Bantah Obama, liwa’ dan rayah berkibar di Putrajaya

PUTRAJAYA 6 November – Untuk kedua kalinya, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengibarkan bendera (liwa’) dan panji (rayah) Rasulullah SAW di pusat pemerintahan kerajaan Malaysia, Putrajaya. Kibaran liwa’ dan rayah itu dilakukan oleh para anggota dan penyokong HTM semasa himpunan aman membantah kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ke Kuala Lumpur yang dijadual hujung November ini. Perhimpunan tersebut bertujuan menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, bahawa haram hukumnya bagi Najib dan juga umat Islam amnya menyambut kedatangan Obama yang merupakan musuh Allah dan musuh umat Islam.

Kali pertama HTM mengibarkan liwa’ dan rayah di pusat pentadbiran kerajaan itu ialah pada 5 Mei 2013 sewaktu melakukan konvoi berkereta. Konvoi tersebut dilakukan di sekitar Selangor dan juga Negeri Sembilan pada waktu itu dalam usaha HTM memperkenalkan bendera dan panji Rasulullah yang merupakan bendera dan panji Islam, kepada umat Islam, di samping menyampaikan dakwah tentang kewajipan menegakkan Khilafah melalui mesej yang tertera di semua kenderaan konvoi.

Sesungguhnya liwa’ dan rayah, yang tertera di atasnya kalimah syahadah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah, bukan sahaja menunjukkan kesatuan umat atas akidah tauhid yang sama, bendera yang sama, tetapi juga kesatuan umat Islam dari aspek negara dan sistem pemerintahan yang sama. Ia berbeza dengan bendera-bendera lain yang dikibarkan di dunia Islam, baik bendera negara mahupun bendera pertubuhan, yang menjadi simbol kepada perpecahan umat.

Langit Putrajaya hari ini menyaksikan bukan sahaja seruan HTM secara langsung kepada Perdana Menteri yang bersolat di situ, tetapi juga kibaran liwa’ dan rayah yang diiringi dengan laungan Takbir oleh peserta himpunan, yang membawa satu mesej yang cukup tegas kepada pentadbiran Najib berhubung keharaman menyambut dan menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat yang merupakan sebuah negara kafir harbi fi’lan (kafir yang memerangi umat Islam secara nyata).

HTM membantah sekeras-kerasnya kedatangan Obama, yang mewakili Amerika Syarikat, sebuah negara Kapitalis dan imperialis yang sedang membunuh dan menyebabkan penderitaan umat Islam di serata dunia dengan kekejaman dan hegemoninya. HTM mengingatkan Putrajaya dan umat Islam untuk tidak menyambut kedatangan Obama yang hanya akan mengundang malapetaka kepada negara dan umat Islam. HTM mengingatkan akan firman Allah SWT,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu sehingga engkau menurut milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Semoga kibaran al-liwa’ dan al-rayah di Putrajaya menjadi mesej yang jelas kepada pentadbiran Obama, bahawa bukan sahaja umat yang berpegang teguh dengan kalimah La ilaha illallah ini bersatu menolak kehadirannya ke Malaysia, tetapi juga bendera dan panji Rasulullah itu tidak lama lagi akan tertancap di Putrajaya sebagai syiar Negara Khilafah yang bakal berdiri tidak lama lagi, yang akan merealisasikan mimpi ngeri Amerika selama ini.