SN459 – Pemecatan Ketua Negara Menurut Islam
SN Keluaran 18 Mac 2016
[SN459] Asakan demi asakan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak agar melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia semakin panas setelah Tun Dr Mahathir Mohamad dan lebih 50 tokoh termasuk bekas pemimpin UMNO serta pimpinan pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu. Najib bagaimana pun masih tegar tidak berundur, malah seperti langsung tidak mengendahkan deklarasi yang mendapat liputan meluas itu, walaupun orang-orang bawahannya sudah berkokok kuat menghentam deklarasi tersebut. Dalam kepanasan suasana ini, anehnya ada parti pembangkang yang kebelakangan ini dilihat seperti sesumpah, walaupun menghantar ‘orang’ untuk menandatangani deklarasi yang mendesak Najib meletak jawatan itu, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu menukar Perdana Menteri kecuali melalui pilihan raya! Lebih lanjut, mereka sekarang ingin memperkasakan Perlembagaan yang mereka sendiri tolak suatu ketika dulu kerana merupakan peninggalan kafir penjajah!
Sungguh malang apabila umat Islam tidak merujuk kepada penyelesaian Islam dalam menanggapi krisis kepimpinan negara pada hari ini. Lebih malang apabila gerakan Islam sendiri sangat kabur, malah tidak merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah tentang bagaimana seseorang ketua negara itu sebenarnya tidak layak atau hilang kelayakan sebagai pemerintah dan wajib diganti menurut hukum syarak. Inilah barah yang menghinggapi gerakan Islam apabila terlalu lama bergelumang di dalam kubangan demokrasi sehingga segala penyelesaian dikembalikan kepada ajaran demokrasi berdasarkan perlembagaan tinggalan si kafir Lord Reid, bukannya ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah! Akibat dipenuhi lumpur demokrasi, mereka sudah tidak dapat membezakan lagi antara binatang yang berkaki empat, sama ada itu adalah kerbau atau ‘kerbau pendek’!
Pemberhentian Ketua Negara Menurut Demokrasi
Menurut hukum demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seseorang Perdana Menteri itu hendaklah meletak jawatan jika ia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, melainkan jika atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen dibubarkan terlebih dahulu [Perkara 43 (4)]. Walaupun peruntukan ini nampak seperti ‘simple’, namun realitinya, ia bukanlah suatu yang mudah untuk dilaksanakan dan belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, walaupun ada beberapa percubaan ke arah tersebut. Selain memerlukan sokongan majoriti ahli Parlimen, tekanan politik yang dihadapi oleh pihak yang ingin mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri bukan alang kepalang! Dengan kata lain, walaupun demokrasi membenarkan hal ini berlaku, tetapi pemimpin demokrasi sekali-kali tidak akan membenarkannya!
Oleh kerana hampir mustahil untuk melakukannya, maka cara yang lebih mudah untuk mengganti Perdana Menteri ialah dengan mendesak beliau meletak jawatan melalui tekanan politik. Walaupun perlembagaan tidak menyebut dengan jelas mengenai peletakan jawatan Perdana Menteri secara sukarela, tetapi menurut Perkara 51, mana-mana ahli Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya, yang bermaksud, jika dia bukan lagi ahli Parlimen, ini sekali gus menghilangkan kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam sejarah Malaysia, telah berlaku dua peristiwa peletakan jawatan Perdana Menteri secara sukarela iaitu di zaman Dr Mahathir dan juga Abdullah Badawi. Selain isu peletakan jawatan, peristiwa ini sesungguhnya menunjukkan pembohongan demokrasi yang kononnya pemimpin itu dipilih menurut suara ramai, kerana ternyata Pak Lah dan Najib menjadi Perdana Menteri hanya atas lantikan Perdana Menteri sebelumnya dan bukan melalui suara majoriti!
Selain daripada dua cara tersebut, perlembagaan tidak membenarkan seseorang Perdana Menteri diberhentikan kecuali dengan cara pilihan raya menurut Perkara 55 (3) yang mesti dilakukan dalam tempoh maksimum 5 tahun sekali. Inilah ‘sunnah’ Lord Reid untuk Malaysia yang rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepadanya. Apa yang menyedihkan ialah, berapa banyak daripada parti/gerakan Islam sekali pun yang tunduk kepada ‘sunnah’ ini dengan redha dan suka rela, seolah-olah pilihan raya 5 tahun sekali ini sangat Islamik atau setidak-tidaknya, tidak bertentangan dengan Islam! Lebih malang apabila ada gerakan Islam yang tunduk-setunduknya dengan peruntukan ini, sehingga tidak mahu menukar ketua negara, kecuali menurut cara ini semata-mata!
Walhal Islam tidak pernah mengajar untuk menukar ketua negara melalui pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali! Itu hanyalah ajaran Lord Reid semata-mata! Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya untuk menukar pemimpin negara lima tahun sekali atau tiga tahun atau setahun sekali. Hal ini juga tidak pernah dipraktikkan oleh para Khalifah al-Rasyidin. Malah tidak pernah diajar oleh mana-mana sahabat atau imam-imam muktabar mengenai ‘kewajipan’ menukar ketua negara lima tahun sekali melalui pilihan raya! Ajaran seperti ini hanya masuk ke Tanah Melayu setelah kuffar British menjajah tanah kita dan meninggalkan ‘kitab’ mereka untuk kita amalkan dan berpegang teguh dengannya, walhal ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Allah SWT mengingatkan kita agar tidak berhukum dengan hukum selainNya (hukum) agar kita tidak terjerumus ke dalam kesesatan. FirmanNya,
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ al-Nisa’ (4):60].
Pemberhentian Ketua Negara Menurut Islam
Satu-satunya metode untuk mengangkat ketua negara dalam Islam ialah dengan bai’at. Nas-nas al-Quran dan al-Hadis sangat banyak membicarakan tentang perkara ini. Sebagai agama yang sempurna, selain mengangkat, sudah tentu Islam juga mengajar bagaimana cara untuk memberhentikan ketua negara, sehingga kita tidak memerlukan ajaran demokrasi, malah haram untuk mengambil ajaran demokrasi dalam hal ini. Dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), jawatan ketua negara (Khalifah) tidak dibatasi dengan tempoh tertentu sebagaimana demokrasi. Selama mana Khalifah tidak kehilangan tujuh syarat (syarat pelantikan – iaitu Muslim, lelaki, berakal, baligh, merdeka, adil dan mampu), masih berpegang teguh kepada syariah dan menerapkan hukum-hukum Allah, maka selama itu ia tetap sah menjadi Khalifah dan sama sekali tidak boleh diberhentikan.
Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, di mana masa pemerintahan mereka tidak pernah dibatasi dengan tempoh tertentu. Mereka memimpin negara sejak mula dibai’at sehinggalah kewafatan masing-masing. Inilah sunnah Rasulullah SAW dan juga yang menjadi sumber hukum yang wajib diikuti oleh kita. Namun demikian, ini tidak bermakna yang mereka tidak boleh diberhentikan. Malah syarak menjelaskan keadaan-keadaan dan tatacara memberhentikan ketua negara (Khalifah) dengan amat jelas sekali. Ada tiga keadaan yang mewajibkan seseorang ketua negara itu diberhentikan daripada jawatannya:-
(1) Jika ia melanggar salah satu syarat dari syarat-syarat , misalnya ia murtad, menukar jantina, fasiq secara terang-terangan, gila dan lain-lain;
(2) Atas sebab tertentu, ia tidak lagi mampu memikul tugas-tugas keKhilafahan seperti sakit kronik, menjadi cacat, tua nyanyuk dan sebagainya;
(3) Adanya tekanan dari pihak tertentu yang menyebabkannya tidak lagi mampu menjalankan urusan negara menurut pendapatnya sesuai dengan ketentuan syarak. Hal ini boleh berlaku dalam dua keadaan:-
Pertama: Apabila salah seorang atau beberapa orang yang rapat dengan Khalifah, mempengaruhinya, sehingga mereka mendominasi pelaksanaan urusan pemerintahan negara. Jika masih ada harapan untuk bebas dari pengaruh tersebut, maka ia ditegur dan diberi waktu untuk membebaskan diri. Jika ternyata tidak mampu atau sudah tidak ada harapan untuk mengatasi pengaruh/dominasi mereka, maka Khalifah akan diberhentikan.
Kedua: Apabila Khalifah menjadi tawanan musuh, baik ditawan atau ditekan oleh musuh. Pada situasi seperti ini perlu dipertimbangkan – jika masih ada harapan untuk dibebaskan maka pemberhentiannya ditangguhkan sampai batas tidak ada harapan lagi untuk membebaskannya, dan jika ternyata demikian, barulah dia diberhentikan. Jika tidak ada harapan sama sekali untuk membebaskannya maka ia segera diberhentikan dan diganti pada waktu itu juga.
Persoalan penting dalam hal ini ialah, siapakah pihak yang berhak memberhentikan Khalifah dalam keadaan-keadaan di atas? Jawapannya, walaupun Khalifah dilantik oleh umat, tetapi umat tidak berhak memberhentikannya. Satu-satunya pihak yang mempunyai (bidang kuasa) untuk memberhentikan Khalifah ialah Mahkamah Madzalim. Mahkamah Madzalim-lah yang akan menentukan ada atau tidaknya perubahan keadaan pada diri Khalifah yang menjadikannya tidak layak meneruskan jawatan dan mesti diberhentikan.
Penting untuk diperhatikan bahawa Mahkamah Madzalim juga merupakan lembaga yang akan menentukan bahawa seseorang ketua negara itu telah jatuh fasiq (melakukan dosa secara terang-terangan) sehingga hilangnya sifat adil padanya yang sekali gus menghilangkan kelayakannya sebagai ketua negara. Rakyat boleh sahaja mengadu tentang kefasiqan ketua negara kepada mahkamah Madzalim dah mahkamah akan memutuskan perkara ini serta akan memecat ketua negara jika terbukti ia telah jatuh fasiq.
Selain dari keadaan di atas, terdapat juga keadaan lain yang mewajibkan ketua negara diberhentikan oleh Mahkamah Madzalim, yakni apabila seseorang Khalifah itu menampakkan kekufuran yang nyata (kufran bawaahan/suraahan), yakni apabila ia mengubah undang-undang negara yang berasal dari syariah kepada undang-undang buatan manusia. Dari ‘Auf bun Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Sebaik-baik pemimpin adalah yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruknya pemimpin adalah yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian. Kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian. Ditanyakan kepada baginda, “Apakah tidak kita perangi sahaja mereka dengan pedang?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Tidak, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian” [HR Muslim].
Maksud ‘menegakkan solat’ dalam hadis ini ialah menegakkan hukum-hakam Islam. Ini sejalan dengan hadis lain yang diriwayatkan dari Ubadah bin Samit bahawa kekuasaan wajib dicabut dari penguasa yang menampakkan kekufuran yang nyata. Ubadah berkata,
Kami membaiat Nabi SAW untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun kami tidak senangi, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin, kecuali (sabda baginda), ‘Kalau kalian melihat kufran bawaahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah” [HR Bukhari & Muslim].
Tatkala hukum Islam tidak ditegakkan, sudah pasti hukum yang ditegakkan ialah hukum kufur dan penerapan hukum kufur secara nyata inilah yang dimaksudkan dengan kufran bawaahan. Dalam keadaan ini, maka seseorang ketua negara itu boleh diperangi atau dengan kata lain, ia mesti diberhentikan dari jawatannya, kerana ketua negara itu dibai’ah semata-mata untuk menegakkan hukum Allah, bukan untuk menegakkan hukum kufur. Cumanya, hadis ini perlu difahami dengan baik iaitu ‘memerangi penguasa’ yang dibolehkan dalam keadaan kufran bawaahan itu hanya terwujud setelah kita terlebih dahulu melihat Islam diterapkan, kemudian tiba-tiba ketua negara menukar penerapan Islam kepada penerapan hukum kufur. Ada pun pada hari ini, kita sudah lahir dalam keadaan hukum kufur diterapkan yang mana kita tidak melihat penerapan hukum Islam sebelumnya. Apa pun, perlu difahami bahawa dalam keadaan penguasa menerapkan hukum kufur, ia sebenarnya sudah tidak layak untuk menjadi penguasa lagi, kerana penguasa itu diangkat dan diamanahkan untuk menerapkan hukum Allah semata-mata!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Wahai saudara-saudara dari gerakan Islam yang dikasihi sekalian! Inilah cara yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk menukar ketua negara, setelah sebelumnya Rasulullah SAW mengajar cara-cara pelantikannya dan syarat-syarat yang melayakkan seseorang itu menjadi ketua negara. Kenapa perlu mengikut ajaran demokrasi dan meninggalkan ajaran Islam? Kenapa perlu kembali kepada perlembagaan ciptaan Lord Reid tatkala kita berbeza pendapat dan berbantah-bantahan, sedangkan Allah SWT memerintahkan kita untuk kembali dan berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah?
Wahai mereka yang memegang kekuasaan! Ingatlah bahawa kekuasaan itu adalah amanah dan ia adalah suatu amanah yang cukup berat. Firman Allah SWT,
Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [TMQ al-Ahzab (33):72).
Begitulah beratnya amanah sehingga makhluk Allah yang jauh lebih kuat dan terkenal mentaati Allah pun tidak sanggup untuk memikulnya. Apabila manusia sanggup memikulnya tetapi tidak menunaikannya, maka jadilah ia orang-orang yang amat zalim dan bodoh. Lebih buruk, di Akhirat nanti, dia akan dihinakan dan menyesal. Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Dzar yang meminta jawatan daripada baginda,
Wahai Abu Dzar, sesungguhnya kamu seorang yang lemah, sedangkan jawatan itu adalah satu amanah. Jawatan itu kelak pada Hari Kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan sebenar-benarnya, serta ditunaikan dengan sebaik-baiknya” [HR Muslim].
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan…