Keputusan ke atas Radovan Karadzic bukti kegagalan sistem peradilan dunia
Pada 24 Mac lalu, bekas pemimpin Serbia-Bosnia, Radovan Karadzic telah diputuskan bersalah atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dan atas kesalahan jenayah kemanusiaan yang telah di lakukannya ketika era peperangan bekas Yugoslavia pada 1990-an.
Dalam tribunal antarabangsa yang bertempat di The Hague itu, hakim-hakim PBB memutuskan yang Karadzic bersalah terhadap 10 dari 11 pertuduhan ke atasnya selama lima tahun perbicaraan tersebut berlangsung dan telah telah dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Karadzic, 70, merupakan pemimpin tertinggi yang dihadapkan ke tribunal PBB tersebut, melibatkan peperangan yang telah berlaku lebih dua dekad lalu yang telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa ketika perlawanan tentera mengepung Bosnia di sempadan kawasan kaum/etnik.
Hakim perbicaraan, O-Gon Kwon berkata, Karadzic bertanggungjawab ke atas keganasan, pembantaian dan serangan ke atas orang awam di bawah pengawasan beliau yang menyaksikan pengepungan berdarah pasukan tenteranya selama 44 bulan ke atas Sarajevo, ibukota Bosnia, semasa peperangan 1992-1995.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Karadzic bersalah atas pembunuhan etnik di Sreberenica. Anehnya, dia didapati tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan etnik yang lain.
Sebahagian warga Bosnia yang berada di luar tribunal tersebut mengutuk hukuman penjara 40 tahun yang dikatakan langsung tidak sepadan dengan jenayah kejam besar-besaran yang dilakukan Karadzic.
“Pembunuhan etnik bukan hanya berlaku di Srebrenica, bahkan di seluruh Bosnia dan Herzegovina, termasuklah penganiayaan agama, penindasan dan segalanya yang telah kami lalui,” kata Zumra Sehumirovic di luar mahkamah.
Apa yang berlaku ini sekali lagi memperlihatkan kepada kita sistem keadilan dunia yang dikawal oleh golongan Kapitalis, telah membuktikan kegagalannya untuk memberikan definisi keadilan kepada dunia. Di sebalik beratus ribu nyawa yang terkorban, Karadzic hanya dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun, satu tempoh yang kebanyakan mangsanya tidak sempat hidup selama itu untuk menyaksikan.
Walaupun pihak media telah melaporkan bahawa Karadzic didapati bersalah atas 10 daripada 11 pertuduhan ke atasnya, akan tetapi dia tidak didapati bersalah atas satu tuduhan yang melibatkan beberapa kekejaman yang berlaku di kem-kem tahanan seluruh Bosnia seperti di Trnopolje, Omarska, Vlasenica, Bijejina, Kljuc, Sanski Most, Brcko dan banyak lagi bandar lainnya.
Di sebuah pekan kecil Foca, seluruh penduduk Muslimnya dibunuh dan diusir dan sebuah kem pemerkosaan dibina sebagai ganti nyawa manusia. Mahkamah kononnya meneliti sedalamnya perkara-perkara ini, tetapi sangat mengejutkan apabila mahkamah mengatakan tiada sebarang bukti berlakunya aktiviti berkaitan pembunuhan kaum seperti yang disebutkan.
Tambahan lagi, kita perlu ingat bahawa segala kejadian yang berlaku di Srebrenica bukanlah satu-satunya kekejaman massa yang berlaku hanya sekali, tetapi merupakan satu siri daripada siri kekejaman-kekejaman sistematik yang besar yang telah menghancurkan keseluruhan negeri tersebut.
Kekejaman tersebut juga merupakan hasil penghinaan tanpa perikemanusiaan yang berpanjangan terhadap populasi Muslim Bosnia, seolah-olah hal ini diterima oleh masyarakat, manakala komuniti antarabangsa pula terus berdiam diri. Perkara ini juga telah tidak diperakui oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sesungguhnya tragedi ke atas kaum Muslimin berterusan hingga ke hari ini dengan media Barat terus memainkan propaganda memburukkan kaum Muslimin. Lihatlah isu pelarian Muslim yang masuk ke Eropah dari Syria, Libya, Afghanistan dan wilayah-wilayah umat Islam yang lain, yang mana kaum Muslimin digambarkan sebagai “lipas’ dan “haiwan perosak’ di Eropah.
Kes Karadzic ini telah membuktikan untuk ke sekian kalinya, jika ada yang masih memerlukan bukti, bahawa institusi antarabangsa seperti PBB atau Mahkamah Antarabangsa, yang mendakwa kononnya mempromosikan keadilan dan kesaksamaan, langsung tidak boleh diharap untuk menyelesaikan segala konflik dan peperangan. Hukuman akan terlepas bagi mereka yang mempunyai pengaruh dan kekayaan, sebagaimana dapat dilihat dengan jelas pada penjenayah perang seperti Tony Blair, yang telah dilantik sebagai Perwakilan Khas Quartet ke Timur Tengah pada tahun 2007.
Apabila berhadapan dengan konflik seperti Syria dan Iraq, kaum Muslim tidak sepatutnya masuk ke dalam perangkap dan bergantung kepada organisasi antarabangsa untuk mengurusi urusan umat Islam, tetapi wajib kembali kepada Islam dan penerapannya secara menyeluruh (kaffah) melalui penegakan Daulah Khilafah Islamiyyah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, dalam menyelesaikan isu-isu seperti ini secara tuntas.