SN038 – Ramadhan Al Mubarak Bulan Keredhaan Dan Keberkatan

PDF

SN Keluaran 2005

SN038 - Ramadhan Al Mubarak Bulan Keredhaan Dan Keberkatan

[SN038] Salam Ramadhan Mubarak kepada anda, kaum muslimin. Kami berdoa semoga anda sihat walafiat dan bersedia sepenuhnya untuk mendapatkan nikmat yang Allah Subhanahu wa Ta’ala akan kurniakan kepada kita sepanjang bulan yang unik dan penuh keberkatan ini. Pada bulan inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyempurnakan rahmatNya ke atas kita, seperti yang tersebut di dalam Al-Quran,

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yanghak dan yang batil).”
[TMQ Al-Baqarah:185]

Ganjaran pada bulan ini amatlah besar, seperti yang tersebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, mafhumnya: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada para sahabat pada hari terakhir bulan Sha’ban:

“Wahai manusia! Suatu bulan yang istimewa telah tiba; bulan penuh keberkatan; suatu bulan yang terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; suatu bulan di mana Allah telah mewajibkan ke atas kamu untuk berpuasa pada siang hari, dan disunatkan bersolat pada waktu malamnya. Barangsiapa mendekati Allah dengan melakukan sebarang ibadat sunat pada bulan ini akan mendapat pahala yang sama seperti mengerjakan ibadat wajib pada masa lainnya, dan barangsiapa mengerjakan ibadat wajib akan mendapat pahala yang sama seperti mengerjakan 70 ibadat wajib pada masa lainnya. Ia adalah bulan kesabaran, dan ganjaran bagi kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan sedekah, dan bulan pada mana rezeki orang yang beriman ditingkatkan. Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, dosanya akan diampunkan, dan akan diselamatkan daripada api neraka, dan akan mendapat pahala yang serupa seperti mana orang yang berpuasa itu, tanpa pahalanya berkurang sedikit pun.”

Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah kami tidak mempunyai apa-apa yang boleh diberikan kepada orang yang berpuasa!” Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

Allah akan mengurniakan pahala ini kepada mereka yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa walaupun hanya seteguk susu atau sebiji kurma atau seteguk air. Dan barangsiapa memberi kepuasan kepada seseorang, Allah akan memberinya minuman daripada telagaku yang akan menghilangkan dahaganya sehinggalah dia masuk syurga. Dan ia adalah bulan di mana awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka.” [Mishkat ul Masabih]

Ramadhan adalah bulan untuk berpuasa dan berkorban, di mana orang Islam akan mengharungi kepayahan dengan menahan diri daripada kesenangan dunia bagi mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bagaimanapun, Ramadhan bukanlah bulan kepenatan dan bermalasan, bahkan orang Islam berjaya dalam pelbagai bidang pada bulan ini. Buktinya terdapat dalam sejarah Islam sendiri. Pada bulan Ramadhanlah berlakunya Perang Badar, di mana orang Islam telah mengalahkan pihak musuh meskipun bilangan mereka jauh lebih sedikit. Pada bulan ini jugalah orang Islam telah menghapuskan kuasa pemerintahan orang-orang Quraish dengan menakluk Mekah. Tentera Islam meneruskan tradisi ini dan tidak pernah gentar untuk berperang dengan musuh pada bulan ini seperti yang ditunjukkan oleh Salahuddin al-Ayyubi, apabila beliau membebaskan Baitul Maqdis daripada genggaman orang Kristian.

Banyak yang telah berlaku dalam dunia Islam sejak Ramadhan yang lepas. Paling ketara adalah apa yang berlaku di Iraq yang suatu masa dahulu merupakan pusat pemerintahan Khilafah, kini ditakluk oleh ketua syaitan, Amerika. Amerika terus memperjuangkan Perang Salib terhadap Islam, dan kini kita lihat banyak perubahan dalam dunia Islam dari Indonesia sehingga ke Mesir, dan dari Uzbekistan hinggalah ke Pakistan. Kesemua rejim ini telah menyertai Amerika untuk memerangi Islam, tetapi nur Islam tidak akan dapat dipadamkan, sebaliknya semakin terang dengan berlalunya masa.

Inilah sebabnya kenapa Amerika begitu takut terhadap Islam, kerana ia sedar akan kembalinya Islam sebagai suatu sistem politik yang tiada taranya. Umat Islam di Iraq sedang menunjukkan kepada Amerika yang mereka bukannya mudah untuk ditawan, sementara orang Islam di seluruh pelusuk dunia semakin lantang dalam mendesak “penukaran rejim”, untuk kembali kepada sistem Islam.

Di barat atau di timur, perang terhadap Islam telah membawa kepada persoalan identiti, dan desakan pengintegrasian komuniti orang Islam ke dalam pemikiran dan budaya setempat yang sekular dan bercanggah dengan Islam. Namun begitu, kaum muslimin telah menolak laungan seperti ini dan ini dapat dilihat dengan kehadiran beribu-ribu orang pada suatu persidangan mengenai identiti Islam yang diadakan di Birmingham, Britain beberapa bulan lalu. Diskriminasi perkauman yang dilontarkan terhadap orang Islam di mana-mana khususnya di barat terus-menerus membuktikan kepada kita bahawa identiti Barat dan identiti Islam tidak mungkin menyatu, seperti mana minyak dan air.

Kami, hamlud dakwah akan terus berusaha sedaya-upaya untuk membawa kepada anda segala berita, pandangan dan analisis yang memberikan kesan kepada masyarakat Islam. Kami hamlud dakwah akan mempersembahkan kepada anda segala-galanya dari kaca mata Islam, tanpa putar belit media Barat. Kami hamlud dakwah berhasrat untuk memberikan kepada anda pemikiran Islam yang jelas, supaya ia dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada anda, memantapkan iman, dan memperkuatkan anda dalam tugas dan kewajiban anda sebagai pendakwah Islam. Kami hamlud dakwah berharap anda akan terus memanfaatkan hasil kerja kami, dan agar anda sentiasa berusaha untuk membincangkan isu-isu penting yang kami persembahkan dengan keluarga, rakan-rakan dan komuniti anda. Kami hamlud dakwah berdoa kepada Allah yang Maha Esa agar pada hari-hari yang mendatang, kita akan dapat melihat umat Islam terus berkembang dari segi kekuatan dan kepercayaan terhadap budaya dan pemikiran Islam. Kami juga berdoa agar Ramadhan berikutnya akan membawa kepada kita khabar gembira akan kembalinya Khilafah Rashidah sebagai pengembali kemuliaan umat Islam.

Wallahu’alam


BELANJAWAN NEGARA DAN TUNTUTA SYARA’

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia ditentukan bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang terputus bekalan). (Ketetapan yang demikian ini) adalah supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”
[TMQ Al-Hashr 59:7]

Jumaat yang lepas (30 September 2005), mungkin ramai di antara kita rakyat Malaysia yang terpaku di hadapan kaca televisyen atau mendengar dari corong-corong radio pembentangan Bajet 2006 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Selepas bajet (dahulunya lebih dikenali dengan ‘belanjawan’) selesai dibentangkan, banyaklah pihak yang telah memberi maklum-balas dan komentar berkenaan strategi dan perancangan yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia untuk pengurusan harta negara pada tahun 2006. Ada yang bergembira dengan pemberian bonus untuk penjawat awam, ada yang berharap agar strategi yang telah diatur akan memperkasakan ekonomi negara di tahun hadapan, ada yang bersyukur kerana dasar bajet yang prihatin terhadap mereka yang memerlukan bantuan dan ada juga desas-desus yang melahirkan rasa kurang senang dengan bajet yang dikatakan kerana sentiasa menjadikan golongan perokok sebagai mangsa dengan kenaikan cukai bahan berkenaan saban tahun.

Bukanlah tujuan kita untuk memperhebatkan lagi perbincangan tentang kesan-kesan bajet 2006 kerana telah ramai pihak yang telah memberikan sumbangan dalam aspek tersebut. Namun, Sautun Nahdhah pada kali ini ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk menelusuri satu persoalan berkenaan belanjawan negara yang amat kurang dibahaskan baik di peringkat rakyat jelata, pakar ekonomi, negarawan bahkan dikalangan ulama’ sekalipun.

Dalam kita sibuk membahaskan tentang kenaikan atau pengecualian cukai bahan-bahan dan perkhidmatan tertentu, dan dalam kita asyik meneliti insentif-insentif yang akan dihadiahkan kerajaan untuk menjana ekonomi supaya lebih progresif, kita selalu terlupa suatu perkara asas yang sepatutnya menjadi persoalan pertama. Persoalan yang dimaksudkan adalah berkenaan apakah pandangan syara’ berkenaan bajet ini? Apakah pandangan Islam dalam aspek pengurusan harta negara? Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab untuk menguruskan harta awam dan sebagainya? Persoalan-persoalan ini jarang-jarang sekali ditanya dan dijawab dengan sempurna.

Sebagai seorang muslim, kita wajib mengimani bahawa Islam telah diturunkan untuk menguraikan segala permasalahan manusia dengan perlaksanaan hukum-hukum tertentu bagi menguruskan segala perlakuan manusia di muka bumi ini. Dengan kata lain, segala aktiviti manusia adalah terpaut kepada hukum-hakam Islam agar kesejahteraan manusia dapat dipelihara. Ini termasuklah hal pengurusan harta dan kewangan negara. Pengambilan sistem selain daripada sistem yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan sahaja bercanggah dengan tuntutan syara’ malah akan membawa kecelakaan kepada kehidupan manusia baik disedari mahupun tidak.

Pengurusan Harta Negara Cara Kapitalis

Adalah menjadi lumrah bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis untuk bergantung kepada hasil cukai sebagai sumber utama hasil negara di samping sumber-sumber yang lain. Dari sumber inilah juga sesebuah segara merancang perbelanjaannya. Malaysia tidak terkecuali dalam melakukan praktis seperti ini dalam pentadbiran harta dan kewangan negara. Sekiranya kita imbas Bajet 2006, perbelanjaan yang telah dibentangkan pada Jumaat yang lepas dibiayai dari hasil negara yang sebahagian besarnya bersumber dari hasil cukai. Dari RM 136.8 bilion yang diperuntukkan, 36.9% daripadanya adalah dari hasil cukai pendapatan yang dikenakan negara kepada rakyat, 1.9% adalah daripada duti eksport, 3.1% dari duti import, 16.9% dari cukai tidak langsung lain, 27.7% dari hasil bukan cukai dan cukai-cukai dan lain dan selebihnya dibiayai dari pinjaman dan penggunaan aset kerajaan.

Sistem ekonomi kapitalis dan cukai sudah ibarat seperti ombak dan pantai yang tidak dapat dipisahkan perlaksanaannya. Sistem kapitalis juga tidak lari dari permasalahan pengurusan hak milik awam, hak milik negara dan hak milik individu yang langsung tidak dibezakan dan bercampur aduk.

Penyelesaian Syarak Berkenaan Pengurusan Perbelanjaan Negara

Islam telah menggariskan jalur-jalur terperinci bagi manusia menguruskan perbelanjaan negara. Perbelanjaan dan pendapatan Daulah akan diuruskan oleh Baitul Mal (sebuah badan perbendaharaan Daulah). Setiap jenis harta, sama ada tanah, bangunan, hasil galian dan mineral, wang ataupun barang dagangan yang menjadi hak bagi orang Islam seperti yang telah ditentukan oleh syara’ adalah berada di dalam bidang kuasa Baitul Mal untuk diuruskan supaya dapat dibelanjakan ke atas mereka yang berhak atau untuk kepentingan umat Islam dan jalan dakwah. Perbendaharaan yang pertama telah didirikan sebagai menyahut perintah Allah seperti firmannya:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: ‘ Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” [TQM Al-Anfal 8:1]

Sistem yang diunjurkan oleh Islam tidak meletakkan pergantungan kepada hasil cukai daripada rakyat sebagai sumber utama pendapatan tetapi sebaliknya cukai ke atas rakyat adalah sebagai salah satu langkah terakhir yang boleh diambil oleh Daulah sekiranya tabung-tabung di Baitul Mal telah kosong.

Pada hakikatnya, sumber pendapatan kekal Baitul Mal yang telah diunjurkan oleh syara’ seperti Fai, Jizya, Kharaj, Ushur, hasil dari harta-harta kepemilikan awam (seperti hasil bahan galian dan petroleum) yang dijaga oleh Daulah dan sebagainya sudah lebih dari cukup untuk membiayai segala perbelanjaan yang perlu dilakukan oleh Daulah dalam menyediakan kepentingan-kepentingan umat tanpa meletakkan cukai ke atas mereka. Hanya sekiranya Baitul Mal telah kehabisan harta untuk digunakan bagi mewujudkan kepentingan dan hak rakyat, maka dalam situasi begini, kutipan cukai dari umat diperbolehkan bagi mengelakkan masalah tidak terlaksananya hak-hak rakyat.

Kesimpulan

Islam telah memberikan jalan penyelesaian yang terperinci untuk umat manusia menguruskan harta dengan cara yang adil. Kezaliman pastinya berlaku bila Sistem Islam yang menyeluruh tidak diusahakan. Di zaman ini, kita menyaksikan harta milik umum yang sepatutnya dinikmati oleh semua umat Islam menjadi hak milik individu sehinggakan umat sendiri terpaksa menyeluk poket sendiri bagi membiayai perkara-perkara yang sepatutnya memang menjadi hak yang wajib dipenuhi seperti pendidikan, keselamatan dan sebagainya.

Hanya dengan pengembalian cara hidup Islam dengan cara penerapan Islam secara Kaffah barulah segala permasalahan umat Islam masa kini dapat ditangani dengan berkesan. Umat Islam perlu bangkit dan berusaha mendirikan Khilafah, ibu segala kefardhuan, untuk memastikan harta umat terpelihara dan diuruskan dengan berkesan dan apa yang lebih penting adalah ia dapat diuruskan selari dengan tuntutan syara’.

Wallahu a’lam


PENJAJAH AKAN GAGAL DI IRAQ

Meskipun persoalan mengenai penglibatan tentera penceroboh dalam mewujudkan ketidakstabilan di Iraq telah lama ditimbulkan, hakikat ini telah terbukti dengan jelas selepas peristiwa penangkapan 2 orang anggota SAS British di Basra baru-baru ini. Pada 19 September yang lalu, tentera British telah memecah masuk ke dalam sebuah penjara di Basra dan ‘menyelamatkan’ 2 rakan mereka yang sedang dipenjarakan itu.

Menurut sebuah laporan, 9 rakyat Iraq telah terbunuh dalam kejadian tersebut. Dalam suasana marah penduduk Basra yang meluap-luap, pihak British masih begitu sombong dan bongkak menjustifikasi tindakan mereka. Setiausaha Pertahanan Britain, John Reid dengan bongkak mengatakan, “..undang-undang Iraq amat jelas…staf British kebal dari proses perundangan Iraq”. Malah mereka juga mempersoalkan mengapa polis Iraq menangkap anggota SAS tersebut? “..bukankah mereka (polis Iraq) sekutu kita?”, kata Jeremy Paxman dari BBC. Apa yang ditekankan oleh media barat mengenai peristiwa ini adalah bahaya yang sedang dihadapi oleh 2 anggota SAS yang ditangkap itu sedangkan realiti penangkapan mereka dengan sengaja diketepikan.

2 anggota ini telah ditangkap apabila cuba melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah sebuah balai polis Iraq di Basra. Mereka ditahan dalam keadaan berpakaian seperti orang Arab. Seorang anggota polis Iraq terbunuh dalam adegan tembak menembak ini. Yang lebih memeranjatkan adalah, selepas penangkapan mereka, pihak polis telah menemui senjata api, bahan letupan dan alat kawalan jauh; yang semuanya merupakan peralatan pengganas di dalam kereta dua anggota tentera ini. Penemuan peralatan ini telah menimbulkan banyak persoalan. Mengapakah tentera British perlu berpakaian seperti orang Arab dan membawa peralatan tersebut di dalam kereta mereka?

Episod ini sebenarnya telah membongkar hakikat penglibatan tentera penceroboh dalam mencetuskan ketidakstabilan di Iraq dengan melaga-lagakan pihak Sunni dan Shi’ah. Memang telah ada ura-ura yang mengatakan bahawa pihak penceroboh memang terlibat di dalam kekacauan yang berlaku antara pihak Sunni dan Shi’ah. Setelah peristiwa ini, telah jelas terbukti bahawa memang pihak Britishlah yang mencetuskan pertelagahan ini. Kekeliruan yang mungkin timbul dalam pemikiran para pengamat politik di Iraq mengenai pertelagahan antara Sunni dan Shi’ah di Iraq sudahpun terjawab dengan sejelas-jelasnya.

Kuasa kolonial seperti British memang telah biasa melakukan kerja-kerja subversif memecahbelahkan masyarakat yang ditaklukinya. Ini adalah amat penting bagi merealisasikan konsep yang biasa mereka canaikan – ‘divide and conquer’ – pecah dan perintah. SAS (Special Air Service) sejak dahulu lagi merupakan unit utama tentera Britain yang menjalankan operasi-operasi rahsia kerajaan Britain. Sebagai contoh, dari 1958 hingga 1959, SAS menentang pejuang anti-sultan di Jabel Akhdar di Oman. Mereka juga terlibat menghancurkan pejuang di Dhofar, Oman pada tahun 1970-77. SAS juga beroperasi di Aden pada tahun 1964-1967 sebelum pengunduran tentera British di sana. Pada perang teluk tahun 1991, mereka ditugaskan untuk menghapuskan roket SCUD Saddam dan mengumpul maklumat. Sunday Herald (http://www.sundayherald.com/17827) juga telah melaporkan bahawa kejadian pengeboman di Omagh yang telah membunuh 29 orang telah dirancang dan dijalankan oleh seorang ejen SAS. Selain dari rekod-rekod ini, terdapat banyak laporan lain yang mendedahkan penglibatan anggota SAS sebagai ejen di dalam IRA melibatkan kejadian-kejadian keganasan di Ireland.

Sejarah juga mempertontonkan kepada kita aktiviti penakluk dalam menyebabkan ketidakstabilan di negara-negara yang mereka takluki. Britishlah yang melaga-lagakan golongan Druze dan Kristian di Lubnan sehingga menyebabkan Daulah Uthmani hilang kawalan ke atas kawasan tersebut. British jugalah yang memangkinkan tertubuhnya “Israel” dan mengucar-kacirkan kestabilan kawasan tersebut. Banyak lagi bukti-bukti sejarah yang tidak dapat disebutkan di sini yang menunjukkan penglibatan kuasa penakluk dalam merealisasikan konsep ‘divide and rule’ mereka. Malah, kejadian di Basra ini merupakan suatu aktiviti klasik pihak British dalam memperkukuhkan cengkaman mereka ke atas kawasan taklukan mereka.

Bagi pihak Amerika pula, justifikasi untuk terus berada di Iraq kerapkali disuarakan di dalam bentuk tuduhan melulu pihak penceroboh ke atas Abu Mus’ab al Zarqawi setiap kali berlaku kejadian serangan atau pengeboman. Bagi Pentagon, memfokuskan punca segala ‘kerosakan dan kejahatan’ kepada al-Zarqawi merupakan strategi yang amat berkesan dalam merealisasikan ‘Strategic Information Program’ mereka. Tuduhan tanpa asas berulang-ulang pihak penceroboh ini telah menimbulkan dua tanggapan di mata dunia – tanggapan bahawa legitimasi rakyat Iraq untuk menentang penceroboh telah di’mansuh’kan oleh keganasan teroris luar; kedua, bahawa suasana perang saudara antara Sunni dan Syiah sudah mula terserlah.

Tanpa memerhatikan pergolakan pengaruh yang memang diakui berlaku antara Amerika dan Britain di Iraq, yang jelas, pembohongan dan pengkhianatan penceroboh sudah mula terbongkar dan rakyat Iraq sudah mula sedar akan bahaya yang sedang menimpa mereka. Abdel Hadi Al-Daraji, salah seorang pegawai tinggi Al-Sadr menuduh Britain cuba merancang untuk memulakan perang saudara dengan menjalankan pengeboman ke atas pihak Shiah dan kemudian menuduh pihak Sunni yang melakukannya. ‘Semua orang tahu mereka ini bersama-sama dengan Mossad dan tujuan sebenar mereka adalah untuk menjadikan Iraq kawasan perang yang tidak stabil agar mereka dapat mengeksploitasi kepentingan mereka di Iraq’.

Kejadian-kejadian ini merupakan manifestasi kelemahan pihak penceroboh di Iraq. Sehingga kini AS dan Britain masih buntu dalam menyelesaikan masalah di Iraq. Umat Islam di Iraq pula semakin sedar bahawa tentera penceroboh bukanlah penyelamat malah penghancur umat Islam di sana. InsyaAllah, kesedaran ini akan memberikan aspirasi kepada kaum muslimin di Iraq dan di seluruh dunia untuk terus berjuang menegakkan Islam di dalam kehidupan bagi mengembalikan kemuliaan yang telah terlepas dari tangan umat Islam sejak kejatuhan Daulah Khilafah pada tahun 1924. Semoga Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah dan mengembalikan Iraq sebagai menara kemuliaan kaum muslimin seperti yang pernah dikecapi suatu waktu dahulu.

Wallahua’lam