Blok kedua, ketiga atau keempat, Islam tetap dipinggirkan!
Pada 16 Mac lepas, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah membentuk kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan menggelar diri mereka sebagai blok ketiga dalam politik negara. Blok ketiga dimaksudkan sebagai alternatif kepada kerajaan UMNO-BN dan Pakatan Harapan di negara ini, yang diharap menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang .
Sejarah politik negara ini telah menyaksikan beberapa tahaluf siyasi antara parti-parti pembangkang dalam usaha mereka menumbangkan parti pemerintah. Antara tahaluf yang paling awal terbentuk ialah antara PAS dan Parti Negara yang diketuai oleh Dato Onn Ja’afar setelah merdeka.
PAS bagaimanapun menukar arah perjuangan apabila berkahwin dengan musuh ketat mereka sendiri, Barisan Nasional (BN) pada tahun 1972, satu tindakan yang kemudiannya dikesali oleh PAS, yang mengheret kepada pembubaran perkahwinan mereka pada 1977.
Pada PRU tahun 1990, PAS bergabung dengan parti Semangat 46 yang merupakan serpihan UMNO, lalu membentuk Angkatan Perpaduan Ummah. Perkahwinan ketiga ini pun tidak kekal lama setelah Semangat 46 bubar dan mereka kembali merujuk kepada UMNO pada 1996, meninggalkan PAS keseorangan dan ‘tertipu’.
Tidak lama selepas itu tercetusnya era reformasi apabila Anwar Ibrahim disingkirkan oleh Dr Mahathir Mohamad dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika ini munculnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Melihat kepada manfaat yang ada, PAS lalu bergabung dengan parti sekular yang juga serpihan UMNO ini, lalu membentuk tahaluf baru menjelang PRU tahun 1999, yang turut disertai oleh DAP dan menggelar diri mereka sebagai Barisan Alternatif. Bagaimanapun, mereka tetap gagal menumbangkan BN.
Pada PRU ke-13, gabungan tersebut menukar nama kepada Pakatan Rakyat (PR), menjadi lebih kuat daripada sebelumnya hasil kemelut yang melanda dalaman BN, tetapi ternyata PR tetap gagal menumbangkan BN pada PRU 13, walaupun undi mereka bertambah dari sebelumnya.
Perkahwinan 3 penjuru PAS-PKR-DAP akhirnya bubar setelah PAS sekali lagi menukar haluan untuk menjadikan DAP yang sebelum ini dipeluknya, kembali menjadi musuhnya. Tindakan PAS yang tidak pernah tetap pendirian ini tidak disenangi oleh PKR sehingga hubungan cinta tiga segi mereka mati tak berkubur.
Kini, PAS mendapat pasangan baru iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang hampir tidak diketahui kemunculannya di persada politik Malaysia, lalu menggelar diri mereka sebagai blok ketiga. Perkahwinan baru ini diharap dapat merealisasikan agenda yang mereka sering sebut sebagai politik matang, yang sekali gus merupakan pengakuan bahawa politik mereka sebelum ini sebenarnya tidak pernah matang! Mereka berharap yang mereka dapat meraih kemenangan dalam PRU ke-14 nanti, walaupun hakikatnya tahaluf ini amat lemah berbanding dengan yang sebelumnya.
Itulah sejarah ringkas tahaluf siyasi di Malaysia yang hakikatnya tidak pernah membawa kebaikan kepada Islam sedikit pun. Persoalan penting ialah, apakah matlamat sebuah parti Islam tercapai dengan segala tahaluf tersebut, apatah lagi tahaluf bersama parti sekular dan parti kafir yang diharamkan oleh Islam? Hakikatnya parti Islam tidak pernah berjaya dalam tahaluf mereka, baik di Malaysia, Indonesia mahupun di mana-mana negara demokrasi di dunia. Malah, dalam setiap tahaluf, Islam sentiasa dipinggirkan dari menjadi agenda tahaluf dan parti Islam ternyata tunduk kepada pasangan tahaluf mereka yang lebih teguh berpegang kepada sekularisme!
Malangnya, walaupun sudah berkali-kali dipatuk dari lubang yang sama, parti Islam tidak pernah mengambil pengajaran dan tidak pernah berhenti daripada melakukan keharaman tersebut!
Sejak demokrasi diperkenalkan ke dunia Islam oleh penjajah Barat, sistem kufur ini ternyata telah berjaya memperdayakan parti-parti Islam yang berjuang di dalamnya dengan memberikan satu ilusi seolah-olah mereka mampu memenangkan Islam melalui jalan pilihan raya. Berbekalkan pandangan yang ‘ditipu’ ini, parti Islam habis-habisan mencurahkan kekuatan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya, sehinggakan fokus perjuangan menegakkan Islam tersasar dari landasan, yakni dari memastikan Islam menang, mereka lebih memastikan yang parti mereka menang (dalam pilihan raya), dengan apa cara sekalipun yang dibenarkan oleh demokrasi, termasuklah melalui tahaluf siyasi yang diharamkan oleh Islam!
Apa yang sepatutnya (wajib) dilakukan oleh parti Islam bukanlah membentuk tahaluf demi tahaluf, setelah kegagalan demi kegagalan, dalam rangka memenangi pilihan raya, tetapi mencampakkan demokrasi yang penuh penipuan dan kekufuran, lalu beralih mengambil jalan perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Kajilah dengan mendalam dan benar bagaimana thariqah (jalan) yang diambil Rasulullah SAW dalam menegakkan Daulah Islam dan inilah satu-satunya jalan yang wajib diambil, bukannya mengikut hawa atas pertimbangan manfaat semata-mata, tanpa mengira halal dan haram!