Menutup aurat satu kewajipan, bukannya isu hak atau pilihan

Berita:

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kementerian Sumber Manusia mengesan 13 hotel di beberapa negeri mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja yang bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berasaskan agama dan keturunan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sehubungan itu, pindaan undang-undang bagi menangani larangan diskriminasi di tempat kerja akan disegerakan melibatkan pengenalan peruntukan baru di bawah Akta Kerja 1955.

Berita penuh: utusan.com.my


Komentar:

Di dalam sesebuah negara yang mengamalkan konsep kapitalisme/sekularisme sebagai asas bernegara, setiap individu diberi kebebasan untuk membuat apa sahaja asalkan tidak melanggar batasan orang lain dan undang-undang yang diterapkan. Begitu jugalah berkaitan isu pemakaian. Seolah-olah individu rakyat sama ada lelaki atau perempuan mempunyai kebebasan untuk mengenakan jenis atau bentuk pakaian apa sahaja. Peliknya di negara ini yang kononnya diakui sebagai sebuah negara Islam contoh, kaum wanita yang bekerja terutama di sektor perhotelan terpaksa patuh terhadap kehendak majikan jika ada larangan untuk mereka bertudung.

Ideologi kapitalisme yang lahir daripada doktrin sekularisme ini telah memisahkan peranan agama dalam kehidupan individu, masyarakat dan bernegara. Wanita dipandang sebagai alat eksploitasi untuk mengaut keuntungan oleh pemain industri dan syarikat-syarikat kapitalis. Tidak cukup dimanipulasi, kepercayaan dan kebebasan wanita Muslim untuk mengikuti ajaran Islam juga turut disekat dan diserang oleh kelompok feminisme yang lahir dari Barat.

Polisi larangan bertudung yang dikenakan oleh banyak syarikat kapitalis ialah contoh jelas bentuk serangan yang dilakukan. Bagi sebuah negara yang mengamalkan dasar dan ideologi demokrasi-kapitalis, pemerintah pada hakikatnya terikat dengan keputusan pemodal kapitalis untuk memastikan survival politik mereka. Jika sekalipun negara masuk campur seperti dalam isu larangan bertudung ini, ia kerana kerajaan terpaksa melakukannya demi menjaga sensitiviti umat Islam. Dengan kata lain, perkara ini bukan disebabkan menutup aurat itu ialah perintah yang wajib dilaksanakan bagi wanita yang telah baligh. Jika hari ini, akan digubal atau dipinda akta baru supaya tiada lagi diskriminasi berlaku terhadap wanita bertudung yang bekerja, tidak mustahil pada masa akan datang akta tersebut akan dipinda semula sekali lagi bagi memberi kelebihan kepada pihak majikan pula.

Berbeza dengan Islam yang sememangnya menjaga kemuliaan dan kehormatan kaum wanita. Isu mengenakan tudung atau menutup aurat ini ialah satu perintah daripada Allah SWT, tanpa perlu melihat lagi apakah itu hak atau pilihan seseorang. Fungsi negara pula adalah untuk memastikan kewajipan itu terealisasi dan terlaksana oleh setiap individu masyarakat.

Allah SWT berfirman:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

“Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya…” [TMQ an-Nur (24):31]

Dan firmanNya lagi dalam surah yang lain:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada Isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang deminkian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  [TMQ al-Azhab (33):59]

Maka sebagai seorang muslim, suatu permasalahan seperti isu larangan bertudung ini perlu dilihat dari aspek permasalahan asas, yakni penerapan hukum oleh negara dan oleh individu masyarakat. Oleh itu, kewajipan ini hanya akan terlaksana secara sempurna apabila umat Islam khususnya muslimah sedar dan memahami akan tuntutan syariat ini. Negara Islam pula iaitu Daulah Khilafah Rasyidah akan memastikan perlaksanaannya berjalan sebagaimana perintah dan hukum-hukum lain yang termaktub dalam Islam. Wallahua’lam

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia