Tukar agama anak perlu izin bekas pasangan

Berita:

PUTRAJAYA 29 Jan. – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan, mualaf yang berhasrat menukar agama anak yang lahir daripada perkahwinan sivil, perlu mendapat keizinan bekas pasangan yang berlainan agama terlebih dahulu.

Ini kerana Sijil Perakuan Memeluk Islam yang didaftarkan oleh Pendaftar Mualaf tanpa mendapat kebenaran bekas isteri atau suami boleh menyebabkan sijil itu terbatal.

Perkara yang menjadi nas undang-undang itu dimuktamad­kan oleh panel lima hakim dike­tuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali ketika membenarkan rayuan akhir seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, 43.

Mahkamah tertinggi negara berpuas hati, Sijil Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) kepada tiga anaknya, terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat kebenaran wanita itu.

Berita penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/video-tukar-agama-anak-8232-perlu-izin-bekas-pasangan-1.599803#ixzz55eicYSb3


Komentar:

Negara kita digemparkan dengan berita keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan Sijil Perakuan Memeluk Islam milik tiga orang anak kepada mualaf Mohd Ridhuan Abdullah. Sijil itu yang dahulunya dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) kini terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibu kanak-kanak tersebut.

Ini merupakan salah satu daripada sekian banyak insiden yang berlaku dalam kehidupan seharian kita yang menunjukkan bahawa Islam kini tidak lagi dimuliakan malah dikalahkan oleh sistem perundangan sekular negara. Walhal terdahulu telah disahkan keIslaman mereka oleh Jabatan Agama Islam negeri tetapi kemudian dikalahkan oleh kuasa Mahkamah Persekutuan.

Sungguh isu ini membuka mata orang yang mengakui beragama Islam. Sudah pasti rasa tidak puas hati meluap-luap dalam diri dan si bapa pasti bimbang memikirkan masa depan anaknya yang tidak lagi beragama Islam.

Lagi menyedihkan apabila terdapat menteri yang bergembira dengan keputusan tersebut dan menganggap ia sebagai kemenangan bagi Islam dan semua rakyat Malaysia. (Rujuk: https://www.ismaweb.net/2018/01/30/ahli-majlis-tertinggi-umno-sambut-baik-keputusan-batal-agama-kanak-kanak-islam/)

Lalu apakah kita masih berharap dengan pemimpin yang kita ada sekarang untuk membela agama ini? Apatah lagi dalam sistem sekular yang diamalkan oleh negara yang memisahkan agama daripada kehidupan, langsung tidak memberi peluang untuk kemenangan Islam.

Seharusnya sebagai orang yang mengakui beragama Islam wajib mengambil Islam sebagai cara hidup. Kemenangan Islam hanyalah apabila negara melaksanakan segala hukum Allah dan mendapat keberkatan serta keredhaan Allah. Kemudian barulah keadilan akan dapat dicapai dan akidah akan dapat dipelihara. Mana mungkin keadilan dapat dicapai dalam sistem perundangan Sskular yang kufur. Hanya hukum Allah sahajalah yang terbaik mengatasi hukum daripada akal manusia yang cetek. Allah berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin? [TMQ Al Maidah :49-50].

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia