Halalkah Bagi Seorang Pemimpin Menerima Hadiah?
Berita:
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berpendapat beliau tidak bersalah dan berhak menerima hadiah daripada pemimpin asing serta teman peribadi sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Najib berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga mengakui menerima hadiah kuda daripada rakannya dan pemimpin asing termasuk menggunakan jet korporat temannya.
“Tetapi apa yang saya tahu ialah selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami diberi hadiah yang banyak daripada pemimpin asing termasuk teman dan saya tahu mengikut peraturan, tidak salah untuk menerima hadiah. Hadiah ini terkumpul selama beberapa dekad.
“Sebagai contoh Dr Mahathir mengakui menerima 40 ekor kuda dari temannya dan pemimpin asing, dan beliau secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya, maka tidak salah menerima hadiah,” katanya dalam temubual eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, hari ini.
Berita penuh: bharian.com.my
Komentar:
Semenjak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, satu per satu kesalahan dan ketirisan para pemimpin kerajaan terdahulu, khasnya Najib selaku mantan Perdana Menteri telah dibongkar. Bahkan sememangnya salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan bagi PRU14 ini memfokuskan siasatan terhadap skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji yang berlaku semasa pentadbiran Najib dahulu. Sehubungan dengan siasatan terhadap kes 1MDB yang menyaksikan kediaman Najib digeledah, pihak penyiasat menemukan sejumlah wang tunai, jam tangan, dan lebih 12,000 barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai mencecah RM1 bilion. Sungguhpun demikian, Najib tidak sedikitpun rasa bersalah dengan penemuan sejumlah harta yang sedemikian besar, bahkan sebaliknya mengungkit bahawa Mahathir juga pernah menerima hadiah semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.
Mungkin sahaja berdasarkan peraturan yang ada hari ini tidak menjadikannya sebagai satu bentuk kesalahan. Bahkan dalam budaya politik sekular, tidak mustahil pemberian hadiah dibuat oleh mereka yang berkepentingan dengan mengharapkan imbalan daripada penerimanya.
Namun bagaimana pula dari sudut pandang hukum Islam yang semestinya menjadi panduan utama kita dalam aturan kehidupan? Menurut syariat Islam, hukum pemimpin atau pegawai negara menerima hadiah dengan kedudukannya ialah haram. Pegawai di sini bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa atas aturan kepentingan rakyat.
Dalam hal ini, hadiah yang diberikan kepada pemimpin atau pegawai itu merupakan harta curang (ghulul), dan haram bagi pemimpin atau pegawai negara untuk menerimanya sepertimana yang dicatatkan dalam sebilangan hadis.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi SAW bersabda,“Hadiah-hadiah yang diberikan kepada para pemimpin adalah harta khianat (hadaya al-umara` ghulul)” [HR Thabrani].
Diriwayatkan daripada Buraidah RA bahawa Nabi SAW bersabda,”Barangsiapa yang telah kami lantik untuk melakukan sesuatu tugas, lalu dia telah kami beri gaji, maka apa sahaja yang diambilnya selain daripada gaji adalah harta khianat (ghulul)” [HR Abu Dawud].
Demikian juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abi Humaid as-Sa’idi yang berkata:
Bahawasanya Nabi SAW memberikan tugas kepada Ibnu Lutaibah, untuk mengurus zakat Bani Sulaim. Apabila dia bertemu dengan Rasulullah SAW dan membuat laporan kepada Baginda, dia lalu berkata,”Ini adalah untuk kamu. Dan ini hadiah yang dihadiahkan kepadaku. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Kenapa kamu tidak duduk sahaja dirumah ayahmu dan ibumu, hingga hadiah itu datang kepadamu, jika kamu benar?” Setelah itu Rasulullah SAW berdiri dan berbicara kepada orang ramai. Baginda mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT, dan bersabda, “Amma ba’du. Sesungguhnya aku menugaskan hal-hal yang dikuasakan kepadaku oleh Allah. Setelah itu, salah seorang daripada kalian datang dan berkata, “Ini adalah milik kamu. Dan ini adalah hadiah yang diberikan kepadaku.” Kenapa dia tidak duduk sahaja dirumah ayahnya dan dirumah ibunya, jika dia benar? Demi Allah, tidak seorang pun dari kamu mengambil sesuatu darinya, kecuali dia akan menanggungnya pada hari kiamat” [HR Bukhari dan Muslim].
Walaupun secara umumnya pemberian hadiah itu adalah suatu yang baik bagi pemberinya, tetapi jika diberikan kepada pemerintah, para hakim dan pegawai negara, statusnya berubah menjadi haram kerana hadiah tersebut merupakan harta yang ghulul. Harta tersebut wajib dikembalikan kepada pemiliknya atau diserahkan kepada Baitul Mal jika pemiliknya tidak diketahui. Sebab, harta tersebut diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak. Seterusnya, penerimanya wajib dikenakan uqubat (hukuman) kerana telah melakukan satu bentuk keharaman. Wallahua’lam.