SN140 – RAMADHAN! BULAN RUHIYYAH DAN SIYASIYYAH

PDF

SN Keluaran 21 September 2007

Logo SN

[SN140] Sempena bulan Ramadhan ini kita disajikan dengan pelbagai rancangan yang berunsurkan Islam, baik televisyen mahupun radio. Jika dahulu filem-filem dari Tanah Arab khususnya cerita para nabi sering ditayangkan di sepanjang bulan Ramadhan, kini telah banyak rancangan tempatan yang dapat kita saksikan. Salah satu rancangan yang diminati ramai dan sering mendapat perhatian adalah Jejak Rasul (TV3) yang ke udara hampir setiap hari. Tahun ini, Jejak Rasul memaparkan kisah perjuangan para sahabat dan penyeksaan yang mereka alami di dalam mengembangkan agama Allah. Namun, apa yang menyedihkan ialah, telah menjadi satu ‘trend’ bahawa rancangan-rancangan keagamaan hanya banyak disiarkan di bulan Ramadhan, seolah-olah di bulan-bulan lain, perkara agama ini tidak begitu diberi perhatian. Saban tahun, bila habis sahaja Ramadhan, rancangan-rancangan hiburan yang dipenuhi unsur maksiat terus kembali ke udara dan merajalela.

Hakikatnya, inilah cerminan dari pemikiran dan sistem sekular yang diterapkan hari ini. Jika kita cermati, kebanyakan dari program televisyen atau radio atau ceramah-ceramah yang dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan ini kesemuanya menjurus kepada aspek kerohanian (spritual) atau ibadah semata-mata. Kisah-kisah puasa para sahabat menjadi tema utama, seolah-olah kehidupan para sahabat hanyalah dipenuhi dengan solat dan puasa sahaja. Semasa permulaan Islam (di Mekah) pula, para sahabat digambarkan mendapat siksaan kerana mereka membacakan Al-Quran atau menunaikan solat, tidak lebih dari itu. Aspek dakwah dari segi politik yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat seolah-olah langsung tidak pernah ada. Aktiviti perjuangan para sahabat hanya disempitkan dengan aspek kerohanian dengan meninggalkan apa yang sebenarnya para sahabat lakukan iaitu berjuang untuk menjadikan Islam sebagai sebuah cara hidup atau Ideologi (mabda’) bagi setiap individu, masyarakat dan juga negara. Disebabkan setiap hari dan setiap kali masuknya Ramadhan ‘fenomena’ inilah yang sentiasa terhidang, maka umat Islam sudah tidak menyedari bahawa Ramadhan juga merupakan bulan perjuangan dan bulan kemenangan. Umat Islam sudah dilupakan dengan sejarah bahawa di bulan Ramadhan ini banyak peristiwa penting yang berlaku yang sekaligus membuktikan bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan ruhiyyah (spritual) semata-mata, namun Ramadhan juga adalah bulan siyasiyyah (political).

Peristiwa-peristiwa Politik Penting Dalam Bulan Ramadhan

Kita sering dirosakkan dengan kefahaman bahawa jika berlaku serangan (contohnya Perang Teluk dahulu) ke atas umat Islam di bulan Ramadhan, maka tindakan ini dikata ‘mencemarkan’ kesucian bulan Ramadhan atau setidak-tidaknya golongan kuffar (yang menyerang) dikatakan tidak menghormati bulan Ramadhan. Penyelewengan kefahaman seumpama ini berlaku kerana umat Islam telah men‘trademark’kan bulan Ramadhan hanya sebagai bulan untuk menjalankan ibadat spritual semata-mata. Kesalahfahaman ini juga terjadi kerana hukum jihad fisabilillah telah hilang dari kamus umat Islam khususnya para pemimpin yang memegang kuasa, sehingga dalam keadaan umat Islam diserang dengan hebat sekalipun, mereka hanya menadah tangan (spritual) berdoa kepada Allah agar peperangan dihentikan. Inilah secuil dari bencana yang menimpa umat Islam apabila yang berkuasa adalah para pemerintah sekular yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup, sebaliknya memisahkan urusan agama dari politik sehingga jika umat Islam diperangi dan dibunuh habis-habisan oleh orang kafir sekalipun, mereka (para pemimpin) ini menganggap bahawa hal ini tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah lebih buruk, mereka berkeras menekankan bahawa Islam adalah agama perdamaian dan menolak segala bentuk kekerasan (perang), seolah-olah agama yang dibawa oleh Rasulullah ini tidak pernah mengajar atau memerintahkan untuk berperang. Kecintaan mereka kepada dunia menampakkan mereka seperti sejahil-jahil makhluk di bawah kulit-kulit langit yang tidak pernah tahu bahawa terdapat terlalu banyak perang di dalam Islam, termasuklah yang terjadi di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Umpama aur dan tebing, sesungguhnya Islam dan peperangan (jihad) adalah satu perkara yang tidak boleh dipisahkan. Siapa yang tidak tahu tentang Perang Badar? Dari kecil lagi kita sudah diajar bahawa perang yang pertama berlaku di dalam Islam adalah Perang Badar, yang terjadi pada pagi Jumaat tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Kita juga diajar bahawa Perang Badar bukanlah satu kejadian ‘kecil’ atau ‘remeh’, malah ia merupakan satu kisah besar dan penting di dalam Islam. Justeru, apakah kisah perang ini tidak membawa apa-apa makna kepada kita dan tidak ada hubungkaitnya dengan agama? Amat naiflah orang yang tidak mengaitkan perang dengan agama, walhal perang adalah suatu yang diperintahkan oleh Allah di dalam mengembangkan agamaNya. Perang Badar adalah satu perang yang amat penting dalam menentukan kesinambungan Daulah Islam yang baru sahaja 2 tahun didirikan oleh Rasulullah di Madinah. Perang ini diketuai sendiri oleh Rasulullah dengan jumlah kaum Muslimin lebih kurang 300 orang dengan kekuatan 70 ekor unta menghadapi tentera kafir Quraisy seramai lebih kurang 1000 orang dengan 100 pasukan berkuda dan 700 unta. Dengan izin Allah kaum Muslimin mendapat kemenangan cemerlang walaupun dengan bilangan tentera dan kelengkapan perang yang sedikit dan kemenangan ini telah memperkuatkan lagi Daulah Islamiyyah.

Peristiwa pembebasan kota Mekah juga berlaku di bulan Ramadhan iaitu pada 20 Ramadhan tahun 8 Hijrah, setelah terjadinya pengkhianatan oleh kaum kafir Quraish terhadap perjanjian mereka dengan Rasulullah. Dengan kekuatan perang sebuah Negara, Rasulullah kembali ke Mekah, tempat di mana baginda dahulunya diusir hanya semata-mata kerana baginda mengajak orang kepada agama Allah. Tanpa apa-apa pertumpahan, Rasulullah akhirnya berjaya menawan kota Mekah yang sekaligus bermaksud segala kekufuran dan sistem-sistem kufur yang diterapkan di Mekah berjaya dihapuskan dan diganti dengan sistem Islam. Mekah kemudian digabungkan ke dalam Daulah Islam dan bersatu di bawah satu pemerintahan. Peristiwa ini sesungguhnya merupakan satu kemenangan politik yang agung. Ibarat kata sekarang kaum Muslimin di Britain di halang oleh kerajaan Britain semata-mata kerana mereka berdakwah untuk menegakkan hukum-hukum Allah di sana, kemudian mereka disiksa dan dihalau, tetapi kemudian mereka berjaya kembali ke Britain dengan kekuatan sebuah negara dan menawan Britain tanpa sedikit pun pertumpahan darah, lalu mereka menggabungkan Britain ke dalam satu pemerintahan iaitu di bawah Daulah Islam. Tidakkah ini akan menjadi satu peristiwa politik yang besar di dunia? Sesungguhnya ini pastilah sebuah peristiwa politik yang agung, yang insyaAllah Ta’ala akan berlaku apabila Sunnah Allah mengambil tempatnya dan Daulah Khilafah gagah tertegak.

Selain dua peristiwa besar di atas, banyak lagi peristiwa lainnya yang terjadi di bulan yang mulia ini yang menunjukkan kepada kita bahawa aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di bulan Ramadhan bukanlah sekadar aktiviti-aktiviti kerohanian (ruhiyyah) semata-mata, malah banyak aktiviti kepolitikan (siyasiyyah) yang mereka jalani. Persiapan Perang Khandaq (5H) dilakukan di bulan Ramadhan, begitu juga kepulangan para pejuang Islam dari Perang Tabuk, utusan Thaif datang ke Madinah untuk menyatakan keIslaman, utusan raja-raja Himyar datang untuk menyatakan keIslaman (9H), pengutusan Saidina Ali Abi Thalib ke Yaman khususnya kepada kabilah Hamadan yang keseluruhannya masuk Islam dalam satu hari (10H) dan banyak lagi, kesemua peristiwa ini berlaku di bulan Ramadhan yang menunjukkan kejayaan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dari sudut politik. Walaupun sebahagian dari peristiwa-peristiwa ini diceritakan kepada kita, malangnya, ia disajikan hanya di dalam bentuk kerohanian sahaja. Digambarkan betapa kuatnya semangat, keimanan, ketaqwaan dan akhlak para sahabat sehingga mereka mencapai kemenangan, seolah-olah apa yang terjadi langsung tidak ada kena-mengena dengan politik.

Wahai kaum Muslimin!

Aktiviti siyasah (politik) umat Islam tidak berakhir di zaman Rasul dan sahabat sahaja. Di sepanjang wujudnya Daulah Khilafah, para Khalifah juga tidak pernah berhenti dari melakukan aktiviti politik dan peperangan di dalam menyebarkan agama Allah ini. Mereka mewarisi kefahaman Islam yang benar dari Rasulullah dan para sahabat sehingga mereka memahami bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan semata-mata untuk duduk bertadarrus Al-Quran, berdampingan dengan masjid melakukan tarawih, memberi makan orang yang berpuasa, bersedekah atau pun melakukan amalan-amalan sunat lainnya. Sebaliknya mereka senantiasa melakukan manouver (percaturan) politik dan terjun langsung ke kancah peperangan demi meninggikan kalimah Allah. Amat dangkallah pemikiran sesetengah orang yang hanya melihat Ramadhan sebagai bulan ruhiyyah semata-mata, walhal terlalu banyak peristiwa yang menunjukkan aktiviti siyasah dan peperangan yang berlaku di dalamnya sejak dari zaman Rasulullah lagi hinggalah ke penghujung zaman kekhilafahan.

Muhammad Sa’id Mursy dan Qasim Abdullah di dalam bukunya, Ramadhaniyat mencatat sejumlah peristiwa politik yang berlaku di bulan Ramadhan. Antaranya adalah kejayaan Salahuddin al-Ayubi menghancurkan dan menguasai kota ‘Asqalan, yang merupakan pintu masuk ke Al-Quds. Pada hari penaklukannya Salahuddin al-Ayubi berkata,

“Demi Allah, sesungguhnya penghancuran benteng di ‘Asqalan lebih aku sukai walaupun aku harus kehilangan seluruh anakku. Ini adalah kerana penguasaan ‘Asqalan adalah demi kemaslahatan Islam dan kaum Muslimin”.

Pada 583 Hijrah, Salahuddin al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang telah dikuasai. Tentera Islam terus berperang sehingga berjaya merampas benteng Shafad yang terkuat. Ini berlaku pada pertengahan Ramadhan. Pada tahun 658H (Jumaat 25 Ramadhan), tercetus Perang Ain Jalut antara kaum Muslimin dan pasukan Tartar. Ia merupakan perang besar dalam sejarah Islam di mana tentera Islam yang diketuai oleh Saifuddin Qutuz telah berjaya mengalahkan tentera Mongol yang terkenal kejam itu.

Sesungguhnya banyak lagi kisah-kisah perang dan perjuangan yang berlaku di bulan Ramadhan yang tidak terungkap di sini, namun tetap terpahat indah dalam sejarah Islam. Malangnya kisah-kisah perjuangan politik sebegini dipisahkan dari ajaran agama dan langsung tidak diajar di sekolah-sekolah dalam konteks yang benar. Golongan penguasa sekular yang ada pada hari ini menyelewengkan lagi keadaan dengan memisahkan persoalan politik dan perang dari persoalan agama, malah menghapuskan terus hukum jihad di dalam pemerintahan mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka menggaji pula ulama-ulama su’ yang cintakan dunia agar membenarkan setiap tindak-tanduk mereka dan membenarkan pemerintahan kufur yang mereka terapkan, malah ulama su’ ini sentiasa diperguna untuk memesongkan kefahaman umat dari Islam yang sebenar. Hasilnya umat diberi kefahaman bahawa sistem kufur yang diterapkan ini dikatakan sistem Islam; bahawa peperangan (baca: jihad) dikatakan keganasan dan tidak ada dalam Islam; bahawa Islam dan politik adalah dua perkara yang berbeza dan bahawa Ramadhan dan politik adalah dua perkara yang tidak ada hubung kaitnya.

Pemesongan Hayatus Sahabah

Pemesongan kisah sahabat yang sering dikaitkan dengan aktiviti kerohanian sebenarnya bukan sahaja dilakukan di bulan Ramadhan, malah hampir di setiap ketika. Setiap kali kisah sahabat dituturkan, maka diperpanjang lebarkanlah amalan-amalan sunat yang berbentuk peribadi yang dilakukan oleh para sahabat. Bentuk perjuangan siyasah (politik) para sahabat seolah-olah tidak pernah ada. Jika ada pun aktiviti dakwah kemasyarakatan yang dilakukan oleh para sahabat, maka mereka digambarkan berdakwah dengan penuh ‘zuhud’, khusyuk dan tawadhu’, semacam tidak ada aktiviti perang pemikiran, pembongkaran kezaliman pemerintahan, kritikan ke atas sistem kufur dan banyak lagi perjuangan politik lainnya yang para sahabat lakukan. Sebagai contoh, kisah Ibnu Mas’ud, sahabat yang pertama (setelah Rasulullah) membacakan Al-Quran secara terang-terangan kepada kafir Qurasisy.

Abdullah ibnu Mas’ud r.a. sanggup melakukannya walaupun sahabat lain mengkhuatiri akan keselamatannya memandangkan tiada orang yang dapat melindunginya jika beliau dipukul. Ibnu Mas’ud menyahut tanpa menghiraukan kerisauan sahabat lain terhadapnya, lalu berkata: “Biarkan aku, kerana Allah akan melindungiku’. Kemudian beliau pergi ke Makam semasa Dhuha ketika pembesar Quraisy berkumpul di balai pertemuan mereka, lalu membacakan ayat Quran secara jelas dan terang sehingga semua orang Quraisy memerhatikannya. Sebahagian mereka berkata: Apakah yang dikatakan oleh anak Ummu Abd ini? Sebahagian lainnya berkata: “Dia sedang membacakan sebahagian apa yang dibawa oleh Muhammad”. Mereka bangun lalu membantai Ibnu Mas’ud dengan teruk. Ibnu Mas’ud pulang menemui para sahabatnya dalam keadaan tercedera. Mereka berkata kepadanya: “Inilah yang kami khuatirkan terhadapmu”. Jawab Ibnu Mas’ud, “Jika kalian mahu, esok pagi aku akan melakukan perkara yang sama”. Para sahabat berkata: “Tidak, cukuplah. Engkau telah memperdengarkan kepada mereka sesuatu yang mereka benci.” [Sirah Ibnu Hisyam]

Jika dilihat peristiwa ini hanya dari sudut kerohanian semata-mata, ia memang dapat menunjukkan keimanan, ketabahan serta keberanian Abdullah ibnu Mas’ud dalam membacakan ayat suci Al-Quran di hadapan kaum kafir Quraisy. Tetapi, apakah itu sahaja pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa ini? Walhal jika ditinjau dari sudut perjuangan politik dan perang pemikiran yang dilakukan oleh para sahabat seperti Ibnu Mas’ud ini, pengajaran sebenarnya adalah jauh lebih mendalam. Tidakkah kita terfikir kenapa orang-orang kafir begitu membenci apa yang dibaca oleh Ibnu Mas’ud sehingga beliau dibelasah teruk? Tidakkah kita terfikir bagaimana hanya sedikit bacaan ayat-ayat suci (secara terang-terangan) itu boleh menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada pembesar-pembesar Quraisy? Jika kita bandingkan, sesiapa sahaja hari ini boleh membacakan ayat yang sama (sebagaimana yang dibaca oleh Ibnu Mas’ud) kepada musuh Islam, apakah ia akan membangkitkan kemarahan yang sama? Ternyata tidak! Buktinya sekarang ini Al-Quran memang dibacakan di mana-mana dan orang-orang kafir pun mendengarnya, tapi mereka langsung tidak merasa apa-apa. Malaysia contohnya, saban tahun menganjurkan pertandingan membaca Al-Quran yang boleh didengar bukan dalam jarak beberapa meter, malah seluruh dunia termasuk Amerika, namun Amerika dan golongan kuffar lainnya tidak pernah marah.

Apakah bezanya bacaan Al-Quran tersebut dengan dengan bacaan Al-Quran yang dibacakan oleh Ibnu Mas’ud, malahan bacaan Al-Quran mereka jauh lebih banyak dan panjang dari Ibnu Mas’ud? Wahai kaum Muslimin! Jika kita membaca Al-Quran, memahaminya, mengamalkannya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkannya dalam kehidupan, maka inilah yang sangat dimarahi dan ditakuti oleh golongan kafir, termasuklah pemimpin-pemimpin sekular yang sepemikiran dengan golongan kafir ini. Jika kita membaca Al-Quran dan ingin menggantikan undang-undang kufur yang membelenggu kita ini dengan undang-undang yang terdapat di dalam Al-Quran, maka inilah yang akan membangkitkan kemarahan orang-orang kafir. Jika kita membacakan Al-Quran dan berusaha menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia dengannya, maka inilah yang paling dibenci oleh Amerika dan para pemimpin kaum Muslimin yang sekular. Sesungguhnya jika kita memandang hayatus sahabah dengan pandangan siyasiyyah, maka kita akan memahami kenapa pembesar-pembesar Quraisy membelasah Ibnu Mas’ud (dan juga lain-lain sahabat) cukup-cukup dengan hanya beberapa potong ayat Al-Quran yang dibaca mereka. Ia bukannya soal ‘kemerduan’ suara Ibnu Mas’ud atau Bilal atau sahabat lainnya dalam pembacaan Al-Quran, tetapi ia adalah soal kifahu siyasi (perjuangan politik/political struggle) dan sira’ul fikri (serangan pemikiran) terhadap kerosakan akidah dan keburukan sistem Jahiliyyah yang mereka (Quraish Jahiliyyah) amalkan. Secara politiknya, semua keburukan sistem Jahiliyyah ini didedahkan oleh para sahabat dan mereka berjuang untuk menggantikannya dengan sistem Islam.

Justeru, dari sini kita akan memahami bagaimana urusan mengembangkan agama Allah ini menuntut untuk kita menjadi berani melontarkan pemikiran yang benar ke tengah-tengah masyarakat, temasuk kepada penguasa sekalipun, walaupun ianya dibenci malah diperangi oleh masyarakat dan penguasa. Inilah hakikat dakwah kepada kebenaran. Sesungguhnya banyak dari ayat Al-Quran yang diturunkan adalah merupakan kritikan keras ke atas akidah dan kepercayaan orang-orang kafir. Ia juga mengkritik keras sistem-sistem yang rosak yang menjadi amalan masyarakat ketika itu. Justeru, kita dapati di dalam dakwah mereka (di Mekah), Rasulullah dan para sahabat menyerang (secara pemikiran) semua bentuk kerosakan ini dan berusaha merubah masyarakat untuk menerapkan sistem Islam. Ayat-ayat yang turun adalah bersifat serangan pemikiran terhadap doktrin (akidah dan kepercayaan), sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial yang begitu rosak pada waktu itu. Rasulullah mengancam mereka dengan ayat-ayat Allah,

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik/sembahan selain Allah). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya’. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka perselisihkan padanya. Sesungguhnya Allah tidak akan menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.” [TMQ Az-Zumar (39):3]

Rasulullah juga membacakan ayat-ayat Allah yang menghentam amalan sistem ekonomi pada waktu itu yang penuh dengan riba, penipuan serta penindasan,

Dan kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [TMQ Al-Muthaffifiin (83):1-3].

Begitu juga ayat-ayat yang mengkritik keras hipokrasi sistem sosio-politik mereka,

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” [TMQ Al-Maa’uun, (107):1-3]

serta ayat yang mencela sistem sosial yang sangat tidak berperikemanusiaan yang diamalkan ketika itu,

“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Adakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” [TMQ An-Nahl (16):58-59]

Ayat-ayat di atas bukanlah sekadar ‘bacaan’ yang tidak membawa makna, tetapi merupakan satu bentuk perang pemikiran yang betul-betul ‘memukul’ sistem kufur yang mereka amalkan. Jadi tidak hairanlah jika mereka benar-benar merasa terpukul dan tergugat dengan ayat-ayat Allah yang ‘dibacakan’ kepada mereka. Selain sira’ul fikri, Rasulullah juga melakukan sejumlah aktiviti politik lainnya seperti mencari nusrah (pertolongan untuk mendapatkan kekuasaan) dengan mendatangi bani-bani (golongan) yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan di sekitar Mekah, sehinggalah ke Thaif, untuk mendapatkan nusrah. Rasulullah juga pernah memerintahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah (dan seterusnya ke Madinah) dan Rasulullah juga mengadakan Perjanjian Aqabah (yang berlangsung sebanyak dua kali) di dalam rangka untuk mendapatkan kekuasaan. Semua ini jelas-jelas adalah kegiatan politik yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Oleh yang demikian, adalah satu hal yang menyeleweng apabila seseorang itu hanya menterjemah Sirah Nabi dan Hayatus Sahabat sebagai amalan spiritual atau akhlak semata-mata dengan mengabaikan aspek siyasiyyah (kepolitikan) yang dilakukan, walhal manouver politik inilah yang telah membawa kejayaan kepada Rasulullah dan para sahabat dalam menyebarkan mabda’ Islam ke seluruh jazirah Arab khususnya dan ke sekelian alam amnya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kita lihat keadaan umat Islam di bulan Ramadhan tahun ini atau bulan-bulan Ramadhan tahun sebelumnya, situasinya amat berbeza sekali dengan apa yang dijalani oleh Rasulullah dan para Khalifah di mana mereka mencapai kemenangan demi kemenangan.

Saudara sekalian!

Umat Islam yang terdahulu dari kita hidup dalam keadaan di mana Daulah Islam yang memerintah dunia. Mereka mempunyai kefahaman yang benar malah terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti politik yang berlaku, baik di bulan Ramadhan mahupun di bulan-bulan lainnya. Mereka menyaksikan sendiri atau terlibat secara langsung dengan pelbagai peperangan yang berlaku di bulan Ramadhan, melihat bagaimana para Khalifah membuka negara-negara baru dan mengalahkan musuh-musuh Islam. Mereka juga menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri kejayaan-kejayaan dan penerapan hukum-hukum Islam di seluruh dunia. Malangnya setelah kejatuhan Khilafah, peristiwa-peristiwa sebegini sudah tidak wujud lagi, sebaliknya umat Islam hanya dihidang dan dipesongkan dengan aktiviti-aktiviti sunat dan kerohanian sahaja, tanpa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah itu benar-benar ‘hidup’ dan menyatu dengan setiap aktiviti yang mereka lakukan.

Hancurnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H telah turut menghancurkan kefahaman umat Islam dalam persoalan-persoalan dan aktiviti-aktiviti politik yang sepatutnya mereka lakukan untuk menerapkan semula Islam melalui penegakan semula Daulah. Ya Allah! Engkau jadikanlah Ramadhan ini sebagai momentum kesedaran politik yang tinggi bagi umat Islam. Kurniakanlah kepada kami kemenangan dan jadikanlah, ya Rabb, Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir bagi umat Islam berpuasa tanpa Khilafah! Amin ya Rabbal ‘alamin.