Trump atau Clinton, sama sahaja!
Donald Trump dan Hillary Clinton selaku dua calon utama Presiden Amerika Syarikat (AS) meraikan kemenangan dalam pemilihan utama Super Tuesday pada 2 Mac lalu. Trump, 69, dan Clinton, 68, setakat ini menjadi calon pilihan bagi merebut jawatan No.1 di negara kafir penjajah itu menjelang pemilihan 8 November tahun ini.
Ironinya, walaupun dipalit dengan kontroversi dengan sikapnya yang keterlaluan terhadap umat Islam, hartawan hartanah Trump menang di tujuh daripada 11 negeri yang mengundi dan kini sedang mendahului calon-calon Republikan yang lain. Sementara itu, Clinton turut menang di tujuh negeri. Bekas Wanita Pertama AS itu turut menjadi harapan bagi penyokong parti Demokrat untuk menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai Presiden dalam sejarah negara itu.
Walaupun dunia sedang menyaksikan kempen kedua-dua calon ini dan seperti biasa ramai yang mengharapkan perubahan ke arah kebaikan di bawah kepimpinan baru AS, hakikatnya, sama ada Clinton atau Trump yang menjadi Presiden AS, kedua-duanya sama sahaja. Kedua mereka sudah terkenal dengan sikap memusuhi Islam dan umat Islam bukan sahaja di dunia, malah yang tinggal di AS dan merupakan warganegara AS sendiri, belum tentu selamat dengan naiknya Trump atau Clinton sebagai Presiden!
Suatu ketika dahulu banyak pihak, termasuk gerakan Islam yang pro demokrasi, pernah berharap apabila naiknya Barack Obama sebagai Presiden AS, maka hubungan AS dan umat Islam, malah seluruh dunia akan menjadi lebih baik. Ternyata, Obama hanya menjadi penerus kepada polisi Bush, malah dalam banyak keadaan, jauh lebih buruk dari Bush apabila berhadapan dengan umat Islam!
Barack Obama yang mempunyai sentuhan peribadi dengan negeri Muslim terbesar, Indonesia dan dikatakan mampu membentuk hubungan baru yang baik dengan umat Islam, ternyata jauh panggang dari api. Selama dua penggal Obama menjadi Presiden, AS terus rakus menjadi negara penjajah dan membunuh umat Islam. AS di bawah Obama, yang berlagak sebagai polis dunia telah menambahkan lagi penyeksaan saudara-saudara kita Iraq, Afghanistan, Pakistan, Yemen, Libya dan Syria di samping mencengkam lain-lain negara dari segi ekonomi dan kekuatan politik agar tunduk di bawah dominasinya.
Walau bagaimanapun, apa yang pasti ialah AS yang telah melakukan banyak kejahatan kepada umat Islam, akan hancur dengan izin Allah. Semoga dengan naiknya pemimpin yang lebih zalim dan lebih jahat dari yang sebelumnya, hal ini menjadi jalan kepada umat Islam untuk mengenali dan lebih sedar siapakah Amerika yang sebenar, sekali gus menjadi jalan kepada kehancuran AS dalam masa yang terdekat.
Sesungguhnya roda pemerintahan dunia akan terus berputar. Islam yang dahulunya berada di atas, kemudian berpusing ke bawah dan akan pasti berpusing dan naik semula ke atas Insya Allah. Begitulah dengan AS yang kini berada di atas, dengan izin Allah akan pasti berpusing ke bawah sedikit masa lagi.
Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam ialah meneruskan usaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mendirikan semula Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang akan menjadi penyebab kepada berputarnya roda Islam ke atas. Firman Allah SWT,
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka” [TMQ al-Nur (24):55].