SN105 – HIJRAH : TITIK PERUBAHAN KEPIMPINAN DUNIA
SN Keluaran 2007
[SN105] Berkumandangnya azan Maghrib pada senja 19 Januari ini akan mengakhiri tahun 1427 Hijrah, sekali gus menandakan masuknya tahun baru 1428 Hijrah. Jika 1428 tahun dahulu Rasulullah telah berjaya merubah keadaan kaum Muslimin yang dihina, diseksa dan dibunuh kepada satu keadaan yang memberikan mereka kemuliaan, kekuatan dan kekuasaan, namun pada hari ini, kemuliaan dan kekuatan ini telah tercabut dari umat Islam. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, tahun Hijrah kali ini akan turut berlalu dengan meninggalkan luka parah ke atas umat Islam yang masih belum dapat diubati. Apa tidaknya, umat Islam masih kehilangan ibunya yang dulu sentiasa menjaga dan merawat mereka serta sentiasa memberi perlindungan dan kejayaan kepada mereka. Akibat dari ketiadaan ibu yang menjaga mereka, umat Islam hari ini telah menjadi santapan serigala dari segenap arah yang menyerang dan membunuh mereka tanpa sedikit pun rasa kasihan. Tambah malang, para pemimpin yang memimpin mereka turut membantu serigala-serigala ini melahap hidangannya tanpa belas kasihan. Bagaikan haruan yang memakan anak sendiri, pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini turut meratah hidup-hidup anak-anak yang sepatut dijaganya. Inilah gambaran kehidupan umat Islam yang dapat kita saksikan saban tahun yang berlalu, sehinggalah ke saat ini.
Di samping keperitan kita menyaksikan nasib umat Islam di seluruh dunia yang tidak terbela setelah kejatuhan Khilafah Utsmaniah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), kita turut terhiris mendengar para ulama dan pemerintah yang menyelewengkan makna sebenar Hijrah. Atas alasan kononnya Islam bukanlah agama yang sempit, maka makna Hijrah telah diperluaskan seluas-luasnya. Hijrah dikatakan bermaksud apa-apa sahaja perubahan sama ada dari segi ekonomi, kewangan, pekerjaan, status sosial dan lain-lain lagi, asalkan perubahan itu menuju ke kedudukan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Inilah konsep hijrah yang sering diketengahkan, seolah-olah inilah konsep yang benar. Pembahasan hijrah dengan ‘makna bahasa’ seperti ini telah melarikan umat Islam dari pengertian hijrah yang sebenar, sebagaimana yang terjadi kepada pengertian jihad. Kesalahfahaman juga terjadi di dalam mengungkap atau menjelaskan peristiwa Hijrah Rasul itu sendiri di mana sesetengah umat Islam beranggapan bahawa Rasul berhijrah kerana ingin menyelamat atau melarikankan diri. Inilah intipati kupasan Sautun Nahdhah pada kali ini.
Benarkah Hijrah Adalah Melarikan Diri?
Dalam kita memperkatakan tentang makna hakiki dari Hijrah, tidak sedikit dari kalangan ilmuan, termasuk Orientalis mendakwa bahawa Hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah adalah kerana melarikan diri dari ancaman kafir Quraisy. Sebagaimana tercatat di dalam sebuah Ensiklopedia, “the departure of the prophet Muhammad from Mecca in Sept. 622, Muhammad was a monotheist and preached against the polytheism of the Meccan religion. This aroused the hostility of the merchant leaders of his native city, who derived much of their wealth from pilgrimages to Mecca and its surrounding cities. Forced to flee from his enemies, Muhammad went to Yathrib (later renamed Medina), where he became ruler” [Columbia Encyclopedia – Hegira].
Di dalam menjawab pertuduhan seumapama ini, di sini kami ingin mengemukakan terlebih dahulu beberapa fakta yang jelas tentang peristiwa yang berkaitan dengan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:-
1. Rasulullah tetap tinggal di Mekah sedangkan sekelompok sahabat lain Hijrah Ke Habsyah: Pengkaji-pengkaji sirah yang memerhati dengan teliti tentang dakwah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, mahu tidak mahu terpaksa akur dengan fakta hijrah Rasul dari Mekah ke Madinah sebenarnya bukan kerana baginda menghadapi banyak kesulitan yang menghalang dakwah, lalu baginda tidak dapat bersabar atau tidak mampu untuk menghadapi tindakan itu. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabar selama lebih kurang 10 tahun di Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berubah pendirian atau berpaling dari dakwah. Baginda dan para pengikutnya memang mengalami berbagai ancaman dalam aktiviti dakwah mereka, namun kejahatan-kejahatan kafir Quraisy tidak pernah berjaya untuk melemahkan mereka sedikit pun. Tentangan-tentangan dari Quraisy tidak pernah meredakan tekad Nabi dan para sahabat dalam berdakwah, bahkan semakin menambah iman mereka. Keyakinan mereka akan pertolongan Allah malah semakin teguh dan mantap. Akan tetapi, setelah Nabi melihat suasana dakwah di Mekah, dengan masyarakatnya yang amat keras, berfikiran dangkal, berhati batu, cenderung kepada kesesatan dan berbagai kerosakan lainnya, maka meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Oleh kerana itu, baginda melihat bahawa dakwah harus dipindahkan dari keadaan masyarakat seperti ini kepada suatu keadaan masyarakat yang lain. Lalu baginda berfikir tentang kemungkinan hijrah dari Mekah. Pemikiran inilah yang membawa Nabi untuk hijrah ke Madinah, bukan kerana baginda dan para sahabatnya sering mendapatkan seksaan.
Memang benar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan para sahabatnya hijrah ke Habsyah untuk menghindari dari ancaman dan seksaan kafir Quraisy. Hijrah mereka pada waktu itu adalah untuk menyelamatkan agama dari wilayah yang penuh dengan fitnah. Perkara seperti ini dibolehkan bagi kaum Muslimin, meskipun sesungguhnya berbagai penganiayaan justeru akan menyucikan iman. Berbagai tekanan dalam dakwah juga akan menyemarakkan keikhlasan dan segala tentangan akan lebih menguatkan tekad. Memang benar, iman kepada Allah mampu menjadikan seorang Mukmin menyerahkan dirinya di jalan Allah. Akan tetapi, penganiayaan yang terus¬-menerus dan seksaan tidak henti-henti tentu akan menjadikan seorang Mukmin itu hanya disibuk dan diletihkan dengan kesabaran menahan ujian dan seksaan. Hal ini boleh mengalihkan perhatian mereka dari usaha-usaha menyebarluaskan dakwah dan ketelitian dalam berfikir. Maka, kaum Muslimin harus hijrah dari wilayah-¬wilayah yang penuh dengan fitnah seperti ini. Ini terjadi pada peristiwa hijrahnya kaum Muslimin ke negeri Habsyah. Bagaimanapun, hijrah ke Madinah berlaku atas sebab-sebab yang lain.
2 Persiapan untuk merealisasikan dakwah di Madinah: Hijrah kaum Muslimin ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan penyampaian risalah Islam ke dalam satu keadaan yang memungkinkan risalah ini hidup di tengah-tengah masyarakat yang baru, yang sekaligus akan meninggikan kalimat Allah. Semenjak itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berfikir untuk memerintahkan para sahabatnya berhijrah ke Madinah, setelah masuk dan tersebarnya Islam di sana. Ini melalui pemerhatian Rasulullah sendiri terhadap laporan perkembangan dakwah oleh Mus’ab bin Umair, yang diutus selepas Baiah Aqabah pertama ke Madinah. Komitmen masyarakat Yathrib ini terbukti bila mereka sanggup melakukan Baiah Aqabah Kedua yang dinamakan oleh ahli Fiqh dan ahli sejarah Islam sebagai Baiah Perang. Setelah selesai melakukan Baiah ini, mereka kemudian pulang ke Madinah. Selang tidak berapa lama, Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat secara berasingan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Hijrah gelombang pertama dilakukan secara berseorangan atau dengan beberapa kumpulan. Dalam waktu itu, kaum Quraisy akhirnya mengetahui peristiwa Baiah Aqabah tersebut dan mereka berusaha menyekat pemergian ini. Halangan-halangan dari kafir Quraisy ini langsuang tidak mempengaruhi proses hijrah. Bahkan gelombang hijrah kaum Muslimin ke Madinah berlaku secara berterusan. Sedangkan Rasulullah sendiri masih tinggal di kota Mekah. Tidak seorang pun dapat memastikan apakah Muhammad akan hijrah ke Madinah. Buktinya Abu Bakar, sahabat karibnya sendiri pernah meminta izin kepadanya untuk turut berhijrah ke Madinah. Namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab “Jangan terburu-buru, mungkin Allah akan menyediakan seorang teman untuk engkau hijrah bersama” Dari jawaban itu, Abu Bakar menangkap bahawa Rasulullah juga berniat untuk hijrah.
3. Kafir Quraisy mengadakan persidangan di Darul Nadwah setelah melihat dan menyedari ancaman yang akan mereka hadapi jika Rasulullah berhijrah ke Madinah: Di tengah-tengah gelombang hijrah yang berlaku, kafir Quraisy mula menimbang kemungkinan hijrahnya Muhammad ke Madinah. Mereka tahu bahawa jumlah kaum Muslimin di Madinah semakin ramai dan berkeupayaan untuk membentuk satu kekuatan baru yang akan berpusat di Madinah. Tambahan pula dengan bergabungnya kaum Muslimin yang berhijrah dari kota Mekah, maka jumlah itu tentu akan membentuk satu kekuatan yang besar. Jika ini terjadi, maka menyusulnya Muhammad untuk hijrah ke Madinah pasti akan membawa kecelakaan kepada mereka dan kehancuran kaum Quraisy tidak dapat dielakkan lagi. Berdasarkan pertimbangan ini, maka kafir Quraisy berfikir cara-cara untuk mencegah Rasul dari hijrah ke Madinah. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka juga khuatir dengan keberadaan Muhammad di kota Mekah kerana mungkin kaum Muslimin yang telah membentuk kekuatan di Madinah itu akan datang ke Mekah untuk menyelamatkan Muhammad. Oleh kerana itu, mereka berfikir untuk membunuh Muhammad agar baginda tidak sempat menyusul kaum Muslimin ke Madinah, sekaligus agar tidak timbul konflik antara mereka dengan penduduk Madinah kerana Muhammad dan Islam. Akhirnya kafir Quraisy mengadakan pertemuan di Darul Nadwah membincangkan perkara ini dan pertemuan tersebut diakhiri dengan keputusan membunuh Muhammad. Mereka kemudian berpecah untuk melaksanakan tugas itu. Tidak berapa lama. Jibrail datang menemui Rasulullah dan memerintahkan baginda agar malam itu tidak bermalam di tempat tidur di rumahnya. Jibrail memberitahu Rasul tentang rencana jahat kaum Quraisy. Pada malam itu, baginda tidak bermalam di rumahnya dan Allah memerintahkannya hijrah ke Madinah.
Dapat disimpulkan dengan adanya kekuatan Islam yang secara nyata di Madinah, dan kesanggupan masyarakat Madinah untuk menerima Rasulullah, serta usaha mewujudkan sebuah Daulah Islamiah di sana, inilah yang mendorong Rasul untuk berhijrah atau merupakan sebab langsung hijrahnya Rasulullah. Dengan demikian, amat keliru apabila ada pihak yang beranggapan bahawa Muhammad hijrah dari Mekah kerana khuatir dengan ancaman orang-orang kafir Quraisy yang hendak membunuhnya, maka baginda pun terpaksa melarikan diri. Dalam aktiviti dakwah, Rasulullah tidak pernah memperhitungkan masalah penderitaan. Soal kematian tidak pernah menggusarkannya dan bermain di mindanya. Soal keselamatan dan nyawa juga tidak pernah menjadi agenda utama dalam dakwahnya. Hijrahnya ke Madinah hanya semata-mata kerana dakwah dan untuk mendirikan Daulah Islamiah, dan dilakukan berdasarkan wahyu Allah.
Hijrah merupakan batas pemisah tahapan-tahapan dakwah, iaitu dari dakwah secara fikriyyah (pemikiran) kepada sebuah kekuatan politik yang menerapkan Islam dan menyebarluaskan Islam melalui jalan dakwah dan jihad, dengan Rasulullah sebagai ‘Ketua Negara’ yang sebelumnya baginda hanyalah merupakan seorang ‘ketua sebuah kutlah (kelompok)’. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan momentum sejarah yang penting di dalam Islam kerana bermula dari sinilah tegaknya peradaban Islam di muka bumi ini. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para sahabat itu telah mengubah keadaan kaum Muhajirin yang tertindas (mustadh’afin) semasa berada di Mekah menjadi kaum yang berjaya menzahirkan Islam di atas segala agama lain, di Madinah. Dari Madinahlah rahmat Allah seterusnya menyebar ke seluruh Jazirah Arab dan lain-lain bahagian dunia. Umat Islam kemudiannya menjadi pelopor kepada perubahan dunia setelah itu. Inilah fakta yang tidak dapat dinafikan. Rasulullah telah menghasilkan satu peradaban baru dunia yang dibina berdasarkan wahyu, setelah berjaya mendirikan Daulah Islamiah di Madinah. Inilah hasil dari hijrah Rasul.
Perubahan Kepimpinan Dunia Setelah Hijrah
Sebagaimana yang telah dinyatakan, selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah, baginda hanyalah merupakan seorang ketua sebuah kutlah (kelompok) Islam. Dengan kata lain, Rasulullah bukanlah seorang pemimpin (kota) Mekah. Kepimpinan Mekah selama waktu itu dipegang oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan beberapa orang pemuka Quraisy yang lain. Sebagai seorang pemimpin politik, di dalam dakwahnya di Mekah, Rasulullah berusaha untuk mendapatkan kepimpinan kota Mekah bagi membolehkan baginda menerapkan segala hukum Allah. Banyak kisah yang meriwayatkan bahawa para pembesar Quraisy telah beberapa kali menemui Nabi dan berusaha untuk berkompromi dengan baginda dengan menawarkan jawatan sebagai raja dan ketua kepada Nabi. Mereka sanggup untuk melantik Nabi menjadi ketua di Mekah dengan syarat Nabi meninggalkan dakwah. Semua tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh baginda Rasul.
Kafir Quraisy memahami bahawa Muhammad ingin mendapatkan sebuah kekuasaan dan hal ini bukannya perkara yang boleh ditawar-menawar. Mereka juga memahami bahawa Muhammad tidak menerima perkongsian kuasa (antara kafir dan Islam). Rasulullah inginkan kuasa yang mutlak berada di tangan Islam dan tidak ada hak ke atas orang kafir di dalam urusan pemerintahan. Ternyata mereka benar-benar memahami kehendak Rasulullah dan ternyata, disebabkan keengganan mereka untuk memeluk Islam, maka mereka telah memerangi Rasulullah dan dakwah baginda. Berbeza dengan kedudukan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah yang bersedia memeluk Islam dan sanggup menerima Rasulullah sebagai pemimpin mereka, walaupun Rasulullah bukan dari kaum mereka. Inilah peristiwa yang menjadi benih kepada proses perjalanan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Secara ringkasnya, setelah tiba di Yathrib (Madinah), maka Rasulullah terus menjadi pemimpin Madinah. Dengan kata lain, Rasulullah telah menjadi seorang pemimpin Negara (Daulah Islam). Jika dulu Nabi hanyalah pemimpin sebuah kutlah, tetapi dengan Hijrah ke kota Madinah, baginda telah menjadi pemimpin sebuah Negara Islam, dan sekaligus merupakan pemimpin dunia Islam. Hijrahlah yang telah mengubah kaum Muslimin yang pada awalnya hanyalah merupakan sebuah kelompok dakwah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjelma menjadi suatu umat yang memiliki satu entiti politik antarabangsa. Dengan kedudukannya sebagai seorang Ketua Negara, Rasulullah terus menerapkan Sistem Pemerintahan berdasarkan wahyu, sebuah sistem pemerintahan yang penuh sistematik.
Rasulullah memelihara semua urusan kaum Muslimin, baik di dalam mahupun di luar negeri. Aktiviti politik praktis yang dilakukan oleh Rasulullah di dalam negeri di antaranya: Pertama, mengangkat para wali (gabenor) untuk wilayah tertentu dan mengangkat para pegawai. Rasulullah mengangkat Utbah bin Usaid menjadi gabenor di Kota Mekah tidak lama setelah pembukaan(fath)nya, Zayyad bin Labid bin Tsa’labah al-Ansari bertugas di Hadhramaut, Amru bin Ash menjadi gabenor Oman dan lain-lain lagi. Kedua, mengangkat pegawai pemerintahan. Rasulullah saw mengatur kemaslahatan umat dengan mengangkat para petugas pencatat administrasi dan pengaturannya. Ali bin Abi Thalib, misalnya, dilantik sebagai petugas pencatat berbagai perjanjian. Harits bin Auf diangkat sebagai petugas yang memeterai cop kenegaraan dengan cincin Nabi saw. Mua’qib bin Abi Fatimah menjadi petugas pencatat harta rampasan perang. Hudzaifah bin Yaman menjadi penyimpan rekod laporan hasil penduduk Hijaz. Zubair bin Awwam mencatat kekayaan Negara hasil pengumpulan zakat. Mughirah bin Syu’bah mencatat hutang Negara dan berbagai muamalat.
Ketiga, mengangkat para qadhi (hakim). Rasulullah mengangkat sejumlah hakim yang tujuannya untuk memutuskan berbagai perkara di antara manusia. Sebagai contoh, baginda melantik Ali bin Abi Thalib menjadi hakim di Yaman, Abdullah bin Naufal menjadi hakim di Madinah, serta Muadz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari sebagai hakim di Yaman. Keempat, melakukan syura. Dalam menjalankan pemerintahan, Rasul sering bermusyawarah dengan para sahabatnya untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan yang sedang dihadapi oleh Negara. Ada 14 orang yang sering dijadikan rujukan musyawarah oleh Rasulullah, 7 dari kaum Ansar dan 7 lagi dari kaum Muhajirin.
Adapun aktiviti politik luar negeri yang dilakukan Rasulullah atas nama Negara di antaranya: Pertama, membuat perjanjian dengan dengan negara/kabilah tetangga. Rasululullah misalnya membuat perjanjian dengan kaum Yahudi dari Bani Dhamrah, Bani Mudlaj, kaum Quraisy, penduduk Ailah, Jirba’, dan Adzrah. Kedua, melancarkan ekspedisi militer. Ekspedisi militer yang dimaksud adalah dalam rangka untuk menakut-nakuti dan mengintai kekuatan musuh serta memerangi kaum Quraisy. Ekspedisi militer yang pernah dilancarkan Rasul di antaranya pasukan Ubaidah bin al-Harits, dan Saad bin Abi Waqash dalam ekspedisi militer yang bertugas memerangi Quraisy. Beliau juga mengutus Zaid bin Haristah, Ja’far bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah untuk memerangi Rumawi dan lain-lain. Baginda juga sering memimpin sendiri pasukan dalam jumlah yang ramai dan terjun langsung ke pelbagai kancah peperangan.
Demikianlah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menegakkan struktur Negara Islam. Semasa pemerintahan Rasulullah di Madinah, struktur pemerintahan Daulah Islam sudah terbentuk secara sempurna, yakni memiliki pemimpin (ketua negara); para pembantu (mu’awwin), para wali (gabenor), para qadhi (hakim), panglima perang, ketua administrasi, dan majlis syura. Struktur ini kemudian diteruskan pasca kepemimpinan Nabi selaku Ketua Negara oleh Khulafa ar-Rasyidin dan terus berlangsung sehinggalah ke waktu keruntuhannya. Demikianlah, peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah sesungguhnya merupakan titik perubahan kepimpinan dunia dari tangan Rom dan Parsi (ketika itu) ke tangan umat Islam. Walau bagaimanapun, setelah hancurnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924, kepimpinan dunia telah beralih ke tangan kaum kuffar Barat. Justeru, selagi tidak berlakunya Hijrah umat Islam dari Darul Kufur menuju Daulah Islam, maka selama itulah dunia ini akan diterajui oleh kekufuran, kekejaman dan kezaliman. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengambil alih semula teraju kepimpinan dunia, maka umat Islam wajib berhijrah dengan menukar negeri-negeri mereka yang kufur menjadi Negara Islam, seterusnya kesemua negeri kaum Muslimin ini wajib bergabung di bawah satu entiti politik yakni Daulah Khilafah. Dari sinilah, InsyaAllah titik perubahan kempimpinan dunia akan beralih ke tangan umat Islam sekali lagi.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sejak runtuhnya Khilafah Utsmaniah lebih 80 tahun yang lalu, umat Islam yang telah dibangunkan berabad-abad yang lampau mengalami keruntuhan dan terpecah belah dengan dahsyatnya, seperti yang kita lihat sekarang. Pertanyaannya, apakah kalian tidak ingin kembali mengulangi kejayaan hijrah seperti yang pernah dialami oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kalian rela hidup dalam keadaan lemah, tercerai-berai dan terpecah-belah seperti sekarang? Apakah kalian suka hidup menderita di bawah tekanan sistem Demokrasi yang kufur? Islam dan kaum Muslim bukan saja mengalami kemunduran yang sangat parah, tetapi jauh lebih dari itu, menjadi bahan ejekan dan hinaan bangsa-bangsa kafir. Kedudukan dan keadaan sosial-ekonomi dan politik umat Islam pun sangat terpuruk. Bahkan, ramai di kalangan umat Islam ditindas di negeri mereka sendiri. Kedudukan umat Islam yang pernah mengalami masa kejayaannya sejak hijrahnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah kepada Kekhilafahan Utsmaniah di Turki, kini tinggal kenangan.
Wahai kaum Muslimin!
Kalian mungkin tidak pernah dibentangkan dengan makna hakiki Hijrah Nabi, walhal catatan mengenainya memenuhi lembaran kitab-kitab tafsir dan sirah. Sesungguhnya Hijrah jelas-jelas merupakan perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Hakikat hijrah ini diambil dari fakta Hijrah Nabi itu sendiri dari Mekah (pada waktu itu merupakan Darul Kufur) ke Madinah (Darul Islam). Rasulullah telah berpindah dari satu negeri yang menerapkan Sistem Jahiliah ke satu negeri yang baginda menerapkan Sistem Islam di dalamnya. Hijrah semacam inilah yang seharusnya dilakukan kembali oleh kaum Muslimin saat ini, sesuai dengan hakikat hijrah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat pada masa lalu. Ini tidak lain wajib dilakukan dengan cara mengubah negeri-negeri kaum Muslimin saat ini yang memerintah berdasarkan Sistem Demokrasi dengan undang-undang ciptaan manusia, kepada Daulah Khilafah Islamiah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.
Oleh sebab itu, momentum Hijrah sejatinya menjadi momentum kembalinya sistem Islam ke tengah-tengah kaum Muslimin. Kembalinya sistem Islam bererti kembali diterapkannya syariat Islam dalam kehidupan, yang tidak mungkin terwujud kecuali dalam institusi Daulah Khilafah Islamiah. Karena itu, perjuangan menegakkan Daulah Khilafah Islamiah wajib diteruskan dan mesti menjadi agenda utama seluruh komponen umat Islam saat ini. Hanya dengan berhijrah mewujudkan sebuah Daulah Khilafah Islamiah sahajalah umat Islam akan kembali menjadi umat yang terbaik, sekali gus kembali menerajui kepimpinan dunia. Insya Allah.