Pakaian jururawat: Etika vs hukum syarak
Perlembagaan sekular Malaysia menetapkan bahawa tidak ada diskriminasi ke atas warganegara atas dasar agama, namun apakah yang boleh kita katakan tentang pemberhentian kerja seorang jururawat Muslimah oleh sebuah hospital swasta baru-baru ini jika bukan diskriminasi disebabkan oleh agama? Naziah Sauni Samat, 24, mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek melalui sebuah kenyataan kepada media sebagaimana diketengahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 4 Disember lalu.Menurut Naziah, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan beliau bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan.
Sementara itu, pihak hospital pula menyatakan bahawa pemberhentian tersebut dibuat kerana masalah disiplin dan bukannya atas dasar amalan agama. Dalam perkembangan terkini, pihak hospital juga dilaporkan akan mengambil tindakan menyaman Naziah dan PPIM berhubung isu yang dibangkitkan. Dalam pada itu, pihak Kementerian pula telah menyatakan bahawa siasatan akan dijalankan terhadap isu ini berdasarkan peraturan di bawah Bahagian Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan Malaysia (CKAPS).
Kewajipan menutup aurat merupakan suatu hukum yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim dan hal ini merupakan perkara yang ma’lum min al-din bi al-dharurah (diketahui dalam agama dan tiada alasan untuk tidak tahu).
Tindakan penetapan etika berpakaian yang mendedahkan aurat oleh pihak majikan, baik oleh kerajaan mahupun swasta dan di mana sekalipun, merupakan satu bentuk perlanggaran terhadap hukum syarak dan jika ini berlaku, majikan yang berkenaan wajib dikenakan tindakan oleh negara. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah Negara Islam yakni memastikan setiap warganegara mematuhi hukum syarak dan menghukum siapa sahaja yang melanggarnya. Malangnya kita takkan dapat menyaksikan hal ini dalam sebuah negara sekular seperti Malaysia yang berhukum dengan hukum akal, bukannya hukum syarak.
Jika benar kebersihan (hygiene) dijadikan sebagai alasan dalam penetapan etika pemakaian tersebut, persoalannya mengapakah anggota kesihatan lain, misalnya doktor, tidak diberikan perhatian dan dikenakan etika yang sama? Sebaliknya para doktor bebas memakai kemeja lengan panjang, kot putih dan bertali leher, sedangkan pemakaian tersebut turut mendorong kepada penyebaran jangkitan kuman di hospital, jika menggunakan logik yang sama. Mengapa terdapat dwistandard dalam hal ini?
Berbalik kepada etika pemakaian lengan pendek, setakat ini tiada bukti saintifik yang kukuh membuktikan bahawa tindakan tersebut mampu mengurangkan jangkitan silang (cross infection), meskipun pemakaian lengan panjang seringkali dikaitkan dengan penyebaran jangkitan kuman. Dalam hal ini, sudah pun terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan melalui konsep “5 Moments in Hand Hygiene” bagi menangani isu ini.
Sekiranya jururawat dan anggota kesihatan mematuhi konsep tersebut, isu jangkitan silang akan dapat ditangani. Jururawat tidak perlu mendedahkan lengannya (baca: aurat) sepanjang hari, sebaliknya hanya perlu berbuat demikian sewaktu menghadapi lima keadaan seperti yang dinyatakan dalam konsep tersebut – mengikut keperluan dan pada kadar yang sewajarnya sahaja.
Satu kredit wajar diberi kepada Naziah atas keteguhan beliau dalam mematuhi kewajipan memelihara aurat. Namun, kita perlu ingat bahawa menutup aurat itu bukan bermaksud menutup lengan sahaja dan tidak boleh dikatakan, ‘tidak mengapa tutup sikit-sikit terlebih dahulu’ tetapi menutup aurat itu bermaksud cara berpakaian secara keseluruhannya hendaklah mematuhi syarak. Bagi seorang perempuan, pakaian yang syarie (di tempat awam) dan dianggap menutup aurat ialah dengan memakai khimar (tudung) menutupi dada dan berjilbab (jubah dalam bentuk sekeping) dari tengkuk hingga ke kaki, dengan mematuhi syarat-syarat lain seperti tidak bertabaruj (menjolok mata), tidak nipis dan lain-lain sesuai dengan nas.