Rumah mahal, gaji rendah bukanlah isu utama

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Harga rumah di negara ini perlu berada di tahap kemampuan mereka yang meraih pendapatan gaji purata. Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail berkata, pendapatnya itu bagi menyelesaikan masalah tidak sepadan permintaan dan penawaran hartanah di negara ini.

Sumber: utusan.com.my

Komentar:

Isu kemampuan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia bukanlah isu yang baru timbul. Malahan isu ini telah lama berlaku di dalam negara yang sedang pesat membangun ini. Ada yang menyalahkan kemampuan untuk membeli dan memiliki tempat berteduh ini dek kerana pendapatan rakyat yang rendah berbanding dengan harga jualan rumah yang dibangunkan oleh para pemaju. Dalam masa yang sama, lebih ramai yang menyalahkan pemaju kerana menjual rumah dengan harga yang ‘tidak masuk akal’ dan rumah yang dibina hanyalah rumah yang ‘mampu dilihat’ berbanding untuk dimiliki.

Dalam usaha kerajaan untuk memastikan rakyat mampu untuk memiliki kediaman masing-masing, pelbagai formula telah dibentangkan di atas meja dan ada juga yang sedang dan telah dilaksanakan. Namun, masalahnya masih timbul dari tahun ke tahun iaitu ramai rakyat masih tidak mampu memiliki rumah.

Memiliki sendiri sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga memanglah sebahagian daripada idaman manusia. Namun begitu, yang lebih penting kediaman tersebut sebahagian daripada keperluan harian setiap individu untuk berteduh. Tidak kiralah sama ada ia memang dimiliki individu tersebut, disewa daripada pemilik lain, mahupun rumah tumpangan yang disediakan oleh pemerintah.

Dalam Islam, kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah ialah memastikan rakyatnya memiliki tempat untuk berteduh dan bukannya merempat di jalanan dengan berlantaikan kepingan kotak dan berbumbungkan langit yang sudah pasti ia bukannya keinginan mereka, tetapi kebanyakannya disebabkan oleh tekanan untuk kelangsungan kehidupan. Usaha untuk memastikan supaya tidak ada lagi golongan seperti ini harus diberi perhatian utama selain kemampuan untuk menyewa dan memiliki rumah yang selesa untuk keperluan masing- masing. Dari segi usaha penyediaan rumah yang mampu dimiliki pula, ia usaha yang baik oleh pihak pemerintah, namun ia tidak akan mampu dilaksanakan selagi asas dan sandaran kepada penyediaan rumah tersebut adalah untuk tujuan perniagaan dan bukannya disandarkan kepada tanggungjawab dan amanah yang telah Allah SWT bebankan kepada pemerintah untuk menjamin keperluan rakyat ini agar dipenuhi. Lebih penting apabila kebijakan politik dan ekonomi negara didasari oleh ideologi kapitalis yang tiada pertimbangan halal dan haram tetapi semuanya dilaksanakan atas dasar manfaat, maka ia hanya akan menyebabkan isu ini tidak akan padam sampai bila-bila.

Ir. Yusuf Muhammad, P.Eng
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia