SN187 – KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?
SN Keluaran 14 Ogos 2009
KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?
[SN187] Untuk ke sekian kalinya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berdepan satu lagi konflik percaturan politik Pakatan Rakyat (PR) apabila timbul isu penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam di Selangor. Usaha PAS yang tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka ditentang keras oleh rakan karibnya dari DAP. Tekanan demi tekanan diterima dari pelbagai sudut menyebabkan PAS tersepit di antara ‘pegangan’ dengan hukum Islam dan kepentingan politik yang wujud dalam PR. Sebelum itu, PAS juga goncang seketika gara-gara cadangan Presidennya sendiri untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Konflik dalaman PAS diperparah dengan kelicikan UMNO yang sememangnya pakar dalam politik hipokrasi memecahbelahkan lawan. Pemimpin tertinggi PAS bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengekalkan kesetiaan ‘perkahwinan’ mereka dengan PR atau bertukar pasangan kepada UMNO/BN. Secara logiknya, tidak ada bezanya bergabung, baik dengan BN atau PR kerana di dalam kedua-duanya terdapat parti sekular dan parti kafir. PAS Kedah juga pada 1 Julai lalu ‘ditampar’ hebat oleh DAP yang mengumumkan untuk keluar daripada PR akibat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya. Demikianlah serba sedikit beberapa siri tekanan yang dialami oleh sebuah parti Islam dalam perkahwinan campur mereka dengan parti sekular dan parti kufur. Ini yang terdedah, manakala yang tidak terdedah seperti perebutan jawatan, perebutan projek dan banyak lagi perbalahan lainnya ‘terpaksa’ ditelan oleh PAS, dan ada yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Koalisi PAS dengan parti-parti lain yang wujud di Malaysia bukanlah satu perkara baru. PAS pernah berkoalisi dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam pilihan raya 1990. Jauh sebelum itu pun, PAS pernah bergabung dengan UMNO pada tahun 1970-an di era Tun Razak. Sebelum Anwar Ibrahim mengisytiharkan koalisi PAS-PKR-DAP-PRM sebagai ‘Pakatan Rakyat’ pada 1 April 2008, selama lebih kurang 10 tahun, koalisi parti-parti tersebut dinamakan Barisan Alternatif (BA). Begitu juga halnya dengan parti pemerintah, UMNO, di mana parti sekular ini telah lama berkoalisi dengan rakan-rakannya yang lain dari parti kufur. Namun, oleh sebab UMNO didirikan di atas asas assabiyyah, maka koalisinya dalam BN merupakan suatu perkara yang tidak perlu kita bahaskan, kerana asas penubuhan dan perjuangannya yang jelas-jelas haram. Berbeza halnya dengan koalisi PAS ke dalam PR, kerana PAS adalah sebuah parti Islam, yang bergabung dengan PKR (parti sekular) dan DAP (parti kufur). Aspirasi koalisi dalam PR ini ternyata tidak ada beza dengan koalisi di dalam BN kerana kedua-duanya berkoalisi untuk menuju perkara yang sama, iaitu ingin meraih sebuah pemerintahan. Dan pemerintahan yang bakal diwujudkan adalah pemerintahan kufur-sekular dengan perkongsian kuasa di antara parti-parti yang berkoalisi. Inilah yang menjadi persoalan (yakni) sebuah parti Islam berkoalisi dengan parti sekular dan kufur, bersama-sama berjuang untuk mewujudkan sebuah pemerintahan kufur-sekular di bawah sistem demokrasi. Apakah hal ini dibenarkan oleh syarak?
Fakta Koalisi
Menurut pengertian istilah (terminologi), koalisi memiliki banyak definisi. Di dalam Kamus Dewan, koalisi didefinisikan sebagai pergabungan atau perikatan beberapa buah parti politik. Dalam bahasa Arab, koalisi politik dikenal dengan istilah at-tahaluf as-siyasi. Tahaluf berasal dari kata hilfun yang bererti perjanjian (mu’ahadah) atau kesepakatan (mu’aqadah). Siyasi bererti politik. Koalisi dapat diertikan sebagai ikatan atau gabungan antara dua atau beberapa negara untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu. Koalisi juga dapat diertikan sebagai gabungan beberapa parti dalam sesebuah negara untuk meraih majoriti yang dapat mendukung pemerintahan.
Dengan meneliti fakta (manath) koalisi parti Islam dan parti sekular/kufur yang ada di Malaysia, kita akan dapati bahawa mereka sesungguhnya berganding bahu untuk menumbangkan ‘musuh’ yang sama dengan berkoalisi untuk meraih pemerintahan bagi menggantikan musuh (kerajaan) yang sedang memerintah. Hal ini jelas seperti yang terkandung dalam konsesi aspirasi PR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang ahli parlimen BN akan melompat parti. Aspirasi ini sekaligus menunjukkan fakta bahawa koalisi PR adalah untuk meraih dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi-sekular yang sedia ada. Ini kerana tidak mungkin parti Islam yang berada dalam koalisi boleh ‘memerintah secara solo’ atau ‘menerapkan Islam’ kerana hakikatnya mereka berada dalam satu tahaluf dengan puak kuffar/sekular. Apatah lagi halatuju dan perbezaan ideologi parti sekular/kufur yang sangat bertentangan dengan parti Islam tersebut. Realiti ini diperkuat lagi dengan banyak kenyataan yang keluar dari mulut si kuffar dan sekular sendiri bahawa mereka tidak pernah berpakat untuk mewujudkan negara Islam ataupun melaksanakan undang-undang Islam. Malah mereka akan menentang hasrat ini habis-habisan jika ia cuba dilaksanakan oleh parti Islam.
Demi Allah sesungguhnya mereka telah ‘membuktikan’ bahawa tahaluf siyasi mereka bukan ditegakkan atas dasar Islam, malah mereka telah mengorbankan Islam dengannya! Lima buah negeri telah mereka menangi, lalu mereka menjadi parti yang memerintah. Di Pulau Pinang parti Islam langsung tidak dapat bersuara kerana diperintah oleh parti kufur. Namun mereka tetap menyokong parti kufur ini kerana tahaluf. Aneh! Sebuah parti Islam menyokong pemerintahan yang bukan Islam oleh parti kufur! Manakala di Perak mereka berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular yang jauh lebih berani dan kuat berpegang teguh kepada kekufuran berbanding mereka (parti Islam) berpegang kepada keislaman. Lalu parti Islam tersebut terus membuang dan mencampakkan usaha mereka selama ini untuk menerapkan Islam, demi menjaga kepentingan koalisi dengan puak kuffar/sekular yang turut sama berada dalam pemerintahan. Akhirnya kekuasaan mereka berakhir dengan cara yang hina.
Di Selangor, pun kita menyaksikan hal yang sama di mana parti Islam berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular. Sekali lagi kita menyaksikan tiada satu pun hududullah dapat ditegakkan, malah pemerintahan mereka hanya dipenuhi konflik dan perbalahan yang mereka sembunyikan dan zahirkan. Begitulah juga ‘nasib’ Islam di Kedah di mana agama Allah ini langsung tidak ditegakkan oleh parti Islam yang memerintah walaupun mereka menguasai majoriti pemerintahan. Persoalan hudud dan lain-lain langsung tidak timbul, malah pemerintahan mereka hampir tidak ada bezanya dengan pemerintahan kerajaan sekular sebelumnya. Segala usaha mereka (parti Islam) untuk menegakkan Islam dihalang oleh parti yang bertahaluf dengan mereka dan akhirnya parti Islam terus tunduk dan tunduk kepada kehendak kuffar/sekular. Justeru, di manakah kedudukan ‘tahaluf siyasi’ yang kononnya merupakan ‘kerjasama baik’ dengan golongan kuffar/sekular untuk menghindar kezaliman, walhal mereka sendiri memerintah dengan ‘kezaliman’ kerana tidak berhukum dengan hukum Allah, malah senantiasa tunduk kepada puak kuffar/sekular?
Hukum Koalisi Parti Islam Dan Parti Sekular/kufur
Apa yang terjadi di dalam koalisi parti Islam dengan parti sekular/kufur adalah kerjasama, saling membantu, saling mempertahankan dan saling membela dalam perkoalisian. Hakikat dari semua ini memunculkan dua perkara. Pertama: legalisasi, pengakuan dan keredhaan parti Islam akan keberadaan/kewujudan dan keabsahan parti sekular/kufur. Kedua: pengukuhan parti sekular/kufur dengan menjadi teman rapat (bithanah) kepada parti Islam. Inilah hakikat parti Islam yang berkoalisi dengan parti sekular/kufur. Pada satu sisi UMNO dihentam dahsyat kerana kesekularan yang dibawanya, namun PKR sebaliknya digendong, juga kerana kesekularan yang sama atau lebih teruk yang dibawanya. Pada sisi lain pula, parti sesama Islam dihentam dahsyat kerana keIslaman yang dibawa, namun sebaliknya parti kufur DAP digendong dengan kekufuran yang dibawanya. Padahal Allah SWT telah mengharamkan menjadikan orang kafir sebagai bithanah, dan Allah mewajibkan setiap kelompok/parti berdiri hanya atas asas Islam. FirmanNya,
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh yang ma’ruf serta mencegah yang mungkar…” [TMQ Ali Imran (3):104].
Ayat ini dengan jelas memerintahkan bahawa kelompok/parti yang dibenarkan oleh Allah untuk berdiri, hendaklah ‘menjalankan’ dua hal (i) menyeru kepada Islam (ii) melakukan amar makruf nahi mungkar. Apakah aktiviti yang ‘dijalankan’ oleh parti kufur jika bukan kekufuran? Kemungkaran apakah lagi yang lebih besar dari kekufuran? Dan salah satu bentuk kemungkaran yang besar adalah sekularisme. Apa yang jelas, koalisi atas alasan melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap parti sekular/kufur, justeru menjadikan parti Islam semakin erat berganding tangan dan menjaga eksistensi bahkan melegalisasi keabsahan parti sekular/kufur. Malah lebih buruk, bukannya parti kufur/sekular berjaya di Islamkan (sebagaimana niat tahalluf), sebaliknya parti Islam yang berjaya disekularkan! Hal ini amat bertentangan dengan perintah Allah ditinjau dari aspek mana sekalipun.
Hakikatnya, apabila sesebuah parti Islam berkoalisi dengan parti kufur/sekular, maka ia sesungguhnya telah mencampur adukkan haq dengan batil. Acap kali Islam dijadikan korban, kerana yang mereka titikberatkan bukan lagi ‘Islam’, tetapi ‘kepentingan dan sensitiviti’ rakan koalisi. Inti pati yang menjadi pegangan dalam koalisi adalah ‘kompromi’, bukannya ‘hukum syarak’. Kerana itulah, seringkali ideologi parti dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan pragmatisme dan kepentingan semasa. Malangnya, kompromi dalam koalisi justeru terjadi antara hukum Islam dan hukum sekular, dan hukum kufur/sekular selalu dimenangkan. Parti Islam mencampur adukkan yang halal dengan yang haram dan yang haq dengan yang batil. Sering kali parti Islam langsung tidak berani menyebut atau mencadangkan untuk menegakkan negara Islam atau hukum Islam, kerana ia bertentangan dengan kompromi dan aspirasi koalisi. Sungguh, apa yang parti Islam ini lakukan amat jelas bertentangan dengan firman Allah,
“Dan janganlah kalian mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kalian menyembunyikan kebenaran itu, sementara kalian mengetahuinya” [TMQ al-Baqarah (2):42].
Koalisi sememangnya tidak boleh lari dari amalan tolong-menolong. Apatah lagi semasa pilihan raya. Parti Islam tentunya akan menolong parti sekular/kufur untuk menang di dalam pilihan raya, malah mereka pastinya akan mengundi calon sekular/kafir yang diletakkan oleh rakan koalisi. Hujah mereka selama ini bahawa jika kita tidak keluar mengundi maka kita akan memberi kemenangan kepada orang kafir, ternyata umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Mereka (parti Islam) itu sendirilah yang hakikatnya memberi kemenangan kepada orang kafir/sekular di dalam setiap pilihan raya dengan mengundi calon tersebut. Tolong-menolong yang mereka lakukan ini adalah jelas haram, apatah lagi ia mengarah kepada penerapan hukum-hukum kufur, baik dalam kekuasaan eksekutif mahupun legislatif. Tolong menolong semacam ini telah dilarang oleh Allah SWT kerana firman Allah,
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” [TMQ al-Ma’idah (5):2].
Kerjasama dengan puak sekular/kafir pastinya menimbulkan kecenderungan (sikap pasrah/setuju) aktivis parti Islam kepada aktivis parti sekular/kufur. Padahal sikap cenderung ini dilarang oleh Allah SWT,
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].
Para aktivis parti sekular/kufur hakikatnya adalah orang-orang zalim atau para pelaku maksiat (ahlul ma’asi), kerana tidak menjadikan ajaran Islam sebagai asas dan pedoman dalam berpolitik. Dari sisi lain, koalisi juga melahirkan ramai golongan munafik di dalam parti Islam. Ini kerana, walaupun mereka tidak bersetuju dengan polisi atau pendapat/perbuatan yang dibawa oleh parti sekular/kufur, namun anggota parti Islam terpaksa menzahirkan kesetujuannya kerana ingin menjaga hati rakan koalisi atau demi menjaga kepentingan yang wujud dalam koalisi. Kemunafikan ini jelas haram dalam Islam.
Dengan berkoalisi juga, maka anggota parti Islam akan turut berada sebaris di dalam sistem pemerintahan sekular, seperti apa yang berlaku dalam pemerintahan beberapa buah kerajaan saat ini. Padahal telah ada hadis sahih yang melarang umat Islam menjawat apa jua jawatan dalam pemerintahan yang menyalahi syarak, seperti dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Sabda Nabi SAW,
“Sungguh akan datang pada manusia suatu zaman, di mana yang ada atas kalian adalah pemimpin-pemimpin yang bodoh (umara sufaha) yang mengutamakan orang-orang yang jahat dan mengalahkan orang-orang yang baik di antara mereka, dan mereka suka menunda-nunda solat keluar dari waktu-waktunya. Maka barangsiapa di antara kalian yang mendapati pemimpin-pemimpin seperti itu, janganlah sekali-kali dia menjadi kakitangan (’ariif), atau menjadi polis, atau menjadi pemungut, atau penyimpan harta.” [Musnad Abu Ya’la, 3/121; Ibnu Hibban no 4669].
Dalam hadis lain disebut,
“Akan ada pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, para menteri yang fasik, para hakim yang khianat, dan para fuqaha yang pendusta. Maka barangsiapa di antara kamu yang mendapati zaman itu, janganlah sekali-kali dia menjadi pemungut harta mereka, atau menjadi kakitangan mereka, atau menjadi polis mereka.” [HR Thabrani].
Sesungguhnya koalisi antara parti Islam dan parti sekular/kufur hanya akan memperpanjangkan lagi umur kebatilan. Walau apa sekalipun hujah yang diberikan oleh parti Islam, mereka sebenarnya telah jauh tersasar dari jalan yang lurus. Sama ada sedar atau tidak, mereka sebenarnya telah menyalahgunakan nas atau mengambil nas dengan cara yang keliru. Kebanyakan hujah mereka adalah bersandarkan akal dengan mengaitkannya dengan kaedah maslahat. Sungguh, mereka telah menyimpang jauh dari kebenaran!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan nas-nas yang jelas, termasuklah nas yang tidak dapat dibincangkan di sini, koalisi di antara parti Islam dan parti sekular/kufur adalah haram secara mutlak. Ingatlah wahai saudaraku bahawa matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara. Walau matlamat kita baik sekalipun, namun cara yang ditempuh hendaklah syar’i. Dilihat dari sudut pandangan Islam mahupun realiti yang wujud, tiada guna barang sedikitpun sesebuah parti Islam bersengkongkol dengan parti sekular, apatah lagi parti kufur demi political mileage yang dirasakan baik untuk Islam, kerana hakikatnya parti Islam tersebut telah bergelumang dengan noda dan dosa. Malah hingga ke tahap rakan koalisi menghina Islam pun, parti Islam masih mempertahankan rakan mereka. Masya Allah! Betapa hinanya keadaan ini. Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh parti Islam, imejnya akan terus tercalar dan terhina, bukan sahaja di mata umat, malah di mata anggota-anggotanya sendiri. Kemuliaan telah tercabut dari parti Islam itu lalu jadilah ia setaraf dengan parti-parti sekular/kufur yang bersamanya.
Sedarlah wahai pejuang-pejuang Islam yang ikhlas! Kalian merupakan umat yang terbaik yang terpilih untuk memikul amanah Allah dan RasulNya. Fikirkanlah, untuk apa kalian berjuang jika tidak untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan semula Negara Islam dan meraih sepenuh keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla? Kalian sewajibnya bergerak memperjuangkan Islam di dalam ruang dan peluang yang dibenarkan syarak sahaja. Janganlah hendaknya kalian terpengaruh dengan bisikan syaitan yang akan membinasakan kalian. Berpalinglah segera dari syaitan yang sesat lagi menyesatkan! Jadilah pejuang agama Allah yang amanah lagi ikhlas, berusahalah bersungguh-sungguh di jalan yang diredhai Allah dan serahkanlah (urusan) kemenangan kepadaNya semata-mata. Sesungguhnya kita tidak memerlukan bantuan sedikit pun dari orang-orang sekular dan orang-orang kafir untuk menang. Kemenangan adalah janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa. Demi sesungguhnya janji Allah terhadap orang-orang sekular (mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian) dan terhadap orang-orang kafir hanyalah neraka, bukannya kemenangan!!! Na’uzubillah min zalik.