SN008 – 81 Tahun Yang Berjerebu
SN Keluaran 2005
[SN008] Muqaddimah
Jerebu melanda Malaysia sekali lagi…….statistik terbaru menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pesakit yang dirujuk kepada klinik dan hospital di seluruh negara sejak keadaan cuaca panas dan masalah jerebu yang semakin serius melanda negara. Menurut Menteri Kesihatan, pada bulan Disember, jumlah pesakit adalah 1,412 orang tetapi telah meningkat secara mendadak kepada 4,297 orang pada bulan Januari. Antara jenis penyakit yang menunjukkan peningkatan ialah jangkitan respiratori iaitu dari 419 kepada 1,322 kes; lelah, 32 kepada 124 kes dan merah mata, tujuh kepada 32 kes.
Itu masalah jerebu…beberapa minggu yang lepas pula, sebelum kejadian jerebu ini, timbul isu siapakah yang bersalah antara JAWI atau mereka yang beragama Islam, yang ditangkap disebuah disko di kota raya Kuala Lumpur. Nampaknya masih ada kaum muslimin yang masih tidak jelas mengenai hukum menutup aurat ; sebahagian wanita yang ditangkap nampaknya merasa tidak bersalah memakai T-shirt tanpa lengan dan pakaian yang menggiurkan. Sebahagian lain mempersoalkan apakah salahnya kalau sekali-sekala pergi ke disko asalkan tidak minum arak ; segelintir pula bahkan mengatakan minum arak adalah hak peribadi mereka. Negara tidak berhak campurtangan urusan peribadi mereka. Memburukkan lagi keadaan, tindakan JAWI pula dianggap keterlaluan.
Dalam bidang kesihatan pula, kita melihat umat terpaksa membayar harga yang tinggi untuk rawatan penyakit yang kronik, seperti pembedahan hati. Akibat dari masa pengumpulan dana yang terlalu lama, pelbagai komplikasi dihadapi oleh pesakit – sehingga ada yang meninggal dunia ketika berhadapan dengan komplikasi tersebut. Dalam bidang pendidikan pula pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN terpaksa terlibat dengan riba sewaktu menuntut di universiti lagi. Mereka terpaksa membayar semula pinjaman dan ‘interest’ (riba) apabila bekerja kelak.
Masalah yang dihadapi kaum muslimin di negara ini hanyalah merupakan sebahagian kecil sahaja dari masalah keseluruhan kaum muslimin diseluruh dunia. Dimana-mana sahaja kaum muslimin di kejar, dibunuh dan ditindas tanpa pembelaan. Sautun Nahdhah dua minggu yang lepas telah membawakan isu mengenai Iran yang bakal menjadi mangsa AS selepas mereka menghancurkan bumi Iraq. AS bagaikan harimau lapar yang tidak pernah kenyang – terus membaham mangsanya satu persatu. Umat Islam bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya. Sesungguhnya kaum muslimin merasa kepedihan yang amat sangat apabila setiap hari disuapkan dengan laporan penindasan ke atas umat Islam yang tidak kunjung selesai. Adakah khaira ummah (ummat terbaik/pilihan) akan terus tertindas dan tidak mampu melepaskan diri dari masalah yang melanda mereka ? Tidak mampukah kita berdikari tanpa bantuan PBB yang jelas didominasi oleh AS laknatullah yang kafir itu. Sudah tanduskah kaum muslimin dari Al-Mu’tasim yang boleh menyelamatkan muslimah Iraq, Khalid al-Walid yang akan mengalahkan tentera musuh atau Muhammad al-Fatih yang dapat menundukkan kuasa-kuasa besar kuffar ?
Hakikatnya, perkara-perkara di atas dan lain-lain isu yang menggugat umat adalah perkara cabangan dari masalah yang lebih besar. Ia terselindung dari pengetahuan umat kerana kurangnya maklumat yang jelas mengenai sebab sebenar yang membawa kepada berbagai penderitaan yang menimpa mereka. Pemikiran umat diselubungi JEREBU sehingga terhalang dari mendapatkan penyelesaian sebenar dari Islam.
Sejarah Kegemilangan Umat Dalam Memori
Sejak tarikh 3 Mac 1924 hingga kini, untuk pertama kalinya umat tidak lagi merasakan nikmat hidup dalam naungan syariat Islam secara kaffah di tengah-tengah mereka. Di mana-mana, di seluruh dunia, umat hanya merasakan dan memahami Islam wujud sebagai agama ritual ibadah dan norma-norma akhlak belaka.
Sebenarnya, Islam adalah sebuah din (agama) yang sempurna. Islam yang datang dari Allah, Maha Pencipta, mengandungi sistem yang mengatur hubungan manusia dengan al-Khâliq (berupa aturan-aturan aqidah dan ibadah), hubungan manusia dengan dirinya sendiri (berupa aturan-aturan akhlak, makanan, minuman dan pakaian), serta hubungan manusia dengan sesama manusia (mencakupi aturan muamalah dan sistem pengadilan). Namun kini, pemahaman—bahkan juga keyakinan—umat terhadap Islam sebagai sebuah ‘way of life’ (jalan hidup) yang benar mengalami penyelewengan besar-besaran. Umat lebih menyerahkan pengaturan hidup mereka pada ideologi selain Islam, samada kapitalisma-sekularisma mahupun sosialisma-komunisma; baik secara sedar mahupun tidak.
Harus difahami, bahawa ketiadaan penerapan syariat Islam di dalam kehidupan umat adalah kesan nyata dari hilangnya Negara Islam (Daulah Khilâfah) dari kehidupan umat. Padahal, hampir selama 13 abad sejak Rasulullah SAW di-bai’at oleh para sahabat menjadi ketua negara di Madinah kaum muslimin tidak pernah terlepas dari penerapan Islam dan naungan Negara Islam (Daulah Islâmiyyah). Selama masa itu pula berbagai keunggulan dan kemenangan diraih umat di segala bidang; ekonomi, sains dan teknologi, ketenteraan, sosial dan sebagainya. Umat juga memiliki kemuliaan dengan bebasnya mereka dari penguasaan, penindasan, dan campur tangan bangsa-bangsa asing. Seluruh usaha yang dikerahkan kaum kuffâr untuk menjajah umat Muslimin selalu berjaya dipatahkan. Bahkan, berbagai kemenangan bersejarah pula yang diperoleh. Sebagai contoh, kejayaan pasukan Islam pada tahun 1454 di bawah pimpinan Muhammad al-Fatih yang berjaya menakluk Konstantinopel (sekarang Istambul), simbol keagungan empayar Romawi dan kaum Nasrani pada saat itu.
Lantas apa yang telah terjadi setelah keruntuhan Khilafah Islamiyah dan hilangnya syariat Islam dari kehidupan umat? Apakah umat yang masih disegani oleh bangsa-bangsa lain dan dapat melanjutkan kejayaannya seperti yang diyakini oleh sebahagian orang; ataukah malah dihina? Apakah usaha menegakkan Sistem Khilafah akan dapat menghilangkan penderitaan umat sekaligus mengembalikan kegemilangannya?
Penderitaan Umat Tanpa Negara Islam
Mustafa Kamal ‘Attaturk’ adalah orang yang paling bertanggungjawab diatas penghancuran Daulah Khilafah yang terakhir yang berpusat di Istanbul, Turki. Lelaki keturunan Yahudi ini telah mengadakan pakatan dengan British untuk melenyapkan Islam. Hal itu hanya mampu dilakukan dengan terlebih dulu meruntuhkan Khilafah Utsmaniyah. Kebencian Mustafa Kamal terhadap Islam jelas terlihat melalui berbagai langkahnya untuk menjauhkan Islam dari kaum Muslimin Turki seperti melarang jilbab (jubah wanita), menutup banyak sekolah-sekolah Islam, memaksa kaum muslimin untuk menggantikan bahasa dan aksara Arab dengan bahasa Turki, serta melarang pembacaan ayat-ayat al-Quran di radio-radio. Bahkan, dengan berani ia memaksa kaum muslimin untuk menja¬dikan bahasa Turki sebagai bahasa pengganti bacaan shalat dan azan di seluruh masjid-masjid Turki. Hingga kini sebahagian polisi tersebut masih wujud. Peliknya, sejarah yang dipelajari umat mengenali Mustafa Kamal sebagai bapa kemodenan Turki!!
Mustafa Kemal pernah mengatakan, “Apabila agama dipergunakan untuk mengatur urusan masyarakat, ia senantiasa dipergunakan sebagai alat kediktatoran para raja untuk berkuasa. Maka pemisahan agama dari negara sesungguhnya akan menyelamatkan kita dari malapetaka.”. Ini merupakan kenyataan yang jauh dari kebenaran. Tanpa penerapan syariat Islam dan Khilafah Islamiyah, umat Muslimin sebaliknya mengalami penderitaan yang berpanjangan. Turki sendiri tidak pernah bebas dicengkam pelbagai krisis selepas pembubaran Khilafah; suatu keadaan yang belum pernah terjadi di masa kekhilafahan. Di penghujung tahun 50-an, misalnya, Turki di ambang kemuflisan walaupun kaya dengan berbagai sumber minyak bumi dan kekayaan mineral lainnya. Hingga tahun 1973, ekonomi Turki ternyata tidak bertambah baik. Sebaliknya bertambah parah setelah harga minyak naik pada tahun tersebut. Krisis mencapai kemuncaknya pada tahun 1977. Inflasi mencapai 50%, sementara pengangguran dianggarkan mencapai 30 peratus dari jumlah tenaga kerja yang ada. Defisit perdagangannya juga mencapai USD 4 billion.
Kesan global yang dihadapi umat dengan lenyapnya Khilafah adalah hilangnya daya untuk menghadapi berbagai penghinaan dan penganiayaan yang dilakukan Barat. Hari ini, hilangnya daya ini wujud dengan tunduknya para pemerintah negara-negara umat Islam kepada kempen ‘antiterorisma’ selepas serang¬an 11 September 2001. “Berdiri di belakang kami atau bersama para pengganas!” gertak Bush dalam satu sidang akhbar. Pakistan dengan segera berkhidmat untuk AS, memberi jalan bagi pesawat perang AS untuk menggempur Afghanistan melalui ruang udaranya. Turki juga mengambil rentak yang sama. Situasi yang sama berlaku apabila jiran-jiran Iraq membantu AS dengan membiarkan saudara mereka menderita demi ketaatan pekerja kepada majikan. Setelah itu, Iraq dipaksa pula memeluk system demokrasi-kapitalis yang dijaja Amerika melalui propagandanya.
Kaum muslimin juga tidak berdaya untuk menghentikan kekejaman “Israel”. Para pemerintah kaum muslimin malah menerima tawaran perdamaian yang ditaja AS dan “Israel” meskipun darah Muslim Palestin terus ditumpahkan tentera “Israel” yang keji. Bahkan sikap kerdil para pemimpin Muslim masih tidak berubah, walaupun hampir setiap saat seluruh media massa memberitakan tindakan ganas yang dilakukan tentera “Israel” terhadap orang awam yang tidak berdaya.
Mengapa Mesti Khilafah
Sepanjang Abad ke 20 hingga kini, dunia yang kita diami diwarnai dengan persoalan-persoalan pelik yang tidak dapat diselesaikan umat manusia, sekalipun teknologi yang dimilikinya jauh lebih baik daripada zaman sebelumnya. Umat manusia kini memiliki dunia yang seolah-olah tidak mempunyai masa depan. Hal ini terjadi kerana dunia hari ini dipimpin oleh sebuah ideologi yang tidak manusiawi dan tidak membawa rahmat bagi seluruh alam, yang melarang campur tangan agama dalam urusan kehidupan, iaitu sekulerisma-kapitalisma. Oleh kerana itu, ideologi ini sesungguhnya tidak memiliki misi suci yang mampu memberikan cahaya kemakmuran kepada seluruh manusia dari kegelapan. Ideologi ini mencanangkan demokrasi sebagai sistem terbaik sedangkan ini hanyalah helah dan penipuan yang penuh dengan metos. Inilah ideologi yang pada saat ini diterapkan dan disebarkan ke seluruh dunia dengan kekuatan negara-negara besar, terutama Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis. Terbaru ia dilaksanakan di Iraq secara paksa; kononnya menggantikan sistem diktator Saddam yang kejam terhadap rakyatnya. Namun apa yang jelas adalah dengan datangnya Amerika beratus ribu nyawa terancam atau menjadi korban, ramai anak menjadi yatim dan para isteri menjadi janda. Infrastruktur dan kemudahan asas musnah dalam perang dan pergolakan terus berpanjangan. Inikah nilai kebebasan (’freedom’) yang digembar-gemburkan? Inikah nilai kemakmuran dan keamanan yang dijanjikan ?
Berbeza dengan kapitalisma-sekular, Islam adalah sumber ideologi yang fitrahnya bersifat manusiawi, membawa rahmat bagi siapa sahaja kerana sifatnya yang adil, serta tidak menjajah atau bersifat eksploitatif ke atas manusia lain. Hal ini adalah kerana Islam diturunkan oleh Allah SWT Sang Pencipta yang sangat mengenali sifat-sifat dan keperluan manusia serta apa yang dapat membuat manusia sengsara atau bahagia. Fakta empirik menunjukkan bahawa Islam memang pernah benar-benar menjadi ideologi yang memimpin dunia semasa ia diterapkan dan disebarkan oleh sebuah kekuatan politik yang agung, iaitu Daulah Islamiyah. Negara ini secara de facto didirikan oleh Rasulullah SAW di Madinah pada 12 Rabiul Awwal, bertepatan dengan 23 September 622M. Selepas kewafatan Nabi SAW, Negara ini terus berlanjutan dalam format negara Khilafah Islamiyah. Kepemimpinan Khilafah Islamiyah ini terus berjalan seiring dengan pasang surutnya, selama 1302 tahun sehinggalah pada 3hb Mac 1924, secara rasmi, Khilafah yang berpusat di Istanbul Turki, dibubarkan. Meskipun khalifah (pemimpin) yang baik dan kurang baik datang silih berganti, Daulah Khilafah secara de facto tetaplah negara yang memimpin dunia selama 13 abad dan pada saat itu kaum muslimin juga dibela dan dilindungi.
Semasa Kekhilafahan masih ada, bukan hanya kaum muslimin yang dilindungi dan dijaga kehormatannya, namun peradaban dunia seluruhnya. Kita tidak akan mengenal peradaban Yunani purba andaikata peradaban Islam yang maju pesat di bawah naungan Khilafah tidak menyelamatkannya dan terus membangunkan ilmu pengetahuan; ketika Eropah hidup dizaman kegelapan akibat permusuhan gereja terhadap para ilmuwan. Khilafah Islam pernah menaungi ratusan etnik yang berbeza-beza, yang terbentang dari Atlantik di barat sehinggalah negeri China di timur, dan dari pinggiran Sahara di selatan sehinggalah Kaukasus di utara, tanpa diskrimasi atau penjajahan. Kekuasaan yang besar ini maju bersama mereka. Para ulama muncul di segenap penjuru. Mereka berkarya dalam bahasa Arab sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu ketika itu walaupun mereka bukan etnik Arab.
Kesatuan yang besar itu terbukti efektif untuk mengatasi kesulitan akibat bencana alam yang melanda sebahagian negeri atau serangan orang-orang kafir terhadap negeri-negeri Islam. Kita menyaksikan bagaimana kaum muslimin boleh disatukan, tanpa sekatan bangsa, ketika mereka menghadapi serangan tentera Salib, atau ketika mereka menghadapi serbuan Tartar yang menghancurkan bumi Baghdad pada tahun 1258. Baghdad boleh hancur, Khalifah boleh terbunuh, namun Khilafah Islamiyah tetap teguh berdiri seperti sebelumnya. Di seluruh penjuru negeri, Islam masih diterapkan—ekonomi masih ekonomi Islam, pendidikan masih pendidikan Islam, hukum masih hukum Islam. Bukan suatu yang menghairankan, dalam masa yang begitu singkat (3 tahun selepas serangan Tartar), kaum muslimin dengan cepat bersatu semula dan mengalahkan kaum Tartar; malah sebahagian tentera Tartar telah memeluk Islam. Khilafah kembali pada kedudukannya yang gemilang dan terbilang di abad-abad yang mendatang. Ini terbukti pada tahun 1453, Konstantinopel, ibukota empayar Byzantium Romawi, berjaya dibuka oleh kaum muslimin. Pada abad ke 17 masihi, kaum Muslimin masih menguasai separuh Eropah. Bahkan sebahagian pemeluk Protestan di Hungary dan Austria memohon perlindungan kepada Khilafah dari ancaman raja-raja Katolik yang berkuasa.
Kegemilangan ini berterusan sehinggalah aktiviti dakwah umat Islam mengalami kemerosotan. Akibatnya, sumber tenaga manusia yang berkualiti turut menyusut sama sekali. Teknologi yang sebelumnya dikembangkan untuk menyokong jihad diabaikan sehingga suatu ketika dengan tiba-tiba Barat melalui revolusi Industrinya jauh lebih maju meninggalkan kita. Malangnya ketika itu, umat Islam tidak serta-merta kembali menggenggam erat kepemimpinan ideologi Islam, malah sebaliknya mula meniru Barat dalam segala segi bahkan sampai ke tahap menggunakan sistem perundangannya sebagai rujukan. Akibatnya umat bukannya bangkit kembali, malah semakin mundur membontoti Barat.
81 Tahun Tanpa Khilafah
Semasa perang dunia pertama, ejen-ejen Barat telah memancing Daulah Khilafah yang sudahpun berada dalam keadaan tenat agar turut terlibat sama. Akibat dari itu, secara de facto mereka telah menghancurkan Khilafah pada akhir peperangan tersebut, dengan penguasaan banyak wilayah Khilafah oleh British dan Perancis. Kemudian, untuk menamatkan sama sekali sistem Khilafah, mereka menugaskan Mustafa Kamal, yang berlagak seperti pahlawan, untuk mengumumkan berdirinya Republik Turki, sebagai syarat agar pasukan asing diundurkan dari Turki. Pada 3hb Mac 1924, secara rasmi dia membubarkan Khilafah, seraya mengusir Khalifah terakhir, Sultan Abdul Majid II.
Setelah Khilafah dibubarkan, barat semakin berleluasa dalam menerapkan dan menyebarkan ideologi kapitalis-sekularnya ke seluruh dunia, terutama ke Dunia Islam yang kaya dengan sumber alam. Pada pertengahan abad ke 20, usaha itu digugat oleh Kesatuan Soviet yang berusaha menerapkan dan menyebarkan ideologi sosialisma-komunisma. Namun, pada akhir abad ke 20 dengan jatuhnya komunisma, Amerika Syarikat memimpin dunia dengan orde barunya mengembangkan lagi penguasaan ideologi kapitalis-sekular keseluruh dunia saat ini. Kini telah berlalu 81 tahun umat Islam membisu – akibat berjerebunya minda mereka, terlindung dari penyelesaian sebenar.
Kesannya, umat Islam kini semakin jauh dari misi yang pernah dibebankan Allah kepada mereka, iaitu misi merahmati seluruh alam, seperti yang pernah berjaya dibuktikan oleh Daulah Khilafah. Usahkan merahmati seluruh alam, melindungi diri mereka pun mereka sendiri tidak mampu, seperti apa yang berlaku di Palestin, Bosnia, Cechnya, Kashmir, Xin Jiang, Tak Bai, Moro, Afganistan dan Iraq. Hakikatnya, tugas melindungi dan membela umat Islam ini hanya mampu dilaksanakan melalui suatu barisan yang terpimpin dalam format sebuah ideologi. Tanpa format ini, tenaga 1.5 billion umat Islam tidak akan terfokus. Bukankah Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan bekas USSR juga hanya mampu melaksanakan misi ideologi mereka dalam suatu formasi dan struktur yang rapi, dengan negara sebagai wadahnya. Negaralah yang menjalankan sistem pendidikan, mengembangkan teknologi, menerapkan ekonomi yang menjamin kemakmuran bangsanya serta menjalankan aktiviti politik luar negeri yang melindungi kepentingan warganya di seluruh dunia. Mereka bahkan menempatkan misi-misi politik dan budayanya di seluruh dunia, juga misi-misi ketenteraan, termasuk kapal-kapal induk dan kapal-kapal selam bertenaga nuklear, hampir dikeseluruh samudera.
Bagi menandingi sebuah entiti politik berideologi seperti ini, hanya sebuah entiti politik berideologi yang bertentangan dapat mencabarnya. Sejarah membuktikan bahawa kuasa besar Rom dan Parsi akhirnya tunduk oleh sebuah entiti yang membawa ideologi yang berbeza dalam bentuk Daulah Islamiyah yang didirikan oleh Rasulullah SAW ; sekalipun entiti tersebut pada awalnya sangat kecil (hanya sebesar Madinah) dan juga secara ekonomi, teknologi, mahupun ketenteraan adalah lemah. Namun demikian, mereka memiliki ideologi Islam yang agung serta pendukungnya yang kuat yang telah memikul tugas yang telah dibebankan Allah keatas mereka sehingga mereka berjaya mendominasi perjalanan tamadun dunia.
Oleh kerana itu, tidak boleh tidak, entiti politik seperti Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah perlu kembali bagi menandingi entiti kufur yang zalim ; sebagai sebuah negara yang moden namun visi dan misinya adalah Qurani dan seluruh perundangannya hanya semata-mata digali dari Islam; yakni dari al-Quran, as-Sunnah, Ijma Sahabat, dan Qiyas, serta olahan ijtihad tanpa henti dari para mujtahid.
Khatimah
Mendirikan kembali Khilafah bukanlah suatu yang mudah. Sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam mengubah pemikiran dan perasaan umat sehingga mereka bersedia memperjuangkan penerapan Islam sekalipun menanggung penderitaan yang luar biasa, membuktikan bahawa perjuangan menegakkan Khilafah bukanlah suatu yang ‘mudah’. Perjuangan intelektual ini penuh dengan cubaan dan penyiksaan, namun kaum muslimin yang betul-betul ikhlas tetap istiqamah. Mereka rela melepaskan nyawa dan harta mereka dijalan Allah kerana itulah kehidupan sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul jika Rasul menyeru kalian pada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kalian. [Surah al-Anfal (8): 24].
Tanpa pejuang-pejuang ini, tiadalah Islam bagi kita hari ini. Wahai kaum Muslimin! satu-satunya penyelesaian yang harus ditempuh untuk mengembalikan kejayaan umat ini adalah dengan kembali pada syariat Allah, menerapkannya dan menegakkan Daulah Khilafah yang akan melindungi dan menyelamatkan kita dari berbagai kedurjanaan musuh-musuh kita. Ingatlah, bahawa Allah Ta’ala telah menjamin kemenangan dan kejayaan bagi kita jika kita kembali pada deenNya. Oleh karena itu, bersegeralah kita berusaha untuk membai’at seorang khalifah yang akan mengembalikan Islam ketempat asalnya – kuasa yang mendominasi seluruh manusia.
Sesungguhnya imam/khalifah itu adalah perisai dimana orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya. [HR. Muslim].
Hanya dengan Khilafahlah kita akan dapat meneladani Khalifah al-Mu‘tashim sehingga kita akan dapat menyambut jeritan anak-anak dan wanita-wanita Iraq dan Palestin yang dihinakan oleh tangan-tangan kuffar. Hanya dengan Khilafahlah kita berangkat untuk berjihad memerangi musuh-musuh kita. Hanya dengan Khilafahlah segenap permasalahan kaum muslimin dapat diselesaikan melalui penerapan hukum syara’ secara kaffah. Sambutlah seruan ini wahai kaum muslimin sesungguhnya Allah telah menjanjikan kemenangan. Allah berfirman yang bermaksud:
Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kalian, bahwa dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi. [Surah an-Nûr (24): 55].
Rasul juga pernah bersabda yang maksudnya:
…. Kemudian akan berdiri Khilafah yang ditegakkan di atas manhaj kenabian. [HR. Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi].
Marilah kita sama-sama merenungi nasib kita dan nasib kaum muslimin seluruhnya. Hilangkanlah jerebu didalam minda kita supaya kita dapat melihat Islam sebagai satu-satunya penyelesaian dan bukan penambah masalah. Bantulah deen Allah ini dengan bersegera menegakkan kembali Khilafah Rasyidah. Nescaya dengan usaha ini Allah akan menolong kita dan mengubati keresahan dan kesedihan dengan menundukkan musuh-musuh yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam.
Pada hari ini, orang-orang Mukmin merasakan kebahagiaan kerana memperoleh pertolongan Allah.
[Surah ar-Rum (30): 4-5].
Wallahua’lam