Khilafah Menjamin Kestabilan Ekonomi Bagi Wanita

Muqaddimah

Seharian di tempat kerja, penatnya tidak terkata, apakan daya diturutkan sahaja, dilema wanita bekerja itulah realitinya. Bagi yang bekerja shift malam, kepenatan lebih dirasakan malah kesempatan bertemu pasangan dan anak-anak sangat terhad kerana masing-masing menghabiskan masa di tempat kerja dan sekolah. Para ibu pula tergesa-gesa menghantar anak-anak ke pusat asuhan kanak-kanak. Pelbagai pesanan diamanatkan buat pengasuh. Manakan tidak, gundah gulana hati si ibu tatkala menitipkan anak tersayang di bawah jagaan orang lain ketika keluar bekerja. Tambahan lagi, banyak wanita mengeluh kerana gangguan dan ketidakselesaan yang berlaku di tempat kerja.

Kegagalan Kapitalisme

Begitulah situasi yang dialami wanita dewasa ini yang sebahagian besar mereka keluar dari rumah untuk bekerja demi mencukupkan pendapatan isi rumah. Tekanan ekonomi dengan kenaikan kos dan harga barang yang meningkat dan membebankan menjadi faktor utama mereka terpaksa memilih untuk bekerja. Tetapi, adakah pilihan itu mampu menyelesaikan masalah atau malah menimbulkan masalah lain pula?

Kita pernah dikejutkan dengan berita tentang nasib seorang ibu tunggal yang terpaksa meninggalkan anaknya iaitu seorang OKU (orang kelainan upaya) bersendirian dalam keadaan tidak terurus di sebuah rumah pangsa kerana tiada siapa yang dapat membantu menjaganya ketika si ibu keluar bekerja. Kita juga pernah digemparkan dengan berita kematian seorang bayi di dalam sebuah kereta kerana kepanasan yang melampau akibat secara tidak sengaja ‘tertinggal’ di dalam kereta. Wanita juga berperang sendiri dengan perasaan bersalah yang menghantui mereka setiap kali keluar bekerja kerana pengabaian hak ke atas anak-anak dan rumahtangga. Bukan sedikit kes penderaan anak-anak di bawah jagaan pengasuh di pusat asuhan atau taska dilaporkan. Namun apakan daya, semuanya itu ditelan sahaja. Itulah secebis masalah dan tekanan yang berlaku apabila para wanita terpaksa keluar bekerja.

Semua itu merupakan simptom-simptom kerosakan sistem ekonomi kapitalis yang gagal mengatur pengagihan pendapatan untuk keperluan setiap individu secara menyeluruh. Tidak cukup dengan masalah dan tekanan tersebut, beban wanita terus ditambah. Wanita tulang belakang keluarga, wanita pemangkin ekonomi nasional, wanita penjana ekonomi negara dan banyak lagi slogan senada dengannya dicaknakan bagi menggambarkan betapa pentingnya peranan wanita dalam menentukan kestabilan ekonomi sesebuah negara. Justeru, dalam agenda pemerkasaan wanita, mereka diberi kesempatan serta peranan yang menyamai lelaki untuk turut serta dalam pembangunan nasional malah bersaing ke tahap yang lebih produktif dan efektif.

Bagi merealisasikan agenda tersebut, pelbagai program peningkatan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi negara telah diberi perhatian. Misalnya, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016, Perdana Menteri Malaysia menyeru agar organisasi-organisasi besar menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memudahkan pekerja wanita khususnya golongan ibu. Beliau dengan jelas menyatakan tujuan mewujudkan pusat penjagaan di tempat kerja adalah untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita di sektor awam. Di samping itu juga, dalam pembentangan bajet 2017, sejumlah RM2 billion telah diperuntukkan bagi menjayakan program Wanita Kembali Bekerjaya. Untuk apa program sebegini diperkenalkan kalau bukan bertujuan mengeksploitasi dan memanfaatkan tenaga wanita demi meraih kepentingan dan manfaat pihak tertentu?

Jaminan Khilafah Terhadap Wanita

Pemerintah dalam Negara Islam (Daulah Islam) memiliki cara yang terbaik dalam menangani persoalan terkait wanita. Wanita akan dikembalikan kepada fitrahnya yang mulia iaitu sebagai ummu wa rabbatul bait. Meskipun demikian, bukan bermakna mereka tidak dibenarkan bekerja. Mereka diizinkan bekerja selagi tidak melalaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan pengatur rumahtangga. Wanita yang keluar bekerja bukan sebagai pencari nafkah dan hakikatnya wanita di bawah naungan Daulah Islam tidak ada yang terpaksa bekerja mencari nafkah dan mengabaikan kewajipannya sebagai isteri dan ibu. Yang ada hanyalah wanita bekerja dengan sukarela demi menyumbang kemahiran dan kepakaran yang dimiliki di samping mengaplikasikan ilmu demi kemaslahatan umat dan dalam waktu yang sama tidak dikekang dengan peraturan yang menghambat kewajipannya yang utama.

Penyelesaian menyeluruh dan benar berpandukan syariat Islam telah terbukti berjaya mensejahterakan kehidupan umat Islam umumnya dan wanita khususnya. Kehidupan yang dinaungi dengan kepimpinan Islam sesungguhnya telah mengatur hal ini dengan strategi yang terbaik. Antaranya adalah jaminan pemenuhan keperluan asas setiap wanita dengan cara mewajibkan pihak lelaki sama ada suami atau wali menafkahi mereka. Islam memerintahkan setiap lelaki agar bekerja bagi memenuhi keperluannya dan keluarganya. Firman Allah SWT,

“Kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf” [TMQ al-Baqarah (2):233].

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka” [TMQ at-Thalaq (65):6].

Namun dalam keadaan seorang lelaki itu tidak mampu bekerja atas faktor kesihatan dan masalah tertentu, maka beban tersebut dialihkan kepada ahli warisnya. Allah SWT berfirman,

“Ahli waris pun berkewajipan demikian” [TMQ al-Baqarah (2):233].

Akan tetapi jika ahli waris tidak ada atau jika ada namun tidak mampu memberi nafkah, maka beban itu beralih kepada negara melalui pihak Baitul Mal. Nabi SAW bersabda,

“Aku lebih utama dibandingkan dengan orang-orang beriman daripada diri mereka. Siapa yang meninggalkan harta maka harta itu bagi keluarganya. Siapa saja yang meninggalkan hutang atau tanggungan keluarga maka datanglah kepadaku dan menjadi kewajipanku”[HR Ibnu Hibban].

Namun jika Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajipan menafkahi orang miskin beralih kepada kaum Muslimin. Secara teknikal, hal ini dapat dilakukan dengan dua cara; pertama, kaum Muslimin secara individu membantu orang yang miskin. Kedua, Daulah Islam mewajibkan dharibah kepada orang-orang kaya sehingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Jika dalam jangka waktu tertentu dharibah tersebut tidak diperlukan lagi, maka pungutannya oleh negara akan dihentikan.

Adapun keperluan asas masyarakat seperti jaminan pendidikan, kesihatan dan keamanan juga akan dipenuhi oleh Daulah Islam secara percuma. Ianya akan dibiayai oleh negara daripada harta milik negara dan hasil pengelolaan harta milik umum.

Para pemerintah seperti Khalifah Abu Bakar RA dan Khalifah Umar al-Khattab RA telah menunjukkan contoh terbaik sebagai pemimpin tatkala mengurusi rakyatnya dengan mencukupkan keperluan kaum wanita dan anak-anak yang ketika itu berada dalam keadaan serba lemah, lapar dan tidak berdaya. Mereka sama sekali tidak menyalahkan wanita tersebut kerana tidak memiliki kemandirian ekonomi (dengan bekerja) sehingga mereka ditimpa kemiskinan dan kelaparan. Tidak pula mereka menyarankan agar kaum wanita keluar bekerja demi kelangsungan hidup.

Dengan terjaminnya hak-hak ekonomi wanita melalui mekanisme di atas, tentunya mereka dapat menyumbang secara optimal dalam pembangunan peradaban tanpa berhadapan dengan sekian banyak dilema. Inilah yang benar-benar berlaku apabila wanita memainkan peranannya secara aktif dalam kehidupan masyarakat dan negara telah mengangkat peradaban Islam yang mulia dan hebat. Contohnya Rufayda binti Sa’ad yang merupakan jururawat pertama telah menyumbang kepakarannya dalam Perang Badar dengan merawat para tentera yang cedera. Asy-Shifa binti Abdullah al-Qurashiyah al-’Adawiyah pula seorang tokoh yang mahir dalam bidang perubatan dan urusan pentadbiran. Sutayta al-Mahamli, pakar matematik yang hidup pada separuh kedua abad pada ke-10. Sutayta sangat menguasai ilmu hisab atau aritmetik serta pengiraan harta warisan. Labana daripada Kordoba dikenali dengan kemampuannya menyelesaikan pelbagai masalah matematik yang sangat pelik, baik aritmetik, geometri, mahupun aljebra.

Khatimah

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT, ketika berdepan dengan persoalan apapun di dunia, yakinilah akan kemampuan syariat Islam sebagai penyelesaiannya (mualajah). Penerapan Islam dalam sistem Khilafah merupakan satu-satunya sistem yang komprehensif yang bukan sahaja mensejahterakan wanita tetapi juga seluruh komponen masyarakat yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sistem Khilafah menjamin pemenuhan hak dan kebajikan setiap individu rakyatnya merangkumi pendidikan, ekonomi, sosial, politik, pemerintahan, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. Ia sekaligus mencegah serta membanteras segala bentuk eksploitasi terhadap wanita.

Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (AJK Pusat MHTM)

Rujukan

1. Al-Quran al Kareem
2. http://www.hmetro.com.my/node/166288
3. http://www.hmetro.com.my/node/16247
4. Berita Harian Online diakses pada 25/8/2016
5. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/12/20/khilafah-melindungi-dan-menyejahterakan-ibu/
6. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/12/01/perempuan-sejahtera-dan-berperan-nyata-dalam-peradaban-khilafah/
7. https://hizbut-tahrir.org.my/

Sumber fikratulummah.blogspot.my