umat Islam dan tidak ada lagi negara Islam. Umat Islam telah dipecah-pecahkan oleh penjajah kepada lebih 50 buah negara dan di setiap negara terdapat pemimpin sekular yang memerintah mengikut kehendak mereka sendiri, bukannya mengikut kehendak Allah dan Rasul.
Dari segi syarat secara individu, Khalifah itu mestilah mempunyai tujuh syarat yakni, hendaklah seorang muslim, lelaki, berakal, baligh, merdeka, adil dan mampu. Dan sebagai syarat seorang pemimpin Islam, seorang Khalifah itu wajib menerapkan hukum Allah. Secara ringkasnya, inilah kriteria pemimpin di dalam Islam. Jika dia tidak menerapkan Islam, apakah layak dia digelar seorang pemimpin Islam, walhal Allah berfirman,
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].
Jadi, saudara tentunya sudah mendapat jawapan sama ada Najib memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin Islam atau tidak.
mykhilafah.com: BAGAIMANA pula dengan barisan kabinet negara yang bakal dibentuk oleh Najib nanti?
Abdul Hakim: SIAPA pun yang bakal diisi oleh Najib di dalam kabinetnya akan pasti terdiri dari ahli-ahli UMNO/BN. Dan mungkin akan terdapat beberapa muka baru, itu biasa. Apa yang akan berlaku, sebagaimana yang telah berlaku sebelum-sebelum ini adalah, akan berlaku pertukaran ‘wajah-wajah’ anggota barisan kabinet, namun sistem yang diterapkan tetap sama, tetap sekular, tetap memisahkan di antara agama dan kehidupan. Mungkin Menteri A akan memegang jawatan baru dan Menteri B akan berpindah Kementerian dan sebagainya, namun Islam akan tetap diketepikan oleh mereka di dalam pentadbiran. Inilah dasar UMNO/BN.
mykhilafah.com: APAKAH Ustaz rasa Najib dan kabinetnya nanti berjaya membawa Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi global yang melanda kini?
Abdul Hakim: SEBAGAIMANA saya telah katakan, apa yang berubah sekarang hanyalah pemandunya sahaja, tetapi kereta yang dinaiki tetap kereta lama, kereta buruk yang penuh bermasalah. Sebagai pemandu baru yang mewarisi sebuah kereta buruk, Najib pastinya akan memperbaiki di mana patut, dia akan cat sana sikit sini sikit, tampal sana sikit sini sikit dan seterusnya.
Kita perlu faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular pendokong dan pengamal sistem Kapitalis. Tuan kepada Kapitalis adalah Amerika Syarikat. Jadi, mahu tak mahu, segala masalah yang melanda ‘tuan’, akan turut menjejaskan ‘hamba’nya. Malaysia kononnya cuba keluar dari kemelut dengan memasukkan suntikan pertama 7 billion untuk merangsang ekonomi, kemudian disiytiharkan lagi suntikan kedua sebanyak 60 billion bagi merancakkan ekonomi. Langkah ini adalah langkah yang sama yang telah dilakukan oleh AS dan Britain, namun tetap gagal memperbaiki ekonomi.
Kita perlu faham bahawa punca kepada krisis ekonomi yang melanda dunia adalah kerana sistem Kapitalis itu sendiri. Bermula dengan krisis sub prima di AS, ekonomi ribawi, pasaran saham, insuran dan sebagainya yang kesemua ini adalah jantung kepada transaksi ekonomi Kapitalis, telah membawa negara Kapitalis ke hujung hayat mereka. Malaysia sebagai sebuah negara Kapitalis tidak terlepas dari semua itu. Ekonomi ribawi, pasaran saham, cukai, insuran dan pelbagai bentuk transaksi haram menjadi teras kepada ekonomi Malaysia. Jadi, mana mungkin Malaysia akan terlepas dari kejatuhan ekonomi kapitalis global, kerana Malaysia juga adalah negara Kapitalis?
Satu-satunya jalan keluar dari krisis ekonomi ini adalah dengan mencampakkan sistem ekonomi kapitalis yang kotor lagi keji ini, dan menggantikannya dengan sistem ekonomi Islam. Inilah satu-satunya penyelesaian. Sistem ekonomi Islam adalah sistem ekonomi yang datangnya dari Allah selaku Pencipta manusia. Allah Maha Tahu akan apa yang manusia perlukan. Allah hidupkan manusia di dunia ini dan Allah berikan jalan pengaturannya, yakni Islam. Jadi, manusia yang sombong dengan Allah menggunakan sistem mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah, tidak mengambil sistem Allah. Sudah tentulah tidak akan menyelesaikan masalah. Dalam hal ini, Najib sendiri tidak pernah pun mencadangkan untuk menerapkan sistem ekonomi Islam untuk menyelamatkan umat Islam dari kemelut yang melanda. Inilah yang amat menyedihkan.
Hizbut Tahrir telah lama mengeluarkan buku Nizamul Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekomomi Islam), Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (Sistem Kewangan di Dalam Daulah Khilafah) dan ratusan lagi leaflet yang membincangkan tentang sistem ekonomi Islam. Hizbut Tahrir mahu pemimpin Islam menerapkan sistem ekonomi Islam yang datangnya dari Allah SWT. Jika Najib tidak mempunyai kepakaran, kita sanggup duduk dan berbincang dengan beliau bagaimana cara menerapkan sistem Islam di dalam pemerintahan. Kita mempunyai kepakaran tersebut.
Hizbut Tahrir yang bergerak di lebih 40 buah negara termasuk negara kafir, kita mempunyai solusi dan kaedah bagaimana mentadbir ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara berlandaskan Islam. Solusi ini adalah solusi yang pernah diterapkan pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ Rasyidun, dan ternyata telah membawa kemakmuran kepada dunia selama lebih 1400 tahun. Solusi inilah yang Hizbut Tahrir bawa.
mykhilafah.com: APA pendapat Ustaz mengenai dasar luar yang bakal dilaksanakan oleh Najib?
Abdul Hakim: SAYA melihat dasar luar yang bakal diterapkan Najib tetap sama sebagaimana pemimpin terdahulu. Sebagaimana saya telah nyatakan, Najib tidak membawa agenda Islam di dalam pemerintahan beliau, justeru dasar luar yang bakal diterapkan tentunya dasar luar yang bukan Islam. Islam mempunyai siyasah kharijiyah (polisi luar negara) yang khusus dan tersendiri yakni dakwah dan jihad.
Pemimpin umat Islam tidak pernah mengamalkan dasar luar Islam. Malah kita lihat semasa pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pemimpin OIC sekalipun, umat Islam di Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thailand dan Palestin terus tertindas dan dibunuh dengan kejam tanpa sedikit pun pembelaan dari pemimpin dunia Islam. Malah ketika itu, Najib sendiri memegang portfolio Menteri Pertahanan, namun tidak ada seorang tentera pun yang dihantar untuk menyelamatkan saudara kita di sana.
Lebih menyedihkan semasa Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) melakukan demontrasi aman di Kementerian Pertahanan menyeru agar tentera Malaysia dikerah untuk membantu umat Islam di Gaza yang terus disembelih tentera Israel, pemimpin Malaysia memberi komen sekadar cukup kita hantar bantuan perubatan dan kecemasan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza, tidak perlu dan tidak boleh hantar tentera. Inikah pemimpin Islam yang kita mahukan?
Hal ini bertentangan secara diametral dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Khalifah ketika mana nyawa umat Islam diancam musuh. Rasulullah dan para Khalifah melancarkan jihad untuk menghapuskan tentera kuffar demi menyelamatkan umat Islam, sedangkan pemimpin sekarang masih berada di kerusi empuk dan masih enak di buai mimpi di tilam yang paling mahal tatkala nyawa umat Islam satu per satu melayang di Gaza.
Kalau nak bercakap tentang dasar luar ni, terlalu banyak yang nak saya perkatakan dan perbetulkan, namun cukuplah dulu buat masa ini.
mykhilafah.com: PESANAN Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kepada Najib?
Abdul Hakim: HTM terus komited dengan perjuangan parti yakni melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Hizbut Tahrir seluruh dunia berusaha siang dan malam tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk menerapkan sistem Khilafah ke seluruh pelusuk dunia. Dalam usaha Hizbut Tahrir untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Khilafah ini, Hizbut Tahrir tetap akan terus memuhasabah pemimpin, siapa pun mereka. Dalam masa yang sama, Hizbut Tahrir berusaha untuk mendapatkan nusrah (pertolongan) dari mereka yang berkuasa dan mempunyai kekuatan agar mereka menolong Hizbut Tahrir di dalam menegakkan agama Allah ini, dan seterusnya membantu Hizbut Tahrir untuk menegakkan Daulah Khilafah.
Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Hizbut Tahrir menyeru agar terapkanlah Islam di dalam pemerintahan anda, tukarlah sistem sekular ini kepada sistem Islam. Takutlah anda kepada Allah dan Rasul di dalam urusan pemerintahan ini, Allah akan menghisab setiap perbuatan anda walau sebesar zarah sekalipun. Allah menjanjikan syurga kepada anda jika anda menerapkan hukumNya, dan neraka yang bernyala-nyala menanti anda jika hukum Allah anda ketepikan. Dan ingatlah bahawa Allah berkuasa merentap kekuasaan anda dengan sekelip mata sahaja, sebagaimana Allah telah merentap pemerintahan orang-orang sebelum anda.
mykhilafah.com: TERIMA kasih Ustaz kerana meluangkan sedikit masa untuk temu ramah ini.
Abdul Hakim: AFWAN wa jazakumullahu khairan.