Islam Solusi Kehidupan
Setelah setahun lebih kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, rakyat mahu melihat kemampuan kerajaan baharu ini dalam mentadbir negara dan pembaharuan dasar-dasar yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat. Semenjak kemenangan PH pada PRU yang lepas, sudah tentu rakyat bertumpu kepada usaha kerajaan dalam memenuhi tuntutan rakyat khususnya manifesto sepertimana yang dijanjikan. Keutamaan kerajaan kini adalah untuk menyelesaikan pemasalahan kehidupan yang dihadapi rakyat seperti mengurangkan kos sara hidup, kos keperluan harian yang semakin tinggi, peluang pekerjaan yang terhad, isu-isu yang membabitkan anak muda dan isu lain yang masih belum diselesaikan. Malangnya dari hari ke hari, kita mendapati isu dan masalah yang menimpa rakyat seolah-olah tidak ada perubahan malah semakin buruk. Persoalannya apakah solusi-solusi yang digunakan selama ini tidak dapat menjadi solusi yang terbaik? Maka apakah solusi yang terbaik untuk menggantikan solusi-solusi yang sedia ada?
Asas Kehidupan Manusia
Perkara yang lebih asas yang perlu kita fahami terlebih dahulu ialah, sebagai seorang Muslim, kita meyakini bahawa seluruh isi alam merupakan ciptaan Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui segala sesuatu. Sebagai salah satu makhluk ciptaan-Nya yang unik, manusia tidak lepas daripada sifat-sifat keterbatasan, kelemahan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Hal ini merupakan fitrah kejadian manusia yang tidak dapat diingkari. Maka disebabkan inilah manusia tidak boleh memisahkan hubungan diri mereka dengan Pencipta mereka (Allah SWT). Inilah yang melahirkan kesedaran mengenai perlunya aturan dalam segala aspek kehidupan datangnya daripada Allah SWT dan bukannya daripada yang lain.
Oleh itu, untuk menyelesaikan segala permasalahan kehidupan yang ada pada hari ini, sudah sewajibnya kita semua kembali menyedari tentang hubungan diri kita kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT telah pun menurunkan cahaya-Nya sebagai petunjuk agar manusia mampu menjalani kehidupan di dunia dengan baik dan sejahtera. Cahaya inilah yang akan mampu mengatasi segala masalah manusia di akhir zaman ini, itulah Islam.
Peraturan Hidup Dalam Islam
Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah, dengan dirinya sendiri, dan dengan sesama manusia yang lain. Definisi Islam yang digali daripada berbagai dalil al-Quran dan as-Sunnah ini telah menjelaskan fakta Islam itu sendiri dan melindunginya daripada tercampur dengan agama dan sistem-sistem yang lain.
Islam juga bukanlah sembarangan agama seperti kebanyakan agama di dunia ini. Kebanyakkan agama hanya mengatur masalah moral dan keakhiratan sahaja, seperti bagaimana beribadah, berbuat baik, bercerita tentang syurga dan neraka, tentang syaitan dan malaikat, juga tentang pahala dan dosa. Islam bukanlah hanya mengatur masalah-masalah moral dan keakhiratan seperti yang disebutkan, yang menjadikan Islam ini seolah-olah sama seperti agama lain. Tidak, bukan begitu. Namun Islam juga mengatur masalah-masalah kehidupan manusia di dunia ini seperti masalah politik, ekonomi, sosial, pemerintahan, pendidikan, perundangan dan sebagainya.
Dengan kata lain, Islam bukanlah sekadar menguruskan masalah ruhiyyah (spiritual), tetapi juga meliputi masalah siyasiyah (politik). Islam telah membentuk peraturan yang berkaitan dengan spiritual dan politik. Maka inilah mengapa Islam merupakan way of life bagi kehidupan manusia. Konsep yang dibawa oleh Islam meliputi akidah dan sistem (nidzam) atau dalam istilah lainnya, Islam ialah agama yang meliputi akidah dan syariah. Hal yang terkandung dalam konteks akidah ialah Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat, Rasul, Kitab, Hari Kiamat serta Qadha dan Qadar. Manakala nidzam atau syariat merupakan kumpulan hukum Islam yang berfungsi untuk mengatur seluruh masalah manusia. Oleh itu, sistem atau syariat Islam merupakan hukum yang meliputi semua aspek kehidupan manusia yang bersumberkan daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Sebaliknya agama-agama lain selain Islam hanya mengatur masalah ukhrawi iaitu dalam masalah ritual dan spiritual sahaja dan tidak mengatur masalah berkaitan duniawi seperti politik, sedangkan ideologi lain pula hanya mengatur masalah duniawi sahaja tanpa mengatur masalah agama. Oleh itu agama-agama lain hanya mengajarkan bagaimana cara menyembah tuhan tetapi tidak mengajar sistem pemerintahan dan ekonomi. Begitu juga dengan ideologi-ideologi selain Islam seperti kapitalisme, komunisme dan sosialisme hanya mengajarkan bagaimana mengatur pemerintahan, ekonomi, sosial dan ketenteraan tetapi tidak mengajar bagaimana caranya menyembah tuhan. Oleh sebab itu, agama-agama dan ideologi-ideologi selain Islam tidak lengkap dan sempurna serta tidak mampu menjadi way of life yang hakiki. Maka agama dan ideologi selain Islam tidak akan mampu menjadi solusi yang terbaik dalam kehidupan manusia. Hanya Islam sahajalah agama dan ideologi yang terbaik untuk menjadi SOLUSI KEHIDUPAN manusia.
Tanggungjawab Menjadikan Islam Sebagai Solusi Kehidupan
Dalam usaha menjadikan Islam itu sebagai solusi ke atas masalah-masalah yang dihadapi, maka Islam hendaklah diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan ini. Metode yang terbaik untuk menerapkan Islam secara kaffah hanya satu; iaitu dengan menegakkan kembali negara Khilafah. Khilafah Islam merupakan sebuah keperluan untuk mengembangkan Islam secara sempurna. Hal ini demikian kerana dakwah Islam yang digariskan oleh syariat tidak akan mungkin boleh terlaksana secara sempurna tanpa adanya negara yang menerapkannnya dengan baik dan benar. Bahkan dengan adanya perlaksanaan oleh negara ini, Islam akan benar-benar terlihat sebagai sebuah ajaran yang mampu membawa kehidupan manusia daripada kegelapan menuju cahaja kebenaran. Hal inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, tatkala Islam ditegakkan sebagai sebuah negara di Madinah.
Namun begitu, negara Khilafah tersebut belum ada. Oleh sebab itulah kita tidak akan dapat melihat Islam mampu mengatur kehidupan ketika ini secara sempurna. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk berusaha menegakkan semula negara Khilafah yang tujuannya untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah. Namun begitu, tanggungjawab ini perlu dipikul secara berjemaah dan berkumpulan. Inilah seruan Allah SWT, untuk mengembangkan dakwah Islam ini menjadi tanggungjawab kepada parti politik atau kelompok dakwah. Ertinya tanpa ada kelompok dakwah yang mengembangkan dakwah Islam ini, dakwah tidak dapat dilaksanakan mengikut metode yang telah ditunjukkan dan dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Disebabkan dakwah Islam itu perlu dikembangkan kepada orang ramai, maka diperlukan pula organisasi dakwah, parti politik Islam atau kelompok dakwah untuk mewujudkannya secara serius. Ketika ini, Hizbut Tahrir giat menyeru dan mengajak orang ramai ke arah penegakkan kembali Khilafah agar kehidupan ISLAM dapat dilaksanakan, seterusnya akan menjadi SOLUSI kepada setiap permasalahan KEHIDUPAN.
Uda As
(Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia)