Trend ‘A4 Waist’ – antara kehendak dan eksploitasi

a4Kegilaan terhadap bentuk badan ‘A4 waist’ yang menjadi viral di China baru-baru ini jelas menunjukkan rosaknya cara berfikir dan sistem sosial di negara blok Timur dunia itu, yang tidak ada bezanya dengan blok Barat. Trend tersebut, yang menyaksikan wanita bergambar sambil menunjukkan perbandingan ukuran pinggang mereka dengan sehelai kertas bersaiz A4 yang diletakkan secara menegak, mendapat sambutan hangat daripada sebilangan wanita, termasuklah dalam kalangan selebriti di negara tersebut. Meskipun demikian, ia turut menerima kritikan hebat daripada segelintir pihak kerana menjadikan badan wanita sebagai tontonan.

Dalam dunia hari ini, pemikiran kaum wanita telah “di set” dengan imej-imej kecantikan melalui pelbagai bentuk iklan yang akhirnya, menjadi satu “kegilaan” yang sukar dibendung oleh kaum Hawa itu. Saban hari wanita diracuni dengan iklan-iklan kecantikan dari pelbagai syarikat Kapitalis yang mengeluarkan produk-produk kecantikan yang memberi pengaruh yang cukup besar terhadap kaum wanita.

Hasil pengaruh iklan dan rakan-rakan, ramai wanita yang tergila-gilakan bentuk badan yang cantik, sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan bentuk badan yang diingini, walaupun perbelanjaan tinggi diperlukan dan kadang-kadang memberikan risiko terhadap kesihatan mereka. Dalam rangka mendapatkan bentuk badan yang ramping, sebahagian wanita sanggup berlapar sehingga ada yang menderita akibat penyakit anorexia dan bulimia semata-mata untuk kelihatan seperti model bersaiz 0 (zero-sized model) yang dipaparkan dalam media massa.

Idea kecantikan yang merosakkan ini sebenarnya “dipaksakan” ke atas wanita, dengan menanam persepsi bahawa kecantikan seseorang wanita itu diukur dengan bentuk tubuh yang menarik, berkulit cerah dan licin, pinggang yang ramping dan pelbagai ukuran luaran lainnya. Inilah yang dijadikan standard oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan dalam menentukan tahap kecantikan seseorang wanita.

Dengan menanamkan idea sebegini, pihak industri kecantikan cuba mengaut keuntungan melalui penjualan produk-produk yang mereka dakwa akan mencapai ‘level’ kecantikan yang diimpikan oleh setiap wanita. Kemudian diambillah wanita-wanita yang telah “berjaya” mencapai impian tersebut sebagai model iklan, yang sebenarnya merupakan satu bentuk eksploitasi ke atas wanita, bagi melariskan jualan mereka. Inilah hakikat dengan syarikat-syarikat Kapitalis yang terlibat dalam industri kecantikan!

Di United Kingdom, industri kecantikannya memperoleh pendapatan sehingga 8.9 bilion Pound Sterling setahun, manakala di Amerika Syarikat industri kosmetik berkembang sebanyak 10% setiap tahun. Belum lagi mengambil kira pembedahan plastik yang bertujuan untuk mengubah rupa bentuk demi mencapai kecantikan ideal.

Inilah ‘kegilaan’ yang cuba dipaksakan ke atas wanita dalam sistem kemasyarakatan yang rosak ini. Sungguhpun dunia Barat dan Timur mendakwa bahawa wanita mereka hidup berdikari dan tabah, namun hakikatnya mereka telah dipaksa untuk ‘bekerja keras’ bagi mencapai tahap kecantikan yang dimahukan oleh syarikat-syarikat kecantikan. Bahkan kecantikan turut dijadikan kayu ukur dalam menilai kejayaan seseorang wanita berdasarkan nilai-nilai Barat, sebagaimana diakui oleh Germaine Greer, seorang pejuang feminisme di dalam bukunya, The Whole Women, “Every woman knows that, regardless of all her other achievements, she is a failure if she is not beautiful” (“semua wanita tahu bahawa apa pun pencapaian mereka, dia merupakan seorang yang gagal jika dia tidak cantik”)

Apa sekali pun “falsafah” yang cuba ditanam di sebalik kecantikan wanita, hakikatnya ia tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan para kapitalis dalam industri kecantikan dan kosmetik mampu meraih keuntungan hasil eksploitasi mereka ke atas wanita, tanpa memikirkan kesannya terhadap kaum Hawa itu mahupun norma masyarakat.

Dalam Islam, bukanlah salah untuk seseorang wanita mendapatkan bentuk badan yang cantik, asalkan ia menjaga setiap inci aspek halal dan haramnya. Namun, apa yang lebih penting ialah Islam tidak menilai “kecantikan” seseorang wanita dari sudut luarannya, tetapi apa yang ada dalam hatinya, yakni ketakwaannya kepada penciptanya. Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu”[TMQ al-Hujuraat (49):13].

Setiap wanita harus sedar akan hal ini dan tidak tunduk kepada kehendak diri sendiri yang tidak syarie, apatah lagi merelakan diri menjadi bahan eksploitasi syarikat-syarikat Kapitalis.