Kempen 28 Rejab: HTM seru umat bersatu tegakkan Khilafah
14 APRIL – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan kempen kesedaran di beberapa buah lokasi di seluruh negara bersempena memperingati keruntuhan institusi Khilafah Islam yang terakhir, 97 tahun lalu.
Tanggal 28 Rejab 1439H menandakan genap 97 tahun semenjak Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul dihapuskan secara rasmi dan diganti dengan republik sekular Turki.
Kempen anjuran HTM ini bukan sekadar untuk mengenang detik hitam keruntuhan Khilafah, bahkan turut bertujuan untuk mengingatkan umat Islam akan kewajipan untuk mengembalikannya semula. Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah edaran risalah, flash mob, sesi pidato, demonstrasi aman, dan rapat umum yang diadakan di beberapa lokasi terpilih.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada kempen global yang dilakukan oleh para anggota Hizbut Tahrir di seluruh dunia. Kempen yang sama turut dianjurkan di perkarangan Masjid al-Aqsa di samping beberapa lokasi lain di seluruh dunia.
Hizbut Tahrir secara konsisten menyeru ke arah mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah melalui penerapan syariah dan Khilafah. Gerakan ini bergerak secara aktif di seluruh dunia, meliputi lebih daripada 40 buah negara.