Perhimpunan tolak Obama: Jurucakap dan seorang anggota HTM dipanggil beri keterangan
PUTRAJAYA 11 Jun – Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dan seorang lagi anggota, Ustaz Umar Hussein dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia tahun lalu.
Perhimpunan tersebut yang diadakan sejurus selepas solat Jumaat di Dataran Putra pada 6 November 2015 lepas bertujuan menyampaikan mesej bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, agar tidak menerima kedatangan Obama yang merupakan penjajah dan musuh umat Islam, ke Malaysia.
Dalam perhimpunan tersebut, HTM turut menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Perdana Menteri dan menegaskan bahawa haram bagi Perdana Menteri dan umat Islam menyambut kedatangan Obama kerana presiden AS itu adalah merupakan dan pengganas nombor satu dunia dan pembunuh umat Islam yang tangannya masih berlumuran dengan darah umat Islam.
Ketika ditanya kenapa kertas siasatan baru dibuka sekarang, setelah lebih 6 bulan perhimpunan tersebut berlalu, Inspektor Norazimah selaku pegawai yang mengambil keterangan, tidak dapat menjawab soalan tersebut dan menyatakan dengan ringkas bahawa beliau hanya mengikuti arahan.
Abdul Hakim menyatakan kekesalannya dengan proses siasatan tersebut kerana ternyata masih banyak kes jenayah dan maksiat yang perlu diberi keutamaan dan diselesaikan oleh PDRM, namun PDRM tetap memilih untuk membuka siasatan terhadap HTM yang melakukan usaha dakwah untuk menyedarkan pemimpin dan umat Islam akan keharaman menyambut Obama, yang telah terbukti bukan sahaja musuh utama kepada umat Islam, malah telah membawa banyak malapetaka ke seluruh dunia dek kejahatannya.
Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa amat jelas terdapat kepentingan politik yang cuba diraih dengan pembukaan kertas siasatan ini. Pemerintah dan PDRM sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada HTM kerana menyedarkan mereka akan hal ini dan cuba mencegah dosa dan kemaksiatan mereka kepada Allah SWT dengan menyambut Obama, namun sebaliknya HTM pula yang disiasat.
PDRM perlu sedar bahawa apa jua usaha yang mereka lakukan untuk menghalang dakwah dan cubaan mereka untuk menakutkan-nakutkan para pendakwah, dengan menggunakan undang-undang yang ada, sesungguhnya tidak memberi apa-apa kesan kepada usaha untuk menegakkan agama Allah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir, malah ia semakin memperkuat keazaman dan keyakinan para syabab Hizbut Tahrir bahawa janji kemenangan daripada Allah itu semakin dekat.
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh PDRM ialah membantu dan bersama-sama berusaha untuk menegakkan agama Allah, bukannya menjadi penghalang kepada usaha murni ini.