Fikratul Ummah – Jan 2013
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
Segala puji bagi Allah al-Mubdi wa al-Muakhir yang mengurniakan rezeki yang luas kepada hamba-hambaNya di muka bumi ini. Alhamdulillah kita masih merasai nikmat Islam dan iman kerana dengan nikmat tersebutlah maka kita sabar menyelak dan membaca setiap helai lembaran majalah kecil ini.
Pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Sedar atau tidak, kalendar 2012 telah melabuhkan tirai dan 2013 memunculkan diri. Tahun 2012 yang baru ditinggalkan telah mencoret sejarahnya sendiri dan meninggalkan memori manis atau pahit kepada individu, masyarakat dan juga negara. Apa yang pasti, rancangan dan agenda untuk memperkasakan kehidupan wanita tidak pernah disisihkan. Hasilnya, 2012 telah menyaksikan pelbagai kejayaan wanita Malaysia. Pencapaian dan kejayaan wanita Malaysia telah mendapat perhatian dan pengiktirafan dunia. Bukan sekadar itu, Malaysia malah dianggap sebagai contoh negara Islam yang berjaya mengetengahkan wanita. Wajarkah pencapaian sebegini dibanggakan? Adakah semua ini patut dibanggakan? Inilah isu yang akan dikupas dalam artikel-artikel yang dimuatkan dalam edisi kali ini.
Tahun baru 2013 pula pastinya bakal mencatat seribu satu lakaran baru dalam lipatan sejarah. Sejarah telah membuktikan hanya insan-insan yang melakukan sesuatu yang terbaik dan terhebat sahaja yang namanya diingati di mata dunia. Jadi, marilah pembaca sekalian, kita rebut kembali status umat terbaik sebagai umat Islam dengan melaksanakan perintah Allah dalam firmanNya,
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ ali-‘Imran (3):110].
Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hambaNya dengan mewajibkan perintah ini kerana Allah tidak membebani hambaNya kecuali sesuai dengan kesanggupannya. Bahkan Allah memberikan pahala bagi mereka yang mengerjakannya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu atas sebab kejahilan dan kelalaian kita sendiri. Amin…
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, putra hamba lelaki-Mu, putra hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku ada di Tangan-Mu, telah berlalu padaku hukum-Mu, adil ketentuan-Mu untukku. Aku meminta kepada-Mu dengan seluruh Nama yang Engkau miliki, yang Engkau menamakannya untuk Diri-Mu atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib yang ada di sisi-Mu. Jadikanlah Al-Qur`an sebagai musim semi (penyejuk) hatiku dan cahaya dadaku, pengusir kesedihanku serta penghilang kegundahanku.”
[HR. Ahmad no.3712 dari „Abdullah bin Mas‟udradhiyallahu „anhu, dishahihkan
Asy-Syaikh Al-Albaniy]
WANITA DALAM SISTEM KAPITALIS: DIPERKASA ATAU DIPERDAYA?
Pengenalan
Tahun 2012 menyimpan sejarah yang gemilang bagi wanita. Wanita kini dilihat telah berjaya meneguhkan kedudukan mereka berbanding beberapa dekad yang lepas terutamanya dalam sektor ekonomi. Hal ini digambarkan dengan jelas apabila Perdana Menteri dalam salah satu ucapannya telah dipetik sebagai berkata tidak ada negara Islam lain yang memberi penghargaan dan sanjungan kepada wanita seperti wanita di Malaysia. Malah apa yang lebih membanggakan menurut beliau adalah pencapaian kaum wanita itu sendiri yang jauh mengatasi pencapaian kaum lelaki. [http://www.utusan.com.my/ (16/4/2012) diakses pada 10/12/2012].
Sekali imbas sememangnya kejayaan dan pencapaian yang ditunjukkan oleh wanita Malaysia membanggakan banyak pihak. Jika tahun 2011 menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-12 terbaik daripada 54 buah negara anggota Komanwel dari segi memberi layanan kepada kaum wanita, tahun 2012 pula menyaksikan empat wanita Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Antaranya Tunku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dianugerahkan Global Empowerment Award 2012, Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz, dianugerahkan World’s Best Central Bankers 2012, manakala penyanyi, Nur Shahila Amir Amzah @ Shila Amzah menjadi Juara Asian Wave 2012 di China dan tidak ketinggalan atlet terjun Malaysia, Pandelela Rinong, Pemenang Pingat Gangsa Sukan Olimpik London 2012.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri ketika berucap di Majlis Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyatakan bahawa hasil kejayaan kaum wanita di negara ini merupakan usaha dan komitmen kerajaan yang memberi penekanan bagi memperkasakan golongan wanita dengan memberikan peluang yang lebih luas dalam bidang pendidikan, perniagaan dan kemahiran secara berterusan. [http://gt-puteri.blogspot.com/ (25/11/2012) diakses pada 10/12/2012]
Analisis 1: Sumber Dasar Wanita Negara
Berbicara tentang usaha dan komitmen kerajaan yang berterusan dalam memperkasakan golongan wanita, secara langsung sebenarnya merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Antara yang utama ialah Dasar Wanita Negara 2009 (DWN).
Agak tidak adil untuk mengatakan dasar yang telah digarapkan sebegitu rupa sebagai tidak bernilai. Namun, apa yang lebih penting adalah untuk kita perhalusinya satu per satu dengan pandangan Islam. Pertama, prinsip utamanya iaitu dasar ini hendaklah berlandaskan keluhuran Perlembagaan berkaitan dengan hak asasi rakyat, perlindungan undang-undang, perpaduan dan kebebasan. Kedua, dokumen yang digunakan sebagai rujukan dasar iaitu:
1. Resolusi Persidangan Akhir Dekad Wanita Sedunia Bangsa-bangsa Bersatu (1975-1985) yang berlangsung di Nairobi, Kenya, pada tahun 1985 yang bertemakan Forward Looking Strategies bagi menghadapi tahun 2000.
2. Penyataan Dasar Commonwealth Secretariat mengenai wanita dan pembangunan yang ditandatangani oleh Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Nassau, Bahamas 1985.
3. Commonwealth Plan of Action bertujuan untuk menyokong keberkesanan penyataan Dasar yang disahkan oleh Kerajaan Malaysia di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada tahun 1987 di Vancouver, Kanada.
Dengan melihat sepintas lalu sahaja, kita sudah mengetahui bahawa ketiga-tiga sumber rujukan DWN yang dinyatakan di atas, tidak satu pun merujuk kepada sumber rujukan Islam. Justeru, sekiranya wanita Malaysia merangkul kejayaan demi kejayaan hasil daripada pelaksanaan DWN ini, bolehkah ia dikatakan kejayaan yang Islami atau kejayaan hakiki menurut kacamata Islam?
Renungkan kembali sejarah penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pembentukan Commonwealth, hatta Perlembagaan Persekutuan Malaysia sendiri (yang digubal oleh Lord Reid), seterusnya tepuk dada dan tanya iman. Bukankah itu semua sumber yang berkiblatkan Barat? PBB misalnya, asalnya ditubuhkan antara lain untuk menyaingi dan menghapuskan Khilafah Uthmaniyyah (Daulah Islam). Umum juga mengetahui Commonwealth adalah kesatuan negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris manakala Perlembagaan Persekutuan (yang merupakan sumber undang-undang tertinggi negara) adalah hadiah kemerdekaan negara ini yang diberikan oleh Lord Reid, dengan syarat utama tidak boleh ada undang-undang yang lebih tinggi daripadanya. Padahal, sumber rujukan bagi menyelesaikan masalah kehidupan manusia adalah al-Quran dan as-Sunnah.
Allah S.W.T berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Kitab Al-Quran) dan RasulNya (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [TMQ an-Nisaa’ (4):59].
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka” [TMQ al-Ahzab (33):36].
Selanjutnya Allah dan RasulNya melarang umat Islam menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin dan sebagai sumber rujukan dalam menetapkan hukum yang diterapkan ke atas umat Islam.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu), sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Maidah (5):51].
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):120]
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].
Hati yang jernih akan mengarahkan kepada satu kesimpulan iaitu betapa berjayanya musuh Islam mengaburi umat Islam. Idea sekular telah berjaya menjauhkan umat Islam daripada menerapkan Islam dalam kehidupan. Islam hanya tinggal dalam bab ibadah semata-mata dan tidak lagi berfungsi untuk mengatur seluruh kehidupan seperti selayaknya ia diperlakukan.
Analisis 2: Ukuran Kejayaan Wanita
Untuk mengenal pasti ukuran kejayaan wanita mengikut DWN, perhatikan Rancangan Tindakan (mengikut sektor) yang telah digariskan oleh DWN. Antara yang penting ialah melihat kepada sektor pekerjaan. Fasa 5.2 menyatakan bahawa walaupun penyertaan wanita dalam tenaga buruh telah bertambah, sebilangan besar tenaga wanita adalah dalam golongan pendapatan rendah dan dalam pekerjaan bukan atau separuh mahir. Perkhidmatan sebagai suri rumah tidak mendapat nilai ekonomi dan kebanyakan wanita bertugas sebagai pekerja tidak bergaji.
Bagi pelan tindakannya Fasa 5.4. menyatakan bahawa antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuklah perlu:
1. dipertingkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, sosial, ekonomi dan politik
2. diadakan perkongsian saksama tentang manfaat pembangunan
3. diperbanyakkan peluang pekerjaan, khususnya bagi wanita yang miskin dan tidak mempunyai punca pencarian nafkah hidup
Demikianlah segala kelemahan dan kekurangan yang dihadapi oleh wanita telah dikenal pasti dan pelan tindakan yang diharapkan dapat mengatasi masalah tersebut turut digarap. Tindakan yang digariskan di atas disebut juga sebagai memperkasakan wanita yang mana wanita diperkasakan agar status ekonomi mereka meningkat. Untuk itu peluang pekerjaan untuk wanita diperbanyakkan.
Dari satu sudut, ia nampak seperti membela wanita, namun dari satu sudut yang lain perkara ini telah terbukti memberi tekanan kepada wanita kerana bebannya telah bertambah. Walaupun dalam Fasa yang lain terdapat jaminan kepada wanita agar mereka dapat mengimbangi peranan mereka di rumah dan juga di tempat kerja, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita justeru lebih memberi perhatian kepada pekerjaan dan mengabaikan tanggungjawab di rumah (yang merupakan tanggungjawab hakiki seorang wanita). Kesannya, urusan penjagaan anak-anak akan terabai. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian ibu bapa akan mula mencari keseronokan di luar sehingga mendedahkan mereka kepada gejala sosial yang serius. Begitu juga layanan kepada suami sebagai ketua keluarga turut terabai yang akhirnya membawa kepada keretakan rumah tangga dan perceraian. Akhirnya, wanita tinggal sebagai ibu tunggal yang terpaksa berjuang sendiri untuk dirinya dan anak-anak. Jadi, dengan segala pelan yang tidak dilandaskan kepada Islam itu, wanita sebenarnya diperdaya dan bukannya diperkasa.
Suatu hal yang menyedihkan ialah apabila wanita dikatakan diperlukan untuk pembangunan negara sehingga mereka terpaksa keluar bekerja. Kenapa menyedihkan? Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah, wanita akan memberikan lebih masa (yang sepatutnya diberikan kepada keluarganya) kepada pekerjaannya atas nama pembangunan negara. Persoalannya, adakah benar jika wanita yang berpelajaran tinggi hanya duduk di rumah menjaga anak dan menguruskan rumah tangga, maka fenomena ini menjadi satu kerugian yang besar kepada negara? Adakah Islam membenarkan pertukaran peranan lelaki dan wanita sebegitu rupa untuk memperbetulkan keadaan?
Islam Melindungi Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Secara fitrahnya lelaki diciptakan oleh Allah S.W.T sebagai pemimpin ke atas wanita dan lelaki adalah ketua keluarga. Wanita pula adalah ummun wa rabbah al-bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Rasulullah S.A.W bersabda,
“...Seorang lelaki (suami) adalah pemelihara keluarganya, ia bertanggungjawab atas yang dipeliharanya. Seorang wanita (isteri) adalah pemelihara (pengurus) rumah suaminya dan anak-anaknya, ia bertanggungjawab atas yang dipeliharanya” [HR Bukhari dan Muslim].
Islam telah pun menggariskan dan menjelaskan hukum syariat terkait wanita yang mesti dipatuhi bagi menjamin kemuliaan dan menjaga kehormatan wanita. Wanita dibenarkan melakukan aktiviti-aktiviti yang mereka inginkan selagi tidak melanggar syariat Islam. Antaranya, wanita dibenarkan menuntut ilmu setinggi yang mereka inginkan dan juga menyampaikan ilmu kepada orang lain sepertimana lelaki, wanita juga dibenarkan untuk bekerja tetapi bukan berperanan sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga, wanita wajib berada dalam jamaah dengan beraktiviti dalam rangka berdakwah kepada Islam tetapi bukan berada dalam jamaah dan kelompok yang menegakkan hukum selain daripada Islam dan seumpamanya. Namun, apa yang mesti difahami ialah, wanita telah dianugerahi kemuliaan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dengan peranan dan tanggungjawab yang tidak pernah terlepas daripadanya iaitu sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Dengan terlaksana segala kewajipannya, maka dia telah berjaya memenuhi misi hidupnya iaitu mentaati Allah seperti firmanNya,
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku” [TMQ al-Dzariyaat (51):56].
Itulah kejayaan sebenar bagi seseorang wanita. Jadi, ukuran berjayanya wanita apabila diperkasakan dalam bidang ekonomi tidak lain dan tidak bukan adalah satu bentuk pemikiran kapitalis Barat yang ditanamkan dalam benak masyarakat. Pemikiran asing ini mudah meresap masuk kerana jauhnya umat Islam daripada Islam iaitu baik dari sudut aqidah mahu pun peraturannya (hukum syarak). Apa yang pasti ialah, sekiranya tolok ukur (standard) perbuatan manusia diukur dengan kebendaan semata-mata, maka manusia akan lebih terfokus kepada kerugian material. Memang benar kepakaran wanita diperlukan dalam bidang-bidang tertentu seperti kedoktoran, pendidikan, kejururawatan dan seumpamanya, namun ini tidak bermakna wanita diperlukan dalam kesemua bidang sehingga meletakkannya sebagai pencari nafkah untuk keluarga dan lalai daripada kewajipan hakiki sebenar menurut syarak. Jadi, tidaklah rugi jika wanita yang berpendidikan tinggi duduk di rumah untuk mendidik anak kerana sesungguhnya wanita memang wajib berpendidikan seperti yang dikehendaki Islam. Dengan ilmunya itulah dia akan membentuk anak-anak menjadi seorang Muslim yang cemerlang kerana ibu adalah sekolah pertama kepada anak-anak mereka.
Khatimah
Sesungguhnya kesemua ketetapan dan aturan Islam bukan untuk menyekat apatah lagi mengongkong aktiviti para wanita tetapi untuk memberi panduan agar wanita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sebaiknya dan seterusnya mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.
Firman Allah SWT: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” [TMQ an-Nahl (16): 97].
Justeru, adalah penting untuk wanita memiliki ilmu, agar mereka tidak terpedaya dengan pemikiran-pemikiran serta cara hidup Barat dan sesungguhnya mereka adalah pembentuk generasi umat Islam.
Wallahu’alam.
Firman Allah Subhanahu Wa Taala,
“Telah nampak fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].
Petikan Kitab Tafsir
Tafsir Al-Jalalain menghuraikan bahawa, “Telah nampak kerosakan di darat” maksudnya disebabkan terhentinya hujan dan menipisnya tumbuh-tumbuhan, “dan di laut” maksudnya di negeri-negeri yang banyak sungainya menjadi kering, “disebabkan perbuatan tangan manusia” berupa perbuatan-perbuatan maksiat. Ungkapan yang bermaksud “supaya Allah merasakan kepada mereka” dapat dibaca لِيُذِيقَهُمْ dan لِنذِيقَهُمْ; ertinya supaya Dia/Kami merasakan kepada mereka “sebahagian daripada akibat perbuatan mereka” sebagai hukumannya “agar mereka kembali” supaya mereka bertaubat daripada perbuatan-perbuatan maksiat.
Tafsir Ibnu Kathir memetik Abu al-‘Aliah berkata, “Barangsiapa mengingkari Allah Subhanahu Wa Taala di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah Subhanahu Wa Taala”. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda,
لَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْض أَحَبّ إِلَى أَهْلهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا
“Sesungguhnya hukum Hudud yang dilaksanakan di bumi lebih elok untuk ahlinya berbanding mereka diturunkan hujan empat puluh pagi” [HR Abu Daud].
Menurut tafsir Ibnu Kathir lagi, hal ini kerana jika dilaksanakan hukum hudud tersebut maka ia akan menjadi pencegahan daripada melanggar batas-batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Tambahnya lagi, jika manusia meninggalkan maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Taala, ia menjadi penyebab untuk mereka memperoleh keberkatan di langit dan di bumi.
Ulasan dan Pengajaran
Sebahagian besar dunia pernah hidup dalam kesejahteraan bermula dari zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang diikuti dengan zaman Khilafah Islamiyah. Selama 13 abad zaman pemerintahan Islam ini, kaum muslimin pernah dilanda perang saudara, diserbu tentara Salib, dan dibantai oleh bangsa Tartar, namun mereka waktu itu tidak sampai kehilangan kemuliaannya, kesatuannya,dan semangatnya. Sehinggakan dalam tempoh masa yang agak singkat, mereka mampu bangkit kembali, bahkan mengalahkan musuh-musuhnya dan menyebarkan pula Islam yang membawa kesejahteraan di sana. Sememangnya Islam itu rahmat bukan sahaja kepada umatnya, malah kepada semua yang bernaung di bawahnya selama ia dilaksanakan.
Namun syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia sentiasa menginginkan maksiat, maka mereka melaksanakan pelbagai makar agar Islam tidak dilaksanakan. 3 Mac 1924 sebagai tarikh rasminya penamatan Khilafah Islamiyah menandakan satu titik perubahan sejarah dunia.
Dengan lenyapnya Khilafah iaitu ibu segala kefardhuan, keadaan fasad dan kehancuran yang sangat dahsyat telah menyelubungi dunia kaum muslimin. Sejak hari itu, kaum muslimin tidak lagi memiliki pemimpin yang berupaya menyatukan mereka. Mereka tidak lagi memiliki kekuatan yang berupaya mewujudkan misi mereka sebagai khaira ummah iaitu sebaik-baik golongan sebagaimana sepatutnya, dibangkitkan oleh Allah ke tengah-tengah kelompok manusia, bagi menjadi penguasa di muka bumi (QS 35:39), menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah (QS 3:110), serta penyelamat kaum tertindas (QS 4:75).
Sejak hari itu juga, pemimpin negeri-negeri kaum muslimin telah terpesong daripada landasan Islam apabila al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber hukum dalam hal pemerintahan. Mereka bahkan melaksanakan sistem pemerintahan dan undang-undang buatan manusia.
Kini, umat Islam khususnya dan seluruh dunia amnya mengalami situasi buruk yang tidak pernah dialami dalam sejarah dunia. Kecanggihan teknologi dan perkembangan ekonomi tidak berupaya menyelamatkan negara-negara yang “maju” dan “mundur” daripada peperangan dan pergolakan politik, korupsi pemerintahan, berleluasanya jenayah, ketidakseimbangan ekonomi, konflik perkauman, keruntuhan moral, dan banyak lagi. Begitu juga kaum muslimin seluruh dunia yang pada saat ini berada di titik yang paling rendah dalam sejarah. Sungguh mendukacitakan, umpama semua orang sakit tenat, tapi mereka tidak dapat dirawat kerana doktor mereka, iaitu umat Islam, juga sedang sakit tenat!
Khatimah
Untuk setiap penyakit, Allah telah menyediakan ubatnya. Kerosakan yang berlaku seperti dijelaskan di atas adalah akibat maksiat terbesar iaitu meninggalkan Islam sebagai sistem hidup. Kerosakan ini hanya dapat dibaiki dengan meninggalkan maksiat itu iaitu dengan kembali kepada Islam. Usaha yang suci ini pula hanya akan diberi kejayaan oleh Allah apabila dilaksanakan mengikut sunnah RasulNya sebagaimana yang tercatat dalam sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Umat Islam wajib kembali kepada fikrah atau konsep-konsep Islam yang jernih dan Daulah Khilafah juga wajib ditegakkan semula kerana sistem pemeritahan Islam inilah yang akan menerapkan segala hukum Allah dan RasulNya.
Tugas ini tentu tidak ringan, namun masalah ini adalah soal hidup dan matinya kaum muslimin. Kaum muslimin tidak mempunyai pilihan lain. Musuh-musuhnya tidak akan menolongnya. Bahkan mereka berpadu tenaga untuk menghancurkan Islam dan kaum muslimin sampai ke hari kiamat. Mereka amat menginginkan supaya Islam dilenyapkan sampai ke aqidahnya. Nasib umat Islam ada pada mereka sendiri seperti firman Allah ubhanahu Wa Taala,
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13):11].
Rujukan
1. Al-Quran Al-Karim
2. Terjemahan Al Quran. Penerbit: Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia.
3. Al-Hidayah: Terjemahan Al Quran Tafsir Perkata. Penerbit: Kalim Banten.
4. Al-Islam.com. http://quran.al-islam.com dicapai pada 4/12/12.
5. Al Tafsir.com. http://www.altafsir.com dicapai pada 4/12/12.
6. Tafsir Ibn Kathir (Abridged). Penerbit: Darussalam, Riyadh.
7. Tafsir Jalalain Versi2.0. E-book Terjemahan. Pesantren Persatuan Islam 91 Tasikmalaya.
8. Daulah Islam. Terjemahan Ad-Daulah Al-Islamiyah Taqiyuddin An-Nabhani Terbitan Daar Al-Ummah. Penerbit: HTI Press.
9. Khilafah adalah Solusi. Penerbit: Pustaka Tariqul Izzah.
10. Islam Bangkitlah. Abdul Rahman al Baghdadi. Penerbit: Gema Insani Press.
Kita selalu mendengar ungkapan ‘disebalik lelaki yang hebat, dibelakangnya ada wanita yang hebat.’ Maka kisah nyata ini adalah antara contoh teladan terbaik bagi para muslimah tentang seorang wanita yang tidak hanya berperanan sebagai isteri yang hebat, tapi juga sebagai seorang ibu yang bijak.
Ummu Ruman (أم رومان) ialah isteri kepada Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu Anhu, sahabat agung Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Beliau juga adalah ibu kepada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahu Anha, isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang berperanan penting dalam sejarah Islam. Nama sebenar Ummu Ruman ialah Zainab atau Da’d. Beliau melahirkan tiga anak, Tufail melalui perkahwinan pertamanya dengan Al-Haris, serta Abdurrahman dan Aisyah dari perkahwinan keduanya dengan Abu Bakar Radhiallahu Anhu. Beliau juga berpangkat ibu tiri kepada anak-anak Abu Bakar dari isterinya yang lain iaitu Abdullah dan Asma’.
Antara keutamaan Ummu Ruman ialah beliau termasuk orang-orang terawal masuk Islam. Beliau menerima Islam sebaik sahaja didakwahkan oleh suaminya Abu Bakar Radhiallahu Anhu. Oleh itu, rumah beliau menjadi rumah kedua yang dilimpahi cahaya Islam, selepas rumah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.
Ummu Ruman bersama suaminya berperanan aktif dalam kehidupan sebagai muslimin di Makkah, sesuatu yang memerlukan ketabahan luar biasa memandangkan beratnya penentangan yang dilontarkan oleh pembesar-pembesar kafir Quraisy terhadap keislaman mereka. Tatkala fitnah (seksaan) kafir Quraisy terhadap kaum muslimin berada di puncaknya, kaum muslimin diarahkan agar berhijrah ke Madinah. Abu Bakar RA pula terpilih untuk menemani Rasulullah S.A.W dengan meninggalkan keluarganya, menempuh jalan hijrah yang penuh ancaman kerana kejaran kafir Quraisy yang mahu membunuh Rasulullah S.A.W. Ketentuan ini bermakna keselamatan seluruh keluarganya dalam bahaya, namun Ummu Ruman menerima perancangan Allah ini dengan penuh keyakinan dan keimanan. Selepas melalui tempoh menunggu yang penuh gangguan daripada musyrikin Makkah, akhirnya beberapa utusan Rasulullah S.A.W datang membawa Ummu Ruman dan anak-anaknya berhijrah bersama isteri Rasulullah S.A.W, Saudah dan puteri-puteri Rasulullah S.A.W, Ummu Kalthum dan Fatimah R.A.
Dalam menguruskan hubungan keluarganya dengan Rasulullah S.A.W, Ummu Ruman terbukti mempunyai kematangan selain keimanan yang tinggi. Perkara ini dikisahkan dalam banyak hadis. Contohnya dalam musnad Ahmad, hadith 24587 mengisahkan bagaimana Rasulullah S.A.W memperisterikan Aisyah r.a. Ringkasnya, tidak lama sebelum berlakunya hijrah, Khaulah binti Hakim memaklumkan Ummu Ruman tentang niat Rasulullah S.A.W meminang puterinya Aisyah. Beliau tidak terus memberikan jawapan sebaliknya menunggu suaminya Abu Bakar r.a pulang untuk memaklumkannya kerana sebelum itu, Aisyah pernah dirisik oleh Mut’im bin Ady untuk puteranya. Meskipun belum berlaku ikatan pertunangan, Ummu Ruman mahu suaminya pergi mendapatkan kepastian daripada Mut’im bin Ady. Ternyata Mut’im bin Ady telah membatalkan hasratnya kerana keIslaman keluarga Abu Bakar. Dengan itu, Abu Bakar r.a menikahkan Aisyah yang pada ketika itu berumur enam atau tujuh tahun dengan sahabatnya yang agung iaitu Rasulullah S.A.W.
Selepas hijrah, hanya apabila umur Aisyah meningkat kepada sembilan tahun, barulah Aisyah diserahkan kepada Rasulullah S.A.W. Selepas wanita-wanita Ansar mempersiapkan Aisyah, Ummu Ruman sendiri yang menghantar Aisyah kepada Rasulullah S.A.W dengan ucapan “Mereka adalah keluargamu, semoga Allah memberkahimu terhadap mereka dan semoga Allah memberkahi mereka atas dirimu”. Hubungan Ummu Ruman dengan puterinya ini tidak terhenti di situ. Malah Allah yang Maha Mengetahui telah mengatur satu ujian besar kepada keluarga ini untuk diambil iktibar oleh semua orang beriman melalui peristiwa yang dinamakan Hadith al-Ifk, iaitu penyebaran berita bohong mengenai Saidatina Aisyah r.a.
Berita bohong yang menuduh Aisyah r.a berlaku curang sewaktu dibawa pulang dari Bani Mustaliq itu tersebar tanpa disedari Aisyah r.a kerana beliau terlantar sakit. Ummu Ruman sangat berdukacita dengan tuduhan tersebut. Beliau berusaha menyembunyikan berita itu dari pengetahuan puterinya tetapi akhirnya berita itu sampai juga kepada Aisyah r.a melalui seorang wanita lain. Mengetahui bahawa berita palsu itu telah sampai kepada suaminya, Rasulullah S.A.W dan kedua ibu bapanya, sakit Aisyah r.a bertambah. Beliau ditimpa demam panas dan diizinkan oleh Rasulullah S.A.W untuk dirawat di rumah ibu bapanya. Ummu Ruman berusaha untuk menenangkan puterinya sampailah akhirnya nama Aisyah r.a dibersihkan melalui wahyu Allah iaitu dalam sebahagian daripada surah an-Nur.
Ummu Ruman wafat dalam masa kenabian setelah mengalami sakit. Selain disebut dalam banyak hadis, beliau sendiri menyampaikan hadis terutamanya berkenaan puterinya semasa menghadapi tekanan peristiwa Hadith al-Ifk. Sesungguhnya keimanan wanita ini telah memberikannya keredhaan dan kebijaksanaan dalam menghadapi konflik-konflik yang amat mencabar. Tidak hairanlah beliau diberi kelayakan untuk menjadi isteri kepada sahabat paling mulia iaitu Abu Bakar as-Siddiq r.a, ibu kepada isteri Rasulullah S.A.W yang paling dicintai iaitu Aisyah r.a, dan ibu mentua insan paling agung iaitu Rasulullah S.A.W.
Sebagai muslimah yang membaca kisah Ummu Ruman ini, jadikanlah halangan dan cabaran sepanjang meniti perjalanan dakwah ini sebagai peluang menuai pahala. Ummu Ruman telah membuktikan bahawa seorang wanita solehah itu harus cekal dan sentiasa yakin akan pertolongan daripada Allah. Yakinlah Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar sebagaimana firman Allah,
“Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar“ [TMQ al-Baqarah (2):153].
Rujukan
1. Mereka adalah Para Shahabiyah, Mahmud Mahdi Al-Istanbuli dan Musthafa Abu An-Nashir Asy-Syalabi, Pustaka At-Tibyan, Cetakan ke-10, 2009.
2. Musnad Ahmad Hadith no 24587 http://lidwa.com/app/?k=ahmad&n=24587 akses pada 11 Disember 2012.
3. Software Ensiklopedia Kitab 9 Imam. Lidwa Pustaka. http://125.164.221.44/hadisonline/hadis9/ Akses pada 11 Disember 2012.
Soalan:
Assalamu’alaikum. Saya berasal daripada keluarga susah dan saya merupakan anak sulung. Sebelum berkahwin sayalah yang banyak membantu keluarga untuk perbelanjaan rumah. Selepas berkahwin, saya tetap membantu keluarga dengan memberikan duit kepada ibu bapa saya pada setiap bulan. Namun, suami saya tidak bersetuju saya melakukan perkara ini. Menurutnya, kami sekeluarga hanya cukup-cukup makan. Suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan saya yang banyak menyara keluarga seperti membayar sewa rumah, pengasuh anak, bil api dan air. Manakala suami hanya mengeluarkan perbelanjaan untuk makan, minum dan perkara kecil-kecil sahaja. Saya reda menampung kekurangan suami tetapi saya berasa terkilan kerana dia tidak bersetuju saya mengirimkan duit kepada ibu bapa saya di kampung. Oleh yang demikian, saya membantu ibu bapa saya tanpa memberitahunya. Jadi, apakah hukumnya sekiranya saya memberikan duit (nafkah) kepada kedua ibu bapa saya tanpa memberitahu suami?
Jawapan:
Waalaikumussalam warahmatullah. Dalam dunia serba moden hari ini, kita melihat semakin ramai kaum wanita yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti bidang perguruan, doktor, peguam, akauntan, arkitek dan sebagainya. Sebilangan besar mereka bekerja untuk memberi nafkah kepada ibu bapa, membantu suami untuk perbelanjaan rumah tangga atau mungkin juga untuk diri sendiri. Perkara ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan negara di dunia, sama ada yang sudah bergelar negara maju mahupun negara yang masih mengejar status negara maju. Hakikatnya, kemajuan dan kemodenan telah menghakis pegangan agama dalam diri individu, masyarakat dan negara.
Islam adalah agama/ideologi yang syumul (menyeluruh) meliputi aspek kerohanian dan pengurusan kehidupan manusia. Islam diturunkan oleh Allah S.W.T bagi menyelesaikan kesemua permasalahan manusia dari sekecil-kecil masalah sehinggalah kepada masalah yang besar. Ini termasuklah permasalahan nafkah yang merupakan salah satu intipati utama dalam kelangsungan hidup manusia. Dalam persoalan ini, perlu difahami dengan jelas mengenai hukum memberi nafkah serta pihak yang bertanggungjawab dalam memberi nafkah.
Kewajipan Memberi Nafkah
Pengertian nafkah dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang dibelanjakan sehingga habis dan tidak tersisa. Manakala pengertian nafkah dari segi istilah pula bermaksud mencukupkan keperluan orang-orang yang ditanggungnya baik berupa makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.
Islam meletakkan kewajipan ke atas seorang suami (sebagai ketua keluarga) untuk memberi nafkah (menyara) anak-anak dan isterinya. Hal ini dinyatakan dalan sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud “Dan mereka (para isteri) mempunyai hak diberi rezeki dan pakaian (nafkah) yang diwajibkan ke atas kamu sekalian (wahai para suami) [HR. Muslim 2137].
Berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa adalah wajib bagi seorang suami atau ayah untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Pemberian nafkah tersebut meliputi keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Allah S.W.T berfirman, “Dan kewajipan ayah memberikan makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf” [TMQ al- Baqarah(2):233].
Ibn Katsir menafsirkan ayat ini sebagai berikut: Seorang ayah wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dengan cara yang makruf. Yang dimaksudkan dengan makruf di sini adalah yang sesuai dengan kebiasaan bagi wanita-wanita di negeri tersebut, asalkan tidak berlebihan dan tidak berkurangan; serta sesuai dengan kemampuan ayah (atau suami) [Ibn Katsir, Tafsîr Ibn Katsîr, jld.I/351].
Tafsiran ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuanmu” [TMQ at-Thalaq (65):6].
Di samping itu syara’ juga mewajibkan seorang anak memberikan nafkah kepada ibu bapa serta kaum kerabat hanya sekiranya ibu bapa mahupun kaum kerabatnya itu dalam keadaan fakir atau miskin. Allah S.A.W berfirman, “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya…” [TMQ al-Isra’ (17):26].
Walaubagaimanapun, kewajipan ini gugur sekiranya seseorang itu sekadar mampu menafkahi dirinya sendiri sahaja. Allah S.W.T berfirman, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuannya) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan” [TMQ at-Thalaq (65):7].
Perkara ini juga didasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Mulailah menafkahi dirimu sendiri, jika tersisa, maka untuk anggota keluargamu, jika tersisa, maka untuk kerabat dekatmu” [HR Muslim 1663].
Oleh yang demikian, bukanlah sesuatu yang salah sekiranya seorang anak baik lelaki atau perempuan memberikan nafkah kepada ibu bapa atau kaum kerabatnya, malah hal ini digalakkan dan mendapat pahala. Allah S.W.T berfirman, “Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa…” [TMQ al-Baqarah (2):83].
Peranan Negara Dalam Memastikan Keperluan Asas Rakyat Dipenuhi
Islam menjamin pemenuhan keperluan-keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap individu. Negara bertanggungjawab memastikan setiap rakyat dipenuhi keperluan asasnya. Persoalannya, bagaimana tanggungjawab ini diagihkan dalam rangka untuk memastikan setiap rakyat dipenuhi hak mereka tadi? Pertamanya, negara perlu memastikan peluang pekerjaan untuk rakyat sentiasa mencukupi agar mereka mampu memperoleh pendapatan bagi menyara hidup dan seterusnya memenuhi keperluan asas diri serta ahli keluarga. Sepertimana dalil-dalil yang diterangkan di atas, tanggungjawab memberi nafkah hendaklah disempurnakan oleh suami atau ayah. Justeru, sekiranya suami atau ayah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut baik kerana cacat, sakit, tua, atau sebab-sebab lain, beban ini beralih ke tangan pihak yang seterusnya seperti berikut:
1. Lelaki yang menjadi waris atau kerabat terdekat yang mempunyai lebihan harta. Allah S.W.T berfirman, “Kewajipan ayah memberikan makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani, selain menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan pewaris pun berkewajipan demikian ” [TMQ al-Baqarah(2):233].
2. Jika tiada seorang pun yang berkewajipan memberikan nafkah kepadanya, maka syara’ mewajibkan nafkah diambil dari Baitul Mal. Abu Hurairah berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].
3. Seterusnya apabila di dalam Baitul Mal tidak terdapat harta sama sekali, maka kewajipan itu berlaku atas seluruh kaum Muslimin. Negara mesti mewajibkan cukai ke atas harta orang-orang yang kaya, dan menyerahkan kepada para fakir miskin. Nabi S.A.W bersabda, “Siapa sahaja yang menjadi penduduk suatu daerah, lalu di antara mereka terdapat seseorang yang kelaparan, maka perlindungan Allah S.W.T telah terlepas dari mereka” [HR Ahmad].
Dengan demikian, sistem Islam adalah satu-satunya sistem yang memecahkan masalah nafkah dengan cara sistematik. Islam tidak membiarkan permasalahan memberi nafkah semata-mata ditangani oleh individu-individu. Negaralah yang menjadi penanggungjawab atas seluruh keadaan masyarakatnya, kerana memang itulah fungsi dan kewajipan negara, iaitu mengatur dan memelihara urusan-urusan masyarakat; termasuk kecukupan nafkah setiap rakyatnya.
Adakah Isteri Perlu Izin Suami Untuk Memberi Nafkah kepada Orang Tuanya?
Berkaitan persoalan yang diajukan iaitu, bolehkah seorang isteri membelanjakan wangnya untuk menanggung nafkah ibu bapanya tanpa izin suami? Hukumnya adalah harus berdasarkan hadis sahih dari riwayat al-Bukhari dan muslim, “Isteri Nabi iaitu Maimunah binti al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu Nabi S.A.W. Apabila sampai giliran Nabi bersamanya, dia berkata kepada Nabi; “Tidakkah kamu perasan bahawa aku telah membebaskan hamba perempuanku?”. Nabi berkata; “Benarkah”. Maimunah menjawab; “Ya”. Nabi S.A.W lalu berkata kepadanya; “Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudaramu nescaya pahalanya lebih besar lagi”.
Daripada hadis ini, para ulama menyimpulkan bahawa hukum isteri mendermakan hartanya sendiri tanpa izin dari suami adalah harus (dibolehkan). Jadi, memberi nafkah kepada ibu bapa tanpa izin suami adalah harus.
Sumber:
1) Abdurrahman al-Maliki. (2001). As-Siyasatu al-Iqtishadiyatu al-Mutsla. 1st Ed. Al-Izzah : Indonesia. 167-192.
2) Taqiyuddin An-Nabhani. (2009). An-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam. 1st Ed. Al-Azhar Press : Indonesia, Bogor. 213-237.
3) Taqiyyuddin An-Nabhani. (2003). An-Nizham Al-Ijtima’I fi Al-Islam. 4th Ed. HTI Press : Indonesia. 248
4) http://konsultasi.wordpress.com/2007/01/13/standar-kecukupan-nafkah/#more-39 diakses pada 27 November 2012
5) http://www.mykhilafah.com/fokus-berita/3067-wahai-pemimpin-bebankah-warga-emas-bagi-kalian diakses pada 27 November 2012