SN121 – MENGEMBANG DAKWAH : KEWAJIPAN ATAS SEMUA

PDF

SN Keluaran 25 Mei 2007

Logo SN

 

[SN121] ‘Dakwah Bukan Tugas Ustaz Sahaja’ – Itulah tajuk artikel tulisan Mohd. Salehin Sopian, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di dalam Utusan Malaysia bertarikh 07/05/07. Walaupun dengan hanya membaca tajuk, ia sudah cukup untuk memberi kefahaman bahawa kewajipan dakwah di dalam Islam bukan hanya terletak di bahu orang-orang tertentu sahaja. Tidak ada nas, baik dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis yang menunjukkan bahawa dakwah itu adalah kewajipan yang terkena ke atas individu-individu atau kelompok-kelompok tertentu sahaja. Sebagaimana solat dan puasa, dakwah adalah satu fardhu ‘ain yang wajib dilakukan oleh setiap orang yang mengucap syahadah. Tidak ada bezanya samada dia berketurunan Melayu, India, Arab, Inggeris, Bangladesh dan sebagainya. Tidak ada beza di antara pekerja kilang, ahli korporat, pelajar, peguam, polis, tentera, rakyat, pemerintah, miskin, kaya, baik lelaki ataupun wanita; juga tidak ada bezanya samada dia mendapat tauliah dari manusia atau tidak, kesemuanya dibebankan oleh Allah dengan kewajipan yang sama. Kewajipan berdakwah adalah termasuk di dalam hal yang maklum minaddin bi dharurah. Maksudnya, tidak ada seorangpun yang boleh berhujah di hadapan Allah di akhirat kelak bahawa dia tidak melakukan dakwah kerana tidak tahu akan kewajipannya!

Walaupun kewajipan dakwah adalah terlalu jelas, namun terdapat segelintir dari umat Islam yang langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu mereka menyebabkan mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi dakwah tidak. Sebahagian yang lain pula benar-benar menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat secara konsisten, tetapi tidak pernah berdakwah secara konsisten. Mereka menganggap bahawa dakwah hanyalah aktiviti ‘part time’ yang hanya akan dilakukan bila perlu dan jika ada masa lapang. Bila sibuk dengan urusan dunia, maka dakwah akan ditinggalkan, walaupun mereka ini mungkin tidak pernah meninggalkan solat di dalam kesibukan mereka. Ada sebahagian yang lain memberikan alasan ‘tidak cukup ilmu’ untuk berdakwah. Anehnya, mereka ini dalam masa yang sama tidak pula berusaha untuk menuntut ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas-jelas diwajibkan oleh Islam. Apabila diajak untuk mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan diberikan, walhal dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf sepanjang hari, melancong dan sebagainya. Mereka boleh pula menuntut pelbagai ilmu lain dengan amat mendalam, tetapi tidak ilmu Islam. Malah sebahagian mereka sanggup menghabiskan umur bermati-matian untuk cemerlang mendalami ilmu ekonomi Kapitalis, berusaha untuk mencapai kegemilangan dalam mempelajari dan melaksanakan undang-undang kufur serta ingin menjadi terkenal dan terbilang di dalam menerapkan sistem pemerintahan yang diwarisi dari penjajah. Bagi mereka, dakwah merupakan satu ‘bebanan’, bukannya kewajipan!

Dakwah – Kedaulatan Hanya Untuk Islam

Seorang pengembang dakwah wajib berilmu dengan ilmu Islam, lalu menyampaikan kepada manusia ilmu Islam yang dipelajarinya itu. Seorang pengemban dakwah harus meyakini bahwa apa yang diserukannya berupa berbagai pemikiran dan hukum-hukum syariat itu adalah benar kerana bersumber dari Allah. Ia tidak diperkenankan menyeru pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum yang batil yang tidak bersumber dari Allah. Jika pelbagai pemikiran dan hukum yang tidak bersumber dari Allah itu yang justeru disampaikannya (yang boleh jadi kerana kebodohan dirinya atau kesesatannya), maka jelas ia tidak dikatakan sedang berdakwah, sebaliknya ia sedang merosakkan dakwah. Fenomena sebegini semakin berleluasa di kalangan para pengembang dakwah. Mereka, secara sadar ataupun tidak, merasa atau mendakwa menyampaikan Islam, padahal mereka sebetulnya merosakkan Islam. Oleh kerana itu, setiap pengembang dakwah wajib memperhatikan bahawa apa sahaja yang ia sampaikan betul-betul hanya merupakan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam semata, dan dia wajib pula bersikap teguh dan konsisten dengan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam itu dalam situasi dan kondisi apa sekalipun. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan,

Seandainya dia (Muhammad) mengada-ngadakan sebagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya Kami benar-benar memegang dia pada tangan kanannya, kemudian Kami benar-benar mempotong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu.” [TMQ al-Haqqah (69):44-47].

Ayat ini merupakan peringatan dari Allah terhadap Rasulullah dan siapa sahaja yang berdakwah dengan mengada-adakan sesuatu atas nama Allah, padahal Allah sendiri tidak menyatakannya. Oleh itu, seorang pengembang dakwah tidak boleh menyatakan bahawa apa yang didakwahkannya adalah berasal dari Islam walhal ia bertentangan dengan Islam. Haram bagi orang yang berdakwah memasukkan ke dalam dakwah berbagai pemikiran dan hukum-hukum yang tidak bersumber dari Allah, tetapi mereka menyatakan ianya dari Allah. Ayat ini juga merupakan peringatan kepada pendakwah yang menjadikan para pemimpin mereka sebagai ‘sumber hukum’, sehingga mereka akan membenarkan apa sahaja yang diucapkan oleh pemimpin mereka tanpa memerhatikan lagi samada ia bertentangan dengan Quran dan Sunah atau tidak. Mereka ini hanyalah golongan yang taksub memegang dan membenarkan kata-kata pemimpin, bukannya berpegang kepada kata-kata Allah. Ayat ini juga memberikan peringatan kepada ‘ulama’ yang dekat dengan pemerintah untuk tidak menjadi pengampu kepada pemerintah yang kononnya membawa Islam, walhal mereka (ulama itu) sendiri menyedari bahawa hal itu bukan dari Islam. Siapa sahaja yang melakukan tindakan sedemikian, pasti Allah akan menghinakannya dan mencabut nyawanya tanpa ada seorang pun yang dapat menolongnya.

Oleh itu, mengembang dakwah Islam mewajibkan kedaulatan secara mutlak hanya untuk Islam sahaja. Yang menjadi ukuran di dalam dakwah adalah hukum syara’ semata-mata. Justru itu segala yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam wajiblah dijelaskan kesalahan dan keharamannya tanpa rasa takut atau ragu-ragu, tanpa mempertimbangkan apakah hal itu sesuai dengan keinginan pemimpin/pemerintah atau tidak. Dakwah kepada Islam juga bukannya perlu disesuaikan dengan kehendak atau keinginan masyarakat, sebaliknya masyarakatlah yang wajib dipimpin agar memahami dan mengikut Islam. Seorang pengembang dakwah wajib mempertahankan Islam, bukannya mempertahankan kedudukannya di dalam masyarakat agar dipandang mulia. Ia mungkin dihina, dibenci atau dikeji oleh masyarakat, tetapi hal itu bukanlah yang menjadi perhitungan baginya selama mana yang ia serukan adalah Islam. Hal ini pernah menimpa Rasulullah semasa berdakwah di Mekah, tetapi baginda tetap konsisten di dalam dakwahnya. Seorang pengemban dakwah tidak akan mencari muka atau menunjuk-nunjuk di hadapan masyarakat, bermuka dua atau bersikap toleransi terhadap penguasa yang zalim. Ini adalah kerana dakwah menuntut kedaulatan hanya untuk Islam semata, bukan untuk yang lain dan bahawasanya hanya Islamlah yang mesti diamal dan dizahirkan di tengah-tengah masyarakat, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar, untuk dimenangkanNya atas seluruh agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” [At-Taubah (9):33].

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke dunia ini dengan membawa risalah Islam dan menyampaikannya secara terus terang dan menentang (kebatilan). Baginda meyakini kebenaran risalah yang dikembangkannya kepada masyarakat, menentang dunia secara keseluruhan, mengumumkan perang atas seluruh manusia, baik yang berkulit putih, kuning mahupun hitam, tanpa memperdulikan sedikitpun adat istiadat, tradisi, kebiasaan-kebiasaan, agama-agama atau kepercayaan-kepercayaan, sikap para penguasa ataupun masyarakat. Baginda tidak memandang apa-apa pun selain dari kebenaran risalah yang dibawanya. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memulakan dakwahnya terhadap orang-orang Quraisy dengan mencela tuhan-tuhan mereka, menentang dan meremehkan seluruh kepercayaan-kepercayaan mereka. Sedangkan baginda ketika itu bersendirian dan dipulaukan oleh masyarakat, tanpa pendukung dan tanpa bekal selain imannya yang amat dalam terhadap Islam yang baginda serukan. Baginda sama sekali tidak memperhatikan kebiasaan dan adat istiadat bangsa Arab, dan tidak memperhatikan pula agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan mereka. Baginda membawa kebenaran tanpa memperhitungkan sedikit pun akan perasaan malu, curiga atau takut, demi untuk Islam semata.

Inilah yang wajib diteladani oleh para pengembang dakwah, sebagai pewaris kerja-kerja Nabi dan Rasul. Wajib ke atas seorang pengembang dakwah Islam menyampaikan dakwah secara terang-terangan; menerjang segala kebiasaan, kepercayaan-kepercayaan sesat, adat istiadat, idea-idea songsang, dan persepsi yang salah; sekalipun kerana ini menyebabkan dia dibenci dan dimusuhi oleh para fanatik segala kerosakan ini mahupun masyarakat secara umumnya. Seorang pengembang dakwah juga akan menasihati penguasa, menjelaskan segala penyelewengan dan kesesatan yang dilakukan, membongkar segala kerosakan yang dilakukan oleh penguasa serta menyeru kepada penguasa agar menerapkan Islam dan mengancam penguasa dengan azab Allah. Mereka tidak akan berdiam diri dan redha dengan apa jua kemaksiatan yang dilakukan oleh penguasa, sesuai dengan sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,

Akan ada para amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengakui perbuatannya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa sahaja yang mengakui perbuatannya (kerana tidak bertentangan dengan hukum syara’) maka dia tidak diminta tanggungjawabnya (hisab), dan siapa sahaja yang mengingkari perbuatannya maka dia akan selamat. Tetapi siapa sahaja yang redha (dengan perbuatannya yang bertentangan dengan hukum syara’) dan mengikutinya (maka dia berdosa). Para sahabat bertanya: ‘Apakah kita tidak memerangi mereka?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat (menegakkan hukum-hukum Islam).” [HR Muslim]

Sekarang ini kita menyaksikan berapa ramai di kalangan umat Islam yang berdakwah hanya untuk mendapat manfaat dunia, ingin dipandang sebagai ulama atau mengharapkan pujian dari masyarakat. Ada yang berdakwah atas dasar maslahat untuk meraih sokongan, bukannya untuk mendapat redha Allah. Tidak kurang juga ada yang bersekongkol dengan pemerintah dan menyampaikan dakwah mengikut kehendak pemerintah. Mereka tidak akan bersuara kecuali sekadar yang diizinkan oleh pemerintah; mereka tidak akan berbicara kecuali setakat yang dibenarkan oleh pemerintah; mereka tidak akan bertindak kecuali dengan menurut kemahuan pemerintah. Mereka berharap agar mendapat ‘tempat’ di hati pemerintah dan mereka boleh kekal duduk di kerusi empuk yang disediakan oleh pemerintah. Mereka ini langsung tidak berani menegur pemerintah walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa sistem yang diterapkan oleh pemerintah tersebut adalah sistem kufur. Mereka juga langsung tidak akan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah kerana khuatir ‘periuk nasi’ mereka akan terjejas, seolah-olah pemerintahlah yang menurunkan rezeki kepada mereka. Alangkah jauhnya mereka dari dakwah yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka tidak berani menasihati pemerintah, apatah lagi mengancam pemerintah dengan neraka Allah jika pemerintah melakukan maksiat. Mereka seolah-olah menyembunyikan hadis Rasulullah,

“Seseorang yang ditetapkan Allah (dalam kedudukan) mengurus umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka (umat), dia tidak akan mencium bau syurga.” [HR Bukhari]

Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati sedangkan dia menipu mereka (umat) maka Allah akan mengharamkannya masuk syurga.” [HR Bukhari & Muslim]

Mengembang Dakwah Perlu Keteguhan

Sebagaimana orang-orang kafir Mekah senantiasa berusaha memalingkan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dari dakwah yang dikembangkannya, begitulah musuh-musuh Islam, khususnya kafir Barat senantiasa mencurahkan fikiran dan tenaga mereka untuk menghancurkan keteguhan para pengemban dakwah dan konsistensi mereka dalam berdakwah. Mereka senantiasa berusaha melakukan serangan pemikiran, penyesatan dan keraguan ke atas umat Islam. Mereka menyusupkan idea-idea dan hukum-hukum kufur seperti kebebasan, keadilan sosial, hak asasi manusia (HAM), plurarisme, emansipasi, nasionalisme, patriotisme dan sebagainya ke dalam tubuh umat Islam. Mereka berjaya menancapkan akidah sekularisme mereka ke dalam benak kaum Muslimin khususnya para penguasa sehingga menjadikan pemerintah umat Islam memerintah dengan undang-undang buatan sendiri, bukannya undang-undang Allah. Mereka berjaya meyakinkan penguasa umat Islam bahawa mereka (Barat) adalah ‘sahabat’ dan para pengembang dakwah Islam adalah ‘musuh’. Kejayaan ini jelas terlihat dengan tindakan yang dilakukan oleh para penguasa Muslim yang telah bersahabat dengan Barat dan memusuhi pengembang dakwah khususnya ahli-ahli gerakan Islam yang berusaha menegakkan agama Allah.

Sementara itu, untuk menakutkan para pengembang dakwah dalam usaha mereka menyerukan Islam untuk diterapkan, musuh-musuh dakwah dan musuh-musuh Islam ini telah lama menyediakan pelbagai cara seperti pemantauan, ugutan, penangkapan, penjara, penyiksaan malah pembunuhan ke atas mereka yang berjuang untuk Islam. Musuh-musuh dakwah ini tidak pernah bosan mengisytiharkan ‘perang’ ke atas para pengembang dakwah di setiap tempat dan masa dalam rangka menjauhkan pengembang dakwah dari aktivitinya memperjuangkan Islam. Dengan cara ini, mereka berharap agar dapat melemahkan kekuatan pejuang-pejuang Islam ini. Ia juga dilakukan untuk menakut-nakutkan orang lain yang ingin bersama-sama menegakkan kebenaran di jalan Allah. Oleh kerana itu, pengemban dakwah mana pun yang tidak teguh tentunya akan berpaling dan menuruti kemahuan musuh-musuh dakwah ini. Jika ini terjadi, bererti seorang pejuang itu telah gagal dalam perjuangannya dan syaitan telah berjaya menguasainya. Dalam hal ini, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala. telah memperingatkan kita dengan peringatan yang sangat keras apabila kita tidak bersikap teguh dan konsisten di dalam kebenaran dalam mengembang dakwah. Firman Allah,

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu pula (siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” [TMQ al-Isra’ (17):73-75]

Ayat ini merupakan peringatan Allah yang sangat keras yang ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang jelas-jelas merupakan kekasihNya yang paling dikasihiNya, bahawa Allah pasti akan menimpakan azabNya di dunia dan di akhirat secara berlipat ganda seandainya baginda terfitnah dan terpaling sedikit sahaja dari risalah yang dibawanya (yakni terpaling dalam dakwahnya), lalu tunduk kepada kemahuan orang-orang kafir Mekah. Ayat ini juga ditujukan kepada umat Rasulullah yang menjelaskan bahawa di dalam menyeru kepada agama Allah, tidak boleh condong sedikit pun kepada musuh-musuh Allah dan siapa sahaja yang cuba menghalangi dakwah. Siapa sahaja di antara para pengembang dakwah yang tunduk pada kemahuan musuh, maka Allah akan mengazabnya berlipat ganda di dunia dan akhirat. Na‘uzu billah min zalik. Seorang pengembang dakwah wajib konsisten di dalam kebenaran dan tidak boleh sekali-kali berpaling dari jalan wahyu.

Mengembang Dakwah Sebagai Qiyadah Fikriyyah

Di dalam keluaran ke-115 (tajuk: Misi Agung Pengutusan Rasul), Sautun Nahdhah telah menjelaskan secara panjang lebar bahawa tujuan Rasulullah diutus kepada seluruh umat manusia adalah untuk mengizharkan deen Allah di muka bumi. Dan satu-satunya cara agama Allah ini dapat diizharkan adalah melalui jalan dakwah (dan jihad, bila ada Negara). Justeru, Rasulullah telah menjadikan dakwah sebagai ‘misi hidup-mati’ baginda. Bertolak dari pegangan inilah, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berjaya menamatkan misi baginda dan diteruskan pula oleh Khalifah-khalifah Islam sesudah itu. Inilah gambaran betapa agungnya tanggungjawab dakwah yang telah dijalankan oleh Rasul dan disusuli pula oleh para sahabat.

Berabad-abad lamanya kaum Muslimin berpegang teguh kepada kewajipan dakwah ini, dan ia turut dijalankan oleh Negara (Pemerintah) di setiap masa. Dakwah dan jihad sudah sebati dengan umat Islam dan mereka mencapai kemenangan demi kemenangan dengannya. Mereka maju dengan sejauh-jauh kemajuan, meninggalkan segala peradaban lain nun jauh ke belakang. Kaum Muslimin tidak pernah mengalami kemunduran dari kedudukannya sebagai pemimpin dunia, apabila tetap berpegang teguh pada agamanya. Bagaimanapun, kemunduran kaum Muslimin mulai tampak tatkala mereka meninggalkan ajaran-ajaran Islam dan meremehkannya; membiarkan peradaban asing melanda negeri-negerinya, membiarkan Ideologi Barat berakar dalam benak mereka. Kemunduran itu terjadi pada saat kaum Muslimin mengabaikan qiyadah fikriyyah (kepimpinan berfikir) Islam, yakni ketika mereka mula surut dalam mengembang dakwah Islam dan menyalahi pelaksanaan hukum-hukumnya.

Seseorang pendakwah itu perlu memahami bahawa usaha mengembang qiyadah fikriyyah tersebut, dengan cara menyebarluaskan dakwah Islam adalah dalam rangka untuk membangkitkan kaum Muslimin. Sejak jatuhnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924, umat Islam mengalami kemunduran berfikir yang amat parah. Ini adalah kerana mereka telah meninggalkan cara berfikir Islam yang selama ini menjadikan mereka mulia dan tinggi berbanding bangsa lain. Sejak hancurnya Khilafah, umat Islam telah dirasuk dengan cara berfikir kufur Barat. Umat Islam menjadi lemah, hina dan terpecah belah kerana dipengaruhi oleh sifat nationalisme dan patriotisme yang ditanamkan oleh Barat. Oleh itu, usaha mengembang dakwah Islam hendaklah difokuskan kepada mengembalikan semula pemikiran kaum Muslimin kepada cara berfikir Islam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah di dalam merubah dan membangkitkan masyarakat kepada satu kebangkitan yang hakiki. Kebangkitan yang dibawa oleh Rasulullah adalah suatu kebangkitan yang bersifat antarabangsa, bukannya bersifat lokal (tempatan). Hal ini tidak lain adalah kerana hanya Islamlah satu-satunya deen yang boleh memperbaiki dan memulihkan dunia ini dari segala kerosakan. Di samping itu, kebangkitan yang sebenarnya tidak akan tercapai kecuali hanya dengan Islam, baik untuk kaum Muslimin mahupun bagi bangsa yang lain.

Dalam mengembangkan dakwah Islam hendaklah kita berpegang kepada satu prinsip, iaitu menyebarluaskannya sebagai satu qiyadah fikriyyah bagi dunia, yang melahirkan segenap peraturan, dan di atasnya dibangun seluruh pemikiran. Dari pemikiran-pemikiran ini lahir seluruh persepsi yang dapat mempengaruhi pandangan hidup (manusia) tanpa kecuali. Islam adalah agama bagi seluruh manusia, bukannya bagi bangsa Arab atau Melayu sahaja. Allah itu adalah Tuhan kepada semua manusia, bukannya Tuhan kepada orang Islam sahaja. Manusia, kehidupan dan alam semesta ini diatur oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan semuanya mesti tunduk kepada perintahNya. Islam pula adalah agama yang diturunkan oleh Allah untuk mengatur hidup manusia di dunia. Justeru, peraturan yang terpancar dari akidah Islam adalah peraturan yang bersifat antarabangsa dan wajib diterapkan ke atas seluruh umat manusia. Dengan kata lain, dunia ini mesti diatur dengan peraturan dari Allah, bukannya peraturan dari PBB atau Amerika. PBB dan Amerika tidak boleh menjadi penentu dan tidak boleh dibiarkan menjadi penentu kepada peraturan dunia. Hanya hukum Allah sahajalah yang layak menjadi peraturan yang mengatur dunia ini. Dengan ini, para pengembang dakwah mesti memahami bahawa di dalam dakwah kepada agama Allah, mereka tidak boleh dipengaruhi oleh pemikiran selain Islam, tetapi wajib menjadikan qiyadah fikriyyah Islam sebagai asasnya.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pada mulanya mengemban qiyadah fikriyyah Islam di Mekah. Namun tatkala melihat bahawa masyarakat Mekah tidak sanggup menjadikan Islam sebagai suatu peraturan kemasyarakatan, beliaupun menyiapkan masyarakat Madinah. Di sinilah kemudian baginda berjaya mewujudkan satu negara dan menerapkan Islam di dalamnya, serta mengembangkan risalahNya seraya menyiapkan umatnya untuk mengembangkan risalah Islam sepeninggalan baginda. Ini telah memastikan umat baginda tetap berjalan pada garis yang telah baginda tentukan. Oleh kerana itu, seharusnya dakwah Islam dalam keadaan tidak adanya seorang Khalifah bagi kaum Muslimin (sebagaimana sekarang), haruslah mencakup dua bahagian. Pertama, dakwah mengajak memeluk Islam; dan kedua, dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam dengan berusaha mendirikan negara Islam yang menerapkan hukum Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh dunia. Dengan cara ini, maka dakwah akan beralih dari dakwah yang tujuannya melanjutkan kehidupan Islam di kalangan umat, menuju kepada dakwah yang dikembangkan oleh negara ke seluruh dunia. Juga, akan beralih dari dakwah yang bersifat lokal di dunia Islam menuju dakwah yang bersifat antarabangsa. Inilah sifat dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita semua.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kewajipan mengembang dakwah adalah terletak di atas bahu setiap dari kalian. Kewajipan agung inilah, yang apabila kalian lakukan akan dapat menjadikan kalian sebagai pewaris kepada para Nabi dan Rasul, satu kedudukan yang teramat mulia yang Allah kurniakan, khusus hanya kepada pengembang dakwah yang ikhlas untukNya. Apa lagi yang kalian harapkan di dalam hidup ini jika tidak untuk meraih kemuliaan di sisiNya? Justeru, bukalah pintu hati kalian untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu Islam, seterusnya berusaha mengembang dakwah Islam demi untuk menegakkan deen Allah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan sahabat-sahabat baginda. Berdakwahlah kalian untuk kepentingan akhirat, bukannya untuk habuan dunia; berharaplah kalian kepada redha Allah, bukannya redha manusia. Tiada sesiapapun yang akan dapat menyelamatkan kalian dari api neraka; hanya Allah jualah sebaik-baik Penolong dan Pelindung kalian. Bergeraklah kalian di dalam dakwah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Daulah Khilafah dan berdoalah kalian agar pertolongan Allah bersama-sama dengan kita. Ingatlah akan firman Allah, “

Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47):7]