Hilang pekerjaan, masalah yang tiada kesudahan?
Berita:
SHAH ALAM – Seramai 50,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan tahun ini, dengan sektor pembuatan berkemungkinan paling teruk terjejas. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, selain sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan juga dijangka mengalami pengurangan tenaga kerja.
Berita penuh: sinarharian.com.my – (5 Januari 2018)
Komentar:
Pertumbuhan ekonomi Negara Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9% pada tiga suku pertama tahun 2017 dan ini menunjukkan suatu angka yang sangat baik bagi penduduk-penduduk di Malaysia. Namun begitu,suatu perkara yang agak menghairankan apabila dijangkakan pekerja yang bakal hilang pekerjaan dianggarkan meningkat pada tahun 2018.
Isu ini semakin hangat diperkatakan di media massa, tambahan pula kestabilan ekonomi dan negara sangat berkait rapat dengan peluang pekerjaan semasa. Setelah pernyataan tersebut keluar, terdapat satu pihak mengatakan bahawa jumlah tersebut bukanlah suatu jumlah yang besar jika dibandingkan bilangan sebenar pekerja dalam negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Professor Datuk Dr. Raduan Che Rose.
Setelah itu pada 10 Januari 2018, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengatakan bahawa jangkaan tersebut adalah tidak tepat sama sekali. Menurut menterinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed, kebanyakan pekerja yang diberhentikan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan yang sedang berkembang.
Tidak kurang juga Presiden Pas mengeluarkan suatu kenyataan secara umum berkenaan isu ini bahawa peluang pekerjaan perlu mengatasi pengangguran. Secara ringkasnya beliau mengatakan punca utama pengangguran adalah disebabkan diri manusia sendiri yang tidak memenuhi hikmah tujuan mereka diciptakan.
Terlalu banyak pihak yang masing-masing memberikan kenyataan-kenyataan dan andaian-andaian yang masih belum memuaskan hati rakyat di kala ambang tahun 2018 baru bermula. Tambahan pula, pilihan raya umum yang ke-14 semakin hampir, maka semua pihak cuba mengeluarkan kenyataan supaya dapat memenangi hati rakyat secara umumnya.
Walaupun secara dasarnya nilai ringgit semakin kukuh di hujung tahun 2017 dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan akan mencatat pertumbuhan antara 5.0% hingga 5.5% pada tahun 2018, namun begitu rakyat Malaysia saban hari semakin menderita dengan bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi. Statistik yang sangat membimbangkan bukan sahaja isu tentang kehilangan pekerjaan, bahkan kadar pengangguran belia di Malaysia dianggarkan telah mencecah sebanyak 10.7% pada tahun 2015, iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%. Angka ini sudah pastinya meningkat dari tahun ke tahun dengan kadar graduan yang semakin tinggi setiap tahun.
Negara secara khususnya perlu memandang perkara ini dengan serius. Tanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan terletak kepada sesebuah negara atau daulah. Hal ini adalah bersandarkan pada keumuman hadis Rasulullah SAW:
الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Seorang imam (pemimpin) adalah bagaikan pengembala, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya (rakyatnya).” [HR Bukhari dan Muslim]
Dalam sebuah riwayat diceritakan, bahawa Rasulullah SAW pernah menjual barangan seorang lelaki ansar dengan harga dua dirham. Daripada Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada lelaki tersebut:
اشْتَرِ بِأَحَدِهِمَا طَعَامًا فَانْبِذْهُ إِلَى أَهْلِكَ وَاشْتَرِ بِالْآخَرِ قَدُومًا فَأْتِنِي بِهِ فَأَتَاهُ بِهِ فَشَدَّ فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُودًا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ لَهُ اذْهَبْ فَاحْتَطِبْ وَبِعْ وَلَا أَرَيَنَّكَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا
“Belilah makanan dengan satu dirham ini lalu berikan kepada keluargamu, dan bakinya belilah kapak lalu bawalah kepadaku. Kemudian orang tersebut datang kepada beliau dengan membawa kapak. Maka Rasulullah SAW memasang pegangan kapak tersebut dengan sebatang kayu dengan tangan beliau, kemudian bersabda, “Pergilah mencari kayu bakar dan juallah! Dan aku tidak mahu melihat kamu selama lima belas hari”. [HR Abu Daud]
Berdasarkan riwayat-riwayat tersebut maka terang dan jelas bahawa Islam mewajibkan sesebuah negara untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Selain itu juga, tanggungjawab tersebut bukanlah diletakkan sepenuhnya di atas bahu sesebuah negara, kerana syariat Islam juga mewajibkan seseorang individu berusaha mencari nafkah untuk diberikan kepada diri sendiri dan keluarganya. Allah SWT berfirman:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
“Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula.”[TMQ al-Mulk (67): 15]
Oleh yang demikian, langkah-langkah yang drastik perlu diambil supaya kebajikan rakyat sentiasa terbela. Peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak hendaklah diwujudkan selaras dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang semakin stabil. Penghayatan serta konsep mengelola sesebuah negara mengikut Islam perlu dititikberatkan dan diamalkan secara sepenuhnya supaya sistem ekonomi yang terbentuk lebih maju dan kondusif.
Yusri
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia