Tiada tempat bagi golongan LGBT dalam masyarakat!

Berita:

SHAH ALAM – Komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini hanya mahukan kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang terkandung dalam perlembagaan.

Aktivis, Datin Marina Mahathir berkata, ia termasuk hak mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan tanpa sebarang diskriminasi.

Menurutnya, golongan berkenaan langsung tidak meminta hak tambahan yang boleh mencabar undang-undang, misalnya seperti menghalalkan perkahwinan sejenis.

Berita penuh: sinarharian.com.my/nasional/lgbt-bukan-minta-kahwin-sejenis


Komentar:

Antara perkara yang dituntut oleh golongan LGBT ialah hak kesamarataan sebagai seorang manusia dan juga sebagai rakyat. Mereka mahu dilayan sebagaimana orang kebanyakan mendapatkan hak-hak sebagai seorang manusia tanpa ada sebarang prejudis. Namun ironinya di sini ialah adakah hak-hak mereka seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang dinyatakan tersebut dinafikan dalam sistem kehidupan hari ini? Sedangkan realitinya tidak berlaku sepertimana yang didakwa. Kita semua dapat melihat bahawa golongan seperti ini dapat hidup bebas dalam kehidupan hari ini. Bahkan ada di kalangan mereka yang hidup mewah berbanding daripada kebanyakan kita semua dan bebas menguar-uarkan diri mereka melalui pelbagai media terutamanya media sosial tanpa segan silu dan tanpa tindakan daripada pihak penguasa.

Mereka sebenarnya inginkan pengiktirafan daripada masyarakat untuk menerima keadaan mereka ‘seadanya’ tanpa sebarang diskriminasi dan diterima baik dalam masyarakat. Walhal hakikatnya, kita tahu bahawa mereka mempunyai masalah kecelaruan seksual dan jantina sehingga mereka sendiri tidak mampu untuk menerima hakikat kebenaran asal-usul kejadian mereka. Bagaimana masyarakat hendak menerima keadaan mereka yang telah diubahsuai daripada keadaan asal yang diciptakan oleh Allah SWT sedangkan diri mereka sendiri tidak mahu terima hakikat keadaan asal mereka seadanya? Selain itu, apakah mereka ingin masyarakat menerima kemaksiatan yang mereka lakukan dengan hati terbuka?

Di sini masyarakat perlu melihat masalah ini daripada perspektif hukum syarak, dan bukannya hanya sekadar melalui kaca mata kemanusiaan. Setiap pelanggaran hukum syarak haruslah diluruskan dengan penyelesaian yang telah digariskan oleh Islam, dan bukannya menjadikan kemaksiatan itu satu perkara yang boleh diterima dalam masyarakat.

Inilah yang diajarkan oleh Islam agar golongan-golongan seperti ini mendapat pengajaran, sedar dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.  Ingatlah bahawa Allah SWT telah menceritakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan Nabi Lut (juga Kami utuskan). Ingatlah tatkala dia berkata kepada kaumnya ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?.Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’. Dan tiada jawapan oleh kaumnya melainkan mereka berkata, ‘usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.’ Maka Kami selamatkan dia dan ahlinya (keluarganya dan pengikutnya) melainkan isterinya, ialah dia tergolong dalam orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan”. [TMQ Al-A’raaf (80-84)]

Terlalu banyak dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengharamkan perilaku dan perbuatan jijik dan kotor golongan-golongan LGBT yang songsang ini. Rasulullah SAW pernah memerintahkan agar mengusir keluar golongan yang menyerupai kaum lawan jenis (transgender) daripada rumah. Manakala bagi golongan gay pula, hukumannya termasuk dalam kategori hudud iaitu liwat. Pelakunya dihukum bunuh sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Hukuman ke atas lesbian pula ialah dikenakan takzir. Hukuman takzir ialah hukuman yang tidak dijelaskan secara khusus oleh nas dan bentuknya diserahkan kepada ijtihad qadhi atau hakim. Hukuman takzir ini boleh dalam pelbagai bentuk seperti hukuman sebat/rotan, penjara atau sehingga kepada hukuman paling berat iaitu dihukum bunuh.

Perlaksanaan hukum Islam ke atas golongan LGBT ini sebenarnya agar pengaruh songsang mereka ini tidak mempengaruhi kehidupan masyarakat. Ini semua dilakukan sebagai langkah pencegahan supaya idea dan kelakuan mungkar ini tidak terus menular. Peranan untuk melaksanakan hukuman ini sebenarnya terletak di atas bahu pemerintah.

Dalam masa yang sama, sebagai individu muslim, jika ada jiran terdekat, kenalan mahupun rakan yang cenderung ke arah LGBT maka mereka wajar didakwahkan. Kita perlu mendekati mereka, dan membimbing mereka ke jalan yang benar. Namun seandainya mereka enggan, tidak wajar bagi mereka untuk menerima pengiktirafan dan hak kesamarataan sepertimana yang dituntut. Hakikatnya apa yang perlu ditekankan di sini ialah peranan serta tanggungjawab negara/pemerintah yang amat besar dalam hal ini kerana melalui tangan pemerintahlah yang mampu menghapuskan gejala rosak ini daripada terus merambah dan diterima masyarakat.