SN555 – Sorotan Setahun Malaysia Baru
Bil: SN555 – 17 Shawwal 1440 / 21 Jun 2019
Pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah melepasi tahun pertama dengan pelbagai peristiwa yang tidak pernah surut daripada perhatian rakyat. Bukan sekadar memerhati, rakyat sesungguhnya sedang menilai, di samping ‘menghukum’ apa sahaja yang dilakukan oleh PH sejak setahun lepas. Walaupun rata-rata rakyat bersyukur dengan kejayaan menumbangkan rejim Barisan Nasional (BN) dan berlakunya peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah pada Mei tahun lepas, namun rasa syukur itu nampaknya tidak bertahan lama apabila rakyat mula nampak bahawa keadaan sebenarnya tidak banyak berubah, malah ada yang lebih teruk dari yang sebelumnya.
Dalam rangka mempertahankan diri daripada segala kelemahan dan kritikan bertalu-talu daripada rakyat, PH berkali-kali cuba meyakinkan rakyat bahawa adalah tidak adil untuk rakyat menilai dan membandingkan mereka dengan BN yang telah 61 tahun memerintah. Ya benar, sebagai Muslim, kita tidak seharusnya mengukur dan membuat perbandingan seperti itu. Sebaliknya, kita wajib menilai dan mengukur pemerintahan PH dengan Islam, bukan dengan BN. Adakah sejak setahun yang lalu, PH berusaha untuk menerapkan Islam atau tidak? Inilah ukuran kita. Ini kerana, baik dan buruk (dalam Islam) itu diukur berdasarkan hukum syarak, bukan selainnya. Suatu perbuatan akan dinilai baik apabila mematuhi hukum syarak dan sebaliknya menjadi buruk apabila melanggar syarak.
Hakikatnya, kedua-dua kerajaan sama sahaja dinilai daripada aspek penerapan hukum syarak, yakni sama-sama tidak menerapkannya dan tidak ada keinginan secara politik (political will) untuk menerapkannya. Maka di sisi Islam, kedua-dua kerajaan ini sama sahaja walaupun tempoh masa mereka jauh berbeza. Kerajaan baru atau lama, kedua-duanya mengekalkan sistem demokrasi dan juga perlembagaan yang diwarisi daripada kuffar penjajah. Walaupun PH sering menggelar pemerintahan mereka sebagai Malaysia baru, hakikatnya apa yang baru hanyalah wajah-wajah mereka yang memegang tampuk kekuasaan, tetapi sistem pemerintahan yang diamalkan tetap sahaja sistem lama iaitu sistem demokrasi, sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang meletakkan kuasa untuk membuat hukum di tangan manusia. Tidak ada kebaikannya buat umat Islam apabila sistem yang bertentangan dengan Islam ini masih tetap membelenggu mereka. Sistem inilah yang selama ini telah meletakkan umat Islam dalam pelbagai musibah, malapetaka dan perpecahan serta jauh daripada redha Allah SWT.
Wujudkah Demokrasi Yang Lebih Baik
Kerajaan baru amat berbangga dengan penerapan sistem demokrasi sekarang yang mereka dakwa jauh lebih ‘baik’ berbanding demokrasi di bawah kerajaan BN. Kita dapat lihat rakyat lebih bebas untuk bersuara, melakukan demonstrasi, mempertikai keputusan kerajaan dan sebagainya. Media juga dilihat sudah lebih bebas, begitu juga dengan mahasiswa dan termasuklah pembangkang sendiri diberikan ruang yang luas untuk mengkritik kerajaan. Namun persoalannya, adakah jika demokrasi yang diamalkan itu lebih ‘baik’, ini menunjukkan yang kerajaan dan keadaan negara lebih baik?
Sekali pandang, memang perkara tersebut dilihat sebagai ‘baik’. Namun, jika dilihat dari perspektif Islam, demokrasi yang lebih ‘baik’ sebenarnya menggambarkan keadaan yang lebih buruk. Sebagai contoh, kebebasan bersuara yang wujud sekarang telah sampai ke tahap golongan liberal dan LGBT pun boleh menyuarakan pandangan mereka tanpa batas, malah boleh menonjolkan segala aktiviti mereka yang haram lagi jelik. Sedangkan segala suara dan aktiviti yang menyimpang daripada Islam wajib disekat dan dihukum, bukannya dibiarkan. Keadaan demokrasi yang lebih bebas menjadikan golongan ini juga lebih bebas untuk bersuara dan beraktiviti secara terbuka tanpa diambil apa-apa tindakan, walaupun sampai ke tahap merendahkan dan menghina Islam.
Demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan berdasarkan akal yang dicipta oleh Barat. Sistem ini dicipta kerana mereka mahukan kebebasan mutlak, yakni bebas dari ‘belenggu’ agama dan golongan agamawan yang mengongkong mereka selama ini. Mereka mahu menentukan peraturan hidup sendiri tanpa terikat dengan agama. Dari sinilah terhasilnya demokrasi. Sedangkan dalam Islam, kita wajib terikat dengan agama. Terikat dengan agama bukan bermaksud umat Islam tidak bebas, tetapi ada panduan dan hukum yang mengatur setiap tingkah laku manusia.
Di sinilah umat Islam perlu bezakan di antara hak yang diberikan oleh Islam dan hak yang diberikan oleh demokrasi. Kita bebas bercakap, mengkritik kerajaan, melakukan demonstrasi dan sebagainya, bukan kerana demokrasi yang membenarkan, tetapi kerana Islam membenarkan. Umat Islam ‘bebas’ bersuara dan beraktiviti selama mana selaras dengan syarak dan setiap perbuatan yang menyalahi syarak wajib diambil tindakan. Dalam demokrasi, setiap manusia bebas melakukan apa sahaja tanpa batas. Contohnya, setiap orang bebas untuk berpakaian dan bebas untuk tidak berpakaian walaupun di tempat-tempat umum. Inilah idea tulen demokrasi dan inilah apa yang diamalkan di Barat. Atas dasar itu, semakin ‘baik’ dan semakin tulen demokrasi, sebenarnya ia semakin bertentangan dengan Islam.
Sebuah negara demokrasi tulen akan membenarkan siapa sahaja rakyatnya untuk memegang apa-apa jawatan, termasuk jawatan tertinggi negara, tanpa mengira agama dan jantina. Demokrasi juga tidak menghalang orang-orang kafir dari menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, ketua hakim negara, ketua tentera dan sebagainya. Malah demokrasi tulen tidak akan sama sekali menghalang seorang gay atau lesbian daripada menjadi Perdana Menteri. Inilah apa yang kita saksikan di negara-negara demokrasi pada hari ini. Sedangkan Islam mengharamkan orang-orang kafir dan juga wanita dari memegang jawatan ketua negara (Khalifah) atau pembantu Khalifah dalam hal pemerintahan (Mu’awwin Tafwidh), sebagaimana Islam mengharamkan orang-orang kafir dan wanita dari memegang jawatan ketua hakim (Qadhi Qudhat), atau ketua tentera (Amirul Jihad). Inilah secebis contoh bagaimana semakin ‘baik’ sistem demokrasi yang diamalkan, maka semakin nyata pertentangannya dengan Islam, dan bukan menunjukkan sesebuah negara itu semakin baik, malah semakin buruk.
Islam Dan Melayu Terancam Di Bawah PH
Di saat kerajaan PH berbangga dengan penerapan demokrasi, pembangkang pula mengangkat isu Islam dan Melayu sedang terancam di bawah PH, walaupun realitinya mereka yang membentuk kerajaan lama tidak berusaha menjaga dan menerapkan seluruh syariat Islam pun sebelum ini, dan merekalah yang merosakkan kaum Melayu. Persoalannya, benarkah Islam dan Melayu terancam di bawah PH? Kita tolak sejauhnya isu Melayu agar tidak terjerumus ke dalam assabiyyah yang haram, dan kita fokus isu Islam. Pembangkang mula membangkitkan isu ini apabila buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia, Parlimen dikuasai oleh majoriti non-Muslim daripada kalangan PH. Selain itu, Democratic Action Party (DAP) sering dilabel sebagai anti-Islam dan dikatakan mendominasi PH. Sebagai Muslim, kita memang tidak redha wujudnya keadaan seperti ini di tanah umat Islam, namun apa yang pembangkang lupa ialah selama 61 tahun merekalah yang menyokong dan memberi kuasa kepada parti komponen kerajaan lama yang didominasi oleh non-Muslim yang juga banyak mempertikaikan hal ehwal Islam.
UMNO telah diberi peluang oleh Allah SWT selama 6 dekad untuk menerapkan Islam, namun ternyata mereka mengenepikan Islam dalam pemerintahan mereka sehingga negara ini berada dalam keadaan seperti sekarang. Mereka meneruskan sistem (demokrasi) dan perundangan yang ditinggalkan oleh penjajah, sebuah sistem yang bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan sebuah sistem yang memang direka oleh penjajah untuk menghalang penerapan Islam itu sendiri. Sistem demokrasi inilah yang sebenarnya mengancam Islam, di mana dalam sistem ini, hak Allah SWT sebagai Pembuat Hukum (Al-Musyarri’ / Legislator) telah diambil oleh manusia! Hukum Allah SWT sama sekali tidak akan dapat dilaksanakan kecuali majoriti manusia bersetuju. Justeru, ancaman terhadap Islam itu sebenarnya telah lama wujud yakni sejak BN mengambil alih pemerintahan negara daripada tangan British dengan meneruskan sistem demokrasi yang diberikan oleh British!
Wujudnya ancaman terhadap Islam itu bukan kerana soal ratifikasi ICERD atau Statute Rome, atau ancaman bunuh terhadap penceramah yang melakukan perbandingan agama. Wujudnya ancaman terhadap Islam itu juga bukanlah kerana non-Muslim yang menguasai Parlimen atau pemerintahan negara. Namun, wujudnya ancaman terhadap Islam itu adalah kerana sistem demokrasi yang diterapkan oleh parti yang memerintah! Selama lebih 60 tahun Parlimen dikuasai oleh Muslim dulu pun, Islam sudah berada dalam keadaan terancam kerana sistem yang mereka terapkan itu adalah bertentangan 180 darjah dengan Islam. Sejak negara ini diperintah oleh parti yang sekular dan sistem yang sekular, walaupun majoriti ahli Parlimen dan pemerintahnya beragama Islam, namun sistem Islam tidak pernah diterapkan. Kita tidak pelik jika orang-orang kafir tidak mahu menerapkan Islam, sebagaimana komposisi Parlimen sekarang yang dikuasai oleh mereka, tetapi apa yang kita pelik ialah ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam itu sendiri yang tidak pernah mahu menerapkan Islam sejak dulu iaitu sejak dari negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah sekarang! Inilah yang sebenarnya menjadi ancaman kepada Islam.
Dalam rangka mencantikkan imej mereka sebagai kerajaan, mereka telah mengisytiharkan prinsip “Islam rahmatan lil alamin” sebagai sebuah gagasan dalam pemerintahan mereka. Sayang seribu kali sayang apabila mereka hakikatnya hanya berjuang untuk menegakkan slogan Islam, bukannya menegakkan Islam itu sendiri. Bagaimana mungkin mereka boleh berbicara tentang Islam sebagai rahmatan lil alamin dalam keadaan Islam tidak diterapkan!? Ternyata, ini sebuah lagi retorik politik sebagaimana Islam Hadhari yang dilaungkan di zaman pemerintahan Abdullah Badawi dan Maqasid Syariah serta Islam Wasathiyyah yang dilaungkan di zaman pemerintahan Najib Razak. Semuanya hanyalah slogan dan akan kekal sebagai slogan sehinggalah Allah SWT mencabut pemerintahan mereka.
Setiap Muslim seharusnya merenung dan bertanya diri sendiri, adakah kerajaan sekarang merupakan sebuah kerajaan yang memenuhi perintah Allah SWT dan RasulNya (saw)? Adakah kerajaan sekarang merupakan sebuah kerajaan yang mereka harapkan selama ini? Adakah perubahan yang mereka inginkan dengan menumbangkan BN, telah mereka perolehi dengan naiknya PH? Semua ini mesti direnungi dan dijawab, khususnya oleh para pengundi PH yang telah memilih untuk menukar kerajaan lama kepada kerajaan baru.
Hizbut Tahrir dengan ini mengajak umat Islam untuk berfikir sejenak dan memahami bahawa perubahan yang kita mahukan ialah perubahan sistem, bukannya perubahan pada wajah mereka yang memegang kekuasaan semata-mata. Sistem pemerintahan demokrasi-sekular pada hari ini wajib diganti dengan sistem Islam di bawah naungan Khilafah. Kita telah menyaksikan bersilih gantinya wajah pemimpin selama lebih 60 tahun, namun hakikatnya Malaysia tetap berada dalam masalah dan umat Islam masih tetap terpuruk dan menderita dalam pelbagai aspek. Setahun lepas, kita menyaksikan sekali lagi perubahan wajah kepimpinan, cuma dalam skala yang lebih besar, namun sistemnya tetap sama! Jika beginilah keadaannya, 4 tahun lagi mahupun 10 tahun lagi, umat Islam akan terus berada dalam situasi yang sama.
Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW membawa risalah Islam. Risalah yang dimaksudkan tidak lain melainkan membawa rahmat bagi seluruh alam. Islam rahmatan lil alamin [TMQ al-Anbiya’ (21): 107] ini hanya akan tampak tatkala seluruh syariatNya diterapkan secara sempurna dan ia pula hanya mampu diterapkan oleh sistem yang sesuai iaitu khilafah—sistem yang diwajibkan Islam. Sudah tiba masanya kita berusaha memperjuangkan penerapan sistem memenuhi tuntutan Islam ini.