Harga naik: kerajaan cari mangsa, bukannya penyelesaian

Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang bertindak menaikkan harga secara melampau. Jelas Perdana Menteri, tindakan tegas itu perlu diambil segera bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab para peniaga yang hanya tahu mengambil kesempatan di sebalik kenaikan beberapa harga barang.

“Saya telah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menggunakan apa sahaja akta yang ada kerana kita tidak mahu rakyat berasa tidak selesa. Kalau ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan secara tidak bertanggungjawab, keluarkan surat (saman) dengan segera” katanya  semasa berucap dalam majlis Makan Malam Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Kuala Lumpur hari ini (16/01/2014).

Setelah kerajaan bertindak zalim menaikkan harga minyak, gula dan juga menaikkan tarif elektrik, kini kerajaan mencari mangsa pula untuk dipersalahkan. Umum mengetahui bahawa kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berkesudahan dengan kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini antara lain adalah berpunca dari kenaikan harga petrol dan juga tarif elektrik yang dikuatkuasakan oleh kerajaan baru-baru ini.

Dengan naiknya kedua-dua perkara tersebut, sudah tentu para pengeluar, pengilang, peniaga dan lain-lain terpaksa menaikkan harga barangan masing-masing bagi menyerap kos atau dengan kata lain mengalihkan kos kepada pengguna. Akhirnya, rakyat yang merupakan pengguna terpaksa menanggung beban atas semua itu.

Walaupun seluruh rakyat jelata marahkan kerajaan di atas kenaikan ini, Najib bukan sekadar tidak merasa bersalah dengan kenaikan yang dilakukannya, malah kini para peniaga pula bakal menjadi mangsanya.

Nampaknya kesalahan dan kezaliman kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, kini cuba ditutup dengan “mengalihkan” kesalahan kepada para peniaga.

Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya beliau  yang menimbulkan masalah kepada rakyat dan menyalahkan orang lain pula di atas penderitaan yang dialami rakyat yang terjadi hasil dari buah tangannya.

Petrol dan elektrik adalah hak umum (al-milkiyyah al-ammah) yang sepatutnya dikelola oleh pemerintah untuk kepentingan rakyat. Inilah hukum Islam yang wajib diterapkan oleh pemerintah. Sebaliknya pemerintah Kapitalis menjadikan kedua-dua perkara tersebut sebagai bahan jualan kepada rakyat untuk mencari untung yang maksimum. Hasilnya pemerintah menikmati kemewahan melampau melalui keuntungan tersebut manakala rakyat terus ditindas dan menderita. Inilah salah satu bentuk kezaliman sistem kapitalisme yang diamalkan oleh pemerintah pada hari ini.

Justeru, rakyat seharusnya menolak segala kezaliman ini dengan menolak sistem kapitalisme secara keseluruhannya dan menolak orang yang menerapkannya dan seterusnya menggantikannya dengan sistem Islam. Tidak ada cara lain di dalam melakukan perkara ini kecuali berusaha menegakkan sistem Islam melalui bingkai sebuah Negara Islam (Khilafah).