SN019 – SI TIKUS MEMBAIKI LABU : Perjuangan Islam Liberal

PDF

SN Keluaran 2005

SN

[SN019] Isu Islam Liberal agak hebat diperkatakan mutakhir ini, sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri mengulas isu ini dengan nada yang negatif. Datuk Abdullah Md Zin berkata, “Islam liberal banyak menimbulkan penyelewengan dan melahirkan keraguan kepada ummah dan ia sekaligus merosak pemikiran masyarakat Islam kepada agamanya”. [BH, 21.05.2005]. Salah seorang dari pelopor gerakan Islam Liberal ini adalah Leonard Binder, seorang sarjana barat keturunan yahudi yang bertanggungjawab mencetuskan pergerakan Islam liberal pada era 80-an. Beliau telah memerinci agenda-agenda penting Islam Liberal dalam bukunya “Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies”. Dalam buku tersebut ia menjelaskan premis dan titik tolak perlunya pergerakan Islam Liberal didukung dan disebar luaskan. Selain ‘rational discourse’ yang merupakan tonggak utamanya, gerakan ini ternyata tidak lebih daripada alat untuk mencapai tujuan politik golongan tertentu iaitu menciptakan pemerintahan Liberal ala Barat (AS dan Eropah).

Seminar yang pada asalnya bertajuk “Seminar Bahaya Islam Liberal” yang diadakan pada 21hb Mei yang lepas ditukar kepada “Seminar Wacana Islam Liberal” kerana adanya desakan dari pertubuhan yang kononnya mewakili Wanita Islam Malaysia. Sautun Nahdhah pada kali ini ingin mengajak para pembaca menelurusi ketandusan pemikiran Islam Liberal ini dengan wacana pemikiran Islam.

HAKIKAT ISLAM LIBERAL – Konotasi Yang Mengelirukan

Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘muslim moderat’ atau ‘muslim liberal’ seringkali memulakan hujahnya dengan memetik aspek sejarah sebelum menangani fenomena kontemporari. Mereka akan menyalahkan golongan ‘ fundamental’ dengan menuduh bahawa golongan ini “..meletakkan, dari perspektif sejarah, Islam sehingga mencapai taraf kekuasaan dan model normatif..’ [”The sources of enlightened muslim thought”, Journal of Democracy, vol. 14, no. 2]. Hakikatnya, sebarang isu kontemporari yang ingin dikaji, bagi seorang muslim, haruslah dikembalikan kepada Islam dan bukan kepada yang lain. Dan apakah isu yang paling penting kalau tidak mengenai politik kaum muslimin dan ini sewajarnya dikendalikan oleh suatu entiti politik yang memiliki kekuasaan!! Kaum liberal dengan sengaja menimbulkan kesangsian dalam kesyumulan Islam dan ini secara langsung merupakan satu penolakan keatas Al-Quran sebagai kitab Allah yang lengkap dan dapat menyelesaikan seluruh permasalahan manusia.

Kaum liberal, walau bagaimanapun terus mendakwa bahawa mereka berpegang kepada Al-Quran namun berpendapat bahawa Al-Quran, Sunnah, malah Islam secara keseluruhannya perlu diinterpretasi semula agar sesuai dengan perjalanan kehidupan moden zaman ini (yang sekular). Dalam menginterpretasi semula Islam, mereka dengan sengaja menggunakan istilah seperti Islah untuk merujuk kepada perubahan tersebut, sedangkan apa yang mereka maksudkan bukannya Islah tetapi merombak semula ‘dogma Islam’ yang membawa maksud merombak kepercayaan asas kaum muslimin dalam memegang Al-Quran dan Sunnah sebagai asas akidah. Mereka secara umum akan menekankan sifat manusia yang akan berbeza pendapat didalam menginterpretasi nas. Dengan justifikasi ini, mereka dengan sewenang-wenangnya menolak interpretasi imam-imam besar – mengatakan bahawa tafsiran imam-imam ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan dengan kehidupan moden, tanpa memahami batasan-batasan usul didalam mengistinbath hukum dari Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan tanggapan ini, mereka dengan tanpa segan silu menolak hadis-hadis sahih dan ‘mencairkan’ isi Al-Quran dengan menolak ayat-ayat yang dianggap tidak relevan kepada realiti kontemporari. Mereka ini, yang terus menuduh kaum muslimin yang berpegang kepada Islam yang haq dengan ‘jenayah’ menginterpretasi Al-Quran secara literal hakikatnya berusaha untuk memperoleh pengertian yang sesuai dengan tanggapan mereka tanpa sebarang asas dari nas yang diinterpretasi. Mereka sebenarnya melakukan interpretasi yang hanya menekankan perbezaan yang merosakkan pemahaman hakiki Islam dan akan memecahbelahkan lagi kaum muslimin.

Kaum liberal juga menyempitkan pengertian dan domain Islam kepada individu tanpa memerhatikan peranannya didalam konteks umat. Bagi mereka, oleh kerana Islam tidak dianggap sebagai cara hidup yang syumul , maka melepaskan Islam dari identiti ini memudahkan usaha mereka untuk meletakkan Islam sebaris dengan cara-cara hidup kufur yang lain; menjadikan Islam dan lain-lain agama dan cara hidup setara disisi undang-undang dan konsepsi ciptaan manusia serta memudahkan asimilasi Islam kedalam kehidupan ala barat. Rancangan mereka ini disokong penuh oleh kuasa-kuasa barat dan sikap ini terserlah didalam sebuah laporan bertajuk ‘Civil Democratic Islam: Partner, Resources and Strategies’ yang diterbitkan oleh RAND Corporation, sebuah badan penyelidikan yang banyak menyediakan cadangan-cadangan polisi untuk kerajaan Amerika. Didalamnya, penulis laporan tersebut, Cheryl Benard, mengatakan bahawa untuk menyelesaikan masalah tersebarnya apa yang mereka istilahkan sebagai ‘Islamic fundamentalism’ adalah dengan mempromosi satu versi Islam yang mana pendokong-pendokongnya bersiap sedia bekerjasama dengan Amerika. Beliau juga mengatakan bahawa Amerika perlu mewujudkan ‘Islam’ baru yang akan diurut agar sesuai dengan kepentingan Amerika. Nampaknya rancangan ini sudahpun menjalar ketubuh-tubuh umat yang mulia ini. Semasa mereka membicarakan hukum Islam, mereka secara membabi buta menafsirkan Al-Quran dan Islam, mengikut selera pemikiran mereka, dan mereka memandang enteng perbincangan usul Fiqh.

Usul Fiqh Dalam Mengistinbath Hukum

Seorang aktivis Islam Liberal Malaysia pernah ditanya, tentang pakaiannya tidak menutup aurat, maka dia menjawab, “Yang penting pakaian taqwa”. Peristiwa ini berlaku di Hotel Selesa Indraloka, Pasir Gudang, Johor.

“Secara pribadi, saya selalu merasa berhubung terus dengan Tuhan ketika sedang menjalankan ibadah tertentu. Jadi benar dan salahnya biar Tuhan yang menilai. Misalnya, saya berpendapat bahwa minum Ubat ketika puasa tidak akan membatalkan puasa saya, dan itu saya berunding langsung kepada Allah. Sebab, saya menganggap yang membatalkan puasa adalah makan yang mengenyangkan. Kerana itu, hukumnya langsung saja saya serahkan kepada Tuhan.” – Ustaz Roy, aktivis Jaringan Liberal Islam (JIL), Indonesia

Dua peristiwa ini cukup menerangkan kepada kita tentang sikap mereka, yang sering memandang remeh kepada hukum syarak. Ini adalah kerana kelemahan ketara dalam kaedah istinbath hukum dan mereka membicarakan hukum syara’ mengikut apa-apa sahaja yang terhasil dari pemikiran mereka, dan hakikatnya mereka sendiri tidak mempunyai kaedah berfikir perundangan Islam yang benar. Tambahan pula, buku-buku yang biasanya menjadi asas rujukan mereka adalah buku-buku karangan para orientalis. Sebelum kita melihat kepincangan mereka dalam berhujah, kita perlu memahami terlebih dahulu kaedah istinbath hukum didalam Islam. Untuk ini, patut diketahui terlebih dahulu pengertian usul fiqh serta apa saja yang menjadi cakupannya. Menurut ulama usul fiqh mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, usul fiqh adalah kaedah-kaedah (qawâ’id) yang dapat membawa kepada penggalian (istinbâth) hukum syariat dari dalil-dalilnya yang terperinci [asy-Syaukani, Irsyâd al-Fuhûl, hlm. 3; Wahbah az-Zuhaili, Ushûl al-Fiqh al-Islâmî, jld. I, hlm. 23-24]

Dari definisi ini, topik (mawdhû’) usul fiqh menurut Muhammad Husain Abdullah [Abdullah, Al-Wadhîh fî Ushûl al-Fiqh, hlm. 29], meliputi empat kajian, iaitu:

1) Kajian tentang dalil-dalil hukum yang bersifat global (al-adillah al-ijmâliyyah), misalnya Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma, Qiyas, dan seterusnya.
2) Kajian tentang hukum syariat (al-hukm asy-syar’î) dan hal-hal yang terkait dengannya, seperti definisi hukum syariat dan yang berhubungan dengannya.
3) Kajian tentang cara memahami dalil (fahm al-dalîl) atau pengertian kata (dalâlah al-alfâzh), misalnya tentang manthûq (makna eksplisit) dan mafhûm (makna implisit).
4) Kajian tentang ijtihad dan taklid, termasuk tatacara melakukan tarjîh (analisis) untuk memilih yang terkuat dari dalil yang nampak bertentangan (ta’ârudh).

Adakah Golongan Islam Liberal Ini Mempunyai Usul Fiqh?

Seorang pakar dan pengkritik idea liberal, Dr. Busthami Muhammad Said, menyimpulkan, ijtihad dalam usul fiqh dikalangan kaum liberal — bermula dari Sayyid Ahmad Khan, Muhammad Abduh, Qasim Amin, Ali Abdur Raziq, Thaha Husain, dan lainnya— tidak lebih dari sekadar teori belaka, tanpa kenyataan [Said, Mafhûm Tajdîd ad-Dîn (terj.)]. Ini adalah merupakan salah satu pandangan yang menegaskan kelemahan dan kekosongan kaum liberal. Hakikatnya, kaum liberal ini tidak mempunyai kaedah usul fiqh.

Karya mereka tidak pernah menerangkan dengan jelas, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan dalil syara’ (sumber hukum) itu. Mereka tidak pernah menjelaskan bagaimana mereka menggali hukum dari dalilnya, selain mendakwa bahawa kaedahnya adalah dengan cara hermeneutika [Adnin Armas, Pengaruh Kristen-Orientalis Terhadap Islam Liberal]. Walhal kaedah ini pada asalnya digunakan untuk menafsirkan kitab Injil; sudah tentu ia tidak sesuai untuk menafsirkan al-Qur’an, kerana kitab Injil dan Al-Qur’an sangat jauh berbeza, seperti langit dan bumi. Tidak aneh juga sekiranya Norman Daniel [Daniel, Islam and The West: The Making of an Image] menegaskan, “The Quran has no parallel outside Islam” (Al-Qur’an tidak mempunyai kesejajaran dengan [kitab lainnya] diluar Islam).” [Adian Husaini, “Mengapa Barat Menjadi Sekular-Liberal” www.insistnet.com)]

Di negara jiran Indonesia, aktivis JIL Abdul Moqsith Ghazali, dengan berani mencetuskan beberapa kaedah usul fiqh ‘baru’, sebagai contoh:

(1) Al-‘Ibrah bi al-maqâshid lâ bi al-alfâzh (yang menjadi sandaran hukum adalah maksud/tujuan syariat, bukan ungkapannya [dalam teks]);
(2) Jawâz naskh nushûsh bi al-mashlahah (Boleh menghapuskan nash dengan maslahat);
(3) Tanqîh nushûsh bi ‘aql al-mujtama’ (Boleh memperbetul teks dengan akal [pendapat] umum) [www.islamlib.com, 24/12/2003].

Kaedah-kaedah diatas jelas bertentangan dengan kaedah usul fiqh yang digunakan didalam Islam, Malah, dapat diperhatikan bahawa kaedah-kaedah ini tidak diasaskan kepada mana-mana pendapat ulama salaf tetapi merupakan kaedah yang disandarkan kepada pendapat dan hawa nafsu golongan liberal.

Paradigma Pseudo-Usul Fiqh Liberal

Manifestasi kepalsuan ‘usul fiqh’ golongan liberal ini dapat difahami apabila disedari bahawa paradigma yang mereka terimapakai bukanlah paradigma Islam tetapi paradigma sekular, yang menjadi pangkal peradaban Barat, peradaban kaum penjajah. Ini dapat diperhatikan didalam usaha mereka untuk menjadikan usul fiqh tunduk dibawah nilai-nilai peradaban barat. Oleh itu, secara sengaja, ‘usul fiqh’ ini diletakkan sebagai subjek kepada peradaban barat yang sekular.

Paradigma sekular ini memiliki akar sejarah yang panjang, bermula dari keadaan umat Islam yang berada dikemuncak kemundurannya pada abad ke-18 M lalu. Khilafah Uthmaniyah dan umat Islam pada saat itu mendapat julukan “The Sick Man of Europe”. Disisi lain, barat mengalami kebangkitan dengan kehidupan sekularnya.

Dalam kekacauan pemikiran umat Islam ketika itu, muncul dua pemikiran dari kalangan umat – menyediakan dua paradigma yang jauh berbeza untuk menyembuhkan penyakit ini:

Pertama, paradigma sekular, iaitu mengambil ‘penawar’ dari peradaban barat yang sekular. Itulah yang dilakukan oleh mereka yang disebut dengan kaum modernis atau kaum liberal, seperti Sayyid Ahmad Khan, Ameer Ali, Muhammad Abduh, Qasim Amin, Ali Abdur Raziq, dan sebagainya. Mereka berpendapat bahawa umat Islam akan bangkit kembali jika mereka meminum ‘penawar’ peradaban barat dan mengikuti nilai-nilainya, seperti sekularisme, liberalisme, demokrasi, dan nasionalisme [Ian Adams, Ideologi Politik Mutakhir{terj.), 2004]. Ajaran-ajaran Islam harus ditundukkan dan disesuaikan dengan nilai-nilai peradaban barat..

Kedua, paradigma Islam, iaitu mengambil ‘penawar’ dari peradaban Islam. Itulah yang dilakukan oleh para aktivis kebangkitan dan revivalis Islam, seperti Hasan al-Banna, Abul A’la al-Maududi, Taqiyuddin an-Nabhani, Sayyid Qutb, Baqir ash-Sadr, dan sebagainya [Hafizh M. al-Jabari, Gerakan Kebangkitan Islam, 1996]. Menurut mereka, kebangkitan umat Islam bererti kembali secara murni (menyeluruh) kepada ideologi Islam, serta melepaskan diri dari ideologi barat yang kufur.

Dari pemetaan ini, tampak bahawa paradigma kaum liberal adalah paradigma pertama, iaitu paradigma yang disandarkan kepada pemikiran dan cara hidup sekular. Tujuannya sangat jelas – bagaimana agar Islam dapat diubah, diedit, diperbetulkan dan diadaptasikan agar tunduk dibawah hegemoni peradaban barat sekular. Sekularisme dan pemikiran barat lainnya seperti demokrasi, hak asasi manusia, pluralisme, isu gender dan nilai sejagat dianggap mutlak kebenarannya dan dijadikan sebagai asas yang tidak boleh diubah. Justru Islamlah yang harus diubah dan dihancurkan.

Inilah manifestasi usul fiqh palsu yang didasarkan kepada paradigma dan aspirasi sekular, mengikuti kaum penjajah yang kafir. Mungkin niat mereka baik namun hakikatnya mereka telah melakukan kejahatan dan penyesatan intelektual. Maksud mereka mungkin untuk memberi ‘penawar’, namun hakikatnya mereka memberikan racun. Akibatnya, ‘si sakit’ jelas tidak akan sembuh, tetapi malah sebaliknya akan segera masuk ke lubang kubur, ibarat Si Tikus Membaiki Labu.

Penutup

Secara intelektual, perilaku ini jelas menunjukkan betapa miskinnya pemikiran kaum liberal. Mereka menolak warisan intelektual ulama salaf yang sangat kaya dengan alasan bahawa warisan ini sudah tidak relevan lagi tetapi pada masa yang sama mengemis-ngemis pemikiran secara hina kepada peradaban barat. Mereka ini sebenarnya adalah tangan-tangan barat yang menjalankan agenda barat terhadap dunia Islam. Bagi imperialis Barat, Islam dipandang sebagai ancaman. Jika akidah dan syariah Islam tegak di muka bumi, maka ideologi, pemikiran, sistem dan dominasi ekonomi barat akan goncang dan tergugat. Oleh kerana itulah, barat terus membina pusat-pusat pengajian Islam yang canggih dan membiayai sarjana-sarjana muslim untuk menimba ilmu di sana. Barat juga begitu bersemangat membiayai kelompok-kelompok kaum liberal Islam, dimana jua mereka berada.

Untuk apa? Jelas niat utamanya adalah untuk mengukuhkan hegemoni mereka keatas kaum muslimin.

Sebagai umat yang telah dinobatkan oleh Allah SWT sebagai umat yang terbaik, kaum muslimin seharusnya menyediakan diri untuk menghadapi cabaran dan tentangan yang datang dari golongan seperti ini. Umat Islam perlu menyediakan diri melalui pemantapan pemikiran tasyri’ (hukum) dan siyasi (politik) Islam. Berbekalkan pemikiran ini, umat dapat melihat dengan jelas dan membezakan antara yang haq dan yang batil, yang benar dan yang keliru serta dapat membongkar rancangan barat untuk menipu dan mendominasi negeri-negeri kaum muslimin. Kemajuan yang dicapai barat juga perlu diteliti dengan kritikal, tanpa perlu meniru ideologi dan cara berfikir mereka yang materialistik, sekular, liberal dan hedonis. Inilah yang sedang dilakukan oleh Hizbut Tahrir diseluruh dunia dalam usaha dakwahnya untuk mengembalikan kehidupan Islam.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengembalikan dominasi Islam di dunia ini. Hanya dengan penerapan Islam yang menyeluruh melalui penegakkan Khilafah ‘ala minhaj nubuwwahlah umat Islam akan kembali ketempat asal mereka – sebagai khairu ummah!

Wallahua’lam