Fikratul Ummah – Oktober 2009

 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Syawal yang berlalu membawa bersamanya taqarrub Ilallah (mendekatkan diri pada Allah) menjadikan sebahagian Muslim kembali pada saat sebelum fajar Ramadhan menyinsing. Debu-debu sekularisme yang hebat bertaburan menguasai ruang menyebabkan kedatangan Zulkaedah lebih dihayati dalam konteks ibadah fardhu haji semata-mata sehingga aktiviti-aktiviti lain kurang diperhatikan, apatahlagi usaha dakwah untuk memenuhi kewajipan melaksanakan Ummul Fard – ibu segala fardu iaitu mendirikan Negara Islam atau Khilafah sebagai mekanisme pelaksanaan Islam Kaffah.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah pada kali ini mengemukakan dua buah artikel untuk membangkitkan keprihatinan umat terhadap isu-isu yang tidak lapuk dek hujan dan tak kering dek zaman. Peranan Suami Isteri Dalam Membentuk Keluarga Bahagia menyentuh tentang peranan yang perlu dimainkan oleh kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri untuk mengecapi kebahagiaan rumahtangga. Walaubagaimanapun, apa yang penting ialah sebagai seorang Muslim, suami dan isteri bukan hanya perlu memainkan peranan masing-masing untuk mencapai kebahagiaan rumahtangga sebaliknya berusaha melaksanakan lain-lain kewajipan yang disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk  mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Artikel kedua mengupas tentang Bajet 2010 yang dianggap ‘mesra wanita’ untuk mengingatkan kepada umat Islam bahawasanya, peruntukan wang dan insentif yang diberikan oleh pemerintah kepada wanita bekerja tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul apabila kemasukan mereka ke dalam pasaran kerja telah menjejaskan institusi kekeluargaan.

Diharap kedua-dua artikel itu tadi akan dapat menyuntik kesedaran umat bahawa tumpuan atau fokus mereka bukanlah hanya pada sambutan Eidul Adha dan ibadah korban serta ibadah haji semata-mata, sebaliknya memperhatikan masalah umat juga wajib dilakukan seiring dengan  melakukan ibadah ruhiyyah.

Wallahu ‘alam bisshawab.


Peranan Suami Isteri Dalam Membentuk Keluarga Bahagia

Firman Allah Subhanahu Wa Taala“Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui”. [TMQ: Yaasin (36): 36].

Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya Dia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir “[TMQ: ar-Rum (30): 21].

Apa yang dinyatakan dalam firman Allah Azza wa Jalla di atas tidak akan dapat dicapai seandainya tidak wujud peraturan, hukum dan undang-undang kerana tujuan perkahwinan ialah mengatur pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa aturan yang rapi dalam pergaulan makhluk Adam dan Hawa, kepincangan tidak dapat dielakkan. Maka, kerana itu, perkahwinan disyariatkan yang mana di dalamnya ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram.

Dalam Islam, sistem Kekeluargaan Islam adalah satu sistem yang menyusun institusi keluarga, menjelaskan semua urusan di dalamnya, menentu dan mengagihkan bidang tugas, menentukan tanggungjawab anggota keluarga, menjelaskan perkara yang mesti dipatuhi dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab. Allah yang mencipta manusia telah mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk-makhluk lain ciptaan Allah, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang–pasangan agar kamu mengingati kebesaran Allah ” [TMQ Az Dzariyaat (51): 49 ]

Sejak zaman Nabi Adam Alaihi Saliam sehingga zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam,  syariat yang ditetapkan untuk mengatur hubungan laki-laki dan wanita adalah pernikahan. Oleh itu, mendapat pasangan yang baik merupakan sebuah kebahagian dalam rumah tangga. Apalagi jika pasangan itu merupakan pasangan yang sentiasa taat pada perintah Allah dan RasulNya dalam menjalani kehidupan seharian. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Ada empat hal yang apabila dianugerahkan kepada seseorang, berarti ia benar-benar terbaik di dunia dan akhirat. Hati yang sentiasa bersyukur, lisan yang sentiasa berdzikir, jiwa yang sentiasa bersabar menghadapi musibah, isteri yang tak pernah mengkhianati suaminya seraya menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya saat ditinggalkan (pergi).” [HR. At Tirmidzi].

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda; ”Tanda kebahagiaan seorang anak Adam ialah beristerikan wanita solehah”[HR Ad-Dailami].

Bagi wanita pula, mendapat suami yang baik merupakan bahagian dari keberkahan hidup. Memilih suami yang beragama dan berakhlak mulia adalah penolak bencana dari Allah Subhanahu Wa Taala  di muka bumi baginya dan keluarganya sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Jika datang kepadamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya, maka bernikahlah dengannya, jika tidak maka akan muncul fitnah di bumi dan kerosakan.”

Namun begitu, ketenangan dan kebahagiaan dalam rumahtangga bukanlah merupakan sebuah hadiah yang diberikan kepada  suami isteri. Ia memerlukan perjuangan dan proses yang memakan waktu. Lama ataupun cepat pasangan suami isteri itu mendapat kebahagiaan bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh pasangan tersebut dalam mengatur  urusan rumah tangganya. Untuk itu ada beberapa perkara yang jika diamalkan Insya’ Allah boleh membantu pasangan suami isteri  mencapai atau menciptakan suasana yang menyenangkan dalam rumah tangga.

Peranan dan Tanggungjawab Suami Dalam Rumah Tangga
Syariat Islam telah menjelaskan tentang tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya. Allah Subhanahu Wa Taala telah memerintahkan agar seorang suami melayani isterinya dengan penuh keakraban dan kasih sayang. Kewajiban suami terhadap isteri bukanlah sekadar memenuhi hak isteri berupa mahar dan nafkah. Namun lebih dari itu, seorang suami tidak boleh membuat isterinya cemburu dengan menampakkan kecenderungan kepada wanita lain selain kepada isterinya itu.

Rasulullah telah berpesan kepada kaum lelaki dalam urusan kaum wanita sebagaimana sabda Rasulullah dalam khutbahnya ketika Haji Wada’ sebagai berikut: ”Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah dalam urusan kaum wanita kerana kalian telah mengambilnya sebagai amanat daripada Allah, dan kalianpun telah menjadikan kehormatan mereka halal dengan kalimat Allah. Kalian mempunyai hak atas isteri-isteri kalian agar mereka tidak memasukkan ke tempat tidur kalian salah seorang yang kalian benci. Jika mereka melakukan tindakan demikian, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak sampai membahayakan. Sebaliknya, mereka pun berhak untuk mendapatkan rezeki dan pakaian mereka dengan cara yang makruf.” [HR Muslim].

Dalam riwayat lain, baginda bersabda: ”Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik perlakuannya terhadap keluarganya. Sesungguhnya aku sendiri adalah orang yang paling baik di antara kalian dalam melayani keluargaku

Ibn. Majah menuturkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik perlakuannya terhadap isteri-isterinya”

Meskipun seorang suami mempunyai hak kepimpinan terhadap isterinya sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Taala. ”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan atas sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) menafkahkan sebahagian harta mereka.” [TMQ an-Nisa’(4):34 ].

Di sini menjelaskan bahawa posisi suami sebagai penanggungjawab dan kepimpinannya atas isteri di dalam rumah bukan bererti menjadikan dirinya sebagai orang yang boleh bertindak sesuka hati di dalam rumah atau seperti seorang penguasa yang tidak dapat dilanggar perintahnya. Akan tetapi, kepimpinan suami di dalam rumah hanya berlaku dalam pengurusan dan pengelolaan urusan-urusan rumah tangga sahaja, bukan dalam hal kekuasaan dan hak memerintah di dalam rumah tangga. Oleh itu seorang isteri berhak menjawab ucapan suaminya, berbincang dengannya, dan membahas apa saja yang dikatakannya. Sebab pada dasarnya, keduanya adalah dua orang sahabat, bukan pihak yang memerintah dan yang diperintah.

Sekalipun kehidupan suami isteri dijalinkan dalam keadaan persahabatan, kemungkinan pada mereka terjadi perbezaan pendapat dalam pengaturan rumah tangga. Untuk mengatasi persoalan tersebut, tentu diperlukan pemimpin yang menjadi pemegang keputusan dan kata akhir. Kerana ayat di atas yang menetapkan suami menjadi  pemimpinnya, maka keputusan suami harus ditaati oleh isterinya.

Kewajiban suami dalam memberi nafkah dari sebahagian harta yang mereka miliki kepada isterinya, sebahagian fuqaha membolehkan wanita melakukan fasakh nikah tatkala suaminya tidak memberikan nafkah kepadanya. Kerana itu, jika suami tidak memberikan nafkah, kedudukannya sebagai pemimpin dalam rumah tangga boleh digugat sehingga isteri berhak mengajukan fasakh. Demikianlah pendapat ulama dari mazhab Maliki dan Syafie.

Peranan dan Tanggung jawab Isteri Dalam Rumah Tangga
Setelah menjelaskan kedudukan suami beserta tanggung jawabnya, Allah Subhanahu wa Taala menerangkan pula kedudukan wanita beserta tanggungjawab dan kewajibannya. Wanita solehah adalah wanita yang taat kepada Allah dan taat kepada suaminya ketika suaminya ada di sampingnya mahupun tiada di sisinya. Ia sentiasa menjaga kehormatannya serta rumah, harta benda dan kehormatan suaminya serta selalu membahagiakan suaminya, sebagaimana sabda Rasulullah: “(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya.” [HR an-Nasa’i].

Selain itu, dalam urusan rumah tangga, seorang isteri wajib melayani suaminya seperti memasak, membersihkan rumah, menyediakan minuman jika di minta, menyiapkan makanan serta melayani suaminya iaitu dalam segala urusan yang berkaitan dengan kehidupan rumah tangganya secara mutlak.

Ringkasnya, segala sesuatu yang mesti dilakukan dalam rumah tangga menjadi kewajiban wanita untuk mengerjakannya, apapun jenis pekerjaannya. Sebaliknya, segala sesuatu yang perlu dilakukan di luar rumah menjadi kewajipan suami untuk mengerjakannya. Demikianlah sebagaimana hadis dari Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Berkaitan dengan kisah Ali dan Fatimah sebagai berikut: ”Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah mewajibkan puterinya, Fatimah, untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di dalam rumah, sedangkan Ali ditugaskan untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan di luar rumah”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam juga telah memerintahkan isteri-isterinya untuk bekerja melayani baginda. Contohnya, baginda sering berkata: “Aisyah, tolong ambilkan makananku,” Aisyah tolong ambilkan aku pisau, lalu asahlah dengan batu” dan sebagainya.

Dalam riwayat lain pula: Fatimah pernah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Dia mengadu bahawa dirinya tidak dapat berehat sekaligus meminta kepada beliau seorang pembantu yang dapat meringankan pekerjaannya.

Semua ini menunjukkan bahawa usaha melayani suami dan mengurus rumah tangga merupakan salah satu kewajiban diantara berbagai kewajiban seorang isteri yang harus dilaksanakan. Namun demikian, kewajipan itu ditunaikan sesuai dengan kemampuannya. Jika pekerjaannya amat banyak, maka suami wajib menyediakan pembantu rumah, jika tidak terlalu banyak pekerjaan yang perlu dilakukan, maka suami tidak wajib menyediakan pembantu rumah.

Disamping tugasnya sebagai suri rumahtangga, seorang isteri juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan dalam Islam bukanlah sekadar menjadi Isteri, mengandung, melahirkan serta mengasuh anak, kerana sifat yang sedemikian juga ada pada haiwan. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa  dan perasaan  sebagai ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri sendiri, kasih terhadap anak-anak, bahkan sanggup berkorban dan bersusah payah melaksanakan kerja-kerja dalam urusan rumahtangga.

Keibuan  juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang akan mencorak dan membentuk keperibadian anak-anaknya, sebagaimana maksud dalam sebuah hadis: “Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR Bukhari dan Muslim].

Seandainya  ibu-ibu Muslimah tidak memainkan peranan mereka yang sebenar dalam membentuk dan memberikan pendidikan terhadap anak-anak mereka, maka kesannya akan dapat dilihat sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amat malanglah ibu-ibu yang sudahlah di dunia mereka bersusah payah memelihara anak-anak mereka itu, di akhirat pula terpaksa dipertanggungjawabkan kerana kelalaian mereka memberikan pendidikan yang sempurna.

Para  ibu perlulah mengetahui bahawa anak-anak sebenarnya  mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna daripada seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka?

Adalah menjadi tugas seorang ibu Muslimah apabila anaknya  sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam di dalam hadisnya.

Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun, ibu-ibu hendaklah menggesa anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Jika dia cuai menunaikan sembahyang apabila berumur 10 tahun, maka dia boleh dipukul. Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” [TMQ Thaha (20):132]

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Jika seorang anak telah mengetahui (membezakan) tangan kanannya dari tangan kirinya maka latihlah dia menunaikan solat“  [HR Thabrani].

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam :Ajarilah anak-anak solat (sejak) usia 7 tahun dan pukullah dia (untuk mendidiknya) pada usia 10 tahun.” [HR Abu Daud, at Tirmidzi, al-Baihaqi dan al-Hakim].

Sungguhpun begitu, seorang ibu Muslimah perlulah memahami bahawa qarinah atau indikasi yang ditunjukkan melalui perintah melaksanakan solat bukanlah hanya hukum tentang solat semata-mata, sebaliknya seawal usia 7 tahun yang mana anak-anak telah mumayyiz, mereka hendaklah juga diperkenalkan kepada lain-lain hukum seperti menutup aurat di hadapan bukan mahram kepada anak-anak perempuan, hukum tentang pergaulan lelaki-wanita, menuntut ilmu dsb.

Khatimah
Dalam sesebuah institusi keluarga, suami isteri perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang demikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami dan memahami peranan masing-masing dalam sebuah rumahtangga. Allah Subhanahu Wa Taala telah menetapkan suami sebagai pemimpin manakala isteri sebagai pengurus rumahtangga. Apapun tugas yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu, ianya merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Demikian pula laki-laki dan wanita, mereka sememangnya sama-sama manusia. Namun masing-masing memiliki sifat yang berbeza. Kerana sifat yang berbeza itulah masing-masing diberi hukum, tugas dan tanggungjawab. Wajar jika laki-laki  mendapat tugas sebagai pemimpin bagi wanita kerana Allah Subhanahu Wa Taala telah memberikan kelebihan kepadanya dalam perkara tersebut. Wajar pula jika wanita mendapat tugas dan tanggungjawab sebagai al-umm wa rabbat al-bayt (ibu dan pengatur rumah) kerana wanita memang diberi kelebihan dan keistimewaan dalam perkara tersebut. Oleh sebab itu, jika aturan tentang pergaulan suami isteri ini dilaksanakan, keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah akan tercipta. Siapa yang tidak menginginkannya?

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya”.

Walau bagaimanapun, satu perkara penting yang perlu diketahui oleh suami dan juga isteri ialah memahami bahawasanya kehidupan di dunia ini bukanlah semata-mata meraih kebahagiaan dalam rumahtangga sahaja kerana makna kebahagiaan sejati bagi seorang Muslim adalah meraih keredhaan Allah dalam setiap perbuatan dan aspek kehidupan yang dilaluinya, di dalam dan di luar rumahtangga. Ini bermakna kedua-dua suami-isteri mestilah memahami bahawa selain berusaha memainkan peranan untuk meraih kebahagiaan dalam rumahtangga, Allah juga memerintahkan umat Islam sama ada lelaki atau wanita untuk melaksanakan perintahNya dalam aspek lain seperti menuntut dan mendalami ilmu agama, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, menjalankan aktiviti dakwah dsb selain ibadah khusus dan hukum-hakam tentang makanan dan pakaian. Ringkasnya, disamping memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan berumahtangga, tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim juga hendaklah dilakukan supaya pada akhirnya, meraih keredhaan Allah menjadi matlamat utama, bukan hanya untuk memuaskan hati pasangan masing-masing sahaja. Wallahu’ alam bishawab.


Bajet 2010 Mesra Wanita?

Laporan Bernama pada 23hb Oktober 2009 mengatakan bahawa Bajet 2010 yang berjumlah RM191.5 bilion yang baru dibentangkan yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Walaupun tiada peruntukan khusus untuk wanita, kebanyakan wakil NGO wanita melihat bajet berkenaan dari sudut positif. Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata bajet kali ini meletakkan keperluan wanita secara keseluruhan, sekaligus menunjukkan kedudukan wanita kini semakin meningkat.

Antara faktor yang mengatakan Bajet 2010 sebagai mesra wanita adalah seperti berikut:
1.    Pemberian Taraf Permastautin Tetap (PR) yang akan dipanjangkan kepada lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia. Sebelum ini, wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing dikatakan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan PR bagi suami masing-masing, justeru ramai yang mempertikaikan isu berkenaan yang dilihat satu bentuk diskriminasi kepada wanita memandangkan PR agak mudah diberikan kepada wanita asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan.

Timbalan Presiden NCWO, Faridah Khalid, berkata sebelum ini sudah pun ada akta yang menyatakan tidak boleh ada diskriminasi gender terhadap mana-mana wanita di negara ini, justeru wanita sememangnya berhak menuntut dan mendapatkan keadilan dalam hal itu. Faridah berkata, apa yang menjadi permasalahan bagi mendapatkan PR pada masa kini, sama ada untuk lelaki warga asing berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia atau sebaliknya ialah masa yang diambil untuk meluluskannya adalah terlalu lama sehingga merumitkan keadaan.  Walaupun dalam undang-undang sudah jelas menyatakan tiada diskriminasi gender. Justeru, dia berpendapat bahawa apabila perkara itu diutarakan ia bukanlah sesuatu yang baru. Apa yang lebih penting dalam hal ini ialah pelaksanaannya mestilah dilakukan dengan baik supaya tidak berlaku kelewatan.

2.    Kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi kementerian atau jabatan kerajaan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dalam usaha meningkatkan penjagaan bermutu, selain membantu wanita untuk kekal dalam pasaran kerja. Peruntukan itu turut menggalakkan kualiti dan mampu meningkatkan produktiviti pekerja wanita di syarikat mereka, khususnya kerana berasa selamat apabila anak ditempatkan di kawasan berhampiran dengan lokasi tempat bekerja.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, dengan adanya lebih banyak penubuhan pusat sedemikian ia mampu menurunkan peratus wanita berhenti kerja untuk menjaga anak-anak mereka. “Penyelidikan yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Keluarga dan Populasi Negara mengenai penjagaan anak-anak di kalangan ibu bekerja pada tahun 2004, mendapati 55.7 peratus responden berhenti kerja kerana masalah penjagaan anak mereka,” katanya. Justeru katanya melalui bajet, pusat harian dan pendidikan yang akan ditubuhkan dengan banyak dapat memberi peluang kepada wanita-wanita yang bekerja dan menyumbang kepada ekonomi Negara [http://www.mysarawak.org/2009/10/25/elak-wanita-berhenti-kerja.html].

Selain dari dua perkara di atas, antara beberapa intipati Bajet 2010 yang berkaitan dan boleh dimanfaatkan oleh golongan wanita adalah seperti berikut:

i.     Untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus pada 2010 berbanding 3.6 peratus pada 2007, kerajaan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan mikro kredit bagi kumpulan produktif supaya menjana pendapatan berterusan untuk lebih berdikari.

ii.    Antara langkah diambil meluluskan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi meneruskan Program Pembasmian Kemiskinan dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat.

iii.    Bagi mengiktiraf kesungguhan golongan wanita dalam membantu memperbaiki kehidupan sekeluarga, Kerajaan menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan kepada lebih 3,000 wanita yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

iv.    Untuk meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar Bandar, Kerajaan akan menyediakan peluang untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan lebih banyak premis perniagaan terutama di lokasi strategik di luar bandar.

Gula-Gula Sistem Sekular
Setiap kali pembentangan Bajet dilakukan oleh Perdana Menteri, seluruh rakyat tertunggu-tunggu apakah agaknya khabar gembira yang bakal menanti mereka tahun demi tahun. Dalam kalangan wanita, mereka juga melakukan hal yang sama. Pemerintah dianggap bagus jika cenderung atau kelihatan begitu prihatin terhadap sesuatu golongan. Hakikatnya, menjaga kebajikan rakyat bukanlah satu pilihan kepada mereka (pemimpin Negara), sebaliknya ia adalah satu kewajipan sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka” [HRAt-Tarmizi daripada Ibn Umar].

Islam Menjaga Kemaslahatan Rakyat
Jika diteliti hadis riwayat At-Tarmizi di atas, kita mendapati bahawa pemimpin Negara memikul tanggungjawab untuk memastikan kebajikan untuk seluruh rakyat. Akan tetapi, kebajikan yang dijanjikan bukanlah bertujuan untuk meraih sokongan rakyat, untuk memastikan mereka mengundi calon parti pihak pemerintah dalam pilihanraya umum dan kecil sebagaimana yang dapat disaksikan pada hari ini.

Dalam isu pemberian taraf pemastautin tetap (PR) kepada warganegara Malaysia yang bersuamikan warga asing, pemerintah menyediakan satu keadaan yang kondusif supaya setiap pasangan suami isteri dapat menjalani kehidupan dengan aman sejahtera. Di sini, Islam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira status mereka sama ada Muslim atau Kafir Zimmi. Hal ini sudah tentu bertentangan dengan perjuangan kesetaraan gender sebagaimana yang disebut oleh Faridah Khalid, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) di atas.

Peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap kementerian atau jabatan kerajaan dianggap akan dapat menyelesaikan masalah penjagaan kanak-kanak dan isu penderaan seksual anak di tempat penjagaan. Beberapa persoalan yang bakal timbul adalah, memandangkan hanya badan kerajaan sahaja yang diberikan peruntukan tersebut, bagaimana pula halnya dengan pihak swasta? Pengerusi Koalisi Pencegahan Gangguan Seksual Anak Malaysia, Sabri Ab Rahman, berkata syarikat swasta yang tidak menyediakan pusat khas penjagaan anak-anak disarankan bergabung bersama syarikat swasta lain berhampiran bagi menubuhkan pusat sebegitu demi menjaga kualiti pekerja mereka [www.bharian.com.my].  Walaupun terdapat insentif kepada majikan yang menyediakan pusat jagaan anak di premis mereka dalam Akta Cukai Pendapatan 1967  sebagaimana berikut:

Incentive for Employees’ Child Care Facilities (Insentif untuk Kemudahan Pusat Jagaan oleh Majikan): Expenditure incurred for the construction/purchase of buildings for the purpose of providing child care facilities for employees are eligible for a special Industrial Building Allowance of 10% for 10 years. (Perbelanjaan yang dilakukan untuk membina atau membeli bangunan untuk menyediakan kemudahan jagaan anak untuk para majikan adalah layak untuk menuntut Elaun Bangunan Industri Khas sebanyak 10% selama 10 tahun)

Insentif yang diberikan hanya mampu dilakukan oleh majikan yang memiliki kedudukan kewangan stabil yang mampu memperuntukan sejumlah wang untuk kebajikan pekerja. Realiti dunia Sekular-Kapitalis pada hari ini yang berpaksi kepada teori asas pengurusan kewangan iaitu memaksimakan kekayaan pemegang saham, sesebuah syarikat atau organisasi yang bermotifkan keuntungan (profit-oriented organisations), mereka tidak akan sewenang-wenangnya membelanjakan wang jika pelaburan tidak menjanjikan pulangan dan sekiranya aliran tunai mereka sangat terhad.  Jadi, kepada wanita yang bekerja di sektor awam yang mana kementerian atau jabatannya diperuntukan RM200,000 untuk menyediakan pusat jagaan dan pihak swasta yang diberikan insentif elaun bangunan industri khas, tidak ada kepastian atau jaminan bahawa langkah di atas akan menyebabkan wanita lebih tenang kerana peruntukan dan insentif yang diberikan adalah semata-mata demi maslahat. Senario mungkin berubah dan peruntukan serta insentif ditarik balik seandainya berlaku perubahan dalam lanskap politik negara. Selain itu, isu yang jarang dibahaskan oleh kalangan Muslimah sendiri ialah, adakah wanita sebenarnya perlu bekerja? Dalam Islam, seorang wanita itu dibolehkan terlibat dalam akad ijarah sama ada sebagai majikan atau sebagai pekerja (ajir) selagi mendapat izin wali atau suami, dan juga selagi pekerjaannya tidak menyebabkan dirinya terlibat dalam maksiat iaitu sebarang pelanggaran hukum.

Pada hari ini, sebahagian wanita bekerja kerana faktor ‘survival’ semata-mata disebabkan pendapatan suami tidak cukup untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar selain dari golongan ibu tunggal yang terpaksa membanting tulang demi sesuap nasi. Tidak sedikit implikasi negatif yang berlaku. Apabila kaum wanita memasuki pasaran kerja, sedikit sebanyak ia menyebabkan terjejasnya institusi kekeluargaan kerana mereka tidak dapat menjalankan tanggungjawab asas selaku ibu dan pengatur rumahtangga (ummu wa rabbat al-bayt) dengan sempurna kerana sebahagian masanya di luar rumah. Justeru, jalan penyelesaian untuk masalah ini adalah dengan merujuk kepada nas yang digali dari sumber wahyu.

Hukum Syariah menetapkan pemenuhan semua keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perumahan secara sempurna bagi setiap warganegara Negara (Daulah) Islam. Hal tersebut akan tercapai dengan kewajiban bekerja bagi setiap laki-laki yang mampu sebagai jalan untuk memenuhi keperluan pokok bagi dirinya sendiri dan keluarga yang ditanggungnya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu kembali (setelah) dibangkitkan.” [TMQ al-Mulk (67) : 15]. Islam juga mewajibkan anak-anak dan ahli waris untuk menanggung perbelanjaan kedua orang tuanya yang tidak mampu lagi bekerja, dan mewajibkan Baitul Mal untuk membiayai kehidupan mereka jika tidak ada seorang pun yang dapat membantunya.

Jika pemerintah melaksana dan menguatkuasakan seluruh hukum Islam yang mana salah satu darinya adalah sistem ekonomi Islam sehingga kemaslahatan seluruh warganegara sama ada lelaki atau perempuan, Muslim atau Kafir Zimmi terpelihara, sudah tentu kaum wanita yang memasuki pasaran kerja bukanlah kerana faktor ‘survival’ semata-mata. Maka, masih relevan lagikah peruntukan dan insentif untuk menawan hati kaum wanita dalam Bajet 2010 ?