SN521 – Sistem Ekonomi Islam Menjamin Keperluan Asas Masyarakat

Bil: SN521 – 2 JAMADIL AWAL 1439 / 19 JANUARI 2018

SN521 - Sistem Ekonomi Islam Menjamin Keperluan Asas Masyarakat

Sejak dunia mengalami krisis ekonomi beberapa tahun yang lalu, rakyat Malaysia juga tidak terlepas merasai bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Keluhan mereka tentang kenaikan harga rumah, harga makanan, kos pengangkutan serta kejatuhan nilai mata wang dan  perlaksanaan GST selalu dimuat naik di media sosial. Persatuan Pengguna Pulau Pinang melaporkan bahawa harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30 hingga 40 peratus tahun 2017, berbanding tahun sebelumnya. Menerusi kaji selidik yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan pada bulan Ogos yang lalu, 82% rakyat negara ini berpendapat GST adalah penyumbang utama kenaikan kos sara hidup. Pelbagai langkah dirangka kerajaan khususnya menjelang PRU 14, sehingga terpaksa membentuk Majlis Tindakan Sara Hidup untuk mengawal harga barangan keperluan rakyat.

Namun demikian, mengawal harga barangan keperluan tidak menyelesaikan masalah utama kos sara hidup, kerana punca utamanya bukanlah harga barang semata-mata, sebaliknya  disebabkan oleh sistem ekonomi kapitalis yang diterapkan saat ini. Pencetakan wang fiat tanpa kawalan dan sandaran yang tepat (emas dan perak) serta peningkatan hutang ribawi dalam ekonomi kapitalis, menyebabkan jumlah wang berlebihan berbanding barangan, dan seterusnya mengakibatkan nilai mata wang jatuh adalah antara punca yang menggalakkan inflasi (kenaikan harga barang) yang mendadak.

Sebaliknya, dalam sistem ekonomi Islam, mata wang yang beredar hanyalah dinar (emas) dan dirham (perak), malah diharamkan transaksi ribawi. Penggunaan dua mata wang logam ini akan menjadikan jumlah wang stabil dan kadar inflasi yang sangat terkawal. Kesannya, harga barangan keperluan tidak akan meningkat dalam jangka masa panjang dan drastic, hasilnya kos sara hidup tidak membebankan.

Bekalan Wang Malaysia M1 (Sumber: Tradingeconomics.com, Central Bank of Malaysia)

Kapitalisme juga telah gagal menguruskan pemilikan umum dan mengagihkan kekayaan dengan saksama di kalangan masyarakat. Lebih buruk lagi, kapitalisme menjadikan pelbagai bentuk cukai yang tidak syarie sebagai sumber utama pendapatan negara.

Politik Ekonomi Islam

Menurut Abdurahman al-Maliki di dalam kitabnya al­Siyasah al-Iqtisadiyah al-Musla, politik ekonomi Islam adalah:

  1. Menjamin kecukupan semua keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) bagi setiap individu;
  2. Memberikan peluang kepada setiap individu untuk memenuhi keperluan sekunder dan tertiernya (al-hajat al-kamaliyah) dengan kadar kemampuannya sebagai individu yang hidup di dalam masyarakat tertentu yang memiliki gagasan hidup yang khas.

Maka, setiap keperluan asas berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal merupakan perkara yang wajib dipenuhi oleh setiap individu. Selain itu, negara juga menjamin tiga lagi hak yang menjadi keperluan warganegara iaitu perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan yang dapat dinikmati secara percuma.

Sumber Pendapatan Negara Islam

Demi terealisasinya semua jaminan yang telah disebutkan di atas kepada rakyat, tentu memerlukan dana yang sangat besar. Namun, Islam tidak menumpukan kepada pengutipan cukai sebagai sumber utama pendapatan negara. Secara ringkasnya, pendapatan negara diperolehi daripada beberapa sumber. Pertama, hasil pengelolaan fa’i, ghanimah, jizyah, kharaj, ‘usyur, dan harta milik negara yang lain. Kedua, hasil dari pengelolaan pelbagai sumber asli negara yang pada hakikatnya merupakan harta milik umum disisi syarak, bukannya dimonopoli dan dikaut keuntungannya oleh syarikat tertentu. Ketiga, harta zakat, infak, wakaf, sedekah, hadiah, harta haram (ghulul) penguasa, harta warisan yang tidak ada ahli warisnya dan dharibah (Abdul Qadim Zallum, al-Amwal fi Daulah al-Khilafah).

Demikianlah bagaimana penerapan sistem ekonomi Islam di dalam sebuah negara Islam (Khilafah) yang dilaksanakan secara komprehensif mampu menjamin kesejahteraan seluruh warganegaranya. Keperluan asas bagi manusia, selain menjadi tanggungjawab bagi setiap ketua keluarga, ia juga merupakan tanggungjawab pemerintah berdasarkan ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Keindahan sistem ekonomi Islam tidak akan didapati dalam ekonomi kapitalis yang selama ini telah gagal dalam memberi penyelesaian yang hakiki malah menindas.


KOLUM TSAQAFAH

PEMILIKAN HARTA DALAM ISLAM

Allah SWT adalah pemilik hakiki kekayaan seluruh alam [TMQ an-Nur (24): 33]. Namun, Allah SWT telah memberikan kepada manusia hak untuk menguasai, memperbanyak serta memiliki harta [TMQ al-Hadid (57): 7].

Pemilikan dalam Islam bermaksud izin dari Allah untuk memanfaatkan harta tertentu. Islam membahagikan jenis-jenis hak milik kepada tiga:

Pertama, Pemilikan Individu. Hukum syarak ke atas sesuatu barangan – zat (‘ayn) dan manfaat – yang membolehkan seseorang untuk menggunakan barang tersebut atau mendapatkan keuntungan kerana manfaat yang diambil oleh orang lain. Hak pemilikan individu ini dijaga dan diatur oleh syariat Islam dan menjadi kewajipan negara melindunginya dengan menerapkan hukuman sebagai pencegahan bagi sesiapa yang menyalahgunakannya. Islam juga menetapkan cara-cara atau sebab-sebab terjadinya pemilikan iaitu dengan cara bekerja, perwarisan, keperluan mendesak harta untuk hidup, harta pemberian negara kepada rakyat dan harta-harta yang di peroleh tanpa usaha seperti hadiah.

Kedua, Pemilikan Umum. Keizinan yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada masyarakat untuk bersama-sama memanfaatkan sesuatu benda dan dilarang daripada dimonopoli oleh individu atau pihak tertentu. Tiga bahagian benda tersebut adalah:

  1. Prasarana awam, jika tiada di suatu tempat, maka boleh menimbulkan kesulitan dan persengketaan seperti air, padang rumput, dan api [Rujuk HR. Abu Daud, no. 3479].
  2. Sumber galian dengan jumlah yang banyak seperti emas, perak, petrolium, fosfat dan sebagainya. Dalilnya adalah riwayat Abyadh bin Hamal al-Maziniy [Rujuk HR At-Tirmidzi no.1301].
  3. Segala fasiliti yang secara alami tidak boleh dimiliki dan didominasi individu seperti jalan raya, sungai, danau, masjid, sekolah awam dan lain-lain.

Ketiga, Pemilikan Negara. Setiap harta yang pengelolaannya diwakilkan kepada Khalifah sebagai ketua negara dan termasuk juga seluruh harta kekayaan yang penggunaannya bergantung kepada pendapat atau ijtihad Khalifah. Contoh harta tersebut adalah ghanimah, jizyah, kharaj, harta orang-orang murtad, harta orang yang tidak memiliki ahli waris, bangunan dan kompleks pejabat negara yang dibangunkan negara, tanah-tanah yang dimiliki negara dharibah dan lain-lain.

(Sumber: Sistem Ekonomi Islam, Taqiyuddin An-Nabhani)


KOLUM SIRAH

KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Walaupun tempoh pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz hanya sekitar tiga tahun (99-102 H/818-820 M), namun umat Islam terus mengenangnya sebagai Khalifah yang berhasil mensejahterakan rakyat. Ketika Umar menerima jawatan khalifah beliau mengatakan kepada seorang ulama bernama Al-Zuhri, “Aku benar-benar takut pada neraka.” Ketika pulang ke rumah, Khalifah Umar berfikir tentang tugas baru untuk memerintah seluruh wilayah Islam yang luas. Beliau terasa letih sekali setelah mengurus jenazah Khalifah sebelumnya dan berniat untuk tidur. Pada saat itu anaknya yang berusia 15 tahun, Abdul Malik bertanya apakah yang akan dilakukan oleh ayahnya selepas ini. Khalifah Umar membalas, “Ayah akan tidur sebentar hingga masuk waktu zuhur, kemudian ayah akan keluar untuk solat bersama rakyat”. Anaknya berkata “Ayah, siapa pula yang menjamin ayah masih hidup sehingga waktu zuhur sedangkan sekarang adalah tanggungjawab ayah sebagai Amirul Mukminin mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi”. Lantas Khalifah Umar terus bangun dan membatalkan niat untuk tidur. Beliau memanggil anaknya supaya mendekati beliau dan mengucup kedua belah mata anaknya sambil berkata “Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan dari keturunanku, orang yang menolong aku di atas agamaku”.

Kemakmuran di bawah pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dicatatkan oleh Ibnu Abdil Hakam di dalam ‘Sirah Umar bin Abdul Aziz’ yang meriwayatkan bahawa Yahya bin Said, seorang petugas zakat pada masa itu berkata, “Saya pernah diutus Umar Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Setelah memungutnya, saya ingin memberikannya kepada orang-orang miskin. Namun saya tidak menjumpai seorang pun. Umar Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu berkecukupan.

Begitulah gambaran kemakmuran dan kesejahteraan di bawah pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang didasari ketakwaan dan penerapan sistem Islam secara menyeluruh (kaffah), baik dalam sektor ekonomi, politik, sosial, dan lain-lainnya.

Download PDF