SN462 – Dakwah Secara Intelektual, Kenapa Dihalang?

PDF

SN Keluaran 15 April 2016

[SN462] Kedatangan pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik (DZN) ke Malaysia dalam siri ceramah umum kali ini mendapat liputan yang sangat meluas ekoran bantahan secara terbuka daripada pemimpin beberapa parti dan NGO bukan Islam.  Tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy, yang melabel DZN sebagai “syaitan” menimbulkan kemarahan umat Islam. Walaupun kemudiannya beliau menarik balik kenyataannya, ini memberi persepsi kepada umat Islam betapa pemimpin DAP ini membenci Islam. Malangnya ada juga di kalangan ahli politik Muslim yang mempunyai kerjasama dengan DAP mengucapkan terima kasih dan memuji tindakan P. Ramasamy menarik balik label syaitan tersebut, yang disifatkan oleh pihak penganjur sebagai tidak sepenuhnya jujur. Atas desakan dan kritikan dari banyak pihak, PDRM yang terkenal menjaga kepentingan pemerintah, akhirnya telah membenarkan Siri Jelajah DZN ini dengan syarat tajuk ceramahnya ditukar kepada tajuk yang tidak menyentuh isu agama lain.

Tindakan PDRM ini menunjukkan bagaimana sikap double standard mereka dalam membuat keputusan. Mereka lebih menjaga sensitiviti dan mengutamakan desakan dari orang Hindu yang merupakan minoriti di Malaysia, berbanding menjaga sensitiviti orang Islam yang menjadi majoriti. Sikap ini berbeza sekali apabila musuh Islam seperti Obama datang ke Malaysia yang disambut dengan “karpet merah” dan juga para artis dari luar yang membawa budaya yang menjijikkan dan bertentangan dengan Islam, tetapi dibiarkan. Walhal perkara ini bukan sahaja sensitif bagi umat Islam, malah haram, tetapi ternyata tidak dipedulikan oleh PDRM yang majoriti anggotanya adalah Muslim.

Dakwah Adalah Tugas Yang Mulia

Halangan dalam berdakwah bukanlah suatu yang asing dalam diari seorang pendakwah. Rasulullah dan para sahabat dahulu dihalang dari berdakwah dengan pelbagai bentuk halangan seperti ancaman, boikot, sekatan dan sebagainya. Itulah juga yang berlaku kepada para pendakwah dan jamaah serta parti Islam hari ini. Hizbut Tahrir (HT) misalnya yang berjuang secara intelektual tanpa kekerasan dengan menyeru agar umat Islam mendirikan semula Daulah Khilafah di hampir seluruh negeri umat Islam di dunia turut dihalang dan difitnah dengan pelbagai tuduhan. Bahkan ramai anggotanya yang telah ditangkap, dipenjara dan diseksa dan tidak kurang juga yang dibunuh oleh pemerintah! Namun, tanggungjawab dakwah ini tetap perlu diteruskan demi membangkitkan umat Islam dan merealisasikan penerapan syariah dalam bingkai Negara Khilafah.

Agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di Jazirah Arab yang telah tersebar ke seluruh penjuru dunia adalah hasil daripada usaha dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta generasi Islam sesudah mereka. Setelah negara Islam yang pertama berjaya didirikan oleh Rasulullah SAW di Madinah, Rasulullah SAW telah menghantar banyak ekspedisi ke luar wilayah bagi menyeru manusia memeluk Islam dengan jalan dakwah dan jihad.

Perkembangan Islam di Nusantara ini sendiri adalah hasil dari usaha dakwah yang dilakukan oleh para pemerintah Islam terdahulu. Antara usaha yang telah dilakukan adalah pengiriman Walisongo (sembilan orang Wali) ke Tanah Jawa yang telah dilakukan oleh Khalifah Uthmaniyyah, Sultan Mahmud I. Raja Srindravarman di Jambi yang dahulunya Hindu, memeluk Islam pada 720M, atas usaha dakwah yang dijalankan oleh para pendakwah yang diutus oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Kerajaan Srivijaya Jambi kemudian terkenal dengan nama Sribuza Islam. Menurut catatan sejarah, sejak Parameswara memeluk Islam, Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran dan dakwah agama Islam. Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1456) Islam telah dijadikan sebagai agama rasmi dan baginda juga turut memperkenalkan undang-undang Islam yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

Aktiviti pesat dakwah terus berlaku sejak zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke hari ini kerana Islam menuntut penganutnya untuk berdakwah sebagaimana Firman Allah SWT,“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?’” [TMQ Fushilat (41): 33]. Ayat ini datang dalam bentuk soalan yang menafikan (istifham ingkari) yang bermaksud “tidak ada siapa pun yang lebih baik perkataannya” di mana kebanyakan  Mufassirin seperti Ibnu Katsir, al-Hasan, Mujahid, asy-Syaukani dan lain-lain menyatakan bahawa ayat ini mencakupi semua umat manusia yang menyeru kepada Allah SWT. Tambahan pula, bagi seorang Muslim, pahala yang dikurniakan kepadanya kerana melakukan dakwah adalah amat besar sekali. Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik daripada unta merah” [HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan an-Nasa’i].

Pendekatan Dakwah Yang Benar Dan Menjauhi Provokasi

Apa yang berlaku kepada DZN juga adalah kerana adanya pihak non-Muslim terutamanya dari kaum Hindu yang merasa terancam dengan ceramah ilmiahnya yang boleh membuka minda penganut agama Hindu kepada kebenaran Islam. Oleh itu, tidak hairanlah kalau ada pihak yang melabelnya sebagai syaitan, menuduhnya menyokong pengganas dan sebagainya. Halangan pertama dakwah hakikatnya, adalah dari perkataan yang dituturkan oleh mereka yang membenci kebenaran demi menghalang manusia dari mendengar penjelasan Islam.

Inilah yang sering terjadi kepada para pendakwah, sama ada individu atau jamaah/parti Islam di seluruh dunia. Hizbut Tahrir juga tidak terlepas dari hal ini yang sejak awal penubuhannya hingga kini terpaksa melalui ranjau-ranjau dakwah yang cukup banyak. Apa pun yang berlaku, Hizbut Tahrir tetap konsisten mengikuti thariqah (jalan) dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan sentiasa mengingatkan umat Islam agar tetap mengikuti thariqah yang sama, kerana Rasulullah SAW ada suri teladan untuk kita semua. Dakwah Rasulullah SAW dalam menyeru manusia kepada Islam adalah bersifat intelektual dan politik tanpa kekerasan, walaupun realitinya Rasulullah-lah yang dikasari dan menerima pelbagai celaan, fitnah, pemboikotan serta provokasi (semasa di Mekah). Jalan inilah yang wajib kita ikuti.

Di dalam kitab Nuqtatul Intilaq (Titik Tolak) karangan Taqiyuddin an-Nabhani (pengasas Hizbut Tahrir), butiran ke-33 dalam kitab tersebut menjelaskan firman Allah SWT, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mau’izah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik” [TMQ al-Nahl (16): 125]. Hikmah membawa maksud bukti atau hujah yang rasional (al burhan al aqli), sedangkan pengajaran yang baik adalah memberi peringatan yang baik (at tadzkir al jamil), iaitu dakwah yang dapat menyentuh perasaan seseorang apabila pemikirannya diseru, atau dapat membuka pemikiran seseorang apabila perasaannya diseru, sehingga emosi dan pemikiran seseorang itu berpadu dan membuahkan amal perbuatan secara sempurna. Pembahasan (jidal) dengan cara yang baik pula bermaksud diskusi yang fokusnya terbatas pada pemikiran dan tidak melampaui batas, sehingga ke tahap menyerang peribadi seseorang itu.

Ketiga-tiga pendekatan dakwah dalam firman Allah di atas wajib diberi perhatian kepada sasaran dakwah (mad’u) yang terbahagi kepada tiga kumpulan utama:

Pertama, kelompok yang ingin memahami Islam dan memikul tugas dakwah. Mereka perlu dibina dengan modul Islam yang khusus, kemudian mereka perlu mengkajinya sehingga mereka mencapai kepuasan intelektual dan berusaha pula untuk menyebarkannya. Perkara ini hanya dapat dilakukan dengan program pembinaan yang intensif iaitu dengan melakukan kajian secara rutin, dalam bentuk halqah (kelas intensif).

Kedua, kelompok orang kebanyakan, iaitu orang-orang yang sentiasa disibukkan dengan urusan dunianya, tidak bersedia, atau situasi dan kondisi yang tidak memungkinkan mereka untuk mengikuti pembinaan intensif secara terus menerus. Mereka ini perlu diberikan pendekatan yang dapat meyakinkan intelek mereka dan menyentuh perasaan mereka. Pendekatan ini perlulah dalam bentuk pelajaran yang baik, yang memiliki keseimbangan di antara perbincangan yang bersifat rasional dan memotivasi perasaan mereka untuk bergerak seiring dengan dakwah.

Ketiga, orang-orang yang terpesona dengan pemikiran-pemikiran selain Islam. Mereka ini hakikatnya telah terkeliru dan ‘hilang arah’. Golongan ini perlu dilibatkan dalam diskusi terfokus mengenai pelbagai aspek pemikiran Islam, khususnya yang menjurus kepada isu aqidah dan diajak untuk menyebarkan dakwah Islam. Ini harus dilakukan meskipun mereka ini sudah tentu akan menentang dakwah dengan cara menimbulkan keraguan terhadap pelbagai konsep Islam dan melontarkan pelbagai persepsi yang menyeleweng tentang Islam serta menyerang pemikiran Islam. Dengan golongan ini perlu dilakukan debat secara baik, mengikut topik perbincangan. Golongan ini akan cuba melakukan dua perkara apabila mereka gagal mempertahankan hujah mereka, iaitu mereka akan berusaha untuk melencongkan topik perbincangan (diversion) dan ‘membunuh’ karakter para pendakwah (character assassination). Dalam hal ini, para pendakwah seharusnya tidak terpengaruh dengan provokasi dan diversion yang dilakukan oleh pihak tersebut  serta hendaklah terus istiqamah dengan subjek yang dibincangkan kerana khuatir akan terikut dengan rentak mereka sehingga terlencong daripada metode al-Quran dan tujuan dakwah telah terpesong kepada memenangkan peribadi [Nuqtatul Intilaq, Taqiyuddin an-Nabhani].

Hipokrasi Kebebasan Bersuara Dalam Demokrasi

Allah SWT telah memperingatkan umat Islam tentang sikap orang-orang kafir melalui firmanNya, “Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya” [TMQ Ali-Imran (3): 118]. Justeru, bukanlah suatu yang mengejutkan jika non-Muslim di Malaysia tidak dapat menahan diri dan menunjukkan sikap anti terhadap ceramah DNZ. Golongan non-Muslim di Malaysia, meskipun minoriti, namun mereka begitu berani menunjukkan kebencian mereka terhadap ajaran Islam. Walaupun mereka tidak secara langsung menyatakan “kami membenci Islam” tetapi hal ini dapat dilihat daripada  campur tangan mereka terhadap hal ehwal umat dan hukum Islam, seperti dalam soal hudud, poligami, hak penjagaan anak, penyembelihan binatang korban dan lain-lain lagi.

Jadi tidak hairanlah sekiranya kita dapat melihat hipokrasi beberapa parti politik dan NGO yang sering melaungkan kebebasan bersuara, namun tiba-tiba suara mereka tidak kedengaran di dalam media membela hak kebebasan bersuara DZN! Mereka menolaknya atas nama “sensitiviti agama” atau lain-lain alasan dan mengenepikan “freedom of speech” yang kononnya mereka perjuangkan!

Cabaran yang dihadapi oleh siri jelajah DZN ketika ini seharusnya dapat membuka minda umat Islam dalam melihat kedudukan dakwah Islam di Malaysia. Di samping itu, umat Islam di Malaysia juga seharusnya mengambil pengajaran bahawa meskipun Islam merupakan agama rasmi di negara ini, namun ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah tidak boleh disampaikan dan diamalkan secara kaffah (sepenuhnya). Sebaliknya ajaran Islam hanya boleh disampaikan dan diamalkan mengikut ‘lunas-lunas’ yang telah ditetapkan oleh pemerintah!

Piawaian dakwah di Malaysia secara umumnya bukannya dinilai berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada. Dengan kata lain, umat Islam hanya boleh berdakwah dan mengamalkan Islam sebatas yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan dan undang-undang, bukannya menurut apa yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah! Walaupun isi kandungan dakwah yang disampaikan bertepatan dengan ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah tetapi jika ia bertentangan dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, maka seruan dakwah tersebut akan dihalang.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Inilah natijah jika kita menerima pakai undang-undang ciptaan manusia terhadap dakwah. Tidak sepatutnya mana-mana pihak yang menyeru kepada Islam dikenakan pelbagai halangan dan syarat yang akan membantutkan usaha dakwahnya. Budaya dakwah dan perbincangan intelektual sebegini sepatutnya disuburkan dalam masyarakat, bukannya dihalang, kerana Allah SWT melalui lisan RasulNya telah memberikan izin secara mutlak untuk setiap individu Muslim menyampaikan dakwah! “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat” [HR Bukhari]. Selain itu, dakwah menegakkan semula Daulah Khilafah juga sangat penting. Ini kerana, perlu disedari bahawa bermacam-macam masalah yang menimpa umat Islam di seluruh dunia ketika ini adalah disebabkan kehidupan umat Islam yang tidak diatur dengan sistem Islam dalam sebuah Negara Islam. Oleh itu, semua umat Islam termasuklah DZN perlu bersama-sama berdakwah untuk menegakkan semula Daulah Khilafah agar hukum Allah dapat diterapkan secara kaffah.