Kerajaan sila naikkan kos hidup, tak mengapa rakyat boleh cari dua tiga kerja
Selain menjadi bahan lawak dan sindiran di media sosial, banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan apabila beliau menyarankan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menangani kos sara hidup. Antaranya:-
- Jauh sebelum Ahmad Maslan mencadangkan hal tersebut, realitinya memang telah ada rakyat Malaysia yang melakukan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup, khususnya di Lembah Kelang. Kos hidup di kawasan bandar yang semakin meningkat memang tidak dapat ditampung oleh golongan berpendapatan rendah. Jadi, antara alternatif yang diambil, selain si isteri yang turut bekerja bagi membantu menambah pendapatan, ialah dengan si suami/ayah mencari satu lagi pekerjaan sampingan di luar waktu kerja utama. Hal ini telah lama berlaku dan masih banyak berlaku. Ringkasnya, rakyat tidak memerlukan pendapat seorang Menteri untuk memikirkan hal seperi ini atau lebih tepat untuk dikatakan, rakyat sebenarnya tidak memerlukan Menteri yang berfikiran begini.
- Realiti dua kerja yang dilakukan oleh sesetengah warga Malaysia ini tidak boleh dipisahkan daripada sistem pemerintahan yang diamalkan pada hari ini, kerana sistem pemerintahanlah yang mengatur manusia, termasuk mengatur pekerjaan manusia. Realiti ini menunjukkan bagaimana sistem kapitalis yang diamalkan oleh pemerintah hari ini begitu menindas sehingga berapa ramai dari kalangan rakyat yang terpaksa melakukan dua kerja semata-mata untuk mencari pendapatan lebih bagi menampung kehidupan. Di sinilah rakyat, khususnya mereka yang memang terlibat dalam dua pekerjaan ini perlu melihat, malah lebih jauh, perlu berusaha untuk menukar sistem yang menindas ini kepada sistem yang lebih baik. Apakah sistem yang lebih baik jika bukan sistem Islam?
- Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pendapat Ahmad Maslan, sudah sewajarnya mereka mengkritik dan menyedarkan orang lain betapa tidak cerdiknya pandangan seorang menteri dalam menyelesaikan masalah rakyat. Namun, dalam masa yang sama, baik pengkritik atau pun mereka yang terlibat dengan dua pekerjaan mahu pun umat Islam umumnya, hendaklah melihat bagaimana Islam menyelesaikan masalah ini. Ini kerana, Islam merupakan sebuah ideologi yang menjadi cara hidup umatnya yang bersifat menyelesaikan segala masalah manusia. Kerana itulah, setiap Muslim wajib melihat penyelesaian kepada setiap masalah dengan pandangan Islam. Dalam konteks ini, kewajipan ke atas setiap lelaki yang telah baligh, apatah lagi yang bergelar suami atau ayah untuk mencari nafkah bagi dirinya dan keluarganya. Jika ia bermasalah, maka di sinilah timbulnya kewajipan pemerintah untuk campur tangan dengan mencari dan memberi pekerjaan untuknya, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang memberikan kapak dan seutas tali kepada seorang penganggur yang datang kepada baginda dan banyak lagi nas lainnya yang menunjukkan kewajipan pemerintah untuk menyediakan ruang pekerjaan kepada rakyatnya.
- Kenyataan Ahmad Maslan juga menunjukkan bagaimana cara berfikir seorang menteri yang kononnya cuba membantu rakyat untuk keluar dari masalah, tetapi dengan cara menciptakan lagi masalah. Beliau tidak nampak atau sebenarnya berpura-pura tidak nampak bahawa punca kepada masalah ialah kerajaan itu sendiri, yang terkenal zalim dengan mengenakan pelbagai polisi bayaran, menaikkan harga barangan dan mengenakan cukai yang haram lagi membebankan rakyat. Setelah rakyat menderita dengan segala kenaikan kos hidup yang dinaikkan kerajaan sesuka hati tersebut, kemudian keluarlah cadangan menteri agar rakyat melakukan dua pekerjaan bagi menampung kenaikan!
Jika kos sara hidup terus naik selepas ini, mungkin Ahmad Maslan patut menambah dalam cadangannya untuk rakyat melakukan 3 pekerjaan pula dan jika masih tidak dapat menampung, maka para isteri pula bolehlah disuruh untuk melakukan dua pekerjaan bagi membantu suami masing-masing dan jika masih tidak cukup, hentikan anak-anak daripada sekolah dan suruh mereka bekerja semuanya. Mungkin inilah cara berfikir terbaik seorang menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat! Jadi, tak mengapalah untuk kerajaan naikkan segala kos hidup setinggi-tingginya kerana rakyat boleh mencari tiga atau empat pekerjaan lagi!