Hak cipta, paten dan monopoli ubat – antara punca peningkatan kos perubatan
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berhubung penciptaan tablet Sofosbuvir 400mg bagi rawatan Hepatitis C pada 20 September lalu sedikit-sebanyak melegakan sejumlah kira-kira 500,000 penghidap penyakit tersebut di Malaysia. Penciptaan tablet “generik” tersebut membolehkan kos rawatan menurun sehingga serendah RM500 berbanding RM50,000 pada hari ini. Kos rawatan semasa yang begitu tinggi menyebabkannya kurang dapat diakses oleh pesakit. Melalui pemanfaatan penciptaan tablet ini, kos rawatan akan menjadi lebih rendah dan dengan itu lebih ramai pesakit akan dapat dirawat [Bernama Online, 20/9/2017].
Penyediaan perkhidmatan kesihatan merupakan salah satu kewajipan yang digalas oleh negara ke atas umatnya. Negara bukan sahaja wajib memastikan perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan disediakan sebaiknya, bahkan kesemua kemudahan itu perlu diberikan secara percuma kepada warganya. Hal ini kerana kesihatan merupakan salah satu daripada kemaslahatan umum yang wajib dipenuhi oleh negara terhadap warganya.
Malangnya, peningkatan kos perubatan yang begitu tinggi menyebabkan polisi kesihatan yang diamalkan di negara ini dilihat tidak mapan (sustainable) dan sangat membebankan. Apatah lagi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma dalam sistem kapitalis hari ini.
Persoalannya, benarkah penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan secara percuma itu mustahil dan tidak realistik?
Penyediaan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan itu sememangnya memerlukan dana yang besar bagi menjamin keberkesanan serta kelestariannya. Namun, kos tersebut tidak akan menjadi sebegitu tinggi sekiranya tiada undang-undang hak cipta atau paten terhadap ubat-ubatan yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal. Dengan adanya undang-undang tersebut, menyebabkan tiada pihak lain yang dibenarkan untuk menghasilkan ubat yang sama dalam tempoh yang panjang.
Hal ini menyebabkan berlakunya monopoli ke atas ubat yang dihasilkan dan syarikat farmaseutikal tersebut mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlipat ganda daripada penjualan ubat tersebut. Kerakusan kapitalis dalam memanipulasikan hak paten dapat dilihat dalam kes Martin Shkreli yang menaikkan harga ubat Daraprim dari USD13.50 ke USD750 pada September 2015. Meskipun ubat anti-malaria tersebut telah tamat tempoh paten, namun masih belum ada ubat generik yang dikeluarkan oleh syarikat lain. Hal ini terjadi apabila undang-undang paten dilaksanakan.
Sedangkan dalam sistem Islam, tiada istilah harta intelek, konsep hak cipta, mahupun monopoli yang dibenarkan ke atas sesebuah produk. Sesungguhnya ‘syarat-syarat’ yang ditetapkan oleh undang-undang sekular mengenai ‘perlindungan hakcipta’ seperti hak paten, semua ini merupakan syarat-syarat yang tidak syarie menurut Islam, dan seseorang Muslim tidak wajib terikat dengan syarat-syarat tersebut.
Ini kerana, berdasarkan akad jual-beli dalam Islam, seseorang pembeli bukan sahaja mendapat haq al-milkiyyah/ownership (hak kepemilikan) ke atas barang yang dibeli, malah pembeli juga mendapat haq at-tasarruf (hak untuk mengelola) apa sahaja yang ia miliki (yang telah dibeli). Justeru, meletakkan apa jua ‘syarat’ yang bertentangan dengan akad yang syar’ie, hukumnya adalah haram, meskipun dengan seratus syarat dan dibuat atas kerelaan pembeli.
Dalam Islam, tiada siapa yang berhak untuk membuat paten ke atas mana-mana ubat yang telah dihasilkan atau dijual, sehingga membuka ruang kepada monopoli dan penetapan harga yang melampau. Tanpa monopoli, pengeluar ubat (farmaseutikal) lain boleh membeli ubat tersebut dan mengkajinya, sebelum menghasilkan jenis ubat yang sama. Penghasilan jenis ubat yang sama daripada pengeluar yang berbeza akan menggalakkan persaingan. Melalui persaingan tersebut, tiada syarikat yang akan meletakkan harga melampaui batas kerana pastinya negara akan mengambil kira kos pembelian di samping menilai keberkesanan ubat yang dijual.
Dalam ertikata lain, tanpa hak paten dan monopoli yang diamalkan dalam sistem kapitalis pada hari ini, kos pembelian ubat tidak akan menjadi begitu tinggi, sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan negara dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada warganya.
Sedarlah, selagi kita terus hidup dalam sistem kapitalis, selagi itulah sistem ini akan terus menindas manusia. Tidak ada jalan keluar daripada sistem kufur lagi rosak ini, kecuali setiap Muslim berusaha bersungguh-sungguh untuk menggantikannya dengan sistem Islam dalam bingkai Negara Khilafah.