Fikratul Ummah – Mac 2015

cover-fumac15
Muqaddimatul Kalam

Assalamualaikum wa rohmatullohi wa barokatuh..

Semenjak lenyapnya Khilafah Islamiyah pada tahun 1924M sehingga kini, negara umat Islam terpecah belah menjadi kepada beberapa buah negara yang menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang sangat terpuruk. Bermula daripada itu juga kelihatan berbagai upaya kebangkitan yang dilakukan oleh segelintir umat Islam dengan mengerahkan segenap usaha untuk mengubah dan memperbaiki keadaan yang terpuruk ini.

Kini, kita dapat melihat berdirinya pelbagai lembaga, harakah, kelompok, organisasi, yayasan dan parti. Setiap daripada persatuan itu telah menetapkan manhaj (metod) perjuangan masing-masing.

Namun, sehingga kini keadaan kaum Muslimin serta posisi politik, ekonomi, sosial dan pemikiran mereka tidak pulih, malah keadaan politik kaum Muslimin semakin bergoncang dan terpuruk. Bahkan semakin meluas upaya dan kekuatan musuh-musuh Islam untuk menghalangi kembalinya kaum Muslim kepada Islam dengan menonjolkan berbagai pemikiran yang bertentangan dengan Islam.

Begitu juga dengan upayanya untuk menghalagi pemersatuan antara kaum Muslim yang akhirnya menjadikan ikatan antara negeri-negeri kaum Muslim menjadi semakin longgar dan rapuh. Mengapakah hal ini tetap berlaku walau dengan kehadiran pelbagai kelompok yang memperjuangkan kebangkitan umat?? Apa silapnya perjuangan kelompok-kelompok ini?

Insya Allah, FU kali ini akan menjawab persoalan-persoalan tersebut dengan menjelaskan berkenaan faktor-faktor kegagalan sesebuah harakah/kelompok perjuangan kebangkitan yang ada. Semoga Allah SWT mengurniakan jalan keluar bagi umat Islam ke jalan yang akan membebaskan umat manusia daripada kekufuran, kezaliman, kefasikan dan kemaksiatan. Allahumma aamiin…

Wallahhu’alam..

Ketua Pengarang
-Maryam Ismail-

DOA MOHON PETUNJUK

Dari Ibnu Mas’ud RA, dari Nabi SAW bahawa baginda berdoa,

اللِّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

“Ya Allah, aku memohon kepadaMu petunjuk, ketakwaan, ‘iffah (penjagaan dari hal yang tidak diperbolehkan) dan kecukupan” [HR Muslim].

 

POLITIK
PERUBAHAN HAKIKI

Oleh: Ustazah Rahmah Nadzri (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah

Gelombang kebangkitan yang berlaku di negeri-negeri umat Islam khususnya di Timur Tengah sedikit sebanyak menunjukkan kepada dunia Islam bahawa kuffar Barat sentiasa memantau perubahan politik di negeri-negeri umat Islam dan mengarahkan perubahan tersebut sesuai dengan keinginan mereka. Pada masa yang sama, penguasa-penguasa umat Islam dilihat setia dan patuh kepada Barat demi menjaga kepentingan-kepentingan masing-masing. Jelasnya, demokrasi dan akar sekularisasi akan dipastikan kekal dijulang dan disebarkan.

Dari segi yang lain, perubahan yang tidak dipimpin oleh gerakan Islam yang kuat dan tidak disiapkan dengan baik juga berjaya dipesongkan oleh Amerika Syarikat (US) dan sekutunya. Akibatnya, perubahan tersebut gagal mentransformasikan umat menuju ke arah perubahan hakiki iaitu terbentuknya sebuah kekuasaan Islam yang benar. Lebih buruk lagi, kemuliaan Islam turut tercemar kerana Barat rakus mempamerkan ‘rupa buruk’ gerakan-gerakan Islam tersebut.

Penyebab Kegagalan Gerakan Islam

Apa yang perlu dicermati dalam isu ini adalah apakah penyebab kepada kegagalan usaha gerakan-gerakan Islam untuk membangkitkan umat? Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menerusi kitab At-Takattul Al-Hizbiy menjelaskan sejak abad 19 Masihi, sehingga saat ini belum ada gerakan yang benar-benar meraih kejayaan untuk membangkitkan umat Islam. Setelah diamati, terdapat empat penyebab utama kegagalan gerakan yang berusaha untuk mewujudkan kebangkitan tersebut. Antaranya:

Pertama: Berdirinya sesebuah gerakan Islam di atas dasar fikrah (pemikiran) yang masih umum tanpa batasan yang jelas sehingga muncul kekaburan atau kesamaran.

Para aktivis gerakan Islam mendakwahkan Islam dalam bentuk yang masih terlalu umum dan tiada batasan yang jelas. Mereka cuba menyesuaikan Islam dengan keadaan semasa agar selari dengan peraturan-peraturan selain Islam yang akan diambil. Keadaan sedemikian dijadikan hujah untuk mempertahankan keadaan sedia ada atau untuk mengambil peraturan selain Islam.

Selain tidak jelas, fikrahnya juga mengalami pencemaran atau keracunan akibat adanya fikrah-fikrah asing daripada penjajah kafir seperti idea sekularisme, nasionalisme, patriotisme dan sosialisme. Fikrah-fikrah asing ini jelas akan menjadikan seseorang individu Muslim itu kehilangan keperibadian Islamnya sehingga menjadi bercelaru. Secara zahirnya dia adalah seorang Muslim, namun fikrahnya adalah fikrah penjajah yang kafir.

Dengan berbekalkan fikrah yang tercemar, diracun, kabur dan penuh kesamaran, gerakan Islam mencari-cari justifikasi ‘syar’ie’ atas setiap perbuatan atau keputusan yang diambil. Misalnya kaedah ‘darurat kecil dibenarkan bagi menghilangkan darurat yang lebih besar’. Kaedah ini justeru membenarkan jalan demokrasi digunapakai dengan hujah bahawa hanya melalui mekanisme pilihanraya sahajalah sesebuah gerakan/parti politik mampu meraih kekuasaan. Akhirnya, sistem demokrasi yang jelas-jelas merupakan sistem kufur menjadi ‘halal’ berdasarkan kaedah ini.

Ironisnya daripada satu sudut yang lain, seluruh umat Islam mengetahui bahawa Rasulullah SAW mendapat kekuasaan di Madinah tanpa melalui pilihanraya. Lalu mengapakah thariqah (jalan) yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan Negara Islam ini tidak diikuti? Walhal inilah thariqah yang wajib diikuti oleh gerakan Islam, bukannya melalui thariqah demokrasi-pilihan raya yang diajarkan oleh Barat!

Gerakan Islam juga gagal membezakan di antara syura (musyawarah) dan demokrasi. Mereka malah tidak mampu memahami bahawa musyawarah adalah hukum syariat yang dijadikan rujukan oleh masyarakat atau negara untuk menetapkan sesuatu pendapat yang bersifat mubah (harus), bukannya untuk membuat hukum. Manakala hukum musyawarah itu sendiri pula adalah sunat (mandub) dan bukannya wajib (fardhu). Ia sama sekali berbeza dengan demokrasi iaitu demokrasi adalah satu sistem di mana undang-undang dibuat oleh manusia secara majoriti. Dalam sistem demokrasi, seseorang itu dipilih untuk kemudian berfungsi sebagai legislator (pihak yang boleh menggubal, meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang) di Parlimen. Ternyata demokrasi memberikan hak menetapkan hukum di tangan manusia. Ini jelas-jelas bertentang dengan firman Allah SAW,

“Sesungguhnya menetapkan hukum itu adalah hak Allah semata” [TMQ al-An’am (6): 57].

Kedua: Gerakan-gerakan tersebut tidak mengetahui thariqah (method) bagi penerapan fikrahnya. Bahkan fikrahnya diterapkan dengan cara-cara yang menunjukkan ketidaksiapan gerakan tersebut dan penuh dengan kesimpangsiuran. Lebih daripada itu, thariqah gerakan-gerakan tersebut diliputi kekaburan dan ketidakjelasan.

Fikrah dan thariqah yang dimaksudkan di sini ialah fikrah dan thariqah parti dalam perjuangannya untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan semasa menubuhkan parti. Bagi sesebuah gerakan Islam, fikrah yang seharusnya diguna pakai (adopted) hendaklah fikrah Islam semata-mata manakala thariqah yang wajib difahami dan diambil dalam perjuangan adalah thariqah yang telah ditempuh dan ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya, sekiranya sesebuah parti itu memahami (secara fikrah) bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi dan bertahalluf dengan orang-orang kafir dalam menegakkan Negara Islam, maka secara thariqahnya parti itu pasti tidak akan melakukan hal sedemikian.

Namun, ketidakjelasan dan kesimpangsiuran dalam hal ini menyebabkan banyak parti Islam sudah tidak mampu menterjemahkan dengan jelas thariqah perjuangan yang mereka harus tempuhi. Akibatnya, mereka ‘kaut’ mana-mana thariqah yang pada pandangan mereka boleh mendatangkan manfaat kepada mereka tanpa memahami atau memperhatikan aspek fikrah dan thariqah yang sahih dalam merealisasikan sebuah perjuangan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Thariqah yang kabur dan tidak jelas juga dapat dilihat pada pelbagai gerakan atau organisasi sosial (jam’iyyah khairiyah) dan organisasi akhlak (jam’iyyah khuluqiyah) yang didirikan. Organisasi sosial yang aktivitinya membina sekolah, rumah sakit dan sebagainya dikhawatirkan menjadi penyaluran  semangat kebangkitan Islam yang menggelora di dada umat. Seharusnya semangat itu terwujud dalam sebuah kelompok berbentuk parti politik (al-takattul al-hizbi) yang akan membawa kebangkitan. Dengan adanya organisasi sosial, semangat itu akan tersalurkan hanya untuk memenuhi kepentingan umat secara sebahagian, bukan untuk melahirkan sebuah kebangkitan umat yang benar.

Organisasi akhlak juga menunjukkan fenomena thariqah yang tidak jelas. Mereka mengedepankan akhlak untuk memperbaiki masyarakat dengan jalan memperbaiki akhlak individu masyarakat. Sesungguhnya jalan memperbaiki individu tidak sama dengan jalan memperbaiki masyarakat. Memang memperbaiki individu adalah dengan memperbaiki akhlaknya. Namun memperbaiki masyarakat bukanlah dengan memperbaiki akhlak individunya, melainkan dengan memperbaiki pemikiran, perasaan dan peraturan yang ada dalam masyarakat.

Sebuah gerakan Islam sudah semestinya bertumpu hanya pada ideologi (mabda’) Islam. Ini adalah kerana falsafah kebangkitan yang hakiki itu tiada lain adalah ideologi Islam yang akan mengintegrasikan fikrah dan thariqah Islam secara terpadu. Ideologi Islam ini harus didakwahkan, lalu ditegakkan Daulah Islamiyyah iaitu sebuah negara untuk menerapkan ideologi Islam itu secara menyeluruh. Kemudian, Daulah Islamiyyah itu akan terus menyebarluas Islam meliputi seluruh negara.

Ketiga: Gerakan-gerakan tersebut bertumpu kepada orang-orang yang belum sepenuhnya mempunyai kesedaran yang benar. Malah tidak kurang juga yang masih belum mempunyai niat yang benar meskipun mereka memiliki keinginan dan semangat yang tinggi.

Kegagalan gerakan-gerakan ini juga disebabkan oleh individu-individunya bukanlah dalam kalangan mereka yang matang dan memiliki kesedaran. Ini kerana pemilihan individu-individu ini ke dalam gerakan-gerakan tersebut tidak didasarkan pada kelayakan individu tersebut, tetapi didasarkan pada kedudukannya dalam masyarakat atau kerana kemampuannya mendatangkan kepentingan sesaat bagi gerakan tersebut dan sebagainya.

Tokoh atau golongan berpengaruh yang bergabung dengan gerakan Islam tanpa dibina dengan fikrah dan thariqah parti, akhirnya mereka akan menimbulkan masalah di dalam parti. Kebanyakan mereka akan keluar setelah ‘tidak tahu’ apa sebenarnya peranan mereka di dalam parti. Sering juga berlaku, ahli-ahli yang keluar daripada parti kerana ‘kecewa’ dengan parti. Kekecewaan di sini sebenarnya timbul kerana tidak berlakunya pembinaan (tasqif) di dalam parti sehingga dia sudah tidak tahu apakah arah perjuangan parti atau dia sering melihat parti tersebut ‘lari’ atau tersasar daripada perjuangan yang dia harapkan.

Keempat: Orang-orang yang menjalankan tugas gerakan-gerakan tersebut tidak mempunyai ikatan yang benar. Ikatan yang ada hanyalah struktur organisasi yang disertai dengan sejumlah deskripsi mengenai tugas-tugas organisasi dan sejumlah slogan-slogan organisasi. Oleh kerana itu, wajarlah jika kelompok-kelompok tersebut bergerak hanya dengan bekal kesungguhan dan semangat yang dimiliki sehinggalah bekalan itu habis. Kemudian aktivitinya berhenti dan akhirnya lenyap. Setelah itu berdiri gerakan-gerakan lain dengan orang-orang yang berlainan pula. Mereka pun bergerak seperti orang-orang sebelumnya, sampai akhirnya pada batas tertentu mereka kehabisan bekal, semangat dan kesungguhan yang mereka miliki.

Hakikat Perubahan Hakiki

Sesungguhnya perubahan hakiki adalah transformasi yang mampu membawa masyarakat menuju kebangkitan. Bukanlah sebuah perubahan hakiki jika ianya tidak menjadikan masyarakat berubah menuju keadaan yang lebih baik berbanding keadaan sebelumnya. Dengan hanya mengalami transformasi teknologi, ekonomi hatta peradaban yang lebih tinggi sekalipun, ini belum mampu menghantar kepada perubahan hakiki.

Adapun faktor yang menentukan benar tidaknya sebuah peradaban adalah akidah (pemikiran mendasar) yang menyokong peradaban tersebut. Jika akidahnya benar dan lurus, maka peradaban tersebut dikatakan peradaban sahih. Jika akidahnya batil, peradaban tersebut dikatakan peradaban batil. Satu-satunya ideologi (mabda’) sahih yang layak diadaptasi dalam kehidupan adalah Islam, bukan kapitalis, bukan juga sosialis!

Peradaban Islam hanya dapat diwujudkan dengan cara menerapkan Islam secara kaffah dan menyebarkan risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Penerapan Islam secara menyeluruh dan penyebaran risalah Islam ke seluruh penjuru dunia hanya dapat diselenggarakan melalui penegakkan kembali kekuasaan Islam yang digariskan baginda Nabi SAW, iaitu Khilafah Islamiyyah.

Khatimah

Sesungguhnya, umat tidak akan bergerak, jika tidak digerakkan. Umat juga tidak akan mengetahui apa yang seharusnya ia tuntut, jika tidak diberitahu apa yang seharusnya mereka tuntut. Umat juga tidak akan menyedari kerosakan masyarakatnya, kecuali disedarkan akan segala kerosakan itu. Bahkan, umat tidak akan ‘berani’ menuntut perubahan, kecuali ada orang yang mampu memimpin dan membimbing mereka menuju kepada perubahan. Dengan erti kata lain umat senantiasa memerlukan kelompok atau gerakan yang secara berterusan membimbing dan memimpin mereka.

Wujudkah gerakan yang mampu menjaga kelurusan, kejernihan dan kesucian pemikiran-pemikiran Islam, serta mampu mengungkap kerosakan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat? Bagaimanakah gerakan ini berupaya membimbing umat untuk menyedari kerosakan-kerosakan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat sekaligus mengajak mereka berjuang bersama demi menegakkan sesuatu yang akan menjaga kemuliaan Islam dan manusia keseluruhannya? Nantikan kupasan berikutnya…

Rujukan:

  1. Taqiuddin an-Nabhani, Pembentukan Parti Politik Islam (Edisi Mu’tamadah) HTI Press 2007
  2. http://onebrother1924.blogspot.com/2012/03/perubahan-hakiki-dalam-perspektif-islam.html
  3. http://www.mykhilafah.com/index.php/sautun-nahdhah/3151-sn288-muhasabah-sebab-sebab-kegagalan-gerakan-islam
  4. Al-Quran dan terjemahan.

NAFSIYAH
SABAR DAN REDA DALAM MENERIMA DAN MEMEGANG AMANAH

Oleh: Ustazah Husna (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Sesungguhnya kita akan melalui masa-masa sulit, masa yang mana kelelahan dan pelbagai ujian akan hadir menghujam dalam setiap sudut kehidupan kita. Walhal kita berada di jalan kebenaran dan disibukkan dengan aktiviti menyeru kebaikan kepada manusia.  InsyaAllah , jika kita teguh pada jalan ini nescaya kepedihan akan hilang, kelelahan akan hilang dan yang tinggal hanyalah ganjaran pahala daripada Allah Yang Maha Menganugerahkan.

Oleh itu, kita janganlah lelah untuk terus berdakwah. Sesungguhnya Rasulullah SAW memuliakan orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam  mempertahankan izzah Islam. Sesungguhnya Allah SWT akan menolong kita  dalam apa jua keadaan. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya  Allah pasti  menolong orang  yang menolong agamaNya” [TMQ al-Hajj (22): 40]

Kita semua mengetahui bahawa langkah pertama kita dalam usaha menuju syurga Allah akan menghapuskan semua kelelahan, dahaga dan kepedihan yang dirasai. Sesungguhnya perniagaan ini adalah sesuatu yang menguntungkan. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka” [TMQ at-Taubah (9):111].

Ingatlah setiap apa yang dikorbankan akan dihadiahkan dengan Jannah. Kita adalah merupakan pekerja Allah. Maka bekerjalah dengan semaksimanya kerana barangsiapa yang bersantai ketika bekerja, dia akan menyesal ketika pembahagian upah yang  diberikan.

Sabar dan reda menerima amanah Allah SWT menuntut pengorbanan yang mana pengorbanan adalah merupakan suatu kemuliaan yang paling tinggi daripada Allah. Firman Allah SWT,

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya  kerana mencari keredaan Allah,dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” [TMQ al-Baqarah (2):207].

Setiap umat, bangsa atau kaum pasti memiliki akidah atau keyakinan yang dianuti, pemikiran-pemikiran yang dibawa dan peraturan-peraturan yang digunakan untuk mengurusi  urusan kehidupan umat. Mereka sanggup mengorbankan diri dalam mempertahankan kesemua hal tersebut kerana menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Ini merupakan sunnatullah dalam penciptaanNya yang tetap akan berlaku dalam setiap umat. Dalam sirah juga menggambarkan bahawa bangkitnya nabi dan rasul  yang diutus untuk umat tertentu dengan membawa akidah, pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum yang berbeza dengan anutan umat  pasti ada penentangannya. Bahkan ramai yang mendustakan dan menganiayanya dengan mempertahankan akidah, pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum jahiliyyah yang telah mengkristal dalam kehidupan mereka.

Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang telah diturunkan Islam kepada Baginda sebagai ad-Deen yang mengatur kehidupan manusia dengan Rabbnya, mengatur hubungan manusia dengan dirinya dan mengatur hubungan manusia sesama manusia. Baginda SAW mendapat pelbagai macam penganiyaan dan penyeksaan seperti yang dijelaskan dalam Kitabullah. Firman Allah SWT,

“Dan Sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar terhadap  pendustaan dan penganiyaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah kalimat-kalimat Allah.Dan Sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian dari berita rasul-rasul itu” [TMQ al-An’am (6):34].

Pendokong amanah Allah SWT setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW iaitu generasi setelah para nabi dan rasul, mereka pun menghadapi situasi penganiyaan dan penyeksaan. Firman Allah SWT,

“Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit, yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk disekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman” [TMQ al-Buruj (85):4-7].

Dalam sebuah hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Khubab bin al-Art, beliau pernah menuturkan demikian,

“Kami pernah mengadu kepada Nabi SAW. Ketika itu baginda sedang mengenakan sehelai kain burdah di bawah Kaabah. Kami berkata kepada baginda, “Tidakkah engkau memintakan pertolongan untuk kita? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kita?. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya pernah ada seseorang dari generasi sebelum kalian yang dibuatkan untuknya lubang di atas tanah. Dia kemudian dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawanya gergaji dan digergajinya  kepalanya. Kemudian, kepalanya dibelah menjadi dua bahagian. Akan tetapi, hal tersebut tidak sampai memalingkannya dari agamanya. Orang itu kemudian disisir dengan sisir yang dibuat dari besi sehingga tidak ada daging, pada tulang dan urat sarafnya. Akan tetapi  hal tersebut tidak sampai memalingkannya dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti memenangkan perkara (agama) ini sehingga seorang yang berkenderaan dari Shan’a menuju Hadramaut tidak berasa takut kecuali kepada Allah atau sehingga serigala takut pada domba buruannya. Akan tetapi kalian itu bersikap tergesa-gesa” [HR Bukhari, Ahmad, an Nasa’I dan Abu Dawud].

Dalam al Bidayah wa an Nihaya, dikisahkan bahawa Urwah bin az-Zubair pernah bertanya kepada Amru bin al-‘Ash mengenai peristiwa paling keras yang dihadapi baginda ketika berdakwah mengajak orang masuk Islam. Amru kemudian menceritakan,

“Ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat di sekitar Kaabah, tiba-tiba datanglah ke hadapan baginda ‘Uqbah Ibn Abi Mu’aith. Kemudian dia meletakkan bajunya pada leher Nabi dan mencekiknya dengan keras. Setelah itu datanglah Abu Bakar RA untuk menolong baginda sambil menolak ‘Uqbah dan menjauhkan dari baginda SAW. Abu Bakar berkata “Apakah engkau hendak membunuh laki-laki yang mengatakan ‘Tuhanku adalah Allah! Padahal dia telah membawa keterangan daripada Tuhan kamu?

Walaupun demikian, para nabi, rasul dan pengikut mereka tetap meneruskan dakwah serta menyampaikan syariat Islam. Bahkan mereka tetap bersabar atas apa yang menimpa mereka sehingga Allah memberikan keputusan  antara  mereka  dan kaum mereka. Tidak pernah dikenal dalam sejarah bahawa seorang nabi, rasul atau para pengikut mereka meninggalkan dakwah dan melepaskan amanah hanya kerana hendak menghindari diri daripada penyeksaan, pendustaan dan penghinaan yang mereka terima.

Sehubungan dengan itu, daie yang berdakwah menyebarkan Islam tentunya bersedia dengan ujian-ujian ini. Jika mereka menerima cemuhan, penghinaan, penolakan umat dan sebagainya, mereka bersedia menerima dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Jika kita tidak bersikap sabar atas semua kemungkinan-kemungkinan ini, bererti kita tidak benar-benar berdakwah dan tidak memahami konsekuensi yang akan dihadapi, yang akhirnya boleh menyebabkan kita tersungkur di tengah jalan dakwah. Ini semua merupakan sunnatullah yang tidak berubah atau berganti. Allah SWT berfiman,

“Dan  sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kamu,dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu” [TMQ Muhammad (47):31]

Menyebarkan dakwah merupakan aktiviti yang paling mulia yang dilakukan oleh seorang manusia. Dakwah adalah sandaran terbesar bagi pelbagai kebaikan serta diperoleh darjat yang tinggi  dan kedudukan yang mulia. Semua itu tidak layak diperoleh hanya dengan jalan mudah, pengorbanan yang sedikit tanpa menghadapi tentangan dan gangguan. Ujian dan penganiyaan adalah dua perkara yang dihadapi seseorang dalam usahanya menyebarkan Islam. Begitu juga dengan kesabaran dan kecekalan adalah dua perkara yang mesti ada dalam diri seorang pendakwah. Ia menuntut pendakwah untuk bersikap ikhlas, rajin dan bersungguh-sungguh dalam bermujahadah. Kesabaran dalam melaksanakan amanah Allah SWT akan dapat memastikan para pendakwah mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan Allah. Sa’ad bin Abi Waqash ada menuturkan,

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat menerima ujian?” Baginda menjawab, “Mereka adalah para nabi, kemudian orang-orang yang soleh, dan kemudian orang-orang yang seperti mereka. Seseorang diuji berdasarkan kadar agamanya. Apabila ia teguh dalam agamanya, ujian baginya akan ditambah. Apabila ia lemah dalam agamanya, ujiannya akan diringankan. Ujian itu akan sering dilalui oleh seorang hamba sehingga ia mencapai hidup di atas muka bumi ini dengan tidak memiliki satu dosa atau kesalahan pun” [HR an Nasa’I, Ahmad, Ibn Majah, Ibn Hibban ad Darimi, al Hakim dan at Tirmidzi].

‘Aisyah RA juga ada menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang-orang soleh itu akan mengalami ujian berat. Sebab, tidak ada satu duri pun mengenai seseorang mukmin atau yang lebih besar dari itu, kecuali dihapuskan satu dosa atau kesalahan darinya dan ia diangkat satu darjat” [HR Ahmad, Ibn Hibban, al Bayhaqi dan adz Dzahabi].

Oleh itu, sabar dan reda dalam menerima dan memegang amanah Allah memerlukan pengorbanan yang tinggi. Pengorbanan yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, tanpa mengenal keluh kesah, mengadu apatah lagi bersedih walaupun tubuh mereka terluka atau kehilangan orang tersayang. Sesungguhnya penawar daripada pelbagai tentangan tersebut adalah harapan tinggi untuk meraih ridhwanullah.

Seandainya Muslimah ketika ini mempunyai cita-cita semulia sahabiyah zaman baginda Rasulullah SAW seperti Ummu Imaroh, nescaya mereka tidak mudah melupakan Allah SWT dan berputus asa daripada RahmatNya. Tentangan perjuangan pasti datang silih berganti, namun janji Allah SWT pasti ditepati. Dia akan menolong orang-orang yang menolong agamaNya. Jika kaum Muslimin saat ini kembali kepada agama Allah SWT secara kaffah, menjunjung tinggi syariat Islam sebagai satu-satunya pengatur kehidupan mereka, nescaya umat Islam mampu keluar dari kemerosotan, kehinaan dan ancaman musuh-musuh Islam. Semua itu telah dibuktikan sendiri oleh Ummu Imaroh, salah satu contoh Muslimah yang sabar dan reda menerima dan memegang amanah Allah ketika orang lain mengingkarinya, ia telah memperoleh kemenangan hakiki ketika segala daya dan usaha telah dicurahkan untuk menolong agama Allah SWT walaupun terpaksa menjalani pelbagai kesulitan dan kesakitan.

Wallahu a’lam…

Rujukan :

  1. Pengemban Dakwah kewajiban dan sifat-sifatnya, Mahmud Abdul Latif Uwaidhah. 2012.
  2. Hikmah-hikmah bertutur, Arief B. Iskandar. Al Azhar Press. 2009.
  3. Pesan-pesan Menggugah, Dr Najih Ibrahim. Al Azhar Press. 2009.

SERIKANDI
DUA PUTERI BERJUANG DI SISI RASULULLAH SAW

Oleh: Ukhti Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah

Menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah sebuah perjuangan. Setiap perjuangan pasti memerlukan pengorbanan. Pengorbanan pula menuntut kita untuk mengorbankan segala-galanya, tidak kira masa, harta benda hatta nyawa sekalipun. Allah SWT berfirman,

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” [TMQ al-Baqarah (2):214].

Apabila kita menyelak lembaran-lembaran sirah, perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dan menegakkan Islam juga tidak lepas daripada ujian. Penurunan wahyu pertama di Gua Hira diikuti dengan wahyu kedua (Surah Muddatsir, ayat 1-2), maka bermulalah kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam. Orang yang paling setia membantu perjuangan Rasulullah SAW ialah Ummul Mukminin Khadijah RA. Beliaulah isteri Rasulullah SAW sekaligus wanita yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Dia daripada keturunan terhormat, mempunyai peribadi yang luhur dan sentiasa menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci).

Ibnu Abbas RA menyebutkan bahawa, Khadijah RA melahirkan keturunan bagi Rasulullah SAW yang terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fathimah, Ummu Kalthum, Ruqayyah dan Zainab. (Dala’il Nubuwah, al-Baihaqi jilid 2, hlm 70). Sosok serikandi teladan yang dipilih pada kali ini ialah Zainab RA dan Fathimah RA.

Fathimah Az-Zahra: Wanita Yang Sabar Dan Bertakwa

Fathimah RA dilahirkan di Ummul Qura (Mekah al-Muqarramah) pada saat orang-orang Quraisy memperbaiki Kaabah iaitu lima tahun sebelum Rasulullah SAW diutus menjadi Nabi. Sejak kelahiran Fathimah RA, Rasulullah SAW merasakan adanya keistimewaan pada Fathimah. Beliau akan menjadi wanita yang membawa berkat, lalu diberi nama Fathimah. Beliau sangat mirip dengan Rasulullah SAW.

Beliau hidup dalam suasana keimanan, penuh keberkatan dan bimbingan. Setelah kakak-kakaknya berumahtangga, Fathimah mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibunya. Kerana itulah, Fathimah tidak dicarikan ibu susuan seperti yang dilakukan oleh kebiasaan bangsa Arab. Beliau disusui oleh ibunya sendiri sehinggakan kelembutan, kesucian, sifat malu dan sifat-sifat baik yang ada pada ibunya mengalir ke dalam diri beliau.

Fathimah RA dinikahkan dengan Ali RA pada tahun kedua hijrah setelah perang Badar. Rasulullah SAW bersabda, “Allah menyuruhku menikahkan Fathimah dengan Ali” [Al-Haitsami berkata, diriwayatkan oleh ath-Thabrani]. Hasil daripada pernikahan mereka, lahirlah Hasan, Husin, Zainab dan Ummu Kalthum.

Tatkala Allah SWT menghendaki cahaya kebenaran menyinari Jazirah Arab yang ketika itu hidup dalam kejahilan, Muhammad SAW diutus menjadi Nabi dan menyampaikan ajaran Islam. Saat itu, ibunya menjadi wanita pertama yang beriman diikuti Fathimah dan saudara-saudaranya. Imam Zarqani berkata, sehingga tidak perlu pernyataan khusus untuk membuktikan bahawa mereka adalah generasi pertama yang memeluk Islam, kerana mereka lahir dan dibimbing kedua orang tua yang penuh kasih sayang dan berakhlak mulia. Daripada ibunya, Fathimah belajar kejernihan fikiran yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita lain.

Setelah wafatnya Khadijah RA dan Abu Thalib, bermulalah segala ujian dan pertentangan-pertentangan daripada kaum kafir Quraisy. Di sinilah juga anak-anak Nabi SAW mengambil peranan ibu mereka dan membela Rasulullah SAW. Fathimah adalah anak yang agak menonjol dalam membela Rasulullah SAW. Fathimah RA menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi Rasulullah SAW. Beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum Musyrikin Mekah ketika itu. Salah satu peristiwa yang membuat Fathimah marah apabila salah seorang kaum Quraisy iaitu Uqbah bin Muith menawarkan diri untuk melemparkan kotoran unta ke belakang tubuh Rasulullah  SAW.

Abdullah bin Mas’ud RA menceritakan, saat itu Rasulullah SAW sedang solat berdekatan dengan Kaabah. Sementara itu, Abu Jahal dan beberapa orang kafir Quraisy sedang duduk-duduk di situ. Ada di antara mereka berkata siapa yang berani mengambilkan kotoran unta ini, lalu letakkannya di punggung Muhammad saat dia sujud? Maka bergegaslah Uqbah bin Muith mengambil kotoran unta dan meletakkan di punggung Rasulullah saat baginda sedang sujud. Rasulullah tetap dalam posisi  sujud sehinggalah Fathimah datang dan membuang kotoran tersebut.

Kesabaran Fathimah tampak dalam peristiwa pemboikotan oleh kaum Quraisy terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib selama tiga tahun. Tidak ada urusan jual beli, jalinan ukhuwah dan perkahwinan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Muhammad kepada mereka. Fathimah RA juga tercatat sebagai antara wanita yang ikut ke medan jihad iaitu semasa perang Uhud, perang Khandaq dan perang Khaibar.

Zainab RA: Pemilih Antara Islam Dan Kejahilan

Tidak ketinggalan juga kakaknya Zainab al-Kubra RA yang dilahirkan sebelum Rasulullah SAW diutus menjadi Nabi. Beliau adalah puteri pertama Rasulullah SAW. Walaupun kisah Zainab RA tidak menonjol dalam pembelaannya kepada Rasulullah SAW, tetapi Zainab RA mempunyai kisah tersendiri yang perlu dijadikan teladan.

Zainab membesar menjadi wanita teladan yang mulia dengan sifat-sifat terpuji yang dimilikinya. Melihat berbagai sifat terpuji yang dimiliki Zainab RA, sepupunya Abul Ash bin Rabi iaitu salah seorang tokoh Quraisy Mekah yang terkenal dan kaya meminang Zainab. Usia Zainab RA pada masa perkahwinannya masih terlalu muda. Namun, beliau mampu membina kehidupan rumahtangga dengan bahagia. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Ali dan Umamah. Zainab RA hidup di antara dua pilihan. Seorang suami yang tidak mahu menerima ajaran Islam dan seorang ayah utusan Allah dan pembawa risalah Islam.

Dikisahkan sewaktu suaminya dalam ekspedisi perdagangan, ketika itulah ayahnya, Rasulullah SAW diutus menjadi rasul dan penyebar risalah Islam. Maka Zainab RA pun menerima dan mendakwahkan agama yang dibawa oleh ayahnya, iaitu agama Islam. Sekembali suaminya daripada ekspedisi perdagangan maka Zainab RA pun mendakwahkan Islam kepada suaminya. Malangnya, suaminya menolak dan berkata “Demi Allah, aku tidak menghina ayahmu, tetapi aku tidak senang jika dikatakan, aku menghina kaumku dan mengingkari agama nenek moyangku kerana mengikuti kemahuan isteriku”.

Kegagalan mengajak suaminya untuk memeluk Islam merupakan cabaran berat bagi Zainab RA. Rumahtangga yang dulunya tenteram dan damai mula dilanda kegelisahan dan keresahan. Ketika ahli keluarganya dan kaum Muslimin hijrah ke Madinah al-Munawarah, Zainab RA tetap tinggal bersama suaminya. Sampailah ketika perang Badar, suaminya menjadi tawanan perang pasukan kaum Muslimin. Setelah mengetahui suaminya menjadi tawanan, maka Zainab RA menebusnya dengan kalung pemberian ibunya. Apabila Rasulullah SAW melihat kalung itu, maka Rasulullah SAW menjadi sedih dan terdiam beberapa ketika sehinggalah Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat baginda, “Jika kalian berkenan membebaskan tawanan yang ditebus oleh Zainab dan berkenan mengembalikan kalung itu silakan kalian lakukan”. Maka para sahabat yang mendengar pun menjawab, “Ya, baiklah wahai Rasulullah”. Mereka pun melepaskan Abul Ash dan Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan Abul Ash agar Abul Ash melepaskan Zainab. Akhirnya Zainab RA berhijrah seorang diri ke Madinah sehinggalah Zainab mengalami keguguran kandungan semasa perjalanannya.  Semoga kisah Zainab RA dapat dijadikan teladan.

Khatimah

Wahai Muslimah! Saat ini sudah seharusnya kita memahami fakta-fakta kehidupan para serikandi. Semoga dengan itu, ia menumbuhkan kerinduan pada mereka untuk kita meneladani mereka dalam menjalani kehidupan masa kini sebagai Muslimah solehah dan pejuang agama Allah yang istiqamah.

Waallahu a’lam..

Rujukan

  1. Terjemahan Al-Quran
  2. Sirah Nabawiyah, Ibnu Hisyam, jilid 1, hlm 238
  3. Mahmud Al-Mishri, 35 Sirah Shahabiyyah Jilid 1, hlm 363-365, 368-369, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
  4. Mahmud Mahdi al-Istabuli, Musthafa Abu Nashr asy-Syaibi; Isteri, puteri dan sahabat wanita seperjuangan Rasulullah, hlm 103-104, 105-106, Synergi Media.

FIKH
HUBUNGAN WANITA DENGAN SAUDARA IPAR LELAKI

Oleh: Ukhti Farisha Aris (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Soalan:

 Ada seorang wanita yang tinggal bersama saudaranya yang sudah bersuami. Ketika bersama saudara iparnya, dia tidak berhijab. Apabila diingatkan tentang hal itu, dia berdalih bahawa dia dengan iparnya adalah mahram muaqqat (mahram sementara). Adakah ini benar?

 Jawapan:

Definisi Mahram (Bagi Wanita)

Definisi secara bahasa, seseorang disebut sebagai mahram bagi seorang wanita adalah apabila orang itu tidak halal untuk menikahi wanita tersebut buat selama-lamanya. Manakala secara istilah, mahram bagi seorang wanita adalah lelaki yang boleh memandangnya, berduaan dengannya, boleh melakukan safar (perjalanan) bersamanya dan juga mereka yang diharamkan bernikah dengannya buat selama-lamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.

Ketetapan ini berlaku sama ada disebabkan ikatan nasab (keturunan) seperti ayah dan anak lelakinya, sebab ikatan pernikahan seperti suami dan suami dari anak perempuannya serta anak lelaki suaminya, atau pun dengan sebab penyusuan seperti anak yang disusukannya serta saudara lelaki sepersusuan. Lelaki dan perempuan yang dilarang (diharamkan) menikah terbahagi kepada dua larangan iaitu larangan muabbad dan larangan muaqqat.

Mahram Muabbad: Larangan muabbad ialah larangan untuk selama-lamanya disebabkan oleh tiga perkara iaitu ikatan nasab (keturunan), penyusuan dan  pernikahan. Mereka ini termasuklah, ibu atau bapa dan ke atas, adik beradik termasuk adik beradik susuan atau sesusu (musoharah) dan ke bawah, anak kepada adik-beradik dan ke bawah, bapa dan ibu mentua dan ke atas. Firman Allah SWT,

“Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu,terkecuali apa masa yang telah lampau.Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh)” [TMQ an-Nisaa’ (4):22].

“Diharamkan atas kamu (mengawini) ibu-ibumu dan anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan,saudara-saudara bapamu yang perempuan,saudara-saudara ibumuyang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang lelaki,anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan,ibu-ibumu yang menyusui kamu,saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu (mertua),anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri,tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan),maka tidak berdosa kamu mengawininya, (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu) dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ an-Nisaa’(4):23].

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah bahawa ayat di atas menjelaskan bahawa haramnya mahram disebabkan oleh nasab (keturunan) dan sebab-sebab lain yang berkaitan dengan penyusuan dan pernikahan. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata, “Diharamkan ke atas kamu tujuh wanita kerana nasab dan tujuh wanita lagi kerana pernikahan.” Kemudian beliau membaca, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan…” sehingga akhir ayat.

Ath-Thabari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata, “Yang diharamkan kerana nasab ada tujuh dan kerana pernikahan juga ada tujuh. Kemudian beliau membaca ayat, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan.” Mereka adalah mahram dengan sebab nasab.

Firman Allah SWT, “Ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan.” Sebagaimana diharamkan atas kamu ibu-ibu yang melahirkan kamu, maka demikian juga diharamkan ke atas kamu ibu-ibu yang menyusui kamu” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, 2/247-248).

Allah SWT berfirman, “Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara (adik-beradik) mereka yang lelaki, atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung” [TMQ  an-Nur (24):31].

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bolehnya mahram yang disebutkan melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) daripada tubuh wanita. Iaitu sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat:

“… dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka…”

Mahram Muaqqat: Larangan muaqqat ialah larangan untuk tempoh masa atau keadaan tertentu. Apabila keadaan berubah, maka hukum larangan itu pun terbatal. Antaranya:

  1. Adik ipar atau kakak ipar. Seorang lelaki diharamkan mengahwini adik atau kakak kepada isterinya (iparnya) selagi mana isterinya masih ada ikatan pernikahan dengannya.
  2. Anak kepada adik-beradik isterinya (anak saudara “sabit”). Melainkan selepas berpisah dengan isterinya. Walaupun begitu, batas pergaulan dengan mahram muaqqat sama seperti hukum dengan bukan mahram.
  3. Isteri kepada bapa saudara atau suami emak saudara (emak/bapa saudara “sabit”) juga termasuk dalam kategori mahram muaqqat.

Sementara itu, sepupu (anak kepada emak/bapa saudara) adalah lelaki atau wanita ajnabi dan mereka bukan mahram, walaupun ia seperti berada dalam senarai pertalian darah. Oleh itu, wanita wajib menjaga keseluruhan aurat semasa berada di hadapan bukan mahram.

Hubungan dengan Saudara Ipar Lelaki

Oleh yang demikian, mengenai hubungan dengan  ipar, maka Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati kerana hubungan mereka boleh menimbulkan fitnah dalam keluarga. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap ipar itu sebagai maut. Rasulullah SAW bersabda, dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW bersabda,

“Jangan kamu sekalian masuk ke dalam ruang wanita”. Maka berkatalah seseorang dari Anshor, “Ya Rasulullah bagaimana dengan Al-Hamwu (saudara ipar)?” Rasulullah menjawab, “Al-Hamwu adalah kematian” [HR Ahmad, Tirmidzi, Shahih al-Jami’ ash-shaghir No. 2677, Bukhari No. 5232 dan Muslim No. 2172].

Imam Baghowi berkata; “Yang dimaksudkan Al-Hamwu di dalam hadits ini adalah saudara suami (ipar) kerana dia tidak termasuk mahram bagi si isteri. Dan seandainya yang dimaksudkan ialah mentua sedangkan dia termasuk mahram, lantas bagaimanakah pendapatmu terhadap orang yang bukan mahram?” Lanjutnya: “Maksudnya, waspadalah terhadap saudara ipar sebagaimana engkau waspada daripada kematian”. Yang dimaksudkan dengan maut di sini juga iaitu berhubungan dengan keluarga dekat si suami yang bukan mahram perlu lebih berhati-hati dibandingkan dengan yang lain. Ini kerana dengan mereka seringkali bertemu dan tidak ada yang boleh menyangka bahawa perbuatan yang menghampiri kepada zina atau zina yang keji itu sendiri boleh terjadi.

Dengan kata lain, hubungan antara seorang wanita dengan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram kekal), yang mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal dunia. Oleh itu, tidak boleh dia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, berdua-duaan termasuk keluar bermusafir tanpa mahram muabbad.

Khatimah

Sesungguhnya hukum-hakam dari As-Syari’ yang telah ditetapkan ke atas kita, wajib kita utamakan daripada pandangan akal dan nafsu manusia. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” [HR Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah RA. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394].

Wallahu’alam..

Sumber:

  • Al-Quran dan Terjemahan.
  • Sistem Pergaulan Dalam Islam; Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani; HTI-Press, Jakarta Selatan; 2007.
  • Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007.