Tiada istimewanya Belanjawan 2020 kerana sistem kapitalisme yang rosak masih digunakan – HTM
Bersempena dengan pembentangan Belanjawan 2020 (B2020) oleh Menteri Kewangan Malaysia baru-baru ini, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan Diskusi Umum Edisi Khas bertajuk “Belanjawan 2020: Apa Istimewanya?” di Khilafah Centre, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. Diskusi tersebut membincangkan Belanjawan 2020 dari sudut realiti serta pandangan syarak dalam menangani isu ekonomi yang dihadapi masakini.
Program tersebut dibarisi dua orang ahli panel iaitu Sdr Musab selaku pimpinan pusat HTM dan Sdr Khairul Effendy yang merupakan aktivis HTM.
Belanjawan yang dibentangkan kali ini merupakan belanjawan kedua bagi kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan. Seperti pembentangan tahun sebelumnya, cabaran utama bagi kerajaan ‘Malaysia Baharu’ ini adalah membuktikan bahawa mereka berbeza dengan kerajaan sebelumnya.Namun, hakikatnya belanjawan yang dibentangkan tidak banyak berbeza dan istimewa berbanding belanjawan-belanjawan terdahulu kerana masih berada dalam kerangka sistem ekonomi kapitalis yang sama.
“Siapapun yang memerintah, dia (kerajaan) kena ikut dalam kerangka sistem yang ada, sistem yang sama. (Keadaan juga diburukkan lagi)… Ditambah pula dengan iklim ekonomi dunia yang sedang dalam keadaan yang sangat mencabar,” ujar Sdr Musab.
Ketika mengulas aspek kerosakan ekonomi kapitalisme yang menjadikan cukai sebagai sumber utama pendapatan negara, saudara Effendy menambah, “Persekitaran ekonomi di Malaysia ini bukan berkeadaan semakin baik berbanding tahun-tahun lepas. Namun isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan mencengkam seluruh dunia”. Dengan kata lain, meskipun kerajaan bersilih ganti, namun keadaan tidak akan banyak berubah meskipun pelbagai inisiatif diperkenalkan dalam belanjawan yang dibentangkan saban tahun.
Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa segala kemelut dan kesempitan yang melanda akan terus berulang dan umat ini akan terus terhimpit selagi sistem ekonomi kapitalis masih digunapakai. Sedangkan Islam telah hadir lengkap dengan penyelesaian terhadap segala permasalahan di dunia termasuklah dalam aspek ekonomi. Kedua-keduanya turut memberikan beberapa contoh dan perbandingan antara penyelesaian yang dibuat oleh kapitalisme dengan apa yang telah digariskan oleh syariat Islam.
Justeru, umat Islam perlu disedarkan dan diyakinkan bahawa sistem ekonomi Islam mampu untuk mengatur dan menyelesaikan permasalahan dan kemelut yang melanda umat pada hari ini akibat penerapan sistem kapitalisme seandainya diterapkan berserta syariat lain secara sempurna (kaffah) dalam kerangka Khilafah Rasyidah.
[Rakaman penuh boleh diikuti di laman sosial Facebook rasmi HTM di: https://www.facebook.com/HTM1435/videos/420557751937468/]