Nuzul Quran 1439H: Al-Quran Sebagai Pedoman Dan Neraca Kehidupan

Salah satu kehebatan bulan Ramadhan al Mubarak berbanding bulan-bulan yang lain adalah bagaimana ia mampu merubah gaya hidup seseorang muslim di dalam masa yang singkat. Setiap kali bulan Ramadhan tiba, masing-masing berlumba ke masjid untuk melakukan ibadah. Masjid dan surau kembali meriah dengan aktiviti berbuka puasa, tarawih, tadarus dan qiyamulail. Itulah sebahagian perubahan yang dicetuskan dengan kedatangan bulan Ramadhan. Namun, apa yang paling utama adalah kewajiban yang terkandung di dalam bulan Ramadhan, sebagaimana firman Nya:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al Baqarah(2):183]

Allah SWT telah memuliakan dan mengagungkan bulan Ramadhan di atas bulan-bulan yang lain. Di bulan Ramadhanlah Allah SWT menurunkan al-Quran, keberkatan bulan Ramadhan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Telah datang kepada kalian Ramadhan bulan penuh berkah. Pada bulan itu, Allah mewajibkan atas kalian puasa. Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan” [HR Ahmad dan an-Nasai]

Di antara amalan sunnah yang paling dituntut di bulan Ramadhan adalah membaca al-Quran. Kita akan mendapati di masjid-masjid, umat Islam berlumba-lumba sesama mereka untuk khatam 30 juzuk al-Quran demi mengejar fadhilatnya yang terkandung di dalam bulan Ramadhan. Di masjid dan surau, pihak pengurusan mengundang para tahfiz untuk mengimami bacaan ayat al-Quran dalam solat. Di mana-mana, program tadarus al-Quran diadakan termasuklah melalui kempen program Quran Hour yang dianjurkan diperingkat nasional. Namun, persoalan yang harus kita tanggapi ialah, apakah cukup sekadar kita membaca tanpa memahami maksud isi kandungan al-Quran? Sedangkan tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk difahami dan dijadikan petunjuk sebagaimana firman Allah SWT:

“Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu(bayyinat), dan pembeza (furqan)” [TMQ al Baqarah (2):185]

Jika kita benar-benar menghayati ayat di atas, maka kita akan dapati bahawa al-Quran pada hakikatnya memenuhi semua aspek untuk dijadikan sebagai pedoman dan kompas kehidupan yang sempurna bagi manusia sekiranya mereka benar-benar memahaminya.

Al-Quran Sebagai Petunjuk dan Pembeza

Di antara faktor utama kepada pelbagai masalah yang melanda umat Islam pada hari adalah kerana tidak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan sumber hukum. Sesungguhnya, al-Quran adalah pedoman dan petunjuk hidup bagi seluruh umat manusia, bukan hanya untuk umat Islam semata-mata. Sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 185 di atas, al-Quran bukan sahaja untuk dibacakan, tetapi untuk difahami sehingga ia benar-benar menjadi petunjuk dan penjelasan bagi manusia agar mereka dapat membezakan di antara perkara haq dan yang batil. Dalam masalah ini Imam Ibnu Taimiyyah berkata:

“Barangsiapa tidak mahu membacakan al-Quran bererti ia tidak mempedulikannya dan barangsiapa membaca al-Quran namun tidak menghayati maknanya, maka bererti ia juga tidak mempedulikannya. Barangsiapa yang membaca al-Quran dan telah menghayati maknanya akan tetapi ia tidak mahu mengamalkan isinya, maka ia pun tidak mempedulikannya”. Selanjutnya Imam Ibnu Taimiyyah mengungkapkan sebuah ayat:

“Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku! Sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini suatu yang tidak dipedulikan” [TMQ Al-Furqan:30]

Kegagalan memahami isi kandungan al-Quran menyebabkan umat ini sakit dengan pelbagai penyakit yang kronik sehingga ramai dikalangan umat Islam terpengaruh dengan ajaran-ajaran pelik dan sesat. Antaranya adalah seperti memuja dan mengagungkan sesuatu  melebihi daripada Allah SWT, terlibat dalam amalan ilmu hitam, bersikap biadap terhadap kedua ibu bapa, dengan sengaja mengabaikan ibu bapa yang telah tua dan kurang upaya, menjadikan orang-orang kafir sebagai teman kepercayaan, menolak hadis dan pelbagai lagi fahaman serta amalan-amalan yang bertentangan dengan isi kandung al-Quran. Semuanya ini adalah berpunca daripada kegagalan memahami maksud sebenar isi kandungan al-Quran.

Pemahaman isi kandungan al-Quran melalui penafsiran yang mengikut kehendak nafsu dan akal untuk kepentingan semasa juga banyak yang menghasilkan natijah yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar sehingga ada yang membenarkan perbuatan tidak menutup aurat atau tidak menutup aurat dengan sempurna dengan alasan kerana dalil tersebut adalah untuk orang-orang Arab sedangkan al-Quran adalah untuk semua manusia, Membenarkan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sedangkan al-Quran mengajarkan untuk menjaga pandangan dan menjauhi zina, membenarkan penjualan dan penghasilan arak secara terang-terangan atas alasan manfaat ekonomi, menjalinkan hubungan dengan negara-negara yang memusuhi umat Islam secara terang-terangan seperti Amerika Syarikat dan Israel atas nama kepentingan ekonomi dan diplomatik sedangkan al-Quran telah memberi amaran tentang kebencian mereka kepada Islam. Akhirnya, penafsiran popular sebegini menjadi duri dalam tubuh umat Islam kerana Allah SWT melarang memahami al-Quran mengikut kehendak hawa nafsu sebagaimana firmanNya:

“Tiadalah yang diucapkan itu (al-Quran dan as Sunnah) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” [TMQ an Najm (53) : 3-4]

“Putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan (al-Quran) dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [TMQ al Maidah (5) : 48]

Menjadikan al-Quran sebagai pembeza bermaksud memahami isi kandungannya dan menjadikannya sebagai neraca utama di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Neraca inilah yang seharusnya digunakan untuk menilai sesuatu perkara samada baik atau buruk. Neraca ini akan menjadikan kita sedar bahawa pada ketika ini umat Islam tidak mempunyai negara yang benar-benar berdiri atas landasan syariat sehingga kehidupan umat Islam tidak diatur sesuai dengan isi kandungan al-Quran yang dibaca sepanjang bulan Ramadhan. Realiti pada hari ini menyaksikan umat Islam melalui bulan Ramadhan tanpa ada rasa bersalah terhadap apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka terutama ke atas umat Islam lain yang tetap teguh dan taat menjalani ibadah berpuasa tetapi tidak menjalani kehidupan Islam yang sebenar sepertimana yang terkandung dalam al-Quran yang dibaca sehingga khatam.

“Demi Rabbmu, sekali-kali mereka tidaklah beriman, sampai mereka menjadikanmu -Muhammad- sebagai hakim/pemutus perkara dalam segala permasalahan yang diperselisihkan diantara mereka, kemudian mereka tidak mendapati rasa sempit di dalam diri mereka, dan mereka pun pasrah dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 65]

Kaum Muslimin yang diberkati Allah! Sesungguhnya Al-Quran tidak boleh dipisahkan dari kehidupan umat Islam. Sesungguhnya Al-Quran mengungkapkan kebenaran yang menjadi nadi kekuatan, menjana perubahan serta memuatkan pelbagai ajaran dengan syarat umat Islam mahu mengambil segala isinya untuk diterapkan dalam kehidupan. Telah terbukti apa yang telah dilakukan Rasulullah dengan jayanya iaitu membangkitkan bangsa yang jahil dan buta huruf menjadi umat pelopor dan pencetus generasi cemerlang, gemilang dan terbilang dengan jalan Al-Quran. Berdampinglah selalu dengan Al-Quran, fahami dan hayati maksudnya dan seterusnya jadikan ia acuan dalam mengatur kehidupan sepanjang hayat kita. Semoga Allah SWT memberi taufiq dan hidayah kepada umat yang mulia ini. Ameen.

 

Lajnah Siyasah Hizbut Tahrir Malaysia