Mendaulatkan Islam di Malaysia

Kenyataan:

MENONTON Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, tengahari tadi, 6 Februari 2018, menampakkan dengan nyata betapa PH tidak ada komitmen jelas untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.

Di dalam sidang media ini, Tun Dr Mahathir ditanya oleh seorang wartawan mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dalam portal berita Free Malaysia Today pada 1 Februari lalu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak berperlembagaan.

Disebabkan JAKIM ditubuhkan sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, wartawan itu bertanya, “apa pendirian PH dengan JAKIM, adakah sekiranya PH memerintah JAKIM itu diperlukan lagi pada pengamatan Tun?”

Agak mengejutkan bila Tun Dr Mahathir gagal mempertahankan JAKIM yang ditubuhkan oleh beliau sendiri dengan hanya menyebut: “Itu (sama ada JAKIM itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)”.

Sumber penuh: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/5185-jakim-bukti-ph-tiada-komitmen-daulat-islam HARAKAHDAILY, 6/2/2018

Komentar :

Setiap orang Islam yang merindukan kegemilangan Islam pasti akan merasa marah tatkala membincangkan isu sensitif berkaitan agama mereka. Oleh itu tidak hairan jika terdapat individu mahupun jemaah Islam yang mempersoalkan komitmen pihak pembangkang dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Apatah lagi apabila ada suara-suara sumbang yang ingin memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan antara badan keIslaman yang besar di Malaysia. Sudah pasti mereka akan sentiasa memikirkan masalah umat Islam mendatang.

Sungguhpun begitu, jika kita mengamati isu ini dengan saksama, kita akan sedar bahawa sama ada pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan sama-sama tidak menunjukkan keinginan untuk mendaulatkan Islam. Oleh itu, umat Islam di Malaysia melihat hanya Parti Islam Semalaysia (PAS) sahajalah pilihan yang tinggal untuk diharapkan mendaulatkan Islam.

Namun, walau siapa pun yang kita harapkan, selagi mana mereka masih mengikut acuan demokrasi-sekular, amat sukar sebenarnya bahkan mustahil untuk mendaulatkan Islam. Bahkan dengan kewujudan institusi keIslaman termasuk JAKIM selama ini pun gagal mendekatkan kerajaan dengan ajaran Islam seperti mana tujuan penubuhan Jakim itu sendiri. Di samping itu pengamalan Islam juga dilihat tidak menyeluruh dan hanya mengikut telunjuk pemerintah sahaja. Ini menyalahi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh nyata bagimu”

Allah mewajibkan kita untuk melaksanakan Islam secara keseluruhan dan bukannya memilih-milih mana yang sesuai dengan kehendak nafsu. Islam yang syumul meliputi segala aspek kehidupan kita termasuk, sistem sosial, kewangan, kehakiman, dan politik. Islam juga lengkap menunjukkan cara bagaimana memilih pemimpin dan juga menerapkan hukum Islam. Sistem pemerintahan Islam memastikan hukum Islam berjalan selari dengan al-Quran dan as-Sunnah serta dilaksanakan secara menyeluruh.

Kesimpulannya, untuk mendaulatkan Islam perlulah melalui thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw iaitu jalan kenabian dan bukan jalan demokrasi tinggalan penjajah yang akan sentiasa memenangkan pihak sekular dan menidakkan kesyumulan Islam.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia